Partisan

I – PROLOG

Malam itu tidak berbintang mahupun tenteram. Hujan ribut sejak siang. Petir dan guruh berselisih bersama angin yang bertiup kencang. Juntaian pohon-pohon pesisir jalan bergoyang-goyang seperti kain di sidaian. Sesekali, siulan bayu mengalunkan irama menyeramkan.

Lopak air terkocak-kocak dek hentakan sepasang kaki yang berlari deras. Seorang anak muda memecut sepenuh kudrat menyelamatkan diri dari marabahaya. Melarikan diri dari ajal!

Cuaknya bukan kepalang. Jantung berdegup kencang. Matanya membeliak. Fikirannya kabut. Basah kuyup dari hujung rambut hingga hujung kasut, tidak diendahkan. Ketrampilan bukan kepentingan bila tujuan kehidupan semata-mata untuk hidup!

Anak muda itu memperlahankan pecutan sambil menoleh ke belakang. Matanya terkebil-kebil dimasuki air hujan. Tidak terlihat pembunuh kebinatangan yang mengejarnya. Dia menoleh lagi. Kali ini, dari bahu sebelah kiri. Setelah pasti pemburunya tiada di belakang, dia berhenti berlari. Namun, langkahnya tetap bergegas. Dia tercungap-cungap.

Jalan yang dipagari rimbunan pohon itu, melengkok tumpul dan menurun perlahan. Terlihat sederet bengkel kereta membarisi jalan hadapan, selang empat tiang lampu. Hemat anak muda, elok bersembunyi di situ dari berada di tempat terbuka. Moga-moga ketemu manusia. Setidak-tidaknya, boleh berlindung dari hujan ribut.

Tiba-tiba terdengar satu dentuman kuat di hadapan. Anak muda itu memicing mata untuk fokus. Penglihatannya samar-samar dek kelikatan malam dan hujan. Rupa-rupanya, sebatang pokok tumbang. Mujurlah dia berhenti berlari sebentar tadi. Jika tidak, mungkin dia dihempap pokok!

Sedang dia memanjat batang tumbang yang berlilitan seperti pokok balak, dia ternampak headlight kereta yang sedang memecut di lereng bukit landai, turun dari arah kondominium. Hatinya kembali gelabah. Pembunuh kebinatangan itu sudah sedar yang dia lari ke arah sini! Dia terburu-buru merintasi pokok tumbang, hampir-hampir tergelincir dari batangnya yang licin. Lalu, dia berlari sepantas mungkin ke arah deretan bengkel di hadapan!

 

II – YAHANANA!

FAKRUL menikmati pemandangan senja sambil duduk melunjur. Langit kala itu cerah berwarna ungu. Dari tempat duduknya, di puncak menara tangki air, kelihatan seluruh kawasan RRM Cendana. Struktur paling hampir ialah Masjid Cendana yang terletak bersebelahan dengan menara tangki air itu. Di hadapan masjid, terdapat sebuah padang segi empat memanjang, tempat pemuda Cendana bermain bola. Di sebelah kanan padang, dua baris rumah kedai. Kira-kira 800 meter ke kiri, Sekolah Kebangsaan Cendana. Selebihnya, ratusan baris rumah murah setingkat dan dua tingkat, berpintu satu.

Rancangan Rumah Murah (RRM) Cendana dibuka sekitar tahun 70an. Tapak RRM Cendana, asalnya kawasan setinggan. Pemerintah ketika itu membina RRM di Cendana dan serata negara bagi menyediakan tempat tinggal yang lebih sempurna buat golongan miskin. Seperti RRM lain, penduduk asal RRM Cendana adalah setinggan berbangsa Melayu. Punca rezeki mereka mengkuli dan memburuh. Tukang sapu, tukang angkat sampah, orang gaji, drebar dan sebagainya. Pendek kata, mereka ini golongan miskin, kasta paling bawah strata sosial dan ekonomi masyarakat. Sejak penubuhannya, hingga kini, keadaan hidup penduduk Cendana tidak banyak berubah.

Fakrul menghela nafas panjang. Dia terus memandang ke arah kilauan lampu neon dari pusat bandar yang jaraknya 10 kilometer dari Cendana. Bandar ibu negeri itu tidaklah besar sangat. Bangunan pencakar langit pun kurang dari sepuluh. Hospital Besar, Bangunan TM, Bangunan Wilayah, dan beberapa hotel. Itu sahaja. Biarpun tidak sekosmopolitan ibu negara, bandar itu cantik kerana ia mempunyai waterfront. Sebatang sungai yang jernih menyusurinya. Tepian sungai itu dihiasi lampu kelip-kelip pelbagai warna. Dibina kawasan makan di batas sedikit tinggi ke arah daratan, manakala esplanade, tempat muda mudi bersantai, di batas yang lebih rendah ke arah sungai.

Sungai itu terus melingkar meninggalkan pusat bandar dan membuka ke sebuah teluk yang kini dipenuhi cahaya kapal-kapal dagang. Tidak jauh dari muara, ke arah tenggara, terdapat setompok kawasan gelap. Hutan simpan barangkali. Pada kawasan gelap itu, di puncak sebuah bukit landai, tertonggok setongkol kondominum mewah.

Fakrul memicing telinga dari menara tangki air, tempat dia duduk. Terdengar tazkirah seorang imam dari Yaman. Seorang warga tempatan sedang bersusah payah mengalih bahasa. Ahh, belum bermula qasidah!, kata hatinya.

Sebenarnya, Fakrul melarikan diri dari acara tersebut. Nalurinya tidak selari dengan qasidah. Bukan kerana perbezaan fahaman. Dia bukan dari golongan yang membidaahkan qasidah. Cuma, dirasakan yang upacara itu tidak berfaedah. Baginya, jika hendak menyanyi ramai-ramai, baik wujudkan kumpulan nasyid ataupun koir. Jika mahu berhibur, baik pergi ke karnival Jom Heboh. Masjid baginya, bukan tempat bersuka-ria!

Akan tetapi, selaku pelatih politik, Fakrul diminta SU Politik Dato Ramlee untuk bersama mewakili wakil rakyat Cendana yang tidak dapat hadir.

Fakrul adalah graduan kejuruteraan yang baru tamat pengajian. Semasa di universiti, Fakrul banyak melibatkan diri dalam aktiviti berpesatuan. Malah, dia dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa buat dua tahun berturut-turut. Anak-anak muda lain barangkali seronok bersosial, merempit dan bermain muzik. Fakrul meraih kepuasan dari berpesatuan!

Aktiviti berpesatuannya menular ke luar kampus. Semasa cuti semester tahun lalu, dia menjadi sukarelawan kempen Pilihan Raya Umum untuk Parti Nasional. Kebolehan berorganisasi dan sifat kepimpinannya menyerlah, hingga dilantik untuk mengetuai pasukan strategi Pilihan Raya. Secara langsung, dia antara individu penting yang memenangkan calon Parti Nasional, Dato Ramlee, di kawasan Parlimen Cendana.

Setelah tamat pengajian, SU Politik Dato Ramlee menawarkan posisi pelatih politik kepada Fakrul, untuk tempoh 3 bulan. Skop tugasannya adalah membantu kerja SU Politik, sambil belajar. Bagi Fakrul, ini adalah tawaran yang sangat baik kerana dia boleh mempelajari selok-belok politik sementara menunggu tawaran dari firma-firma kejuruteraan. Walaupun elaun yang ditawarkan kurang dari gaji minima, sekurang-kurangnya, dapatlah dia sedikit wang dari tiada apa-apa. Masanya pula akan terisi dengan aktiviti yang bermanafaat.

Minggu ini adalah minggu pertama dia menjadi pelatih politik. Menghadiri majlis qasidah adalah antara ilmu-ilmu politik yang perlu dipelajarinya!

‘Ya hanana, ya hanana, ya hanana, ya hananaaaaa…!’, terdengar nasyid berjemaah dari masjid. Ahhh, mula dah!, kata hati Fakrul

.…

Ya hanana, ya hanana, ya hanana, ya hananaaaaa…!’, sambut keseluruhan jemaah yang berdiri memenuhi ruang solat Masjid Cendana. Tekong qasidah adalah imam dari Yaman yang memberi tazkirah sebentar tadi.

Seorang pemuda gempal hujung 30an di saf paling hadapan, lengkap berjubah putih, bersongkok tinggi, kelihatan sungguh teruja. Dia bukan sahaja menyanyi dengan semangat, malah menggoyangkan badan dan pinggul mengikut rentak qasidah. Orang ramai tertarik dengan telatah pemuda ini. Ramai yang berkumpul di sekelilingnya. Ramai juga yang mengikut dia bergoyang!

Ternyata pemuda itu sangat popular. Mukanya yang tembam, berkumis nipis, iras Sam dalam Game of Thrones, menyejukkan mata-mata yang memandang. Sikapnya yang ramah dan tidak sombong disenangi seluruh jemaah. Personalitinya yang girang, menceriakan!

Dialah JOHARI, SU Politik Dato Ramlee.

 

III – 3 CAMPUR 1 M

Seperti yang dikehendaki, Fakrul menunggu di restoran Al-Zamree Maju yang terletak berhadapan padang Cendana, pagi itu. Dia tiba tepat pada waktu tetapi Johari masih belum sampai. Maka, dia memesan dahulu roti canai dan teh tarik. Hanya setelah separuh roti canai dibahamnya, kelibat Johari muncul. Johari tidak terus kepadanya, tetapi menyapa dan bersalaman dengan pelangan lain yang sedang bersarapan. ‘Selamat pagi’, ‘apa khabar’, ‘lama tak nampak’, ‘isteri pakcik, sihat?’ dan sebagainya. Hampir 15 minit juga. Setelah habis roti canainya, barulah Johari duduk. Seperti biasa, Johari pesan nasi lemak dan dua roti canai serta kopi-o.

Keluarga ketiga dan terakhir yang dilawat mereka adalah keluarga Encik Roslan. Encik Roslan adalah seorang pesara tentera yang menghidapi pelbagai penyakit kronik. Dia berhenti dari tentera, tiga tahun lalu, pun kerana faktor kesihatan. Kedua-dua kakinya telah dipotong akibat komplikasi kencing manis. Buah pinggangnya turut rosak. Tiga kali seminggu dia terpaksa menjalani rawatan hemodialisis di bandar. Isterinya tidak bekerja. Maka, punca pendapatan mereka hanya bergantung kepada sumbangan Jabatan Kebajikan, Pusat Zakat dan Persatuan Buddist. Jumlah pendapatan keseluruhan bersamaan RM 750. Sememangnya ia tidak mencukupi untuk menanggung kos rawatan Encik Roslan, kos sara hidup keluarga dan perbelanjaan persekolahan tiga orang anak.

Rumah mereka tipikal rumah di Cendana – setingkat, bercantum di kedua sisi dan belakang, dan dinding berkulat-kulat. Keadaan dalaman sangat daif. Ruang tamunya suram, terisi satu katil bujang tempat Encik Roslan berbaring, almari plastik berzip dan sebuah TV usang. Itu sahaja. Pakaian isteri dan anak-anaknya, compang-camping. Rambut mereka, kusut-masai. Melihat penampilan keluarga ini, Fakrul rasa kasihan. Keterampilan bukan kepentingan bila tujuan kehidupan semata-mata untuk hidup!, kata hati Fakrul.

Fakrul tidak bersuara. Dia hanya perhatikan cara Johari mengendali keluarga Encik Roslan. Johari tidak banyak bercakap, sekadar bertanya kabar. Selebihnya, dia mendengar dengan penuh empati kepada setiap keluhan mereka. Isteri Encik Roslan menangis terisak-isak menceritakan kepayahan hidup mereka. Sudah berbulan-bulan, mereka menjamah nasi berkuahkan kicap, berlaukkan timun! Sebelum meninggalkan mereka, Johari menghulurkan bantuan berupa beras, kicap dan minyak masak, ehsan daripada Dato Ramlee. Ketika itulah, Fakrul beraksi tak tumpah seperti wartawan mengambil foto!

Apalah nasib keluarga-keluarga ini, seperti jatuh di timpa tangga. Sudahlah miskin, berpenyakit. Bukan sebarang penyakit, kronik-kronik belaka! Tak cukup dengan itu, anak pula berderet-deret. Agaknya, Tuhan menduga mereka. Moga kesabaran mereka dibalas syurga! Itulah yang membenak hati Fakrul bila mengenangkan keluarga-keluarga yang baru dikunjunginya.

Bro, apa yang kau melamun tu?’, sergah Johari yang sedang memandu.

‘Takda apa-apa. Kesian tengok keluarga Encik Roslan tadi’, jawab Fakrul sambil merenung ke luar kereta.

‘Dalam politik ni, kita kena hati kering!,’ jelas Johari.

Hurrrmmm‘, itu sahaja yang mampu di balas Fakrul.

‘Kau ingat tak pesan Dato Ramlee masa Perhimpunan Agung Bahagian dulu?’, soal Johari.

‘Tak. Masa tu saya sibuk di kaunter pendaftaran’, jawab Fakrul.

‘Dato Ramlee pesan pasal 3-M – Money, Machinary dan Media! Itu rahsia parti kita kekal berkuasa!’.

‘Pertama, Money. Duit! Kita ni parti pemerintah, kita yang kawal hasil dan perbelanjaan negara. Apa kita buat? Kita mark-up kontrak-kontrak kerajaan dan bahagi kepada orang-orang kita. Itu cara kita salurkan wang kerajaan kepada parti dan beri ganjaran kepada mereka yang setia!’

‘Kedua, Machinary, Jentera! Kita ni parti pemerintah. Kita kenalah pandai memperalatkan agensi-agensi kerajaan untuk kepentingan politik!’

‘Ketiga, Media – TV, radio dan surat kabar. Semua saluran media kita kawal dan olah bagi memanipulasi persepsi rakyat!’

‘Ingat! 3-M – Money, Machinary, Media. Duit, Jentera, Media!’, Johari mengajar pelatihnya.

Hurrrmmm‘, Fakrul teranguk-anguk.

‘Tapi kau tahu, Dato Ramlee rahsiakan satu lagi M!, pancing Johari sambil tersenyum.

‘Apa dia?, soal Fakrul.

Satu lagi M adalah Miskin! Kita mesti ada ramai orang miskin yang bergantung kepada kita! Mereka inilah yang akan undi kita nanti! Macam orang-orang Cendana lah! Tak payah bagi banyak-banyak. Jumpa sekali-sekala dan kasik sikit-sikit jer. Nanti mereka sokonglah kita! Undi merekalah yang pastikan kita kekal berkuasa!’, jelas Johari.

Hurrrmmm‘, Fakrul teranguk-anguk.

So ingat tu! 3 campur 1 M. Ingat sampai bila-bila!’ ajar Johari

‘Dan, jangan lupa masukkan gambar-gambar tadi ke facebook!’, Johari menutup ceramahnya.

Pada tengah hari yang sama, Johari bawa Fakrul merarau di sebuah hotel mewah yang menghadap sungai, di bandar. Mereka disertai beberapa orang lain. Imam dua dan pengerusi masjid Cendana, Ayahanda dan Abang Long pertubuhan Melayu yang kononnya sulit, beberapa hero kampung dan JKKK RRM Cendana. Makanan tengah hari yang disediakan hotel sungguh mewah. Lauk-pauk pelbagai jenis dihidang secara buffet, sedap-sedap belaka. Tak cukup dengan itu, kuih-muih, agar-agar, kek, buah-buahan serta aiskrim dan ais kacang terhidang sebagai pencuci mulut. Minuman sejuk terdiri dari pelbagai jenis jus buah-buahan. Kopi dan teh tarik, tidak ketinggalan. Ruang makannya pula dihias indah, luas dan selesa. Muzik instrumental berkumandang perlahan memberikan ambiance yang sangat mendamaikan. Pemandangan sungai serta pantai di hujung horizon, tidak terbanding epiknya!

Mereka berbual kosong sepanjang makan tengah hari. Tentang cuaca, bola, gossip politik dan sebagainya – terselit juga jenaka-jenaka Johari. Abang Long pertubuhan Melayu yang kononnya sulit itu tidak kurang kelakarnya. Imam dua dan pengerusi masjid Cendana terpaksa pulang awal. Ada kuliah kata mereka. Johari pun mengiringi mereka keluar hingga ke pintu restoran. Sekembalinya dia ke meja makan, suasana semakin meriah. Permergian imam dua dan pengerusi masjid Cendana membolehkan mereka yang tingal berseloroh nakal. Curut dan rokok mula berasap! Mereka bersantai di situ hingga pukul 5 petang!

‘Fakrul, kau tau gembala tak?’, pancing Johari yang memandu kereta, menghantar Fakrul pulang.

‘Gembala? Macam gembala kambing?’, soal Fakrul kembali.

‘Ya lah!’, jawab Johari.

‘Kenapa dengan gembala?’, Fakrul kebingungan.

‘Orang-orang yang kita makan sekali tadi tu, semuanya gembala. Tapi, gembala manusia! Kambing-kambing mereka adalah pengikut-pengikut mereka. Kalau kita pegang mereka, kita pegang sekali pengikut-pengikut mereka’, jelas Fakrul sambil tersenyum.

Hurrrmmm‘, Fakrul teranguk-anguk.

‘Sebab tulah kita kena baik dengan mereka ni. Alah, setakat belanja makan hotel untuk pengaruh mereka, murah sebenarnya. Ingat tu Fakrul!’, jelas Johari kepada internnya.

Hurrrmmm‘, Fakrul teranguk-anguk.

‘Malam ni pukul 9.30 aku datang ambil kau. Aku nak kau jumpa dengan seorang ni. Okay?, soal Johari, setibanya mereka di hadapan rumah Fakrul.

Okay!‘, jawab Fakrul yang sedang keluar dari kereta.

‘Pakai smart sikit tau!’, jerit Johari dari dalam kereta yang mula bergerak.

 

IV – KATANA

Johari tiba 20 minit lewat. 9.50 malam. Fakrul tidak merungut, tetapi Johari keluhkan macam-macam alasan. Rungutnya, jalan ke rumah Fakrul sesak disebabkan kemalangan. Dia terpaksa berhenti untuk memberi pertolongan. Fakrul hanya menganguk-anguk kepada cerita bosnya itu.

Malam itu Johari bawa Fakrul berjumpa Steven. Menurut Johari, Steven adalah orang kuat Mr. Liow, kontraktor tersohor di bandar itu. Mr. Liow mempunyai syarikat pembinaan yang membangunkan taman-taman perumahan. Mr. Liow juga kawan baik Dato Ramlee. Melalui persahabatan mereka, Mr. Liow terima banyak kontrak kerajaan, seperti projek membina sekolah, kampus UiTM, balai polis dan klinik kerajaan. Malah, RRM Cendana merupakan projeknya dahulu ketika muda. Itu pun hasil perhubungannya dengan Dato Ramlee. Sebagai membalas jasa Dato Ramlee, Mr. Liow membiayai aktiviti-aktiviti politik Dato Ramlee. Kata lain, dialah funder utama Dato Ramlee. Oleh itu, sebagai staf politik Dato Ramlee, Johari dan Fakrul mesti meneruskan hubungan baik mereka. Itulah agenda pertemuan mereka dengan Steven malam itu.

Perjalanan ke kondominium Steven agak jauh kerana ia terletak berdekatan pantai. Mereka harus melintasi bandar sebelum menuju ke kondominum Steven yang berjarak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar.

Perjalanan dari Cendana ke pusat bandar lancar. Tiada pula tanda-tanda kemalangan! Di persimpangan utama bandar, Johari belok ke tenggara, tetapi bukan ke jalan yang menuju pelabuhan. Mereka melalui 2 kampung nelayan sebelum memasuki kawasan yang dipenuhi rimbunan pohon. Hutan simpan barangkali. Peliknya, ada sebaris bengkel kereta pada pangkal jalan sahala tersebut. Jalan itu dibarisi pohon-pohon merendang. Ia melengkok tumpul dan mendaki perlahan hingga bertemu kaki bukit yang landai. Di puncak bukit landai itulah tertonggoknya kondominum Steven.

Setelah mendaki selekoh yang agak curam di lereng bukit landai, mereka bertemu dengan pengawal keselamatan. Terlihat sahaja muka Johari, pengawal Nepal yang bertugas membenarkan kereta mereka memasuki kawasan kondominium, tanpa soal. Mereka kemudiannya menaiki lif ke tingkat sembilan. Dalam lif, Johari sempat memberitahu Fakrul nama-nama VIP yang menyimpan perempuan simpanan di kondominium itu. Setibanya di tingkat sembilan, Fakrul mengekori Johari ke pintu unit bernombor 921. Johari lalu menekan locengnya. Ding-Dong!

‘Kejap!’, terdengar suara manusia yang amat halus dari dalam kondominum. Tiba-tiba, pintu terbuka. Seorang pemuda cina berbadan tegap berlenggeng, berdiri di muka pintu. Rambutnya blond paras telinga. Mukanya berbentuk tirus. Dadanya dan kedua lengannya penuh dengan tattoo. Penampilannya serupa gengster dalam filem KL Gengster 2!

Dialah STEVEN, orang kuat Mr. Liow!

Biarpun rupanya serupa gengster dalam filem KL Gengster 2, Steven ramah dan tak lekang senyuman. Inilah yang membuatkan Fakrul selesa meskipun baru mengenalinya. Steven mengenakan kemeja biru tua yang mengikut bentuk badan. Lalu, dia mempersilakan Fakrul ke ruang tamunya yang berhawa dingin dan serba mewah. Terlihat TV widescreen melekat pada dinding bertentangan sofa kelabu gelap yang dipisahkan oleh karpet biru buatan Parsi. Di bawah TV widescreen tersebut, tertampak sebilah pedang serba hitam yang melengkong sedikit. Pedang yang berasal dari negara matahari terbit itu, namanya Katana. Ia merupakan simbol kepahlawanan Samurai Jepun zaman silam. Nama pasarnya, pedang Samurai! Fakrul amat tertarik dengan pedang Samurai itu!

‘Angkatlah pedang tu!’, pelawa Steven. Hati Fakrul membesar apabila dipelawa Steven. Dia pun perlahan-lahan mengangkat pedang Samurai dari dua pengampu yang berbentuk Y. ‘Buka-lah’, pelawa Steven lagi. Dengan berhati-hati, Fakrul pun mengeluarkan pedang Samurai dari sarungnya. Terserlahlah sebilah logam berwarna perak berkilau-kilauan. Fakrul terpegun dengan keanggunan pedang tersebut! Diteleknya pedang itu puas-puas. Selepas puas, Fakrul memasukkan kembali pedang itu ke dalam sarungnya. Sebelum terkatup rapat, telihat dua perkataan Jepun di pangkal pedang. Pedang itu kemudiannya diserahkan kepada Steven menggunakan kedua belah tangan sambil membongkok ala Samurai. Steven menerimanya dengan gaya yang sama! Diletakkan semula pedang itu ke ampuannya. Steven berpusing kembali menghadap Fakrul. Lalu, tersenyum bangga! Ternyata pedang Samurai memberikan aura kepada pemiliknya sebagai mana Keris memberikan semangat kepada tuannya!

‘Ada satu benda aku nak tunjuk’, pelawa Steven sambil menarik langsir. Kemudian, ditarik sliding door yang membuka ke beranda. ‘Mari-lah’, Steven mengajak Fakrul berdiri di beranda. Johari pun turut serta. Dari beranda tersebut, terlihat teluk yang dipenuhi cahaya kapal-kapal dagang. Setentang dengan serambi itu, di sisi teluk satu lagi, terlihat pelabuhan yang terang benderang. Fakrul terpesona dengan pemandangan di hadapannya. Pemandangan dari beranda Steven jauh lebih indah dari pemandangan dari puncak tangki air RRM Cendana!

Setibanya mereka di lobi kondominium, Bobby, kawan Steven yang tinggal di kondominium sama sudah menunggu. Dia gempal seperti Johari. Sekilas pandang, Bobby dan Johari seperti kembar berlainan bangsa. Bobby ibarat Johari versi cina!

Mereka pun menaiki kereta Mercedes Steven. Secara berseloroh, Steven meminta Fakrul duduk di hadapan manakala Johari dan Bobby duduk sepasang di belakang supaya kereta seimbang dan tidak merosakkan alignment-nya. Walaupun ianya satu usikan, mereka menuruti pintaan Steven kerana ada kebenaran di sebalik usikannya itu.

Kereta itu pun menyusur keluar dari perkarangan kondominium. Jalan keluar kondominum, lain dari jalan masuk. Jalan keluar menuruni bukit ke arah laut. Laluannya lebih curam. Sebaik melewati lerengan bukit, ia bertemu perkampungan nelayan. Tiada kawasan hutan berpohon rendang seperti jalan masuk. Kemudian, kereta Steven menyusuri jalan pesisir pantai hingga bertemu persimpangan yang membawa mereka ke pusat bandar. Sesampainya di Bandar, mereka terus menuju ke kelab malam bernama Amy.

Sofa separa bulat di penjuru belakang kelab sudah di tempah Johari. Sebaik sahaja memasuki kelab malam, Steven menuju ke bar dan memesan minuman, manakala yang tiga lagi terus ke sofa. Cahaya di kelab malam malap diselangi pancaran wana-warni lampu disko. Muziknya kuat hingga mendegar jantung! Setibanya minuman, dengan tidak semena-mena sekumpulan gadis seksi menyertai mereka. Mereka berbual, sambil minum dan menari!

Fakrul rasa kurang selesa. Nalurinya tidak serasi dengan disko. Bukan kerana fahaman. Cuma, dia merasakan yang aktiviti ini tidak berfaedah, lebih teruk dari qasidah. Qasidah sekurang-kurangnya dapat merapatkan masyarakat. Disko, bersuka-ria semata-mata!

Maka, Fakrul pun mengatur muslihat untuk melarikan diri. Dia mengatakan yang dia perlu pulang kerana ibunya melarang balik lewat! Rakan-rakan dan gadis-gadis seksi itu lalu memujuk rayu. Fakrul bertegas dan mula beredar. Terdengar gerombolan itu meng-‘boo’-nya. Fakrul tidak ambil peduli kerana tahu fikiran mereka sudah tidak waras kerana dipengaruhi alkohol.

Di pintu keluar kelab malam, terhoyong-hayang Johari menerpa Fakrul. Dia berpesan, ‘esok pagi, kita jumpa di tempat sama!’, lalu memberikan sejumlah wang kepada Fakrul buat tambang teksi.

 

V – CALON YANG TEWAS

Seperti yang dikehendaki, Fakrul menunggu di restoran Al-Zamree Maju yang terletak berhadapan padang Cendana, pagi itu. Dia tiba tepat pada waktu tetapi Johari masih belum sampai. Maka, dia memesan dahulu roti canai dan teh tarik. Sejam berlalu, Johari masih belum muncul. Fakrul sudah mangli dengan kelewatan Johari, tetapi biasanya Johari lewat dalam 15 ke 20 minit sahaja. Tidak pernah selewat ini. Mungkin Johari tersasar tidur kerana berpesta semalam. Barangkali sesuatu yang tidak baik berlaku kepada Johari, dia mula berfikir yang bukan-bukan. Fakrul pun memesan teh tarik kedua dan memutuskan untuk terus menunggu Johari.

Sambil menghirup teh tarik keduanya, terlihat seorang pemuda hujung 30an yang diekori dua anak muda – sedang bersapaan dan bersalaman dengan pengunjung restoran. ‘Selamat pagi’, ‘apa khabar’, ‘lama tak nampak’, ‘isteri pakcik, sihat?’ dan sebagainya. Perilakunya mesra dan penuh hormat. Tetapi, tidak seramah Johari. Pemuda hujung 30an itu segak dan tinggi lampai. Rambutnya pendek, disikat kemas. Matanya tajam dan wajahnya berwawasan. Pemakaiannya kasual, kemeja lengan pendek berseluar jeans gelap, tetapi kemas.

Dialah AZHAN, calon Parti Progresif yang tewas pada Pilihan Raya Umum lepas.

Fakrul mengenali Azhan, tetapi dia tidak pasti sama ada Azhan mengenalinya. Azhan terkenal dalam kancah politik nasional kerana lantang menjuarai isu-isu rakyat dan alam sekitar. Penulisannya di media sosial dan laman web mendapat ratusan ribu pembaca. Forum dan ceramahnya menarik perhatian masyarakat. Biarpun popular di peringkat nasional, dia kurang mendapat sokongan di RRM Cendana.

Fakrul juga mengenali dua anak muda yang mengekori Azhan. Mereka itulah yang mengarahkan konco-konco Parti Progresif untuk menangkap tiga orang kawannya yang membuat kacau semasa ceramah Parti Progresif pada kempen Pilihan Raya yang lepas. Bukan sekadar tangkap, mereka mengikat kawan-kawannya pada sebatang pokok! Fakrul juga hampir-hampir ditangkap ketika mahu menyelamatkan kawan-kawannya. Dia terpaksa menunggu hingga awal pagi selepas kesemua hadirin ceramah pulang. Bukan itu sahaja, Fakrul disiasat polis kerana insiden tersebut. Jika tidak kerana kata sepakat Dato Ramlee dan Azhan, serta tolak ansur pihak polis, mungkin kes itu dibawa ke mahkamah!

Azhan dan dua orang anak muda itu tiba di meja Fakrul. Azhan tidak hanya bertanya kabar tetapi duduk di meja Fakrul, tanpa memesan apa-apa. Fakrul tidak menghiraukan dua anak muda itu. Namun, dia menyantuni Azhan kerana rasa hormat yang terpendam kepada seteru bosnya itu.

Assalamualaikum, Fakrul kan?’, sapa Azhan sambil mengusap belakang Fakrul lalu duduk di sebelahnya.

Walaikum salam warahmatullah, ya saya!’, tersenyum Fakrul kerana Azhan tahu namanya.

Eh awak dah habis belajar kan? Course apa ya? Saya terlupa. Dan, sekarang attach dengan Johari, bukan?’, soal Azhan.

‘Ya Encik Azhan! Course Electrical Engineering. Betullah, saya buat internship dengan Dato Ramlee untuk 3 bulan, sementara tunggu temuduga!’, jawab Fakrul. Dia menghirup teh tarik sambil menjeling tajam dari penjuru atas matanya ke arah dua anak muda yang mengekori Azhan.

Wahh hebat! Eh tak payah lah ber-encik-encik. Panggil Abang Han jer. Johari mana? Lama tak jumpa dia! ‘, soal Azhan lagi.

‘Dia ada urusan di bandar. Kenapa Abang Han nak jumpa dia?!’, soal Fakrul yang sedikit rimas dengan pertaluan soalan, terasa seperti disoal-disiasat polis!

‘Hari tu dia ada call, tapi saya di KL. Memang kami selalu makan dan berborak pun. Tapi, dah lama tak jumpa dia!’, jawab Azhan sambil merenung jauh.

Jawapan Azhan itu membuatkan Fakrul teringat kata-kata Johari tidak lama dahulu. Menurut bosnya, Azhan adalah kawan baiknya sejak dari kecil! Ketika itu Fakrul ingatkan Johari berjenaka. Boleh jadi bosnya itu bercakap benar.

‘Fakrul, kalau awak jumpa Johari, kirim salam pada dia. Kata pada dia yang saya ada cadangan untuk tingkatkan ekonomi penduduk Cendana ni!, pesan Azhan yang seperti hendak beransur.

‘Macam mana tu?’, Fakrul tampak berminat. Azhan pun kembali pada kedudukan asal, lalu bersandar di kerusi.

‘Sebenarnya macam-macam kita boleh buat di Cendana ni, Fakrul. Pertama sekali, kita kena jemput bank untuk buka cawangan di sini. Sebesar-besar Cendana ni, tak ada bank! Bagaimana perniagaan nak bergiat jika bank pun tiada? Lagi, kita boleh galakkan perniagaan kecil seperti anjurkan pasar tani, industri dari rumah, bina tempat berniaga makan dan lain-lain. Perniagaan kecil berasaskan komuniti! Macam-macam kita boleh buat, Fakrul!’ jelas Azhan bersungguh-sungguh.

Alah cakap mudah lah. Abang Han pembangkang, bukan boleh buat apa-apa pun!’, entah kenapa mulutnya cabul. Fakrul kesal teramat dengan ketelanjurannya itu.

Oh Fakrul…awak betul! Sebab itulah saya nak bincang dengan Johari. Kongsi idea dan pendapat. Kalau nak bekerjasama, lagi bagus!, senyum Azhan kepada pelatih Johari itu.

Hurrrmmm‘, Fakrul mengangguk bersetuju. Matangnya Abang Han ni!, kata hatinya.

‘Fakrul, boleh beri nombor telefon?’, soal Azhan.

Eh boleh. Tentu sekali!’, jawab Fakrul sambil menyeluk tangan ke dalam poket mendapatkan telefon bimbitnya. Dia masih kesal dengan ketelanjurannya sebentar tadi.

Selepas diberikan nombor talifon, Azhan membuat miscall untuk berkongsi nombornya dengan Fakrul. Lalu, dia meminta diri dan beredar bersama dua orang anak muda yang mengekorinya.

Setelah menyimpan nombor Azhan, Fakrul termenung mengenangkan pertemuannya dengan Azhan sebentar tadi. Memang benar kata-kata Azhan tentang kedudukan ekonomi penduduk Cendana. Kehidupan mereka susah dan mesti diperbaiki! Fakrul kagum dengan sikap Azhan yang bersungguh-sungguh hendak membantu penduduk Cendana. Kata-kata Azhan disokong kesungguhan dan perlakuan, bukan retorik mahupun sandiwara politik. Perwatakan Azhan yang tenang dan terbuka turut menarik hatinya. Selama dia bergiat dalam politik, tidak pernah Fakrul menemui manusia yang benar-benar berkongsi fikrahnya, kecuali Azhan! Dato Ramlee, tidak. Johari, jauh sekali!

Dalam diam Fakrul berharap Azhan menang pada Pilihan Raya akan datang. Azhan akan menjadi wakil rakyat yang lebih bertanggungjawab dan efektif. Namun, Fakrul tahu, selagi mana partinya mengawal 3 campur 1 M, peluang untuk Fakrul menang, sukar.

Fakrul membuat keputusan untuk pulang dan menunggu panggilan Johari dari rumah. Cuaca mendung dan berangin sepanjang perjalanan. Awan berkepul-kepul, gelap. Sayup-sayup terdengar dentuman guruh. Fakrul menyegerakan langkahnya, bimbangkan hujan. Dirinya tidak berpayung.

 

VI – SEKALI LIBAS!

Kring-kring! Fakrul dikejutkan oleh deringan telefon bimbit. Dia kebingungan seketika. Cahaya suram. Cuaca sejuk. Sudah pagi kah?, soal hatinya. Setelah diteliti waktu pada telefonnya, barulah dia sedar bahawa waktu itu bukan pagi tetapi petang hari. 5.30 petang. Dijengahnya ke luar jendela. Hujan lebat.

Johari tiba 30 minit kemudian tepat pada masanya. Fakrul berlari deras ke arah kereta Johari, mengelak hujan.

‘Kita pergi jumpa Steven malam ni, tapi kita ambil Abang Long dulu’, jelas Johari tanpa bertanya kabar. Wajahnya serius. Kereta mula bergerak

‘Untuk apa?’, soal Fakrul.

‘Ada problem sikit lah!’, pendek jawapannya.

Problem apa?’, Fakrul ingin tahu.

‘Dato Ramlee beritahu yang Mr. Liow tak puas hati sebab aku buka syarikat construction!’, jelas Johari tanpa memberi perincian.

‘Apa salahnya?’, Fakrul ingin perincian tentang masalah tersebut.

‘Mr. Liow risau nanti tender-tender dapat ke aku. Tapi, sebenarnya itulah pelannya. Selama ini kita beri tender pada dia, tetapi dedak jer yang dikembalikan kepada kita. Sampai bila kita nak bergantung kepada ehsan Mr. Liow? Walhal, kita boleh buat lagi banyak duit kalau ada syarikat sendiri!’, jelas Johari dengan lebih terperinci.

Hurrrmmm‘, Fakrul teranguk-anguk.

‘So, aku nak pergi jumpa Steven untuk beritahu – tiada apa yang perlu dirisaukan Mr. Liow. Business as usual!’ , Johari menyatakan niatnya untuk bertemu Steven Malam itu!

‘Masuk-masuk, pintu tak berkunci’, jawab suara halus dari dalam apabila loceng kondominium ditekan. Mereka pun memasuki kondominum. Terlihat Bobby sedang terperosok ke dalam sofa sambil makan burger. Steven yang tidak berbaju mendatangi dan mengalu-alukan kedatangan mereka. Steven dan Abang Long pertubuhan Melayu yang kononya sulit itu tampak intim. Barangkali, mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Steven menuding jarinya ke arah meja makan. Terdapat bungkusan burger McDonalds. ‘Makanlah’, jemputnya lalu kembali ke sofa. Tiada perbezaan sikap pada Steven. Sama seperti semalam – ramah.

Johari dan Abang Long pertubuhan Melayu masing-masing mengambil Big Mac dan menyertai Steven dan Bobby di sofa. Fakrul hanya duduk di meja makan, melihat kawan-kawannya bertelagah tentang filem apa yang hendak ditonton. TV widescreen dan sistem audio serba canggih membolehkan Fakrul menonton video yang bakal dipasangkan sambil menjamu McChiken-nya dengan selesa dari situ.

Akhirnya, mereka capai kata sepakat. Filem yang dipilih berjudul The Myth lakonan Jackie Chan. Tidak seperti kebanyakkan filem Jackie Chan yang berunsur komedi, filem The Myth ini epik. Kisah seorang hulubalang dinasti Ming yang membawa pulang puteri Korea untuk dikahwinkan dengan Maharaja Ming. Pelbagai rintangan dilalui hulubalang dan puteri Korea di sepanjang perjalanan. Akhirnya, puteri Korea itu jatuh cinta kepada hulubalang. Kisahnya ada mirip kisah Hang Tuah menculik puteri Mahajahit untuk dikahwinkan dengan Raja Malaka versi P. Ramlee, bukan versi M. Nasir. Lakonan Jackie Chan dan aktres yang memegang watak puteri Korea itu sangat baik. Ada chemistry! Kostum dan lokasi pengambaran seperti istana dan kawasan pendalaman mempamerkan keanggunan era feudal China. Babak kungfu-nya pula sangat mengujakan!

Sejurus selesai filem tersebut, Steven yang hanya berbajukan tattoo bangkit dari sofa dan menuju ke hadapan TV. Dia berpusing menghadap Johari, Abang Long pertubuhan Melayu dan Bobby. Steven pun bersyarah tentang sejarah China dan keagunggannya. Kemudian, dia mencapai pedang Samurai dan menghampiri ketiga-tiga pendengar setia di hadapannya. Dia terus menyingkap sejarah China, tapi kali ini menggayakan aksi kungfu dengan pedang Samurainya. Suaranya dinyaringkan seperti opera cina! Terbahak-bahak Abang Long pertubuhan Melayu dan Bobby ketawa. Johari serius, tidak berkata apa-apa.

Dari meja makan, lagak Steven turut menggelikan hati Fakrul. Fakrul tersenyum. Dia dapati persembahan Steven penuh dengan ironi. Bila pula pahlawan Cina bermain pedang Samurai?, kata hatinya. Malah, sejarah ketamadunan China dan Jepun yang beribu tahun itu sering bertembung. Ketegangan yang berterusan hingga ke hari ini!

Tiba-tiba, Steven mula memperlekehkan bangsa Melayu. Suasana yang ceria bertukar menjadi tegang. Johari resah, masih tidak berkata apa-apa. Bobby terpingga-pinga. Abang Long pertubuhan Melayu tak boleh menahan amarah. Dia berbalah kata, menjerit-jerit menghina kaum Cina! Abang Long pertubuhan Melayu kemudiannya berdiri menghadapi Steven dengan kedua tangannya tergenggam!

Steven berundur selangkah. Dia mengeluarkan pedang Samurai dari sarung dan menjulang pedang itu menggunakan kedua-dua tangannya. Sepantas kilat, dia menghiris badan Abang Long pertubuhan Melayu, dari bahu kiri hingga ke pinggang kanan! Darah Abang Long pertubuhan Melayu tersembur keluar, terpercik ke muka Steven, Johari dan Bobby serta karpet, TV dan dinding ruang tamu!

Abang Long pertubuhan Melayu terpelanting ke belakang, terduduk di atas sofa dengan kaki terkangkang. Dia menggelupur kesakitan! Steven bergerak menghampirinya.

‘Babi kau Cina keparat!’, pekik Abang Long pertubuhan Melayu.

Steven mengeratkan genggamannya pada pemegang pedang Samurai. Sepantas kilas, dia melibas pedang itu ke tengkuk Abang Long pertubuhan Melayu! Putus separuh tengkuk Abang Long pertubuhan Melayu! Darah bersemburan! Kepala Abang Long pertubuhan Melayu terkulai ke belakang!

Bermandikan darah, Johari dan Bobby menjerit-jerit seperti budak perempuan.

Fakrul kaku melihat apa yang berlaku di hadapannya. Semuanya berlaku perlahan, seperti adegan filem gerak perlahan. Kesudahannya, ruang tamu bermandian darah, kepala Abang Long terkulai dengan mata terbeliak merenung tepat ke arahnya. Fakrul menggeletar ketakutan. Fikirannya celaru, tak tahu nak buat apa! Tubuhnya kaku, tak mampu bergerak!

‘Kau berdua senyaplah!’, pekik Steven sambil menghalakan pedai Samurai yang berlumuran darah ke arah Johari dan Bobby yang berpelukkan, terjerit-jerit seperti budak perempuan.

‘Diam! Bobby kau pegang Johari, jangan bagi dia terlepas!’, sambung Steven, mengarah.

Terdengar sahaja kata-kata itu, Johari panik. Dia meronta-ronta meleraikan pelukan Bobby. Bobby ditolaknya ke karpet Parsi yang berendam darah. Steven lantas menerpa dan menangkap Johari. Sambil bergelut, Johari menjerit, ‘Lari Fakrul, lariiii!’

Jeritan itu merenjat kejangan mental Fakrul. Fakrul terus bangkit dari kerusi dan berlari laju ke arah pintu, membukanya dan melonjak keluar. Selepas pintu terkatup, sayup-sayup terdengar suara Johari, ‘Lepaskan aku!… Tolong! Tolong!’

Fakrul memecut sedaya upaya menyusuri koridor. Dia mengetuk-ngetuk pintu-pintu unit lain tetapi tiada respon. Fakrul terus berlari ke tangga kecemasan. Dia tidak hiraukan lif kerana tiada masa untuk menunggu! Dia pun memecut, terlompat-lompat menuruni tangga!

Ya hanana, ya hanana, ya hanana, ya hananaaaaa…!’, mengiang dalam kepala Fakrul.

‘Ya hanana, ya hanana, ya hanana, ya hananaaaaa…!’, bertambah seram Fakrul dibuatnya!

Fakrul terus memecut terlompat-lompat menuruni tangga. Terketar-ketar dia mencari telefon bimbitnya. Bila berjaya mengeluarkan dari kocek seluar, tercampak pula telefon dari genggaman! Mujur, Fakrul sempat menangkapnya!

Fakrul berhenti di tingkat dua. Diperiksa log panggilan pada telefon. Nama Johari, kemudiannya, Azhan! Dia terus menelefon Azhan. Terburu-buru Fakrul memberitahu apa yang berlaku. Azhan hanya mengiyakan kata-kata Fakrul. Akhirnya, Azhan tenang menasihati, ‘Lari Fakrul, lari!’

Fakrul pun angkat kaki dan terus memecut, terlompat-lompat menuruni tangga. Dia turun hingga ke basement. Sejurus sebelum dia memasuki basement, di pintu keluar, terdengar suara Steven menjerit, ‘Fakrul mana kau? Jangan lari!’

Berdentum pintu keluar tertutup di belakangnya. Cis!, Fakrul menyumpah di dalam hati. Dia pun memecut ke arah ramp, untuk keluar. Fakrul menjerit meminta pertolongan, tetapi tiada manusia di situ.

Hujan sedang lebat serta angin bertiup kencang ketika Fakrul keluar dari basement ke kawasan terbuka. Penglihatannya terhad dek kelikatan malam dan hujan. Dinginnya menusuk ke sum-sum tulang!

Fakrul terus berlari ke tembok batu yang memagari kondominium. Dia pun memanjat tembok itu lalu melompat ke sebelah luar. Dari atas bukit landai, dia menggelongsor ke bawah melalui lereng yang berumput. Dia melorot dengan laju. Separuh jalan, Fakrul hilang imbangan, lalu tergolek-golek hingga ke kaki bukit landai. Dia terjatuh ke atas jalan. Kepeningan, Fakrul bangkit terhoyong-hayang. Apabila keseimbangannya pulih, dia terus berlari!

Setelah beberapa ketika, dia berhenti berlari. Tetapi, langkahnya masih bergegas. Tiba-tiba sebatang pokok tumbang di hadapannya. Jika Fakrul tidak berhenti berlari, mungkin dia dihempap pokok! Semasa merintasi pokok tumbang itu dia, ternampak kereta Steven memecut turun dari arah kondominium. Hatinya kembali gelabah. Cepat-cepat dia melintasi batang tumbang yang sebesar pokok balak, lalu berlari ke arah deretan bengkel kereta di hadapannya!

 

VII – PEMBURU DAN YANG DIBURU

Fakrul menyorok di dalam longkang yang dipenuhi air hujan dan lalang, bertentangan dengan deretan bengkel. Airnya paras pinggang. Mujurlah, ada lalang. Jika tidak, arusnya pasti kencang menghanyutkan Fakrul entah ke mana. Sesekali Fakrul terasa ada benda bergerak menyentuh betisnya. Mungkin ular, mungkin juga biawak. Fakrul tidak menghiraukan benda itu kerana dia lebih takutkan pembunuh kebinatangan yang mengejarnya!

Hujan sudah berkurangan, tetapi guruh masih berdentuman. Fakrul memicing telinganya. Terdengar bunyi brek dan seseorang keluar dari kereta, dari arah pokok tumbang. Kemudian terdengar suara Steven menjerit-jerit, ‘Fakrul! Mana kau!’. Jeritan itu makin lama, makin hampir! Terdengar tapak kaki berjalan perlahan. Dia merendahkan diri hingga air menutupi seluruh badannya kecuali kepala. Fakrul melekapkan mukanya ke benteng longkang, di celah-celah lalang.

‘Fakrul! Mana kau!’, jelas suara Steven, dari hadapan. Kedengaran bunyi tapak kaki bergerak ke arah deretan bengkel. Steven terus menjerit sambil memunggah besi-besi di situ. Steven semakin berang. Jeritannya semakin lantang. Bunyi besi-besi yang dipunggah juga semakin kuat!

Tiba-tiba, senyap. Tiada jeritan. Tiada lagi bunyi punggahan besi-besi. Hanya kedengaran tapak kaki yang bergerak perlahan ke arahnya. Tapak kaki itu berhenti, betul-betul di atas kepalanya!

Fakrul mengangkat sedikit kepalanya. Dia menjeling ke atas. Terlihat Steven berdiri tegak di atas kepalanya, tidak berbaju! Tangan kanan Steven memegang pedang Samurai yang tidak bersarung! Steven merenung ke arah hutan di belakangkannya. Steven pun mengancam, ‘Fakrul! Aku tahu kau ada di sini! Keluarlah!’. Tersentak jantung Fakrul mendengar ancaman Steven itu!

Pada ketika itu jugalah Fakrul terasa dada kirinya digigit sesuatu! Pedihnya teramat! Dia mengetap bibirnya kuat-kuat, menahan kesakitan! Steven masih tidak berganjak. Kemudian, dada sebelah kanan pula digigit! Sakitnya menusuk hingga ke saraf otak!

Dalam menahan kesakitan yang bukan kepalang itu, terdengar siren polis yang semakin lama, semakin jelas! Kelipan cahaya biru-putih juga semakin cerah! Terdengar brek kereta.

‘Berhenti! Buang senjata itu ke tanah! Angkat tangan!’, satu suara memberi amaran. Fakrul menjeling ke atas. Steven sedang berpusing ke arah suara tersebut.

‘Buang senjata itu ke tanah! Angkat tangan kamu!’, bertambah tegas suara yang memberi amaran. Fakrul mendongak kepalanya. Terlihat Steven sedang menjulang pedang Samurainya, menjerit sesuatu dalam bahasa cina, lalu meluru ke arah suara yang memberi amaran!

Bang. Bang. Bang! Kedengaran kuat beberapa das tembakan! Terkejut, Fakrul terus berdiri tegak, mengangkat tangan dan merayu, ‘Jangan tembak. Jangan tembak!’. Terdengar suara Azhan, ‘Itu Fakrul! Jangan tembak!’.

Dari tempatnya berdiri, dalam longkang, kelihatan Steven terbaring di atas jalan. Di hadapannya, kelihatan beberapa kereta polis melintang, menutupi jalan. Enam orang polis sedang mengacukan pistol ke arah Steven. Di kalangan mereka, terlihat kelibat Azhan. Lega hati Fakrul bila terpandang wajah Azhan.

‘Kamu selamat, Kamu boleh keluar sekarang!’ arah suara yang memberi amaran tadi. Fakrul pun memanjat keluar dari longkang. Terkejut besar Fakrul apabila melihat seekor anak buaya berlari keluar dari longkang seiring dengannya!

Fakrul pun berjalan menuju ke arah kereta polis. Steven sedang terlentang di dalam kolam darahnya sendiri. Dia memegang perutnya yang mengeluarkan darah. Dia masih bernyawa. Matanya terbuka. Perlahan dan tersekat-sekat, Steven memanggil, ‘Fakrul..Fakrul’. Fakrul tidak menghiraukan Steven. Dia terus berjalan ke arah kereta polis, ke dakapan Azhan!

 

VIII – EPILOG

Seperti yang dikehendaki, Fakrul menunjukkan lokasi kejadian kepada polis. Dibawanya polis ke pintu unit bernombor 921. Apabila locengnya ditekan, terdengar suara kecil menjerit meminta pertolongan. Dengan pantas, polis bertindak memecahkan pintu itu.

Suasana dalaman kodominium sungguh mengerikan. Dinding dan perabut disaluti percikan darah. Darah likat melitupi lantai. Mayat Abang Long pertubuhan Melayu dikerat enam. Kepala, empat kaki dan tangan, serta torso. Bahagian-bahagian badan itu dikumpulkan di sebelah kanan ruang tamu.

Di penjuru kiri terlihat Bobby terduduk dengan kedua tangannya berikat. Begitu juga Johari. Tetapi, ikatan Johari tinggi, pada lengan atas. Tangan kanannya kudung!

Bobby segera bangun untuk mendapatkan polis, tetapi tergelincir. Lantai yang dilitupi darah separa kering itu licin. Dia kemudiannya dipapah oleh dua orang polis.

Johari pula terperosok di penjuru kiri. Dia tidak menunjukkan sebarang respons. Matanya termenunng jauh kala tubuhnya menggeletar. Apabila polis cuba menyentuhnya, Johari mengesot dan menekan-nekan badannya ke penjuru dinding. Dia trauma.

Johari hanya menunjukkan respon apabila Azhan menghampirinya. Azhan mencangkung di sebelah Johari dan berkata sesuatu sambil mengusap-usap belakangnya. Johari tunduk dan terangguk-angguk. Azhan kemudiannya menanggalkan ikatan pada lengan Johari. Johari merenung ke wajah Azhan, lalu memeluk erat kawannya itu sambil menangis terisak-isak!

Fakrul pula kebas perasaan. Sudah terlalu banyak yang dilaluinya malam itu. Dibawa dirinya keluar ke beranda. Hujan sudah pun berhenti. Bayu laut sepoi-sepoi membelai wajahnya.

Fakrul menitiskan air mata dan bertanya pada dirinya, inikah kehidupan yang aku inginkan?

~ Selesai ~


Jemput sertai kaji selidik mengenai cerpen di atas.

Terima Kasih!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: