Melayang

I

Seraya merenung cermin kaca yang memenuhi dinding, ANIZA memeriksa penampilan diri. Rambutnya paras bahu, disikat tepi, kemas dan terurus. Solekannya halus dan sekata. Dilekap-lekap bibirnya bagi meratakan gincu. Belum sempat meneliti pakaian, seorang staf canselori menghampiri lif.

Aniza lekas memperbetulkan kedudukan. Dia menginjak posisi, menghadap staf canselori yang sedang melintasi pintu lif. Staf itu tersenyum manis. Kecil molek orangnya. Tudung dan baju kurung berwarna oren cocok dengan kulitnya yang putih, tinjau Aniza. Barangkali staf itu bertugas di pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) kerana dia menekan tingkat empat pada butang lif.

Staf canselori itu lalu merapati dan berdiri di sebelah kiri Aniza. Masing-masing menghadap pintu lif. Dengan spontan staf itu mengucapkan Selamat Pagi. Aniza menoleh. Staf itu sedang melangoi tersenyum. Aniza membalas senyuman, mengucapkan Selamat Pagi sambil mengangguk-anguk kecil. Sempat dia menjeling ke arah tag nama yang tergantung pada leher staf itu. Nama: ROHAYU. Jawatan: Kerani.

Pintu lif perlahan-lahan menutup.

MIMIE melompat keluar dari Perodua Viva kawannya lalu berjalan pantas menyelusuri lobi canselori. Dua lelaki berpakaian overall serba hitam berjalan ke arahnya. Seorang memegang tangga besi manakala seorang lagi sedang bercakap telifon. Mereka tersenyum kepadanya bila berselisih. Mimie tidak mempedulikan mereka. Dia mempunyai temujanji dengan TNC Hal Ehwal Pelajar, kira-kira 10 minit lagi. Itu fokus utama dan dia tidak mahu lewat!

Perjumpaannya dengan TNC adalah berkenaan aduan gangguan seksual yang difailkannya. Mimie mendakwa bahawa pensyarah Fakulti Undang-undang, Dr. Riswan cuba memujuknya untuk melakukan perbuatan sumbang di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, semasa Simposium Undang-undang Asia, dua bulan yang lalu.

Insiden tersebut berlaku setelah hari pertama simposium melabuhkan tirainya. Ketika keluar dari dewan persidangan bersama rakan-rakan sekuliah, Dr. Riswan menahan dan mengajaknya gabi (supper) bersama. Mimie menolak dengan baik kerana dia mahu menumpang kawannya pulang ke kampus. Lagipun, dia keletihan dan hari sudah lewat. Tetapi, Dr. Riswan bertegas. Dr. Riswan berjanji untuk menghantar Mimie pulang ke kampus.

Mimie tidak selesa sejak awal. Mereka bergabi di lounge Hotel, bertemankan kugiran live. Cahayanya malap. Ramai yang sedang minum minuman keras. Ramai juga peserta simposium yang berada di situ. Perkara yang membuatkan Mimie paling tidak selesa adalah kelakuan Dr. Riswan. Dr. Riswan duduk rapat dengannya di atas sofa sambil berbual manja, berbisik-bisik. Ada ketika, Dr. Riswan menyentuh peha dan memeluk pinggangnya.

Setelah tidak tertahan, Mimie bangun dan meminta Dr. Riswan menghantarnya pulang ke kampus. Dr. Riswan menuruti Mimie keluar dari lounge. Di lobi hotel, Dr. Riswan mencadangkan sesuatu kepada Mimie. Rayunya, ‘Mimie, you bermalam sahaja di bilik hotel saya’. Bila ditanya, untuk apa? Dr. Riswan berbisik, ‘bermesra’, sambil mengeyitkan mata!

Mimie sudah menyangka. Kerana itu, dia merakamkan perbualan mereka menggunakan telifon bimbit. Selaku pelajar tahun dua Undang-undang, Mimie tahu betapa pentingnya bukti sokongan jika mahu membawa kes seperti ini ke muka pengadilan. Rakaman inilah yang akan diperdengarkan kepada TNC.

Sekiranya pihak universiti tidak mengambil tindakan, Mimie tidak akan teragak-agak untuk menghubungi Kementerian Wanita atau membawa kesnya ke mahkamah. Dia juga tergamak untuk dedahkan perkara ini ke media massa!

Sebelum peristiwa itu, Dr. Riswan berlaku baik kepada Mimie. Mimie dilayan istimewa – makan di restoran-restoran mewah, hadiah barangan berjenama, jalan-jalan dan shopping. Dr. Riswan juga seorang penyayang, sabar mendengar masalah-masalahnya. Besertakan penampilan yang segak dan berkeyakinan, memang Mimie tertarik kepada Dr. Riswan. Dia turut kasihan kepada perihal rumah tangga Dr. Riswan. Isteri Dr. Riswan terlalu cemburu dan mengongkong.

Itu dahulu. Sekarang tidak! Mimie rasa sangat tertipu, dipergunakan! Tiada sekelumit simpati buat Dr. Riswan. Biar apa pun caranya, Mimie akan pastikan Dr. Riswan dihukum sekeras-kerasnya!

II

Langkah terburu-buru berubah kepada lari-lari anak apabila terlihat pintu lif di hujung ruang legar canselori menutup. Setibanya Mimie, pintu lif sudah terkatup. Dia menyumpah kelibat manusia di dalam lif yang tidak mahu menunggu. Sial!, kata hatinya. Mimie menekan-nekan kuat butang yang terletak di sebelah kanan lif. Tanpa disangka-sangka, pintu lif yang tertutup, perlahan-lahan terbuka.

Dua wanita berdiri tegak merenungnya dari dalam lif. Pensyarahnya, Cik Aniza dan seorang wanita yang tidak dikenali. Penampilan mereka kontra. Cik Aniza berpakaian formal seorang peguam, berblaus putih, blazer dan seluar hitam, manakala wanita seorang lagi bertudung, berbaju kurung warna oren. Cik Aniza tinggi, manakala wanita seorang lagi kecil molek. Pada pengamatan Mimie, wanita seorang lagi itu berusia lima tahun muda dari Cik Aniza yang sudah pertengahan 30an.

Mimie pun memasuki lif. Dia mengucapkan ‘Hello Cik Aniza’ kepada Cik Aniza dan menguntum senyuman buat wanita seorang lagi. Mimie menekan butang tingkat empat walaupun butang itu sudah menyala. Dia mengambil tempat di sebelah kiri hadapan, lalu menatap telifon bimbitnya.

Mood menemu-ramah calon-calon pelajar baru Fakulti Undang-undang hari itu terganggu apabila melihat Mimie. Dia kenal sangat dengan siswi tahun dua itu. Anizalah yang bersungguh-sungguh mempertahankan Mimie ketika proses penilaian calon baru, dua tahun lepas. Aniza melihat Mimie berpotensi besar. Mimie punyai personaliti dan kesungguhan yang luar biasa. Aniza menaruh harapan yang tinggi apabila Mimie berjaya memasuki kursus Undang-undang. Tetapi, tindakan Mimie mendakwa Riswan, sangat mengecewakannya! Karier teman pensyarahnya bakal punah! Melihat Mimie dihadapannya yang berkelakukan seperti tidak bersalah, bermain telifon, membuatkan Aniza meluat!

Sebenarnya, Riswan lebih dari teman pensyarah. Riswan adalah teman lelaki Aniza. Sudah tiga tahun mereka mejalinkan hubungan intim. Riswan pun telah berjanji untuk menikahi Aniza hujung tahun ini sebagai isteri kedua. Riswan sanggup menceraikan isteri pertamanya jika isteri pertamanya tidak mahu berkompromi!

Menjeling gaya dan susuk Mimie, Aniza tidak terkejut jika Riswan boleh tergoda dengannya. Mimie seksi dalam bersahaja. Seperti yang dilihatnya sekarang, pakaian tshirt longgar berbahu luas mendedahkan kulit mudanya yang putih tegang pada bahagian tengkuk dan pangkal torso. Susuknya remaja, tidak berlemak. Tambah mukanya yang cantik, mana-mana lelaki boleh tergoda. Aniza bertambah meluat melihat Mimie!

Pintu lif masih terbuka.

Aniza melangkah selangkah ke hadapan, meluruskan tangannya yang bertelunjuk lalu memicit-micit butang bertanda tutup di sebelah kanan lif dengan bengis! Rohayu, staf canselori itu pelik melihat perilaku Aniza yang sebelum itu tenang. Dia tidak berkata apa-apa. Mimie pula tersentak dari permainan telifon bimbitnya, menjeling seketika kepada pensyarahnya, lalu turut menekan-nekan butang yang sama di sebelah kiri pintu lif, bersahaja.

Perlahan-lahan pintu lif menutup.

Aniza melangkah ke belakang, ke posisi asal. Dia tidak mahu memandang wajah Mimie, jauh sekali berbicara. Kehadiran Mimie merimaskannya!

Mimie dapat merasakan ketegangan Cik Aniza. Dia tidak tahu bagaimana untuk respon. Dia terasa sedih kerana Cik Aniza banyak membimbingnya semasa dia di tahun satu. Malah, Mimie menyanjung tinggi pensyarahnya itu. Cik Aniza berpewatakan, tegas dan berpendirian. Sangat feminis!

Walaupun pintu sudah tertutup, lif masih tidak bergerak. ‘Kenapa ni?’, soal Aniza.

Tiba-tiba, lif bergegar! Terhoyong-hayang mereka bertiga seperti dilanda gempa! Aniza mengenggam pemegang bucu kanan dibelakangnya. Rohayu menyandarkan dirinya ke dinding belakang, memegang pemegang di kiri dan kanannya. Manakala, Mimie berpaut pada pemegang sisi hadapan. Mujurlah gegaran itu hanya beberapa saat.

Selepas itu, terasa berat badan mereka meningkat – lif mula bergerak.

Tetapi, pergerakkan lif perlahan dari biasa. Aneh! ‘Ada sesuatu yang tidak kena ni!’, ujar Aniza. Dia bergegas menekan nombor satu pada butang lif. Namun, apabila angka digital di atas pintu lif menunjukkan tingkat satu, lif tidak berhenti! Ia perlahan-lahan mendaki. Tersekat-sekat. Aniza menekan nombor dua. Lif terus mendaki tanpa berhenti di tingkat dua! Perlahan. Tersekat-sekat!

Dalam pada itu, Mimie menekan panjang butang intercom dengan ibu jari kanannya. Dia membongkok kerana microfon lif sedikit rendah. Tak henti-henti dia bertanyakan ‘Hello!’. Tiada jawapan! Aniza merenung kebingungan pada angka digital yang menunjukkan tingkat tiga. Lif tidak berhenti. Masih tersekat-sekat perjalanannya. Rohayu tercegat, menarik nafas panjang.

Bang! Satu dentuman yang kuat terdengar dari arah atas mereka. Lif bergoyang dengan kuat. Terpelanting ketiga-tiga wanita itu, tanpa suara! Ketiga-tiga mereka rebah, melorot ke dinding belakang sedang lif meyondong. ‘Tolong-tolong!’ jerit mereka sambil menepuk-nepuk dinding. Tiada jawapan! Sepi, seolah-olah mereka bertiga sahaja yang berada di bangunan canselori itu.

Gegaran pun berhenti. Tiada pergerakkan. Aniza, Rohayu dan Mimi terperosok di dinding belakang. Lantai menjongkit ke hadapan. ‘Tolong-tolong!’, rayu Aniza dan Mimie dengan cemas. Masih tidak berjawab. Rohayu mula menangis terisak-isak.

Tup-tup-tup. Lampu terpadam! Hitam gelap, menghalang penglihatan! ‘Tolong-tolong!’

Bang! Satu lagi dentuman dari arah atas kepala mereka. Lif bergoyang ke kiri dan kanan. Terdiam mereka ketakutan.

Bang! Tiba-tiba, lantai jatuh mengejut!AAAHHHH!’, jeritan mereka seperti ribut meriuh!

Sedetik, jisim mereka terasa kosong, melayang-layang! Sepantas kilat, susuk meluluh, terjerumus ke bawah! Menanti detik bertemu dasar, seramnya bukan kepalang!

III

ROHAYU. Detiknya berlalu perlahan. Tersingkaplah cebisan kehidupan satu per satu, bak helaian kertas diselak bayu.

Senyuman ibunya, membahagiakan. Kucupan ayah, mendamaikan. Berlari girang mengejar rama-rama. Hadiah ulang tahun, arnab comel berwarna putih. Teman-teman bermain ting-ting. Rambutnya memanjang, beralun-alun ke semua arah. Senyuman seorang jejaka, merenungnya disebalik pohon merendang. Hari persandingan. Flat mahligainya. Tangisan anak, tagihkan susunya. Jelas sekali kata-kata pertama puteranya, ‘mama-mama!’. Kulit bayi puteri bongsunya, yang halus bak sutera. Jari-jari yang kecil. Mulut tak bergigi, tersenyum riang!

Tersenyum Rohayu, bahagia. Rohayu menutup kelopak matanya. Dia bersedia.

Ashadu alla illaha il Allah. Wa ashadu anna Muhammad ar Rasulullah…

Keadaan sekaliling menjadi kelam kedinginan. Pandangan berlalu. Suara berlalu. Segala deria berlalu. Akhirnya,…. kosong!

ANIZA. Detiknya penuh kekesalan. Jika mampu dibalikkan waktu, Aniza berjanji akan perbetulkan segala-galanya!

Mengapalah dia degil dengan ibu-bapanya? Mengapalah dia tak pulang-pulang ke kampung? Mengapalah dia memandang rendah kepada adik-beradiknya? Mengapalah dia mengkhianati kawan-kawannya karibnya? Mengapalah dia melukai hati teman-teman lelakinya? Mengapalah dia mahu merampas laki orang? Mengapalah dia selalu buat endah tak endah mewakili klien-klien yang miskin biarpun mereka jelas tertindas? Dan lagi, dan lagi…Kesalnya tidak berpenghujung.

Tiba-tiba tubuhnya direntap. Seribu tangan-tangan mengheretnya ke arah cahaya yang terlalu terik, membutakan penglihatan!

MIMIE. Detiknya mengelirukan. Membingungkan. Kucar-kacir!

Dia terumbang-ambing. Tidak tentu arah seperti menyelam ke dalam lautan yang gelap. Di mana dasar, di mana permukaan, di mana kiri, di mana kanan, depan atau belakang?

Dia menjerit, tidak bersuara! Dia menggapai, tidak kesampaian! Dia meronta, kaku!

Tiba-tiba, tersentap satu memori. Satu visi. Mimie, johan catur kebangsaan sedang mengatur langkahnya. Mencongak-congak. Buah-buah catur beterbangan, berputar-putar membuat formasi. Akhirnya, terpampang satu strategi yang unggul!

Akan tetapi, ada sesuatu yang tak kena. Ada sesuatu yang belum selesai! Apakah dia?

Dia memerah otak. Berkerut-kerut wajah. Keringat membasahi dahi!

Tersentap satu lagi memori. Satu visi. Dr. Riswan sedang menodainya di kamar hotel! Dr. Riswan tertawa!

‘Aku mesti kembali!’, ‘Aku mesti selesaikan perkara ini!’, ‘Akan ku tuntut keadilan!’ – jerit batinnya!

Tiba-tiba terasa jasadnya direntap, dilambung-lambung dan kemudiannya direjam ke bawah! Perit jatuhnya meresap ke saraf jantung! Dia meronta-ronta kesakitan!

Kemudian, satu dentuman yang maha kuat, yang sangat menakutkan, menggetarkan seluruh tubuhnya. Disusuli bunyi nyaring yang berpanjangan. Dalam kebingitan, terlihat sejalur cahaya. Mimie cuba menggapainya, tetapi tidak kesampaian!

IV

MIMIE beransur-ansur sedar. Nafasnya yang semput kini mampu ditarik dalam dan panjang. Bingit di telinga sudah lerai, berganti suara-suara manusia. Penglihatannya perlahan-lahan pulih. Dari hanya bercahaya, bertukar kepada bayang-bayang, kemudiannya samar-samar kelabu, akhirnya tajam. Tubuhnya yang kaku, sudah boleh digerak-gerak walaupun masih terasa berat.

Mimie melihat kepada dirinya. Dia duduk tersandar pada dinding batu sambil kakinya terlunjur ke hadapan. Tiada kecederaan yang terlihat. Betul-betul di sebelah kanan persandarannya, pintu lif yang terbuka. Beberapa manusia sedang menjengguk-jenguk ke dalam. Mimie mengesot dan menoleh ke arah pintu lif yang terbuka itu. Kotak lif sudah tiada. Hanya syaf lif yang kosong. Dijenguknya ke bawah. Terlihat kotak lif yang hancur berkecai beserta kabel-kabel yang terputus di dasar syaf. Pemandangan yang sangat mengerikan! Dia mengesot kembali ke posisi asalnya. Tersandar ke dinding sambil kaki terlunjur ke hadapan. Mimie berasa amat lega dan bersyukur!

Lurus di hadapannya, wanita seorang lagi itu, sedang terbaring pengsan, dikerumuni manusia. Mereka melonggarkan tudungnya sambil menyapu air ke mukanya. Nama Rohayu diseru berterusan. Mimie berasa lapang apabila melihat wanita itu bernafas walaupun masih tidak sedarkan diri. Tiba-tiba wanita itu terbatuk-batuk kecil. Dia cuba bergerak tetapi diarahkan supaya terus berbaring sehingga ambulans tiba. Syukur!

Di penjuru kanan medan penglihatannya, Mimie telihat Cik Aniza duduk tersandar di tiang batu, sambil memeluk kedua lututnya. Mimie menoleh ke arah Cik Aniza. Keadaannya compang-camping. Rambutnya kusut-masai. Dia sedang terisak-isak menangis, memohon maaf itu dan ini. Mimie gembira melihat pensyarahnya itu selamat, tanpa kecederaan yang serius. Mimie perlahan-lahan bangun untuk pergi bertemu Cik Aniza.

Pada masa yang sama, Mimie terdengar seorang manusia termengah-mengah memanjat tangga di sebelah kirinya. Manusia gemuk itu muncul di muka pintu tangga sejurus selepas Mimie berjaya berdiri. Manusia gemuk itu adalah Prof. Mariah, TNC. Ingin Mimie katakan sesuatu kepada Prof. Mariah tentang aduan ganguan seksualnya, tetapi ditangguhkan kerana Prof. Mariah bingkas menuju ke arah wanita seorang lagi yang sedang terbaring. Mimie bergerak ke arah Cik Aniza perlahan-lahan. Dia terdengar Prof. Mariah memberi kata-kata perangsang kepada wanita seorang lagi itu.

Belum sempat Mimie tiba ke Cik Aniza, Prof. Mariah bergegas ke Cik Aniza. Prof. Mariah tiba dahulu. Terdengar Prof. Mariah memujuk Cik Aniza supaya bersabar. Apabila Cik Aniza bertanya tentang siapa yang melakukan semua ini, Prof Mariah katakan yang polis universiti sudah menangkap dua suspek yang mensabotaj lif. Tetapi, motif mereka belum diketahui. Prof. Mariah syak ada lagi individu yang terlibat. Tetapi, biarlah pihak polis menyiasat, katanya.

‘Prof., macam mana keadaan student yang terperangkap dalam lif?’ soal Cik Aniza sambil memegang tangan Prof Mariah.

Prof. Mariah muram, menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘MIMIE SUDAH TIADA. DIA MENINGGAL‘.

‘Tidaaaaak! …Maafkan saya Mimie! Maafkan saya!’, tangis Cik Aniza.

HAH! APA?! Mimie tidak percaya pada apa yang didengarinya! APA maksud semua ini?!

Ruang pejabat berputar mengelilinginya!

Mimie cuba menggapai Cik Aniza yang hanya sekaki darinya, tetapi tidak tercapai! Dipekik sekuat-kuatnya nama Cik Aniza, tidak dipeduli! ‘Profff!’ – tiada respon! Terdesak, Mimie cuba menggapai manusia yang lalu lalang, tidak tercapainya! Mimie longlai, rebah ke lantai. ‘Tidak, tidak!’, dia menangis terisak-isak.

Mimie terus menangis terisak-isak, tertunduk sugul, tidak berganjak sehingga pejabat kosong ditinggalkan manusia. Senja menjelma. Dia benar-benar sepi, keseorangan!

‘Ada sesuatu yang tak kena!’, ‘Ada sesuatu yang belum selesai! Apakah dia?’ persoalan yang mula menghantui kembali fikiran Mimie. Tiba-tiba terasa kebencian menusuk kalbunya!

Ini semua salah Dr. Riswan!, detik hatinya. ‘Ini semua salah Dr. Riswan!’, jeritnya, kepuasan!

Diselubungi dendam kesumat, Mimie mendonggak kepalanya, lalu mengilai, ‘Ini semua salah Dr. Riswan!’

~ Selesai ~


Jemput sertai kaji selidik mengenai cerpen di atas.

Terima Kasih!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: