KEMILAU CINTA NOVELIS

PROLOG

“Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu! … Terimalah, … Novelis nombor satu negara! … SUHAILA Embong!”

Tepukan yang pada mulanya berselerak, kini bergemuruh, sekata dan seirama.“Su – hai – la”, “Su – hai – la ”, “Su – hai – la!”, sorak hadirin yang teruja.

Di balik tabir, Suhaila berasa gementar. Bukannya tidak berbangga. Memang dia bersyukur. Tetapi, setiap kali namanya diseru sebegitu, dia menggelugut.

Suhaila membetulkan birai tudungnya, lalu mengegar-gegarkan badan bagi meluruskan baju kurung. Dia pun menoleh ke penjuru kiri belakang pentas. Tertangkap wajah pembantu peribadinya yang sedang tersenyum. Kedua ibu jari pembantunya menegak. Suhaila faham, itu tandanya ‘Good Luck!’.

Suhaila menggenggam belahan tirai dengan tangan kanan. Dia menutup kelopak matanya sambil menarik nafas panjang. ‘Dengan nama Allah’. Diselak belahan baldu itu hingga tersingkap tabir mempersembahkan sekujur tubuhnya.

“Su – hai – la”, “Su – hai – la”, “Su – hai – la!”. Sorakan bertambah galak. Hadirin, termasuk dif-dif kehormat, semuanya berdiri. Tepukan semakin bergemuruh, masih sekata dan seirama.

Suhaila pun melangkah tiga tapak, lalu berhenti. Dia melontarkan senyuman termanisnya ke setiap penjuru sambil melambai-lambai. Bila sorakan mula perlahan, dia bergerak anggun ke rostrum. Itulah rutin yang dilatih perunding imej. Rutin yang diulanginya setiap kali membuat penampilan istimewa.

Setibanya Suhaila di rostrum, suasana riuh menjadi sepi. Para hadirin ternanti kata-katanya dengan penuh antisipasi. Suhaila tidak terus berucap. Sengaja dibiarkan peminatnya tertunggu. Saspens!

Suhaila meninjau ke seluruh dewan. Terlihat sebuah meja oblong di kaki pentas. Meja yang akan dihuninya buat beberapa jam untuk menandatangani autograf peminat.

Setentang pentas, terbaris sofa-sofa lebar buat tetamu kehormat. Di kalangan mereka, Suhaila cam isteri Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan. Selain dari Puteri kembar kerabat Selangor, Suhaila tidak mengenali VIP-VIP lain, walaupun wajah-wajah mereka seperti pernah dilihatnya. Selebihnya, puluhan saf kerusi yang dipenuhi peminat yang datang dari segenap lapisan masyarakat – tak kira usia, bangsa, miskin ataupun kaya.

Setelah puas mencari, pandangan Suhaila terpaut pada sang suami yang duduk di bahagian tengah, hujung sebelah kiri. Suaminya tersenyum lembut. Mendamaikan. Puteranya berdiri di atas kerusi di samping suami. Manakala, puterinya terjerat dalam pangkuan suami, melambai-melambai. Sejuk hati Suhaila melihat tiga sosok kesayangannya itu.

Suhaila pun membuka novel yang sudah tersedia di rostrum. Dengan gayanya tersendiri, tanpa kata-kata aluan, dia mulakan, “Prolog. …”!

 

I – MINAT

Suhaila tekun memasukkan data permohonan bantuan perubatan ke dalam komputer di stesen kerjanya. Tekunnya, setekun remaja bermain playstation. Mata tidak berganjak dari skrin.

Ting! Bunyi komputer menganggu tumpuannya. Bunyi itu menandakan email baru, baru sahaja masuk. Suhaila pun membuka emailnya. Tersentak jantungnya bila membaca tajuk email yang baru sampai.

Keputusan Penilaian Manuskrip.

Ianya email jawapan dari syarikat penerbitan. Kandungannya akan menentukan sama ada manuskrip novelnya diterima atau tidak!

Hati Suhaila bergelora. Dia memandang ke semua arah, mencari wajah yang mendamaikan. Tidak ketemu. Kesemua kerani lain asyik bekerja seolah-olah dirasuk komputer. Tiba-tiba, Suhaila terlihat seorang Cina mualaf yang sedang curi-curi melihatnya dari pintu hadapan. Arrgh, tidak membantu!

Suhaila perlukan udara. Tercungap-cungap, dia bangkit dan berjalan ke pintu belakang. Dia berhenti sejurus keluar dari pejabat, di balkoni pejalan kaki. Dari tingkat dua bangunan pentadbiran hospital itu, terpampang kota raya Kuala Lumpur yang sesak dengan bangunan pencakar langit. Pandangan yang sedikit klaustrofobik tetapi lebih melegakan dari stesen kerjanya. Suhaila menarik nafas panjang.

Suhaila meminati novel sejak di bangku sekolah. Kala rakan-rakan sebaya menghabiskan duit raya untuk mainan dan pakaian, dia membeli buku fiksi. Minat membacanya berkembang kepada penulisan. Dari usia 12 tahun, Suhaila mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan menulis. Ada pertandingan yang dimenangi, kebanyakkannya tidak.

Selepas tamat SPM, menuruti kata hatinya, Suhaila memohon kursus Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Linguistik. Namun, permohonannya ditolak kerana keputusan SPM-nya tidak mencapai piawaian. Akhirnya, dengan berat hati, dia terima tawaran Diploma Kesetiausahaan. Setelah tamat pengajian, dia diambil bekerja sebagai kerani di Jabatan Kebajikan, Hospital Kuala Lumpur.

Haluan kerjaya tidak seperti yang diangan-angankan. Namun, ia tidak menghalang Suhaila dari mengejar cita-cita sebenar iaitu menjadi seorang novelis. Dia mengasah bakat. Dia menulis blog. Penulisan yang dirasakan baik, dihantarnya ke majalah dan surat khabar. Ada yang diterbitkan, kebanyakkannya tidak. Dia turut menyertai bengkel dan program-program berkaitan penulisan. Dari situlah dia menemui Nora, seorang editor yang banyak mendorong dan menyokongnya untuk menulis novel.

Hingga kini, Suhaila sudah menghantar empat manuskrip novel kepada syarikat penerbitan. Tiga darinya ditolak bulat-bulat. Apabila disoal, ‘apa yang tidak kena?’, jawapan penerbit hanyalah, ‘tidak cukup baik’. Kering! Akan tetapi, Suhaila tidak patah semangat. Dia terus mengarang. Empat bulan lepas, dia menghantar satu lagi manuskrip. Jawapan kepada percubaan kali ini berada dalam email, di hadapan mukanya sekarang!

 

II – KAWAN

Terketar-ketar kursor bergerak ke arah butang email yang bertajuk Keputusan Penilaian Manuskrip. Suhaila mencekalkan hati. ‘Dengan nama Allah’, dia pun menekan tetikus.

Sial!, luap hatinya apabila membaca dua perkataan pertama – ‘Dukacita dimaklumkan’. Ingin dia menjerit hingga putus rengkung. Terasa bahang membakar telinganya. Terkumat-kamit mulutnya walaupun tidak berbicara.

“Nah, siapkan!”. Terhempas segumpal borang permohonan di atas mejanya. Puan Maimah yang gedempol sedang berdiri menghadapnya.

Sepantas kilat Suhaila melompat dari kerusinya, lalu melempang muka tembam puan Maimah! Ditambah penumbuk sulong ke perut gendut ketuanya itu. Puan Maimah terumbang-ambing, berlari-lari anak cuba mengawal imbangan, tetapi gagal. Dia jatuh tergolek-golek seperti tayar pancit di atas lantai pejabat!

“Hellooo!”, jerit sinis Puan Maimah.

“Ha!.Oh..oh..Baik puan!’, tersipu-sipu Suhaila apabila tersedar dari khayalan brutalnya.

Puan Maimah mendengus. Lalu, berpusing meninggalkan stesen kerja Suhaila. Suhaila menghela nafas lega melihat belakang Puan Maimah yang lebar berlalu pergi.

Suhaila pun larut ke dalam kerusi yang kini memapah seluruh jisimnya. Perlahan-lahan amarahnya menyuram. Sedikit demi sedikit, perasaan kecewa menusuk sanubari. Akhirnya, sedih yang teramat! Apabila sayunya tidak dapat dikawal, dia bergegas keluar ke hujung balkoni pejalan kaki, lalu menangis terisak-isak.

“Kenapa awak terkumat-kamit semalam?”, soal FIRDAUS sambil tersenyum. Firdaus adalah sukarelawan sosial Hospital Kuala Lumpur. Dialah Cina mualaf yang curi-curi melihat aksi panik Suhaila.

Terkejut Suhaila. Dia sedang makan meggi sambil membaca novel cinta remaja di dalam pantri. Sememangnya, Suhaila gemar makan di pantri kerana tidak ramai yang makan di situ. Jadi, bolehlah dia makan sambil baca novel dengan tenteram. Lagipun, harga makanan di kantin sudah mahal melampau.

Hah apa awak cakap ni?”, Suhaila cuba mengelak.

Alah, ini mesti pasal manuskrip, kan? Tak apa Sue, jangan kecewa ya. Cuba lagi!”, dorong Firdaus dalam memujuk. Sambil itu, dia menarik kerusi, lalu duduk bertentangan dengan Suhaila.

Hurrmm, benarlah Firdaus. Kena reject lagi”, desah Suhaila.

Suhaila sering menceritakan tentang aktiviti penulisannya kepada Firdaus, bukannya sukarela tetapi tak sengaja. Senyuman Firdaus yang mendamaikan serta kehalusan budi pekertinya membuatkan Suhaila selesa dan selalu terlepas cakap. Dan, terus bercakap.

“Tak tahu nak cakap apa. Saya rasa, manuskrip terakhir tu lagi baik dari kebanyakkan novel di pasaran!”, sambung Suhaila.

“Entah apa yang penerbit nak? Bila tanya, dia orang cakap, tak bagus. Itu sahaja! Tak ada feedback langsung! Dah lah……”, Suhaila terus membebel.

Firdaus hanya mengangguk dan mendengar sepenuh perhatian kepada keluhan Suhaila. Sambil itu dia meninjau wajah perempuan genit di hadapannya. Muka Suhaila bulat, bukannya tembam, tetapi bentuknya bulat. Kulitnya putih pucat hingga menampakkan anak-anak urat. Dahinya luas dan matanya besar. Hidungnya tirus. Dagunya kecil. Dengan rambut yang lurus paras bahu, rupanya tak ubah seperti kanak-kanak dewasa.

“Sabarlah Sue!”, pujuk Firdaus setelah Suhaila selesai bercakap.

Suhaila tidak berkata apa-apa. Dia hanya meneguk air dari mug besar yang digenggam dengan kedua tangannya. Kini giliran dia meninjau Firdaus! Rupa Firdaus seakan-akan Nik Abduh anaknya Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz – versi Cina mualaf. Suhaila tidak pernah melihat puncak kepala Firdaus kerana Firdaus sentiasa berketayap. Mukanya kurus hingga menampakkan tengkorak. Matanya sepet. Misai dan janggutnya sehelai-sehelai. Senyumannya menusuk ke hati. Jika hendak dibandingkan dengan watak dalam novel-novel kegemarannya, Firdaus kalah teruk!

“Kenapa awak tiba-tiba senyum ni?”, terpinga Firdaus melihat perubahan mendadak Suhaila, dari sedih kepada gembira.

 

III – GEDIK

Bila berpeluang, Suhaila akan berjumpa NORA untuk makan malam. Pertemuan yang sentiasa dinanti-nantikannya. Dia menganggap Nora sebagai idolanya. Mana tidaknya, Nora sudah menghasilkan 2 buah novel dan kini bekerja sebagai editor di syarikat penerbitan popular. Kehidupan Nora jauh lebih selesa dan menarik. Kehidupan yang diimpikan Suhaila selama ini! Bukan itu sahaja, Nora sangat prihatin dan sentiasa memberi dorongan kepadanya. Walaupun sudah berjaya, Nora tidak sombong mahupun kedekut ilmu.

“Hai Sue!”, sergah Nora sambil memegang bahu Suhaila dari belakang. Suhaila sudah pun duduk di meja makan.

Eh Kak Nora. Buat terkejut jer!”, jawab Suhaila yang terpaling kepala.

Sorry lambat sikit. Jem teruk tadi! Sue apa khabar?”, Nora mengambil tempat di sisi kanan meja, bersebelahan Suhaila.

“Baik kak. Kak Nora nak makan apa malam ni? Jom order!”, ajak Suhaila yang kelaparan.

Masing-masing memesan nasi kerabu berlaukkan ayam percik. Makanan kegemaran mereka di restoran Delightly Kelantan. Walaupun harga makanan di restoran itu mahal, keenakkan masakannya membuatkan ia berbaloi. Nora berjanji untuk membayar segala bil makanan mereka sehingga Suhaila berjaya menerbitkan novel pertamanya. Sepatutnya Suhaila yang bayar malam itu, tetapi tidak.

“Sue, dah dapat keputusan manuskrip tu?”, soal Nora sambil mencebis ayam perciknya.

“Dah!”, ringkas sahaja jawapan Suhaila.

So?”, saspens Nora dibuatnya. Budak ni memang pandai cipta babak cliffhanger!, gumam hatinya.

“Tak lepaslah Kak Nora”, ujar Suhaila yang tersenyum pahit. Pudar matanya tidak boleh diselindung.

“Aduuuh! Apalah penerbit ni. Bodoh betul!”, marah Nora. Itulah yang hendak didengari Suhaila. Seseorang yang mengerti perasaannya.

“Takpe, nanti bagi akak tengok menuskrip tu. Akak semak dan repair mana yang perlu. Lepas tu, kita publish sendiri. Cerita yang sama!”, pujuk Nora.

“Boleh kak. Tapi, mampukah saya nak terbit sendiri?”, Suhaila memang tak yakin.

“Jangan risau Sue, InsyaAllah boleh. Itu trend di barat sekarang. Penulis terbit sendiri. Syarikat penerbitan di sana semuanya tengah garu kepala!” , jelas Nora.

Okay! Nanti saya emailkan yer! Thank you kak!”, Suhaila bersemangat semula – tak sangka dapat peluang kedua!

 

Mereka pun berbual topik-topik lain. Gossip, novel-novel terbaru, cerita tentang anak Nora yang berusia 2 tahun dan sebagainya. Perbualan begini walaupun kosong mengeratkan lagi hubungan mereka yang sudah sememangnya erat.

“Sue, akak tengok Sue lainlah! I mean, nampak berseri-seri! Tak murung langsung!”, soal Nora macam kakak-kakak.

Eh takde lah”, jawab Suhaila yang tersenyum.

Hurmmm”, Nora menjeling Suhaila atas-bawah sambil menangkat-angkat kening dan tersenyum gedik.

“Apa ni?’, Suhaila geli tapi suka dengan kegedikkan Nora.

“Ha! Bawaklah akak jumpa encik boyfriend!’, ghairahnya Nora seperti bertemu detik eureka. Dia pun mencucuk-cucuk perut Suhaila di bawah meja.

Maka, tergedik-gediklah mereka di tengah-tengah restoran mewah itu!

 

IV – CINTA

Suhaila bertenggek di atas pelantar bulat yang digunakan staf dan pelangan MPH untuk mencapai buku di rak tinggi. Dia sedang membaca tiga bab awal novel terbaru Umie Nadzimah. Dari pengalamannya, tiga bab pertama sudah cukup untuk menentukan sesebuah novel itu berbaloi atau tidak untuk dibeli. Ketika itulah dia ternampak kelibat Firdaus menyusuri lorong antara rak, tidak jauh dari tempat dia menenggek.

Seternampaknya kelibat Firdaus, Suhaila bingkas bangun dan mengembalikan novel terbaru Umie Nadzimah ke raknya. Dia tercari-cari lebai Cina mualaf itu. Cari punya cari, akhirnya ternampak ketayap putih di balik rak, di segmen agama. Suhaila pun segera menuju ke situ.

 

“Hai Firdaus!”, sergah Suhaila dari lorong sebelah. Terkejut beruk Firdaus bila disapa suara perempuan.

“Laaa… awak Sue! Haha!”, gembira hati Firdaus melihat Suhaila.

“Awak dah makan?”, usik Suhaila.

“Sue nak belanja ker?”, soal Firdaus kembali.

“Tak. Saya nak awak belanja saya!”, jawab Suhaila. Dia terasa seperti galak. Tetapi, apa nak buat? Terlajak perahu boleh diundur!, desus hatinya.

“Boleh! Boleh! Kejap ya, biar saya bayar ni dahulu”, Fidaus pun mengangkat tiga jilid kitab karangan Imam Ghazali.

Wow!, detik hati Suhaila sambil mengekori Firdaus ke kaunter bayaran. Wow!

 

Usai urusan Firdaus di kaunter pembayaran, mereka pun berjalan sambil mengelak-elak manusia ke atrium Mega Mall yang padat dengan manusia. Kepadatan melampau di pusat beli-belah sememangnya lumrah di hari minggu.

Geli hati Suhaila melihat Firdaus bersungguh-sungguh mengelak sentuhan bukan muhrim. Kelihatan manik-manik peluh di dahinya. Suhaila menyangka bahawa manik-manik peluh tersebut disebabkan Firdaus takut melakukan dosa bersentuhan bukan muhrim. Hakikatnya, Firdaus seram sejuk kerana dia tidak pernah keluar bersama perempuan. Inikan lagi bersama perempuan yang dia senyap-senyap tetapi benar-benar minat!

Mereka berlabuh di restoran American Fish and Chips. Dari jauh, Suhaila dan Firdaus kelihatan aneh berpasangan. Seorang lelaki Cina berketayap bersama seorang wanita Melayu freehair, berseluar sendat. Tetapi, jika diteliti, di sebalik keanehan itu terselit kemesraan semulajadi.

 

“Sue, awak dah mula menulis manuskrip baru?”, soal Firdaus yang betul-betul ingin tahu.

Hurrm. Belumlah awak. Saya hantar manuskrip hari itu ke kawan editor. Dia nak sunting mana yang patut. Cadangnya, nak publish sendiri!” jelas Suhaila.

Publish sendiri? Sue tahu macam mana nak publish sendiri?”, Firdaus berminat dengan idea terbitkan buku sendiri. Dia dari keluarga peniaga. Dia juga mempunyai ijazah Pengurusan.

Hurmm. Selepas disunting kawan saya, kena dapatkan nombor ISBN dan daftar copyright. Lepas tu, jual-lah!”, jelas Suhaila seperti yang dijelaskan Nora tempoh hari.

Eh tak semudah itu, Sue. Untuk jual produk seperti novel, Sue kena buka company. Lepas tu kena fikir marketing strategy, promosi, bagaimana nak distribute dan deal dengan kedai buku. Macam-macam lagi, Sue”, jelas Firdaus.

Oooh!”, seram Suhaila mendengar istilah-istilah bisnes.

 

“Kalau publish dengan penerbit, berapa dia bayar?” tanya Firdaus untuk mencongak kos dan keuntungan.

“6% dari buku yang terjual”, jelas Suhaila.

“Apa? 6%?”, terkejut Firdaus apabila mendapat tahu kadar bayaran yang diterima penulis.

“Kenapa?”, cemas Suhaila bila disoal begitu.

“Teruknya! Sikit sangat tu! Sue tau tak, kedai buku dapat 20-30% dari keuntungan. Penerbit pun raih sekitar 20-30% lepas tolak kos-kos lain. 6% amatlah tidak adil kerana yang paling susah menghasilkan buku adalah penulis! Penerbit dan kedai buku raih untung berlipat ganda dari susah payah penulis! Tak adil!”, geram Firdaus dibuatnya. Hampir-hampir dia menghentak meja. Firdaus memang alergik dengan kes-kes penindasan sebegini.

Oooh! Tak terfikir pula saya”, ujar Suhaila.

“Takpelah Sue. Jangan risau. Kalau Sue bersetuju, nanti saya fikirkan macam mana kita nak jual novel Sue tu nanti! Saya akan tolong Sue!”, janji Firdaus sambil melontarkan senyuman yang sangat mendamaikan Suhaila.

Please yer!”, rayu Suhaila.

Anything for you, Sue!”, janji Firdaus!

 

Firdaus pun menetapkan azam untuk membantu Suhaila dengan sepenuh jiwa dan raganya! Dia sudah menemui bisnes yang sesuai dengan nalurinya.

Firdaus pun menukar topik perbualan. Dia tidak mahu merisaukan Suhaila. Dia kembali kepada sifat tabii-nya. Tak banyak bercakap. Firdaus hanya mendengar dengan minat kepada celoteh-celoteh Suhaila sambil menatap wajah perempuan yang diminatinya itu.

Dalam macam-macam topik yang dicelotehkannya, sempat juga Suhaila bertanya mengapa Firdaus convert ke agama Islam. Jawapan Fidaus mudah – hidayah dari Allah! Menurut Firdaus, dia pun sering menyoal perkara yang sama tetapi tiada penjelasan terbaik selain hidayah dari Allah.

Walaupun tidak sekacak hero-hero novel popular, Firdaus memikat hati Suhaila. Segalanya tentang Firdaus mendamaikan. Pada detik itu, Suhaila sedar yang dia sudah jatuh cinta dengan Cina mualaf di hadapannya!

Tak semena-mena Suhaila bertanya, “Firdaus, awak nak jadi boyfriend saya tak?” Mata mereka pun bertentangan. Jantung berdetak seiringan. Detik bagaikan terhenti. Jawapan Firdaus pendek tetapi ikhlas berkeinginan, “Nak!”

 

V – CURANG

Dalam berpacaran, Firdaus banyak syarat. Tak boleh bersentuhan, tak boleh berdua-duaan di tempat sunyi, tidak boleh menonton wayang dan beberapa lagi. Jika lelaki lain yang menetapkan syarat-syarat begini, boleh jadi Suhaila memberontak. Buat Firdaus, tidak. Suhaila menurut permintaan Firdaus tanpa terbeban walau seberat zarah pun.

Bagi Firdaus, Suhaila sejak bergelar teman hatinya, makin mempersona. Suhaila mempunyai pemikiran yang segar. Ada sahaja idea baru yang ingin dikongsikan. Tidak seperti kawan-kawannya yang serius dan tegas, Suhaila periang dan santai. Ini memberikan kelapangan jiwa buat Firdaus. Cuma, kadang-kadang, kecomelan Suhaila membuatkan dia terfikir untuk melakukan perkara di luar batasan agama. Agama yang digenggamnya seperti menggigit dengan geraham.

Suhaila pula mula berjinak menutup aurat kepala. Dia mengenakan skarf melitup, diikat di pangkal belakang kepala. Biarpun hijabnya tidak menuruti syariah, yakni tengkok dan dadanya masih terdedah, Firdaus gembira melihat perubahan Suhaila. Peralihan yang membuatkan Firdaus bertambah sayang pada kekasihnya itu.

Masa berlalu tanpa mereka sedari. Sudah genap enam bulan mereka berpacaran! Suhaila ingat dan mengingatkan Firdaus yang terperanjat. Seperti enam bulan yang lepas, Suhaila ingin Firdaus belanja-nya di restoran American Fish and Chips. Kali ini, dia tak terasa galak.

Mereka singgah di MPH kerana Firdaus ingin mencari buku Sheikh Hamzah Yusuf yang sukar ditemui dalam negara. Suhaila terpaksa menahan godaan ruangan novel Melayu kerana mahu mengekor Firdaus. Lagipun, dia sudah memborong novel di pesta buku. Semasa di pesta buku, Firdaus mengekornya. Kali ini, giliran dia mengekor Firdaus pula. Itulah tolak ansur dari padangan Suhaila. Malangnya, buku yang dicari Firdaus tiada. Suhaila tampak kecewa tetapi Firdaus tenang, bersahaja. Mereka pun beredar.

Di pintu MPH, mereka dihampiri beberapa perayu syarikat penerbitan yang membuka gerai pameran sempena pelancaran novel terbaru mereka. Firdaus mengalah kerana susah baginya berkata tidak. Dia menuruti mereka ke rak pemeran. Suhaila mengekor sahaja.

Alangkah terkejutnya Suhaila apabila melihat novel yang baru dilancarkan – judulnya sama dengan judul manuskripnya yang ditolak 6 bulan lepas! Bukan itu sahaja, terpampang nama Dayang Norafizah di muka hadapan novel tersebut. Kak Nora!

Suhaila pun mencapai senaskah dari rak pameran. Terketar-ketar dia membuka novel yang sama judul dengan manuskrip novelnya, bernamakan Kak Nora sebagai penulis. Dia memeriksa beberapa perenggan di bab-bab berlainan. Ternyata, itu novel tulisannya! Perkataan demi perkataan!

Dalam ketidak-haruan itu, kelihatan Kak Nora duduk di sebuah meja tidak jauh dari rak pameran. Kak Nora sedang menandatangan autograf! Besertakan novel di tangannya, Suhaila pun bergegas, memotong barisan manusia, ke arah Kak Nora. Sesampainya di hadapan meja, Kak Nora mendongak. Kak Nora tak terkata apa-apa bila terpandang Suhaila. Wajah Suhaila yang putih, kini merah menyala!

Suhaila menghempas novel dari tanggan, sekuat-kuatnya ke atas meja!

“Sue….”, Nora merayu.

“Pengkhianat!”, jerit Suhaila seperti ingin tercabut kerongkongnya.

“Sue….”, Nora merayu lagi. Tetapi tiada apa yang mampu diluahkannya.

“Perempuan sundal!”, terketar-ketar suara Suhaila.

 

“Sue,..Sue,…”, tegur Firdaus. Dia terpinga-pinga melihat Suhaila yang sedang menggeletar keseorangan.

“Ha!…Oh..”, Suhaila terkejut. Keliru dia seketika. Rupanya dia berkhayal.

“Sue….”, pujuk Firdaus, cuba mententeramkan Suhaila.

“Awak, .. Novel ni, manuskrip saya yang ditolak”, berlinangan air mata Suhaila sambil menunjukkan novel yang terbuka di dalam tangannya.

“Apa?”, binggung Firdaus.

“Tak apa. Mari ikut saya”, pinta Suhaila sejurus terlihat Nora di penjuru medan penglihatannya.

Suhaila pun pergi ke kaunter pembayaran dan membeli senaskah ‘novelnya sendiri’. Dia mengajak Firdaus untuk berbaris bersama manusia yang mahukan autograf. Semasa berbaris, barulah Firdaus sedar bahawa novel yang sedang dilancarkan itu adalah ciplak hasil kerja kekasihnya. Firdaus naik marah.

Setibanya mereka di meja yang dilitupi baldu merah, dihiasi sejambak ros merah jambu, Suhaila memberikan naskahnya kepada Nora.

“Adik nama apa yer?”, tanya Nora sambil tersenyum manis.

“Suhaila Embong”, jawab Suhaila yang juga tersenyum, sedikit kelat. Kecewa di matanya tak dapat diselindung.

“Macam pernah jumpalah adik ni?”, sambil tersenyum, Nora mengerutkan dahinya.

Serta merta, kerutan dahinya hilang, matanya membulat dan mulutnya ternganga. Adik di hadapannya itu, Sue! Sue yang ber-skarf! Dia tak terkata apa-apa. Kelu. Tenggelam dalam rasa bersalah!

Suhaila juga bisu seribu bahasa. Dia menggeletar semula. Dia masih tak percaya yang Kak Nora, idola yang disanjungnya selama ini sanggup berlaku curang kepadanya. Mengkhianati kepercayaannya! Mempergunakannya!

“Awak ni siapa nak memplagiat kerja orang? Awak ni penulis atau penciplak? Tak tahu malukah? Ini syarikat penerbit apa ni?….”, Firdaus membebel. Dia tak tahan melihat Suhaila yang hanya tercegat menggeletar menahan tangisan di sebelahnya.

Tidak lama kemudian, datanglah sekumpulan pengawal keselamatan untuk mententeramkan keadaan. Suhaila dan Nora masih kelu tak berbahasa. Mata mereka bertemu, tiada ramah, penuh kesedihan. Suhaila akhiri renungannya dengan setitis air mata lalu menoleh ke arah Firdaus yang sedang meronta-ronta – cuba melepaskan diri dari pegangan pengawal keselamatan. Suhaila pun pergi mendapatkan Firdaus. Naskahnya ditinggalkannya di atas meja.

Nora tidak dapat menahan rasa sugul. Dia mengemas barang-barangnya lalu beredar. Dia ingin mendapatkan Suhaila. Dia ingin memohon maaf. Dia ingin mengaku yang dia mengkhianat! Dialah insan sehajat-jahat manusia!

Nora menyelinap di celah-celah manusia, cuba mencari Suhaila yang telah hilang dari pandangannya. Hampir ke setiap penjuru Mega Mall dia pergi, masih tak kelihatan kelibat Suhaila.

Tiba-tiba, Nora terlihat sesuatu yang ganjil – ketayap putih di kalangan kepala-kepala pengunjung restoran American Fish and Chips. Ketayap itu seperti ketayap lelaki cina yang membebel sebentar tadi. Nora menghampiri restoran tersebut, meninjau-nijau. Melalui cermin lutsinar yang mendindingi restoran, terlihat Suhaila duduk bertentangan dengan lelaki cina yang berketayap itu.

Suhaila sedang mengesat air mata yang tak henti berderai. Kadang-kadang dia merenung jauh. Kadang-kadang dia melekapkan muka ke tapak tangannya. Jelaslah kepada Nora bahawa tiada maaf yang perlu dipinta. Hubungan mereka sudah pun terkubur.

Nora menyeka air mata lalu pergi dengan hati yang hiba.

 

VI – KUASA CINTA!

‘Aku takkan mengalah. Aku takkan berhenti. Biar payah mana sekali pun, aku mesti berjaya! Andainya tidak, biar aku mati mencuba! Dengan nama Allah!’ Itulah ketetapan hati yang diulang-ulang Suhaila bagaikan mentera ibtida setiap kali dia mula menulis.

Suhaila tidak menunggu lama untuk memulakan manuskrip ke-limanya. Selang beberapa hari selepas terbongkarnya pengkhianatan Nora, dia mula memerah idea dan merangka cerita. Kali ini, dia ubah pendekatan. Pendekatan yang tidak pernah dibuat penulis lain. Dia merangka hikayat cinta epik dengan gaya se-catchy novel popular, idea se-progresif novel indie dan moral setinggi novel sastera. Bila ceritanya siap dirangka, Suhaila pun menulis dengan semangat yang membuak-buak.

Atas nasihat Firdaus, Suhaila mengarang di lokasi baru. Berbekalkan komputer riba yang dibeli kekasihnya, Suhaila menulis di perpustakaan komuniti selepas waktu pejabat. Di sana, keadaannya lebih selesa dan fokusnya lebih tajam. Dia mampu mengarang dengan pantas. Kadang-kadang, dia habiskan 5000 patah perkataan satu malam!

Firdaus sentiasa memberi sokongan. Dia belikan komputer, printer dan internet mudah alih bagi memudahkan kekasihnya menulis. Dia akan temankan Suhaila di perpustakaan sambil membaca buku-buku agama. Dia juga banyak membantu Suhaila dalam soal-soal teknikal seperti mem-backup draf manuskrip ke Google Drive. Dia akan pastikan Suhaila makan malam dan menghantar Suhaila pulang ke flat.

Dengan kesungguhan yang menggila serta sokongan dari Firdaus, Suhaila menyiapkan manuskrip ke-limanya dalam masa 3 bulan. Sesuatu yang hampir mustahil buat seorang penulis baru.

Ketika Suhaila fokus menulis, Firdaus bertindak sebagai agen percuma kepada Suhaila. Pertama sekali, dia pergi ke syarikat penerbitan Nora. Dia membuat aduan tentang plagiarisme yang dilakukan Nora. Besertakan bahan bukti, dia mengancam untuk membawa kes plagiarisme Nora dan syarikat penerbitan itu ke mahkamah.

Nora didapati bersalah oleh siasatan dalaman syarikat penerbitannya. Dia diberhentikan serta-merta. Segala hasil royalti dari penjualan novel ciplaknya diberikan kepada Suhaila. Suhaila juga mendapat sejumlah wang pampasan sebagai ganti rugi. Untuk tidak menjejaskan jualan, dengan persetujuan Suhaila, nama penulis novel ciplak itu dikekalkan. Suhaila tidak terdesak untuk menukar nama novel ciplak itu kepada namanya. Dia tahu yang manuskrip ke-limanya jauh lebih berkualiti.

Kemudian, besertakan sinopsis dan beberapa bab awal manuskrip terbaru Suhaila, Firdaus pergi mencari penerbit buat novel Suhaila. Di setiap syarikat penerbitan, Firdaus menuntut bayaran royalti sekurang-kurangnya 25% dari hasil jualan. Bukan itu sahaja, dia meminta supaya hak cipta novel itu nanti dikekalkan kepada penulis iaitu Suhaila.

Syarikat-syarikat penerbitan popular hanya mentertawakan Firdaus. Ada juga yang menghinanya seperti orang terencat akal. Mereka tidak melihat pun sinopsis dan beberapa bab awal manuskrip novel Suhaila.

Akhirnya, Firdaus bertemu dengan syarikat penerbitan yang baru ditubuhkan. Mereka sangat teruja dengan sinopsis dan beberapa bab awal manuskrip Suhaila. Malah, mereka bersetuju untuk memberi royalti sebanyak 30% dari hasil jualan novel itu nanti. Hak cipta juga akan diberikan kepada Suhaila. Memang polisi syarikat penerbitan itu bahawa hak cipta sesebuah karya adalah hak mutlak penulis – seperti sepatutnya!

Setelah selesai menulis, manuskrip Suhaila dihantar ke syarikat penerbitan yang baru ditubuhkan itu. Dalam masa sebulan sahaja, manuskrip itu lulus untuk diterbitkan. Tidak banyak yang perlu disunting pihak editor. Keampuhan manuskrip Suhaila bagaikan permata yang sudah tergilap. Isinya pula luar biasa. Mereka tidak sabar hendak menerbitkan novel Suhaila!

Perjanjian antara penerbit dan Suhaila dimeterai dengan lancar. Mujurlah dia ada agen percuma yang juga kekasihnya. Sebagai penulis, Suhaila memang tidak mengambil kisah tentang urusan sebegini. Baginya, merimaskan!

Novel pertama Suhaila meletup sebaik sahaja berada di pasaran. Larisnya seperti pisang goreng! Ia terus ke puncak carta bestsellers mengenepikan novel-novel lain. Dalam beberapa hari, cetakan pertama habis terjual!

Pengkritik-pengkritik novel tidak mampu mengkritik kerana novel Suhaila adalah karya luar biasa. Tidak tercapai akal mereka untuk mengkritik! Ada juga penulis yang iri hati dan ingin publisiti murahan. Mereka cuba memperlekehkan karya Suhaila. Tetapi, tindakan mereka memakan diri. Mereka dicemuh teruk di media sosial.

Nama Suhaila Embong melonjak-lonjak sehingga menjadi jenama tersendiri. Setiap majlis tandatangan autografnya dilimpahi peminat. Pernah sekali dia jatuh pengsan kerana terlalu lama melayan peminat. Suhaila juga menjadi rebutan penerbit rancangan bual bicara di TV dan radio. Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang novelis menjadi selebriti sepopular Suhaila!

Suhaila merenung ke seberang Sungai Chao Praya. Tersergam megah Istana Besar Raja Siam dengan stupa-stupa emasnya yang menyerupai corong-corong minyak terlangkup – berlatar-belakangkan gemerlapan kota kosmopolitan Bangkok. Pemandangan yang sangat indah kala menikmati makan malam. Terutamanya, bersama orang tersayang yang kini agen rasminya.

Suhaila terkenangkan acara yang berlangsung pada tengah hari itu. Karya pertamanya, ‘Kemilau Cinta Novelis’, telah dianugerahkan S.E.A Write Awards. Anugerah itu disampaikan oleh penulis kegemarannya, pemenang Nobel Prize sastera, Orhan Pamuk dari Turki. Namanya, Suhaila Embong, kini sebaris dengan sasterawan-sasterawan terbilang seperti A. Samad Said, Usman Awang dan Abdullah Hussain yang pernah menerima anugerah yang sama. Segalanya ibarat mimpi. Realiti yang belum tercerna sebagai kenyataan.

“Sue,…”, sapa Firdaus. Lama dia merenung wajah Suhaila yang mengelamun jauh.

“Ya..Oh!..”, bahagia Suhaila bila dikejutkan oleh senyuman lembut Firdaus.

“Tak sangka kan?..”, kata Suhaila.

“Itulah. Kerja kuat Sue juga. Allah beri balasan yang baik”, Firdaus tersenyum bangga.

Allahu Akbar!, detik hatinya. Suhaila terus merenung keindahan Sungai Chao Phraya dan Istana Besar Raja Siam yang berlatar-belakangkan kota kosmopolitan Bangkok. Dia seolah-olah tidak mengendahkan Firdaus.

Firdaus hanya menatap wajah kekasihnya. Barulah Firdaus mengerti mengapa dia cintakan Suhaila. Kekasihnya itu bukan sahaja cantik, berpersonaliti menarik dan bijak, tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi. Semangat yang mengisi jiwanya yang tagihkan ketabahan dalam menghadapi dugaan memeluk agama baru. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sayangnya Firdaus kepada Suhaila!

Firdaus pun bersuara, “Sue, awak nak jadi isteri saya tak? Jadi suri hati saya?” Dibias cerlang pantulan lampu neon Sungai Chao Praya, mata mereka bertentangan! Jantung berdetak seiringan. Detik bagaikan terhenti. Jawapan Suhaila pendek tetapi ikhlas berkeinginan, “Nak!”

 

EPILOG

Selepas melancarkan novel pertamanya, SUHAILA berhenti kerja sebagai kerani di Hospital Kuala Lumpur. Sebagai novelis ternama, Suhaila terlalu sibuk dengan undangan ke majlis-majlis penulisan, di dalam dan luar negara. Dia juga perlukan masa untuk melakukan perkara yang dia suka iaitu menulis.

Sehingga kini, Suhaila sudah menghasilkan lapan buah novel yang kesemuanya bestsellers. Novelnovelnya turut mendapat sambutan luar biasa di pasaran Asia Tenggara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei. Beberapa buah novelnya memenangi anugerah lokal dan antarabangsa. Beberapa darinya diterjemah ke pelbagai bahasa.

Suhaila sentiasa menjadi rebutan penerbit rancangan bual bicara di TV dan radio, terutama sekali di Indonesia. Di sana, Suhaila diberi panggilan manja, Mbak Sue! Orang Indonesia sangat menyanyanginya.

FIRDAUS pula membuka syarikat penerbitan yang asalnya bertujuan untuk menerbitkan novel-novel Suhaila pada harga mampu milik. Kini, syarikat miliknya dan Suhaila itu berkembang. Ia turut menerbitkan karya-karya penulis baru. Model penerbitan syarikat mereka yang pro-penulis merubah norma penerbitan negara. Syarikat mereka bukan sahaja memberi bayaran setimpal, tetapi turut menjaga kebajikan penulis-penulisnya seperti memberi perlindungan perubatan, peruntukan simpanan hari tua, geran penyelidikan serta latihan berterusan.

Suhaila berbaik semula dengan NORA. Dia tidak sampai hati melihat idolanya terus dihina dalam dunia penulisan. Suhaila masih ingat jasa Nora kepadanya. Waktu dia terkial-kial menulis dahulu, Nora-lah yang memberi dia semangat dan sokongan. Setelah dipujuk, akhirnya Nora bersetuju untuk menjadi ketua editor di syarikatnya. Semenjak itu, Nora mula menulis kembali. Dia sudah menghasilkan tiga buah novel. Kesemuanya, bestsellers!  Ikatan istimewa adik-kakak novelis ini bagaikan air yang dicincang – tidak akan putus!

SUHAILA & FIRDAUS melangsungkan perkahwinan tiga bulan pasca lamaran di Sungai Chao Phraya. Mereka dikurniakan seorang putera dan seorang puteri kacukan yang comel-comel!

~ Selesai ~


Jemput sertai kaji selidik mengenai cerpen di atas.

Terima Kasih!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: