RAWAN RAMADAN

I – TUANG

Bungkusan air jagung bersilih ke tangan kiri. Jemari kanan yang terbebas lantas meraba poket mencari kunci. Terjumpanya ia, kunci dimasukkan ke dalam lubangnya lalu diputar lawan arah jam – perbuatan yang berakhir dengan bunyi ‘klik’. Pintu ditolak. JEFRI pun melangkah ke dalam. Lekas-lekas dia merapatkan pintu sambil menekan punat di tombol pemegang, mengunci pintu itu kembali.

Dia menyusur ruang resepsi dan pejabat yang tidak berpenghuni. Perasaannya sedu dan bersalah. Pagi itu dia memberhentikan saki-baki stafnya. Empat pekerja terakhir, yang paling setia. Kesemuanya menangis, merayu-rayu untuk terus bekerja. Jefri benar-benar terpaksa kerana tidak mampu menggaji mereka. Syarikatnya kerugian teruk selama dua tahun dan kini bagaikan telur di hujung tanduk, di ambang bankrap. Dirinya pun begitu.

Apalah nasib mereka?, soalnya melihat meja-meja kosong di ruang pejabat. Hatinya luluh mengenangkan nasib staf-stafnya yang kini hilang punca rezeki. Bagaimanakah kehidupan mereka? Bagaimana pula keluarga yang mereka sara?

Jefri berpusing dan memasuki biliknya. Hah! dia mendengus bila terbaca insignia yang menera namanya sebagai pengarah. Diletakkan bungkusan air jagung ke dalam tupperware empat segi di atas meja. Dia pun berjalan ke kerusi di seberang meja lalu rebah ke dalamnya. Dia bersandar sambil melengung ke siling. ‘Ya Allah, kau tolonglah staf-stafku yang aku berhentikan’, Jefri berdoa. Dadanya sempit bagaikan ditindih sebongkah batu yang berat.

Bungkusan air jagung yang berdiri tegak di dalam tupperware dicapai Jefri. Kelihatan peluh-peluh dingin di permukaan plastik air jagung itu. Perlahan-lahan dia memutarkan kerusinya menghadap tingkap. Dari situ, di tingkat lima, terlihat ribuan manusia membanjiri bazar ramadan yang selari dengan bangunan pejabatnya.

Jefri melonggarkan ikatan air jagung dan menyisip straw di celah lubang yang terhasil. Dia pun menyedut straw. Air jagung lantas membasahi kerongkongnya yang kontang. Kepuasannya, orgasmik! Matanya terkebil-kebil. Pernafasannya mendalam, tersekat-sekat. Otot-ototnya mengejang. Kenikmatan yang memuncak hasil renjatan amygdala di otak.

Ahhh! Jefri melepaskan udara yang terkumpul di paru-parunya. Kewarasannya kembali. Dia terasa bersalah berbuka awal. Tetapi, itulah sekelumit nikmat pada hidupnya yang serba tak kena ketika ini. Tuhan pasti mengerti. Ramadan yang lepas dan sebelumnya, dia warak. Puasa tak tinggal. Terawih pun penuh. Ketika itu, dia sangat mengharapkan pertolongan dari langit. Tetapi, semakin dia berharap, semakin sukar kehidupannya. Kini, dia kembali kepada tabiat asalnya – tak berapa rajin berpuasa. Bukannya berhenti berharap. Tidak! Cuma, dia keletihan.

 

II – IFTAR DI SURAU

Kring-kring! Bunyi telefon Jefri yang bernada klasik. Nada yang mengejutkan dia dari persoalan, ‘jagung itu buah atau sayur?’ yang singgah di fikirannya. Trivia begini meredakan sedikit kekusutan yang menyarang kepalanya. Istirehat otak yang bersifat sementara!

Jefri menjeling nama yang tertera di skrin telefon. HAYATI. Hayati adalah kerani yang diberhentikan enam bulan lepas. Dia ibu tunggal yang mempunyai tiga anak perempuan yang masih bersekolah rendah. Setelah diberhentikan, Hayati mengkuli bagi menyara anak-anaknya. Kadangkala, Jefri menghulurkan sedikit bantuan kepada Hayati.

Jefri menghela nafas lalu mengangkat telefon.

“Bertenang Yati, bertenang…”, pujuk Jefri setelah mendengar suara Hayati yang tenggelam timbul kerana menangis terisak-isak.

“Maaf Encik Jefri…”, Hayati cuba mengawal diri.

“Tak mengapa. Cuba cerita kepada saya satu-per-satu”, Jefri menenteramkan Hayati seperti seorang kaunselor.

“Saya tak tahan hidup begini! Restoran yang saya kerja tak berniaga di bulan Ramadan. Saya tiada kerja. Saya langsung tak berduit. Makan pun saya bawa anak-anak ke surau, berbuka di sana. Sahur meggi sudah kira bertuah!”, keluh Hayati.

“Ya…”, Jefri memberi ruang kepada Hayati untuk meluahkan lara di hatinya.

“Saya telefon ketua kampung, tak berjawab. Imam masjid pun sama. Telefon wakil rakyat, dia janji macam-macam tetapi kosong. Adik-beradik, asyik membebel sahaja. Tiada siapa yang tolong. Sebab itulah saya telefon Encik Jefri. Saya tahu Encik Jefri pun susah sekarang. Saya minta maaf banyak-banyak”, sambung Hayati.

Eh tak apa Yati. Beginilah, saya akan masukkan seratus ringgit ke dalam akaun Yati. Lepas tu kita fikirkan apa yang boleh kita buat”, ujar Jefri.

“Allahu Akbar! Terima kasih banyak-banyak Encik Jefri. Allah sahaja yang mampu balas jasa Encik Jefri!”, respon Hayati yang masih terisak-isak.

“Kalau ada apa-apa masalah jangan segan untuk hubungi saya ya. Jika saya dapat bantu, saya bantu. InsyaAllah”, pesan Jefri penuh empati. Dia benar-benar merasai kesengsaraan Hayati.

Jefri tersandar pada kerusinya. Dia pun menyedut air jagung lalu menyalakan sebatang rokok. Setelah separuh rokok dihisapnya, dia mengesot kerusi menghampiri meja dan menghidupkan komputer peribadinya. Dibukanya Facebook dan dicari insan bernama RISWAN Shah. Dia pasti insan yang bernama Riswan itu mampu membantu Hayati!

Jefri mengenali Riswan sejak zaman universiti. Riswan adalah seniornya sewaktu belajar di Amerika. Kedua-dua mereka mengambil Ijazah Perakaunan. Riswan alim. Semasa di Amerika, Riswan menjadi ketua usrah kepada pelajar-pelajar Malaysia.

Selepas tamat pengajian, Jefri bertemu Riswan kembali di Konsortium Minyak Nasional. Sama-sama bekerja sebagai akauntan. Setelah beberapa tahun, Jefri meletak jawatan untuk memulakan syarikat pembersihan gerudi minyak. Entah mengapa syarikatnya tidak pernah mendapat kontrak dari Konsortium Minyak Nasional walaupun dia mempunyai rekod cemerlang bersama bekas majikannya itu. Tiada rezeki, apakan daya? Jefri membawa syarikatnya ke luar negara. Syarikatnya berkembang melalui tender antarabangsa. Tetapi, sejak harga minyak dunia menurun dua tahun lalu, kontrak berkurang dan akhirnya, gersang.

Riswan pula terus kekal bersama Konsortium Minyak Nasional. Sekarang sudah bergelar pengurus. Gajinya tinggi dan stabil. Jefri yakin, Riswan yang alim itu akan membantu saudara Islam yang kesusahan seperti Hayati!

Dia tersenyum melihat foto terbaru Riswan di Facebook. Muka Riswan yang berjambang sudah menembam. Perutnya terkehadapan, melindungi kepala tali pinggang. Kedua pehanya seolah bercantum. Geli hati Jefri. Jeda otak yang bersifat sementara, tetapi penuh pengharapan!

 

III – DEMAM DENGKI

Jefri memindahkan seratus ringgit ke akaun Hayati seperti yang dijanjikan. Dia mendesah panjang apabila melihat baki akaunnya kurang dari seribu. Selesai urusan bank atas talian, dia melawat laman sesawang Uber. Barangkali, dia boleh menjadi pemandu Uber bagi menyara hidupnya. Boleh tahan, kata hatinya setelah membaca terma-terma yang ditetapkan Uber.

Air jagung dihirup dan sebatang lagi rokok dinyalakan. Jefri menelek telefon bimbitnya. Dia mencari nombor Riswan. Terjumpanya ia, dia terus menelefon Riswan.

“Ha Jef, apa kau nak?”, jawab Riswan.

“Abang Wan sibuk ker? Boleh cakap?”, Jefri tidak mahu menggangu Riswan jika Riswan sedang sibuk.

“Boleh!”, ujar Riswan.

“Abang Wan apa khabar?”, Jefri cuba memecah kejanggalan antara mereka yang lama tidak berhubung.

“Baik. Alhamdulillah! Kau amacam?”, Riswan ingin tahu perihal juniornya itu dari mulutnya sendiri.

“Saya masih struggling Abang Wan. Makin parah sebenarnya”, jelas Jefri.

Hurmmm. Kau nak bantuan ker?”, soal Riswan. Nadanya seperti rimas.

“Ya, tapi bukan untuk saya. Untuk seorang staf saya ni. Dia ibu tunggal, anak tiga. Suaminya meninggal accident lima tahun lepas. Dia sekarang betul-betul terdesaktakde duit nak makan. Saya nak bantu, tak terbantu kerana saya pun terdesak. Saya terfikir, mungkin Abang Wan boleh bantu….”, dia pun menceritakan panjang lebar kesusahan Hayati. Bantuan yang dipinta untuk bulan Ramadan sahaja.

Hurmmm. Nanti aku fikirkan!”, jelas Riswan.

“Okay Abang Wan. Nanti calling-calling lah yer!”, Jefri sangat mengharap.

“Kau puasa atau tak ni?”, soal Riswan. Dia berprasangka kerana pertuturan Jefri tersekat-sekat seperti sedang merokok.

“Puasa-lah. Haha!” , Jefri mengawal remangnya.

Okay-okay. Nanti aku call!”, Riswan mengakhiri perbualan.

Riswan seronok bila Jefri menagih pertolongannya. Sudah lama hatinya membengkak. Jefri sentiasa mencabar egonya. Semasa di Amerika, Jefri yang lebih muda seperti tidak hormat kepadanya. Di majlis usrah, ketika pelajar-pelajar lain menurut sahaja katanya, Jefri mempunyai pandangan berbeza. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar junior menjadikan Jefri sebagai role-model. Keterbukaan pemikiran dan keyakinannya bersaing dengan pelajar antarabangsa memukau mereka.

Sejarah kerjayanya juga dicemari Jefri. Walaupun menyertai Konsortium Minyak Nasional dua tahun selepasnya, Jefri lebih popular. Idea-idea Jefri menarik minat rakan sekerja dan pihak atasan. Jefri kemudiannya dilantik sebagai pengurus, memintasnya. Setelah Jefri berhenti dan membuka syarikat pembersihan gerudi minyak sendiri, Riswan melakukan pelbagai helah bagi menghalang syarikat Jefri dari mendapat kontrak Konsortium Minyak Nasional. Iri hatinya melonjak apabila syarikat Jefri mampu bersaing di luar negara.

Kemerosotan syarikat Jefri kebelakangan ini menggembirakan Riswan. Dia mengikuti perkembangan ini dengan penuh minat. Di khalayak, dia pura-pura prihatin. Senyap-senyap, dia tertawa. Antara berita yang memuaskan hatinya adalah keretakan rumah tangga Jefri yang berakhir dengan perceraian. Jefri yang duhulu gah, kini terhina, merayu belas kasihannya. Hatinya membesar.

Riswan bersandar, berselimpang tangan di belakang kepala sambil tersenyum. Dia yakin Jefri tidak berpuasa. Hurrmm…Alangkah seronoknya jika Jefri dicekup ponteng puasa!

 

IV – MELOPONG

Dokumen di tangan jatuh berselerak sejurus pintu pejabat dihempasnya. Bungkusan air tembikai nyaris terjatuh sekali. Jefri berjongkok mendapatkan dokumen yang bertaburan. Dokumen yang terjatuh itu adalah notis kebankrapan syarikatnya dari mahkamah.

Jefri berjalan deras merintasi ruang pejabat. Dia terserempak sebuah kerusi. Kerusi itu ditendangnya hingga terpelanting. Jefri lalu bergegas memasuki biliknya. Diletakkan bungkusan air tembikai ke dalam tupperware empat segi di atas meja. Dia kembali ke pintu biliknya dan merobek insignia yang menera namanya sebagai pengarah. Insignia itu dihempasnya ke dinding – pecah berkecai!

Jefri lalu duduk di kerusinya. Nafasnya berat. Amarahnya membuak-buak! Dia mencapai bungkusan air tembikai, melonggarkan ikatan, lalu menyedut airnya dari straw yang tersisip di celah bukaan. Rokok dinyalakan. Sedikit demi sedikit, murkanya mereda.

Kring-kring! Jefri memicing mata pada skrin telifon bimbitnya. Nama Riswan muncul. Dia teruja. Sudah dua minggu dia menunggu. Cepat-cepat dia menerpa telefonnya yang berada di atas meja.

Walaikum salam, sheikh!”, jawab Jefri.

“Jef, aku nak tolong staf kau tu!”, ujar Riswan.

Alhamdulillah. Terima kasih Abang Wan! Nanti saya mesej nombor akaun dia”, gembira Jefri.

“Tak payah! Aku nak bagi cash! Aku kirim melalui kau, boleh? Kau ada mana sekarang?”, Riswan menyatakan hajatnya.

“Saya ada di pejabat”, jawab Jefri.

“Pejabat kau dekat bazar ramadan Taman Suria kan? Nanti, lepas Asar aku sampai”, jelas Riswan.

Okay. Saya tunggu!”, Jefri pun memberi nombor unit pejabatnya. Dipesan supaya Riswan menelefonya bila sampai di pintu pejabat. Mereka pun menamatkan perbualan.

Ahh awal lagi. Baru pukul tiga petang! Jefri memutarkan kerusinya menghadap tingkap, meninjau keletah manusia di bazar ramadan. Sebatang lagi rokok dinyalakan.

Masalah kembali menyerang fikirannya. Disedut rokok dalam-dalam dan dihembuskan asapnya ke arah siling. Ya Allah, tolonglah aku!, Jefri berdoa.

Tiba-tiba kedengaran tapak kaki memasuki biliknya! Segera dia memutarkan kerusi. Klik-klik! Terperanjat Jefri melihat Riswan yang berdiri di seberang meja, menala telefon bimbit ke arahnya sambil mengambil gambar. Tupperware yang berisi bungkusan air tembikai berada di tangan kanan, manakala rokok yang masih berasap tersepit antara pangkal jari telunjuk dan hantunya.

Detik bagaikan terhenti. Mata Jefri terbeliak. Mulutnya terkuak. Wajahnya pucat seperti mayat!

Terlihat dua sosok gempal berpakaian jubah mengapit Riswan yang sedang tersengih. Sengihan yang tidak dapat dikawal. Geli hati Riswan melihat Jefri yang melopong seperti orang terencat akal. Klik-klik! dia mengambil beberapa lagi gambar, bukan sebagai bukti kerana bukti sudah pun cukup, tetapi untuk suka-suka!

Dua sosok berjubah itu menghampiri Jefri. Pegawai-pegawai Jabatan Agama itu memberi isyarat supaya air tembikai diletakkan di atas meja dan rokok dipadamkan. Jefri menuruti arahan mereka. Jefri turut memberikan kad pengenalannya seperti yang dikehendaki. Seorang dari pegawai Jabatan Agama itu lalu mengambil butiran peribadi Jefri. Dia kemudiannya menghulurkan sekeping nota yang mengandungi tarikh perbicaraan kes ponteng puasa di bawah seksyen 137 undang-undang syariah kepada Jefri. Dalam pada itu, Riswan asyik merakam detik ‘bersejarah’ yang terungkai di hadapannya.

Usai urusan pegawai Jabatan Agama, Riswan pula bersyarah, “Kau ni Jefri, bukan budak-budak lagi. Macam-macam nikmat Tuhan berikan kepada kau, tapi tak pernah kau bersyukur! Sekarang, Tuhan tunjuk. Tengoklah apa yang terjadi pada hidup kau. Semua ini salah kau! Kau berdosa! Bertaubatlah!”

Kata-kata itu langsung tidak menginsafkan Jefri. Ingin dia pelangkung muka Riswan yang tersenyum sarkastik. Namun, niat itu serta segala maki hamun dipendamnya. Dia hanya mengganguk tanda faham. Dia mahu mereka berambus secepat mungkin. Hatinya, koyak-rabak!

Sebenarnya, Riswan sudah merancang serbuan itu. ‘Hajat’ menolong Hayati hanyalah umpan untuk menangkap Jefri. Janjinya untuk berkunjung selepas Asar, sekadar helah. Dia dan pegawai-pegawai Jabatan Agama tiba awal. Malah, mereka nampak Jefri memasuki bangunan pejabatnya dengan sebungkus air tembikai.

 

V – PENAMAT

Sambil merebus racun tikus untuk dijadikan pati, Hayati terkenangkan peristiwa yang berlaku pada dirinya. Semasa berbuka di surau tadi, dia ditempelak pengerusi surau. Masih tengiang-ngiang cemuhan pengerusi itu.

“Kau ni sampah! Waktu lain tak nampak muka, bila berbuka ada sahaja – dengan anak-anak pulak tu. Iftar ni bukan untuk orang yang malas bekerja seperti kau. Makanan ni untuk jemaah yang datang solat maghrib dan terawih. Ini bukan tempat kau makan free. Pergi kau, sampah!”

Cemuhan itu di khalayak ramai. Hayati malu dan rasa terhina. Bersepai sisa maruahnya. Tangisan anak-anak ketika dia mengheret mereka pergi, amat memilukan hatinya.

Peristiwa di siang hari turut menusuk hiba yang tak mampu dibendungnya. Pulang dari sekolah, anak-anak gadisnya yang kegirangan menunjukkan plastik lutsinar yang mengandungi getah-getah rambut yang melekat padanya hati-hati kecil pelbagai warna. Bila ditanya, ‘dari mana datangnya getah-getah itu?’ – jawab mereka, ‘penjaja di pagar sekolah beri hutang. Dua ringgit harganya’. Mereka merayu-rayu kepada Hayati. Dengan hati yang berat, Hayati menyuruh anak-anaknya memulangkan getah-getah rambut itu, waktu itu juga. Dia bingkas ke biliknya, lalu menangis dan menangis. Dia – ibu yang tak berguna! Kala anak-anak orang lain meminta baju dan kasut Raya yang mahal-mahal, keinginan anak-anaknya menggayakan getah rambut yang berharga dua ringgit pun tak mampu dikotakannya!

Setelah racun itu melikat, Hayati memasak dua bungkus meggi. Itulah bekalan sahur terakhir buat mereka sekeluarga. Wang yang diberikan Jefri dua minggu lepas sudah habis. Seperti biasa, meggi dimasak sehingga kembang. Hayati memasukkan separuh dari pati racun tikus itu ke dalam periuk dan mengacaunya hingga sebati. Sesudah masak, dia bahagikan meggi itu kepada tiga mangkuk.

Hayati mengejutkan anak-anak gadisnya yang tidur bergelimpangan di ruang tamu rumah murah yang disewanya. Di situlah tempat anak-anaknya tidur, di situlah tempat anak-anaknya bermain, di situ jugalah tempat anak-anaknya belajar.

Dengan malas, mereka bangkit dan berjalan ke dapur. Setelah semuanya bersila, Hayati menghulurkan mangkuk-mangkuk meggi kepada mereka. Anak-anaknya makan dengan penuh selera. Selesai sahaja, mereka mengadu sakit perut yang teramat. Serentak, mereka menggelupur seperti terkena sawan. Buih-buih merah mula keluar dari mulut mereka. Mereka meronta-ronta. Setelah beberapa minit, tubuh mereka mengejang, kemudiannya longlai, lalu rebah ke lantai.

Hayati yang tercegat di penjuru dapur menjerit sepenuh kudrat. Hanya suara serak yang keluar dari kerongkongnya.

Anak-anaknya yang terkulai di lantai dapur diangkat satu-per-satu ke biliknya. Disusun mereka baik-baik di atas katil. Dia memeluk erat dan mencium anak-anaknya buat kali terakhir.

Hayati menggenggam kole yang mengandungi pati racun tikus. Terketar-ketar, dia berdoa, ‘Ya Allah, ampunilah aku.. Ya Allah!’ Racun itu diteguknya.

Perutnya pedih seperti terbakar. Tercungap-cungap, dia menahan perit yang dahsyat. Dia tersedak-sedak, lalu bermuntahan darah. Badannya terasa seperti disiat-siat. Terguling-guling dia menggelupur. Dari saat itu, segala derianya hilang. Tiada lagi bunyi, tiada lagi rasa sakit. Yang tinggal hanyalah bayangan ibu, bapa dan suami yang bersilih ganti. Kemudian, bayangan ketiga-tiga anaknya. Bayangan mereka semakin lama semakin samar, semakin jauh. HAYATI pun melonjak meninggalkan tubuhnya lalu mendakap anak-anaknya. Tiba-tiba, gelap!

 

EPILOG

Jefri memakir keretanya di bahu jalan. Sedari pagi, tiada notifikasi dari telefon bimbitnya. Dia membuka aplikasi Uber. Memang benar, tiada penumpang yang dambakan khidmatnya. Dia pun mencapai Hairan Metro di tempat duduk sebelah. Dia membaca muka hadapan. Bosan! Diselaknya ke muka dua.

Kah-kah-kah! Jefri ketawa besar apabila terlihat foto dia dicekup ponteng puasa! Dia sekadar tersenyum bila membaca keseluruhan artikel bergambar yang memenuhi separuh muka surat. Hakikatnya, Jefri tidak kisah. Dia sudah kebas!

Perhatiannya tertarik kepada artikel tiga perenggan di penjuru bawah muka surat. Ia mengenai seorang ibu tunggal yang membunuh diri dengan meminum racun tikus. Anak-anaknya juga keracunan, tetapi selamat. Mereka kini dirawat di Hospital Besar. Alangkah terkejutnya Jefri apabila membaca nama ibu tunggal itu – Hayati!

‘Allah…tidakkk!’, JEFRI menjerit sekuat hati.

Riswan bergegas ke bilik pejabatnya. Dia terus menyelak Hairan Metro yang tersedia di atas mejanya.

Kah-kah-kah! Dia ketawa berdekah-dekah apabila terlihat foto Jefri dicekup ponteng puasa. Riswan-lah yang menghantar gambar dan butiran berita itu kepada wartawan Hairan Metro.

Terpandang kolum kecil di penjuru bawah muka surat. Setelah membaca artikel pendek itu, dia mendengus, ‘Hah! Melayu! Sudahlah malas, lemah Iman!’

Kelihatan pekerja-pekerjanya mula memenuhi pejabat. Aha!, baik aku bertadarus. RISWAN mendapatkan Al-Quran lalu bertadarus kuat-kuat!

 

~ Selesai ~

Nota Penulis: Bukan sekadar berpuasa dan bertadarus, bulan Ramadan adalah masa untuk kita menyantuni saudara seagama yang kesusahan. Wallahu a’lam.

4 comments

  1. […] Terukan membaca … […]

  2. Astaghfirullahal’adhiim, miris sekali cerpennya mas Deli, Cinta sedih bacanya 😭😢😢
    Menohok sekali…menohok ke dasar hati terdalam, smga smua yg bca cerpen mas Deli jadi lebih baik dalam iman dan Islam, aamiin aamiin.

    Ada daftar pertanyaan kosakata untuk mas Deli yang Cinta nggak ngerti :
    Saki-baki, teruk, bankrap ( tebakan Cinta, ini falam bahasa Indonesia artinya bangkrut? ), insignia, siling, iftar, getah-getah rambut.

    1. Wslm Cinta. Tkasih kerana sudi baca cerpen saya. Ya, ia sebuah kisah yang sedih. Sekadar pantulan realiti kehidupan masyarakat kita. Moga dapat berkongsi pengajaran.

      Berikut pertanyaan tentang kosakata yg Cinta ingin pengertian:
      1. Saki-baki – sisa/ left-over
      2. Teruk – buruk/ tidak baik
      3. Bankrap – muflis/ bankrupt (saya rasa bangkrut juga sama)
      4. Insignia – lencana/ tanda nama yg boleh berbentuk tulisan, logo dan sebagainya
      5. Siling – langit-langit rumah/ dinding atas
      6. Iftar – berbuka puasa
      7. Getah-getah rambut – tali-tali elastik yang berbentuk bulat (rubberband) yang digunakan untuk mengikat rambut.

      Moga Cinta boleh mengerti maksud kosakata2 di atas. Tkasih sekali lagi kerana sudi membaca cerpen sya! 🙂

      1. Iya mas Deli sama-sama. Cinta udah ngerti artinya. Smoga urusan mas Deli di Singapura lancar, aamiin aamiin 😊

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: