Kaji Selidik Penulisan: Fiksyen Projek 1. Draf 1 – Bab I

I

Bayu bukit bertiup dingin. Kabus pagi melindungi mentari. Ungas berkicau mengiringi alunan anak sungai yang memukul batu-batuan. Seorang anak kecil berlari-lari mengejar kucing . Dialah Hakim.

Pada usia 10 tahun, seperti anak-anak lain, Hakim gemarkan aktiviti luar. Dia bertuah kerana mempunyai perkarangan rumah yang besar. Rumah yang bapanya gelarkan ‘Teratak Hamzah dan Keluarga’ itu terletak di pinggir bukit. Terdapat anak sungai yang jernih melintasi lapangannya.

Hakim tidak mempunyai rakan sepermainan kerana rumahnya terpencil dari perumahan penduduk Bentong yang lain. Abangnya, Halim, 5 tahun senior darinya pula tidak mahu bermain dengannya lagi. Dahulu, abangnya turut gemar mengejar kucing, memanjat pokok dan bermain di anak sungai. Kini, dia lebih suka bersendirian mendengar muzik, melayari internet dan bermain video game.

Dari jendela dapur si ibu, meninjau sekeliling rumahnya mencari Hakim. Di mana pula Hakim ni, kata hatinya. Bukanlah Dayang risau akan keselamatan anaknya. Rumah mereka bertembok tinggi dan mempunyai pengawal keselamatan. Dayang mahu memanggil Hakim makan dan mandi pagi. Mereka harus bersiap kerana akan bertolak ke Kuala Lumpur kelak.

Kelibat Hakim muncul di bawah pohon yang merendangi anak sungai. Dia sedang membaling batu-batu kecil ke arah sekumpulan burung liar yang bertenggek di dahan pohon itu. ‘Hakiiiiim!’, teriak ibunya.

Hakim memeluk kaki ibunya setibanya dia di tangga dapur. Ibu mengusap-usap rambut Hakim yang tidak terurus lalu mencium pipinya yang masam. Hakim masih manja. Mungkin kerana dia bongsu.

‘Kenapa tak bagi tahu mama, Hakim keluar tadi?’, soal ibunya sambil mencubit pipi Hakim.

‘Mama masak apa?, soal Hakim tanpa menjawab soalan ibunya tadi.

‘Cuba teka?’, soal Dayang semula.

‘Nasi Lemak?’

‘Yey!’ laung Hakim kepada senyuman manis ibunya.

Dayang jarang masak pagi kerana anak-anaknya lebih sukakan roti bakar sebelum ke sekolah. Lain pula pada cuti sekolah. Dia akan memasak breakfast kegemaran putera-puteranya seperti Nasik Lemak, Bihun Putih dan Karipap Sardin.

‘Pergi kejut Abang’, arah Dayang. Hakim pun berlari hingga ke kaki tangga dan menjerit-jerit nama abangnya, sehingga abangnya menyahut. Lantas, dia berlari semula ke dapur untuk makan. 5 minit kemudian, dalam keadaan malas dan separuh sedar Halim menyertai ibu dan adiknya di meja dapur. Apabila ibunya cuba mencium pipinya, Halim mengelak. Selepas makan, jenuh Dayang mengerah putera-puteranya supaya bersiap.

Pemandu keluarga, Encik Minhat telah pun menempatkan minivan Toyota Estima milik keluarga di hadapan pintu utama. Beg-beg pakaian mereka sudah dia masukkan awal-awal lagi. Sementara menunggu, pemuda kampung itu berehat di batu besar di tebing anak sungai, menikmati pemandangan sambil merokok. Terlihat sahaja tiga beranak keluar dari rumah, Minhat bergegas ke arah mereka dan mengucapkan selamat pagi. Mereka pun berangkat ke Kuala Lumpur.

Minivan yang membawa mereka menyusuri jalan kampung yang bertemankan sungai-sungai, bukit-bukau, dan pohon-pohon yang rendang. Perjalanan merentasi beberapa desa yang permai, termasuk kampung Minhat sebelum memasuki pekan Bentong. Dari pekan Bentong, ia memasuki lebuh raya Karak dan menuju terus ke KLIA.

Minhat menjeling ke rear view mirror untuk memeriksa penumpang-penumpangnya. Halim berada di tempat duduk paling belakang sambil menonton sesuatu pada tabletnya. Di hadapannya, Puan Dayang sedang merenung jauh. Ibu muda berusia 30an itu sentiasa mempersona Minhat. Wajahnya ayu, berkulit putih, berambut ikal paras bahu dan susuk anak dara. Pemakaian, gerak geri dan perwatakan yang lembut dan tenang menjelmakan aura sofistikasi yang mempersona, lebih-lebih lagi buat anak kampung seperti Minhat.

Hakim pula, berubah-rubah tempat duduk. Pada mulanya dia duduk bersama abangnya di belakang. Setelah terjadi pergaduhan kecil, Hakim berpindah ke tempat duduk bersebelahan ibunya. Macam-macam soalan Hakim dijawab ibunya dengan penuh minat. Ada seketika Dayang membenarkan Hakim duduk di atas ribanya. Kemesraan ibu dan anak itu menyayat hati Minhat yang kehilangan ibu sejak kecil.

Apabila minivan mereka memasuki Kuala Lumpur, Hakim memanjat ke tempat duduk hadapan untuk melihat bangunan-bangunan pencakar langit.

‘Abang Min rasa itu apa?’ Soal Hakim kepada Minhat sambil menudingkan jarinya ke arah Menara Kuala Lumpur.

‘KL Tower’ jawab Minhat.

Pandai!’, puji Hakim.

‘Tu apa?’

‘KLCC’

‘Pandaaaai!’

‘Hakim, jangan ganggu Abang Min. Dia nak driving!’, marah ibunya.

‘Tak apa lah Puan Dayang, okay jer’, jawab Minhat.

‘Kan Abang Min! Kita geng. Ha mama, itu apa?!’

Soal jawab ala kuiz itu berlanjutan sepanjang mereka merintasi kota raya Kuala Lumpur. Minhat tidak kisah melayan telatah Hakim. Malah, ia membantu pemanduannya . Sukarang-kurangnya tidaklah dia rasa mengantuk. Minhat juga seronok dan selesa dengan kepintaran dan kepetahan Hakim.

Setibanya mereka di KLIA, Dayang membawa Halim dan Hakim ke Food Court di tingkat dua untuk makan tengah hari yang sedikit lewat. Penerbangan ayah mereka hanya akan mendarat setengah jam lagi. Menunggu bagasi dan proses imegresen serta kastam sekurang-kurangnya akan mengambil masa satu jam tambahan. Memandangkan ada lebihan masa selepas makan tengah hari, Dayang membawa anak-anaknya ke Anjung Tinjau untuk melihat pesawat berlepas dan mendarat. Sebenarnya, kedua-dua Halim dan Hakim sudah jemu dengan pemandangan ini. Mereka pun sudah biasa menaiki kapal terbang.

Tiba-tiba kedengaran suara orang dewasa memanggil ‘Halim! Hakim!’ Sosok Hamzah tiba-tiba muncul mengejutkan kedua-dua anaknya. Sebenarnya, Hamzah dan Dayang telah merancang untuk bertemu di Anjung Tinjau kerana kerana balai ketibaan selalunya padat dengan manusia. Halim gembira melihat ayahnya. Tanpa bertanya khabar, dia mahu tahu apakah ole-ole yang ayahnya beli dari Shanghai untuk mereka. Hakim pula seperti acuh tak acuh apabila bapanya meraba-raba rambutnya.


Ke Bab II

Ke Sinopsis

Ke Bab III

Ke KAJI SELIDIK

%d bloggers like this: