Kaji Selidik Penulisan: Fiksyen Projek 1. Draf 1 – Bab III

III

Untuk dirinya, Zamri gemar membeli pakaian, jam tangan dan kasut. Dia membuat pinjaman untuk memiliki kereta idaman iaitu Honda Civic. Keinginan untuk bergaya sememangnya kuat buat jejaka dua puluhan sepertinya.

Zamri menghubungi kembali rakan-rakan karibnya yang bekerja di Kuala Lumpur. Bila berkesempatan, dia akan pergi menemui mereka sambil bersantai di kompleks beli-belah, makan-makan atau menonton wayang. Dia seronok melihat kemajuan rakan-rakannya dalam kerjaya dan hidup. Ada yang sudah bertunang, ada yang sudah berumah tangga, dan ada juga yang sudah bercahaya mata!

Namun, falsafah hidup Zamri menyimpang tidak lama selepas itu. Persepsinya berubah setelah bertemu sekelompok kenalan universiti yang bekerja sebagai penganalisa kewangan bank. Pemikiran dan tingkah laku mereka menarik hatinya. Mereka berfikiran terbuka, berpewatakan, menonjol dan berkeyakinan, seolah-olah mengetahui rahsia dunia dan sudah mengecap puncak kejayaan! Zamri amat terharu diterima mereka dengan mesra. Zamri mula berjinak-jinak mengikuti rentak dan gaya hidup kawan-kawan barunya itu.

Pada hari minggu, kawan-kawan barunya ini bersantai dengan klien di kelab-kelab golf. Pada malam minggu pula, mereka berseronok di kelab-kelab malam. Gadis-gadis tergila-gilakan mereka.

Asalnya, Zamri kekok melewati kelab malam. Asap rokok berkepol-kepol, bau alkohol meloyakan, tempatnya padat dengan manusia dan muziknya terlalu kuat buat Zamri. Dia malu-malu. Gadis-gadis di kelab malam cantik dan seksi. Mereka sering mengusiknya. Tetapi, sejak dia mula meneguk minuman keras, perasaan kekoknya beransur-ansur hilang. Dia lebih relaks dan bersahaja. Dia naik selesa dengan gadis-gadis di sana. Sudah beberapa kali, dia pulang bersama pasangan. Melewati kelab malam memberikan Zamri kenikmatan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Keyakinan dirinya melonjak!

Keadaan berbeza buat Zamri di Bentong. Kerjayanya lekeh. Kawan-kawan sekerjanya kekampungan, tidak berpewatakan dan kolot. Biarpun sering menyelesaikan masalah syarikat, pengurus tidak menaikkan pangkatnya. Dia tetap seorang pemandu lori. Zamri punyai wang, tetapi masih ada kekosongan. Dia mahu disanjungi seperti rakan-rakannya di Kuala Lumpur. Untuk itu dia perlukan jawatan besar. Status!

‘Bobby aku nak kau lakukan sesuatu, boleh?’ soal Zamri kepada supervisor penebang balak yang berketurunan kacukan Cina dan orang asli.

‘Untuk kau, apa sahaja Zam!’ senyum Bobby. Sementara itu Zamri membukakan peta hutan kawasan menebang dan meletakkannya ke atas meja Bobby menikmati teh petang.

‘Aku nak kau luaskan operasi dari sini sampai ke sini’, Zamri membulatkan kawasan menebang dan kemudian membuat garisan ke arah sungai berhampiran.

Eh Zam, itu dah keluar dari kawasan yang dibenarkan. Dah masuk hutan simpan. Sampai ke sungai pula tu. Ada banyak kampung bawah sana ‘, Bobby menunjukkan kawasan-kawasan kampung yang dikatakannya.

‘Tak ada apa-apa lah Bobby. Kalau kita buat ni, dapat banyak tau!’, Zamri mengenyitkan matanya.

Hurrmmm’, fikir Bobby.

‘Lagipun, syarikat kita selalu buat benda-benda macam ni, kita senyap-senyap sahajalah, bukan Mr. Fong tahu pun!’, pujuk Zamri sambil merenung tenang ke arah Bobby.

Okay Zam! Bahagian aku ada kan?’, kali ini Bobby pula mengeyitkan matanya.

‘Itu pasti. Kau orang kuat, Bobby!’, Zamri memeluk bahu Bobby sambil menggoyang-goyangkan tubuh mereka. ‘Macha, teh tarik kaw satu..!’

Bobby pakar tentang selok belok hutan, terutamanya di daerah Bentong. Peta baginya hanya sebagai rujukan. Itu pun jarang-jarang diperlukannya. Jika ada kes orang hilang atau sesat di dalam hutan, khidmat Bobby sebagai penjejak ditagih polis. Kehadiran dia sahaja membuatkan pasukan pembalak yakin. Mereka ikut perintah Bobby tanpa soal. Kerana itu, Bobby sangat berharga kepada buat pembalakan Mr. Fong.

Pada waktu yang dijadualkan, Bobby memulakan operasi gelap mereka. Bobby mengarahkan pasukan penebang menebang mengikut kawasan yang ditetapkan Zamri tempoh hari. Balak-balak yang mereka perolehi berkualiti tinggi. Mana tidaknya, mereka menebang di kawasan hutan simpan! Bobby kemudiannya mengarahkan jentolak untuk mengumpulkan kayu balak berkualiti berasingan dari logokan utama. Ini akan memudahkan Zamri untuk mengatur penghataran balak-balak berkualiti itu ke kilang papan yang sepatutnya. Kata hatinya, untung besarlah kali ini!

Apabila Zamri tiba dengan pemandu-pemandu lain, dia terkejut melihat kayu balak yang telah diasingkan Bobby. Kebanyakkannya dari jenis Cengal! Ada juga kayu Damar, Meranti dan Jelutong! Saiz lilitan yang besar-besar menandakan kayu balak ini sangat matang. Cepat-cepat Zamri dan Bobby mengarahkan jentolak untuk memuatkan kayu balak tersebut ke lori Zamri dan rakan-rakannya. Dalam perjalanan ke kilang papan, Zamri berkata dalam hatinya, untung besarlah kali ini!

Penghantaran balak-balak ini mengambil beberapa pusingan, seminggu lamanya. Bukan sahaja kerana kuantitinya yang banyak, tetapi bagi mengelakkan syak pekerja-pekerja lain. Sementara menunggu kayu balak tersebut dihantar ke kilang, Bobby dan seorang lagi jurukira bergilir-gilir menjaganya.

Setelah kesemuanya dihantar, Zamri bertemu dengan tauke kilang papan untuk mendapatkan bayaran. Kali ini dia perolehi imbuhan berlipat ganda, jauh lebih lumayan dari biasa. Zamri peruntukkan setengah untuk dirinya dan setengah lagi diagih-agihkan kepada rakan-rakan.

Zamri tidak pernah membayar keuntungan mencuri balak secara tunai. Sebaliknya, Zamri akan depositkan bahagian masing-masing ke dalam akaun. Untuk memastikan wang haram itu tidak dapat di kesan, Zamri telah berpakat dengan pengurus bank untuk melenyapkan rekod transaksi. Ini semua bagi merahsiakan kegiatan mencuri balak mereka.

‘Zam, banyak kali ni ya?’, ujar Bobby kepada Zamri sambil tersenyum lebar.

Shhh, jangan kuat-kuat’, pesan Zamri kerana akauntan syarikat berada selang beberapa meja dari mereka..

‘Ini semua kerana kepintaran kau Bobby!’, sambung Zam yang kemudiannya menghirup teh tariknya.

‘Terima kasih Zam! Rancangan kau sebenarnya’, sambung Bobby, ‘Eh, kau ada dengar tak yang orang kampung sudah mula bising. Sungai mereka berlumpur!’

Relax Bobby, kejap sahaja tu. Nanti senyap lah!’, ujar Zam. ‘Dah-dah. Jom makan!’

Selepas minum petang, Zamri terus melawat kampung-kampung di hilir sungai yang mereka membalak tempoh hari. Memang betul kata Bobby, sungai berkeledak dan cetek. Airnya tidak sejernih dahulu. Zamri terserempak dengan seorang wanita kampung. Apabila ditanya mengapa sungai berubah, dengan berang wanita itu menyalahkan kegiatan pembalakan di hulu sungai!

Selepas seminggu, kemarahan penduduk kampung melonjak. Keadaan sungai kian buruk disebabkan hujan. Lumpur bertambah likat. Terdapat banyak sisa-sia pembalakan seperti dahan-dahan yang dihanyutkan air, membahayakan kanak-kanak yang bermain di sungai. Sungai semakin cetek dan alirannya tersekat-sekat akibat lambakkan sisa-sisa pembalakan. Beberapa kampung sudah pun dilanda banjir.

Kemarahan penduduk kampung mendapat perhatian seorang anak muda yang prihatin. Setelah melihat sendiri keadaan sungai, anak muda itu mengadakan rapat-rapat umum di kampung dan desa yang disinggahinya. Ucapan pemuda itu bertenaga. Dia berjanji untuk menyampaikan keluhan penduduk kampung kepada wakil rakyat dengan tegas! Dia berikrar untuk membawa syarikat balak terbabit ke muka pengadilan! Kelantangannya berpidato menaikkan semangat penduduk kampung. Mereka merasakan bahawa akhirnya, suara mereka didengari dan hak mereka terbela!

Kemarahan meluas inilah yang ditunggu-tunggu oleh Zamri. Melalui proksi, Zamri melaporkan kegiatan pembalakan haram syarikat balak Mr. Fong kepada pihak polis dan jabatan hutan. Siasatan di lokasi pembalakan mengesahkan bahawa kawasan hutan simpan telah diceroboh. Kegiatan yang sama juga mengakibatkan sungai tercemar. Bukti-bukti menunjukkan bahawa syarikat pembalakan Mr. Fong bersalah.

Bukan itu sahaja, apabila dilakukan siasatan lanjut melalui rekod dan lejer pembalakan, mereka dapati syarikat Mr. Fong ada terlibat dalam pembalakan haram yang lain. Lesen dan tender-tender pembalakan Mr. Fong digantung. Pertuduhan sudah pun difailkan ke mahkamah.

Mr. Fong yang separuh usia itu menjadi tertekan. Dia dimarahi wakil rakyat dengan keras. Sebagai seorang anak jati, Mr. Fong malu dengan penduduk Bentong. Sebelum kes salah laku syarikatnya tersebar, keluarga Mr. Fong amat disayangi masyarakat. Kini, dia tidak tahu di mana hendak meletak mukanya!

‘Man, kaulah satu-satunya kawan aku, dari kita kecil dahulu. Aku sangat stress sekarang ni!’, bicara Mr. Fong kepada Leman, ayahnya Zamri.

‘Banyak-banyak bersabarlah Fong. Aku faham perasaan kau’, pujuk Leman.

‘Malu sangat Man! Orang kampung mengata aku macam-macam! Tentang syarikat pun aku tak tau nak buat apa dah. Anak-anak aku bukan kata tak minat, nak balik Bentong pun berat! Polis lagi, mahkamah lagi. Adoi, apalah nasib aku ni Man’, keluh Mr. Fong.

‘Sabar Fong, ada jalannya tu’ pujuk Leman lagi.

Pada ketika itu, Zamri pulang ke rumah. ‘Abah! Dah makan?’ jerit Zam yang yang memasuki rumah dari pintu dapur.

‘Zam mari depan, Mr. Fong ada ni!’ pekik Leman.

‘Selamat petang Mr. Fong. Sudah minum?’, Zamri menyertai ayahnya dan Mr. Fong di ruang tamu.

Eh tak payah susah-susah Zamri. Saya sudah minum sama abah kau di kedai mamak’.

‘Zamri, kau ni budak baik, rajin dan pandai. Kau pun banyak buat untung kepada syarikat. Kau kena tolong aku Zamri’, sambung Mr. Fong.

‘Betul tu Zam, kau kena tolong Mr. Fong ni!’, sampuk Leman.

Okay, nanti saya fikirkan. Mr. Fong jangan risau sangat. Kena jaga kesihatan. Nanti bila saya dapat idea, saya hubungi Mr. Fong’, pujuk Zamri.

Selepas dua minggu, Zamri bersama ayahnya pergi ke rumah Mr. Fong. Mr. Fong kelihatan sugul. Mr. Fong yang dahulunya seorang yang dominan dan yakin, kini kelihatan kecundang. Rambutnya, putih dan nipis. Kulitnya pucat dan berkedut. Tubuhnya membongkok dan pergerakkannya perlahan. Dia kelihatan tidak berdaya.

Ruang tamunya besar, tetapi tidak se-gah dahulu. Kini, tonggang-langgang. Terdapat bantal dan selimut di sofa utama. Paket-paket makanan dan bungkusan minuman lama bersepah di sana sini. Rupa-rupanya, isteri Mr. Fong telah meninggalkannya. Anak-anaknya cuba menolong. Tetapi, tidak lama kerana tidak tahan dengan sikap Mr. Fong yang pemarah dan sukar bertengkar. Mereka sudah pulang ke rumah masing-masing. Mr. Fong kini keseorangan. Sebatang kara. Kemurungan! Mr. Fong memberitahu Leman dan Zamri yang dia berhajat untuk membunuh diri!

Leman dan Zamri memujuk Mr. Fong. Mereka memapahnya ke bilik tidurnya. Leman temankan Mr. Fong mandi dan bersiap, manakala Zamri mengemas ruang tamu yang bersepah itu. Ini membuatkan fikiran Mr. Fong lebih segar dan tenang. Setelah dipujuk, dia akhirnya bersetuju untuk keluar makan dengan Leman dan Zamri.

Zamri membawa mereka pergi makan di pekan Raub. Tujuan Zamri membawa mereka ke pekan Raub yang terletak 45 minit perjalanan dari Bentong supaya Mr. Fong melihat dunia. Leman pun tahu restoran kari kepala ikan kegemaran Mr. Fong. Masa mereka muda, Mr. Fong selalu belanja Leman makan di situ.

‘Terima kasih banyak-banyak Leman. Kau ni memang kawan sejati!’, kata Mr. Fong sambil membaham nasi yang kuantiti kuah karinya seperti sup.

Eh, jangan lah cakap macam tu. Kau lagi banyak bantu aku. Lebih-lebih masa isteri aku sakit! Aku lagi banyak terhutang budi!’, ujar Leman.

‘Kau pun Zamri. Untung bapak kau ada anak macam kau ni’, toleh Mr. Fong kepada Zamri.

‘Tak ada lah Mr. Fong’, senyum Zamri.

‘Mr. Fong saya ada satu cadangan, macam mana untuk selesaikan masalah syarikat’, kata Zamri perlahan-lahan.

‘Macam mana tu Zamri. Tolonglah aku ni. Aku dah tak larat sangat dah!’, pinta Mr. Fong.

‘Beginilah Mr. Fong, apa kata saya buat pinjaman bank dan ambil alih syarikat? Beli kesemuanya. Mr. Fong tak perlu risau dah. Rehat sahaja lepas ni’, cadang Zamri dengan berhati-hati.

‘Alhamdulillah!‘, jerit Mr. Fong. Terperanjat berganda Zamri dan ayahnya!

‘Aku memang berdoa untuk ini Leman. Akhirnya dapat juga aku balas budi kau Leman! Semua aset syarikat, dari lori sampai ke pejabat, aku turunkan kepada kau Zamri. Esok kita jumpa peguam. Okay? Kalau kau tak minat pun Zamri, kau jual sahaja dan ambil apa yang dapat!’ jelas Mr. Fong. Zamri dan Leman masih tak percaya apa yang Mr. Fong cakapkan.

‘Esok kau ambil aku ya Zamri. Bawak abah kau sekali’, pesan Mr. Fong

‘Kenapa kau dua beranak ni?!’, dambung Mr. Fong melihat Leman dan Zamri yang tergamam.

‘Kau masuk Islam ke Fong?’ soal Leman.

‘Hahahahaha!’ ketawa Mr. Fong sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Sejuk hati Leman melihat kawanya kembali ceria!

Selebihnya adalah sejarah. Keesokkan hari, Mr. Fong memindahkan hak milik syarikat beserta aset-aset sepenuhnya kepada Zamri. Bukan itu sahaja, dia memberi cek dua juta ringgit buat Leman. Semuanya seperti mimpi..

Di kemudian hari, dua bujang tua yakni Mr. Fong dan Leman banyak menghabiskan masa bersama. Mereka menghabiskan waktu pencen sebaik-baiknya – menjejaki kawan-kawan lama serata Malaysia – dan juga melancong bersama rombongan selingkungan umur mereka.

Zamri tersenyum lebar. Dia tak percaya dengan nasib baiknya. Asalnya, dia merancang untuk memberi tekanan kepada Mr. Fong untuk jualkan syarikat kepadanya. Tetapi akhirnya, Zamri mewarisi syarikat secara percuma! Ini memudahkan Zamri melangsaikan saman – hukuman yang dikenakan kepada syarikat kerana menebang di kawasan larangan. Tak sampai satu per tiga pun simpanan Zamri terusik. Melalui rundingan dengan pihak berkuasa, Zamri berjaya menhidupkan kembali tender-tender yang dibekukan. Zamri kini mempunyai platform untuk berkembang dan mencapai puncak kejayaan. Dia bukan lagi pembawa lori, tetapi seorang tauke balak!

‘Bobby, kau ingat tak bila kita lari ke satu kampung masa jabatan hutan serbu hari tu?’, soal Zamri.

‘Ahh, Kampung Selamat! Ingat!’, jawab Bobby.

‘Masa tu ada seorang budak tengah ceramah! Kau ingat tak? Kau kenal budak tu?’, soal Zamri lagi.

Laah.. Dialah Hamzah!’


Ke KAJI SELIDIK

Ke Sinopsis

Ke Bab I

Ke Bab II

 

%d bloggers like this: