Kaji Selidik Penulisan: Fiksyen Projek 1. Draf 1 – Bab II

II

ZAMRI

Selepas menamatkan pengajian tertieri, Zamri pulang ke Bentong. Dia pulang ke Bentong semata-mata kerana ingin berada dekat dengan ibunya yang tidak sihat. Sejak berumur 13 tahun, Zamri berjauhan dengan keluarga kerana bersekolah asrama dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke universiti di Kuala Lumpur. Pada fikirannya, tibalah masanya dia kembali untuk berbakti kepada orang tua.

Peluang pekerjaan yang berkait dengan pengkhususan ijazahnya terhad di Bentong. Zamri berkelulusan Sarjana Ekonomi. Selama 2 tahun, Zamri bekerja sebagai pembantu pengurus dan pembantu akauntan di beberapa buah perniagaan di Bentong. Gaji yang diterimanya sangat rendah berbanding dengan apa yang diperolehi rakan-rakan yang bekerja di Kuala Lumpur. Bukan sahaja jumlahnya kecil, kadang-kadang Zamri dibayar lewat dan kadang-kang tidak dibayar langsung. Keadaan kewangan Zambri mendukacitakan. Makan minum sendiri pun bercatu inikan hendak menyara orang tua.

Akhirnya, Zamri mengambil keputusan berhenti kerja, akur dengan kebodohannya memperhambakan diri hanya untuk mengayakan orang lain. Tetapi alasan utama dia berhenti kerja adalah kesihatan ibu. Ibunya menghidapi kanser usus peringkat empat.

‘Zam’, panggil ibunya yang terlantar di katil hospital.

‘Ya Mak!’ Zam bangkit dari kerusi dan melutut di sebelah katil.

‘Zam, Mak rasa, Mak tak lama dah Nak’, ujar ibunya sambil minitiskan air mata.

‘Jangan cakap begitu Mak. Doktor baru cakap dengan Zam yang keadaan Mak bertambah baik!’ Zam cuba memberi semangat kepada ibunya.

‘Sikit jer lagi rawatan chemo ni. Bila habis, kita rehat di rumah ya!’ sambung Zam.

‘Zam, Mak nak kau janji dengan Mak! Bila Mak meninggal, Zam kena jaga Abah dan adik-adik’, pinta si ibu. Zamri terdiam. Sebak menusuk ke hatinya.

‘Zam…’, ibunya menoleh perlahan-lahan ke arah Zamri dan merenung ke matanya. ‘Zam…’

‘Zam berjanji mak!’, berderai air mata Zamri, lalu memeluk ibunya erat-erat.

Pada malam itu, ibunya tidak sedarkan diri. Sesuatu yang tidak dijangkakan doktor. Ibunya dipindahkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi). Zamri cepat-cepat mengumpulkan seluruh ahli keluarganya. Ayah memang sentiasa ada di hospital atau di rumah, mengambil cuti tanpa gaji, bergilir dengan Zamri menemani ibu. Manakala, dua orang adiknya bergegas pulang dari universiti di Kuala Lumpur.

Setibanya adik-adik Zamri, dikhabarkan bahawa kondisi ibu semakin kritikal. Zamri bersama ayah dan adik-adiknya hanya mampu menunggu di koridor ICU dengan gelisah. Setelah beberapa jam, doktor yang merawat ibunya keluar dan memanggil mereka. Dengan nada yang sayu doktor memberitahu bahawa segala usaha untuk menstabilkan ibu tidak berhasil. Keadaannya nazak. Berita yang meluruhkan hati-hati mereka!

Ibu ditempatkan di katil paling hujung di penjuru ICU berhampiran tingkap. Cuaca di luar mundung beserta hujan renyai-renyai. Si ibu terlantar kaku. Tiub dan wayar berlingkaran menyambungkan dia dengan mesin bantuan hayat dan monitor. Rauk wajah ibu kelihatan tenang seperti tenangnya dia ketika memeluk anak-anaknya yang baru lahir.

Namun, bacaan di monitor tidak setenang wajahnya. Nombor-nombor pada monitor berwarna merah dan berkelip-kelip. Peratus oksigen, denyutan jantung dan tekanan darahnya menurun perlahan-lahan. Sehingga akhirnya, tiada bacaan.

Ibu menghembuskan nafas terakhir di sisi ayah yang mengusap rambut sambil berbisik syahadah ke telinganya. Adik-adik terduduk layu di sisi katil menggengam tangan ibu. Zamri tertunduk memegang kaki katil. Garisan turun naik pada monitor kini panjang mendatar. Tiada yang tidak berair mata. Tiada saat yang lebih pilu.

Zamri menguruskan urusan jenazah dan pengebumian. Segalanya lancar. Ramai yang solat dan mengiringi jenazah ke kuburan. Jiran sekampung, kenalan dan sanak saudara dari jauh dan dekat tidak putus-putung melawati mereka untuk memberi semangat. Mak Lang sekeluarga yang tinggal berjiran dengan keluarga Zamri banyak membantu, terutamanya dalam memastikan mereka selesa dan cukup makan minum.

Setelah seminggu dan semuanya reda, adik-adik pulang ke universiti. Dalam terik mentari, kala menunggu bas di stesen Bentong, Zamri berikan kata-kata semangat dan juga sedikit wang buat bekalan adik-adiknya. Ayah tidak ikut bersama kerana terlalu sedih. Pemergian ibu benar-benar meninggalkan kesan kepada ayah Zamri. Ayahnya yang terkenal dengan kecekalan seolah-olah hilang arah dan putus harapan.

Buat kali pertama setelah kelihangan ibunya, Zamri bersendirian. Beliau memandu kereta buruk Datsun bapanya dan berhenti di tepi sungai yang sunyi. Di situ Zamri menangis sepuas-puasnya. Setelah puas meluahkan kesedihan hati, Zamri menetapkan azam! Dia bersumpah, walau dengan apa cara sekali pun, dia mesti mencari wang yang banyak supaya ayahnya tidak perlu bekerja dan masa depan adik-adiknya terjamin. Itu janjinya kepada ibu!

‘Abah, lepas ni Abah tak payahlah kerja, Abah dah tua’, pujuk Zamri kepada ayahnya, Leman.

‘Tak boleh Zam, adik-adik kau tu tak habis belajar lagi. Sapa nak tanggung?! Nanti kau ada anak sendiri, kau tau lah’, tegas Leman.

‘Takpe nanti Zam cari kerja untuk tanggung abah dan adik-adik’, jelas Zamri.

‘Merepek! Kau tu asyik tukar-tukar kerja. Sekarang pun tak kerja! Kau pergi sahajalah ke Kuala Lumpur.’, jawab Leman.

‘Mana boleh, siapa nak jaga Abah?!’, suara Zamri lantang.

‘Kau jangan risau tentang aku. Lagipun siapa nak ganti kerja aku. Aku segan dengan Mr. Fong. Kita banyak terhutang budi pada dia’, Leman tetap bertegas.

Okay macam ni lah abah. Zam akan ganti tempat Abah. Abah kena rehat sahaja. Darah tinggi tu naik nanti, susah pula. Ini kata akhir. Noktah!’, Zamri tidak berganjak.

Mmmm, nantilah aku fikirkan!’, Leman tahu, tidak berguna bertengkar dengan Zamri bila anaknya itu tidak mahu mengalah.

Akhirnya, Leman bersetuju dengan syarat Zamri mengambil tempatnya sebagai pemandu lori balak di syarikat pembalakan Mr. Fong, walaupun untuk seketika.

Pada mulanya, Zamri gementar untuk memandu lori membawa balak. Mana tidaknya, dia perlu memasuki hutan, melalui laluan tidak berturap, menyusuri lereng-lereng tiada penghadang – tidak kira hujan atau ribut, siang mahupun malam. Dia pernah mendengar kisah kematian dua orang rakan ayahnya yang kemalangan, lori terhumban ke dalam gaung.

Zamri kentalkan hati demi ayah dan adik-adiknya. Dengan sokongan dan tunjuk ajar kawan-kawan ayahnya, perasaan gementarnya beransur-ansur hilang. Dengan pengalaman dan kebolehan yang bertambah baik, Zamri akhirnya yakin dan selesa memandu lori balak.

Satu kualiti Zamri yang tidak boleh disangkal adalah kecerdikan akal. Kepintarannya menyelesaikan masalah teserlah. Cadangan-cadangan terutamanya berkaitan dengan jadual menebang dan logistik semuanya bernas. Keseluruhan operasi bertambah efisien. Penebang tidak perlu bekerja sekuat dahulu dan syarikat meraih keuntungan berlipat ganda. Besertakan kualiti kepimpinan yang tinggi, Zamri menjadi individu yang dipercayai rakan-rakan serta majikan.

Kepercayaan itulah yang dimanipulasi Zamri untuk mencuri kayu balak bagi meraih pendapatan lebihan. Dia tidak sanggup lagi memperhambakan diri untuk mengayakan orang lain!

Zamri merancang untuk mencuri balak menggunakan aset syarikat. Secara rahsia, dia menghasut beberapa rakan untuk bersekongkol dengan alasan gaji mereka tidak setimpal dengan risiko kerja. Kaedah operasinya mudah. Longokan balak direkod kurang oleh jurukira yang terlibat bersama. Lebihan balak akan dibawa oleh Zamri dan kuncu-kuncunya ke kilang papan yang tidak mempunyai hubungan dengan syarikat. Dengan itu, kehilangan kayu balak tidak muncul dalam akaun syarikat. Zamri sudah pun membuat perjanjian sulit dengan sebuah kilang papan. Dia juga bijak mengatur waktu untuk menyeludup balak-balak supaya tidak timbul syak wasangka.

Kegiatan mencuri balak menghasilkan pulangan lumayan kepada Zamri. Pendapatan ektra ini membolehkan dia memperbaiki kualiti kehidupan keluarga. Zamri menyewakan apartment yang selesa dan berhampiran universiti untuk adik-adiknya. Buat ayahnya, Zamri binakan rumah batu sederhana besar bagi menggantikan rumah kayu yang sudah usang. Dibelikan ayahnya kereta Wira Aeroback, model terbaru Proton ketika itu. Belanja dapur yang mewah diberikan kepada Mak Lang yang menjaga makan minum ayah. Untuk rawatan darah tinggi ayahnya, Zamri pindahkan jagaan kesihatan dari hospital kerajaan ke hospital swasta.

Barulah Zamri merasakan yang dia anak berguna!


Ke Bab III

Ke Sinopsis

Ke Bab I

Ke KAJI SELIDIK

%d bloggers like this: