Dari Pudu ke KLCC

I

Aku tiba di Puduraya jam 6.30 petang, tepat pada waktu bertolak bas yang sepatutnya membawa aku ke Kuantan. Cadangnya ingin tiba lebih awal, tetapi perjalanan ke Puduraya luar biasa sesaknya. Sepatutnya aku lebih bijak meramal keadaan trafik pada hari itu – hari Jumaat, ambang cuti Tahun Baru Cina.

Aku dihantar ke Puduraya oleh adikku yang menyumpah sepanjang perjalanan. Aku yang sepatutnya risau tetapi dia pula yang berang! Tak apalah, kata hatiku, juga lidahku untuk tenangkan kami berdua. Radio langsung tidak membantu. Penyampai-penyampai radio baik stesen Melayu mahupun Inggeris, tak habis-habis dengan jenaka yang mereka sahaja rasa kelakar. Mungkin pendengar lain seronok mendengar ketawa terbahak-bahak mereka, kami tidak!

Sebaik kereta adikku tiba di pintu utama Puduraya, aku segera keluar dan memanjat tangga besinya, hampir-hampir terlupa beg sandang yang ditinggalkan di tempat duduk belakang. Di puncak tangga, aku salut ala komando ke arah adikku lalu bergegas memasuki ruang utama Puduraya.

Tujuan seterusnya adalah kaunter tiket bas yang berada di tingkat 3, untuk bertanyakan nombor platform dan nombor bas. Aku menyegerakan langkahku sambil mengelak manusia. Dalam kekalutan itu, aku rasakan kelainan pada keadaan sekeliling. Hah, Puduraya sudah berubah! Ruang utama yang dahulunya malap, stuffy dan berbau asap kini cerah dan berhawa dingin. Kios-kios makanan ringan lebih tersusun. Kedai-kedai jahit seluar jeans, kasut dan jaket kulit sudah tiada, digantikan dengan ruang menunggu yang luas.

Tiada masa untuk berlegar-legar. Aku memanjat tangga ke tingkat 2 dan menaiki eskalator untuk ke tingkat 3. Dari tadi, aku diganggu ulat-ulat tiket. Pada mulanya aku tepis tawaran mereka dengan baik, tetapi selepas beberapa ulat aku hanya tunjukkan tiketku tanda sudah bertiket. Tiada masa untuk melayan kerenah mereka, aku perlu segera ke kaunter tiket!

Ramai pula manusia yang beratur di kaunter bas. Masa sudah 6.40 petang. Di hadapanku ada 5 pemuda Bangladesh. Pemuda-pemuda Bangladesh yang asalnya tertib beratur tiba-tiba mengerumuni kaunter. Berlaku dialog yang panjang antara mereka dan gadis di belakang kaunter. Aduh, cepatlah!

Masa 6.50 petang dan mereka masih belum habis. Entah apa yang dibalahkan. 5 minit kemudian, barulah selesai dan pemuda-pemuda Bangladesh tersebut beredar ke tepi kaunter. Aku cepat ke kaunter dan bertanyakan nombor platform dan nombor bas sambil menunjukkan tiketku. Gadis comel berkulit putih, berambut lurus keperangan paras bahu di belakang kaunter itu kelihatan muak apabila aku tanyakan soalan tersebut. Sambil memuncungkan bibir merah jambunya kepada pemuda-pemuda Bangladesh yang betul-betul berdiri di sisiku, gadis tersebut berkata, ‘bas dah pergi, sekarang pukul berapa bang?’

Aku langsung tak terperanjat. Memang sudah dijangkakan kerana jam hampir 7.00 malam. Sepuluh tahun yang lalu mungkin aku bertindak seperti pemuda-pemuda Bangladesh, cuba mendapatkan penjelasan. Tetapi, aku kini lebih redha. Lagipun, memang sudah lewat, salah aku.

Kali ini dengan lebih manis entah sinis, gadis kaunter itu menjawab, ‘sampai Isnin, semua dah habis’ kepada soalanku tentang tiket seterusnya. Aku pun beredar dari kaunter dengan kecewa.

Sambil keringatku dikeringkan oleh deruan bayu aircond tepat di atas kepala, seorang ulat menghampiriku. Aku duduk manakala dia tercegat berdiri. Bagaikan tahu yang aku ketinggalan bas serta destinasiku, dia menawarkan tiket baru, jam 12.00 tengah malam, pada harga 10 ringgit lebih – tak boleh tawar! Sial punya ulat, kapilatis bermodalkan kesempitan orang!

Memang aku terdesak dan harga tiket ulat itu sebenarnya berbaloi, tetapi idea kena penjuru begini menyakitkan hati. Sial! Hurmm, aku buat-buat berfikir sambil merenung walkie-talkie yang tersangkut pada vest kulit ulat tersebut. Setelah puas membuatkan ulat itu tertunggu, aku jawab ‘okay!’ Dia pun menghubungi seseorang dengan walkie-talkie nya dan menjemput aku ikut bersama. Dibawanya aku ke kaunter syarikat yang sama tadi! Memang sial!

Aku cepat-cepat membayar tiket di kaunter tanpa mengambil kisah tentang gadis kaunter yang aku syak bersekongkol. Ketika menerima tiket, aku tidak berkata apa-apa atau berpelakuan lega seperti sepatutnya. Aku segera beredar turun ke ruang utama Puduraya. Selesai sudah urusan aku di tingkat 3!

Walaupun rasa tertipu, aku sebenarnya lega. Nasibku mungkin lagi buruk dek ketinggalan bas. Sekurang-kurangnya, dapat juga pergi ke Kuantan. Elok juga tiket 12.00 tengah malam. Aku boleh tidur dalam perjalanan. Dengan jem cuti Tahun Baru Cina, aku akan tiba pada pagi keesokkan harinya. Jika aku ambil bas 6.30 petang tadi entah pukul berapa sampainya nanti.

Cabaran sekarang adalah apa yang harusku buat? Jam menunjukkan 7.20 malam. Aku ada 2 setengah jam lebih. Nak makan, perut masih kenyang. Aku jamah Mc Chicken bersama adikku tadi. Selepas mundar mandir tanpa tujuan di sekitar ruang utama Puduraya, betul-betul di hadapan Klinik 1Malaysia, aku dapat satu ilham. Hah, dari membazirkan masa di sini, baik aku pergi ke Kinokuniya, KLCC!

II

Aku keluar Puduraya dari pintu hujung yang satu lagi, nun jauh bertentangan dari Klinik 1Malaysia. Sebelum menuju ke pintu keluar, aku singgah ke pusat penyimpanan beg berbayar. Kadarnya sangat berpatutan tetapi tahap keselamatan agak mencurigakan. Beg sandangku, ku tinggalkan jua. Jika hilang pun tak mengapa. Tiada apa-apa yang berharga.

Eskalator panjang turun mendatar membawaku keluar dari Puduraya ke persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Tun Perak. Disebelah kiri Hotel Ancasa dan sebelah kanan Menara Maybank. Persimpangan itu sibuk dengan manusia dari kenderaan. Jenis manusia yang memenuhi kaki lima rata-rata kaum pekerja dan siswa-siswi yang ingin pulang ke kampung. Banyak juga peminta sedekah dan mereka yang terbiar di situ.

Pelan ku ke KLCC mudah. Menapak sepanjang Jalan Tun Perak ke Stesyen Masjid Jamek dan menaiki LRT ke KLCC. Tetapi di persimpangan Jalan Pudu – Tun Perak itu, aku terlihat ramai manusia berkumpul di jalan belakang kompleks Kota Raya. Perasaan ingin tahu membuatkan aku mengambil keputusan untuk melencong ke sana sekejap.

Terkejut apabila aku tiba di jalan belakang Kota Raya (Jalan Tan Siew Sin). Ribuan pendatang Bangladesh, hampir kesemuanya lelaki, membanjiri kaki lima jalan tersebut. Sesaknya bagaikan ayam-ayam di reban komersial. Barangsiapa yang memandu kereta pastinya menyesal kerana laluannya dipenuhi dengan manusia yang melintas. Suasana bagaikan pesta. Tak mungkin ianya satu protes kerana tiada sepanduk dan mereka kelihatan gembira.

Ada yang berjalan, ada yang berdiri sambil berbual dan ada yang bertenggek di kaki lima sambil makan kacang. Mereka yang berkumpulan berpegangan tangan dan meletakkan lengan di atas bahu rakan. Ini mengingatkan aku masa kecil dahulu. Waktu aku kecil, berpegangan tangan dan mendakapi bahu kawan adalah amalan biasa lelaki dewasa. Apatah lagi kami budak-budak. Namun, resam ini pupus dari masyarakat kita. Mungkinkah kita terikut dengan persepsi barat yang menganggap berpegangan tangan sesama lelaki itu gay? Aku tidak pasti – tetapi itulah sebabnya aku geli-geleman untuk pegang kawan sejantinaku!

Dalam ramai-ramai manusia, seorang pemuda Bangladesh yang membawa sebuah kotak oblong menyapaku, ‘abang mau beli jam?’ Dibukakan kotak cangkat yang mengandungi jam pelbagai jenama. Aku menolak dengan baik, ‘takpe lah, saya sudah ada jam!’ Dari jelinganku, jam-jam itu kemungkinan berasal dari pembekal yang sama dengan penjaja jam Petaling Street. Ramah, pemuda Bangladesh tersebut terus merayu, ‘murah saja abang!’, mengoyang-goyang kepalanya sambil tersenyum menyerlahkan barisan gigi yang sihat dan putih. Sumpah, ada sedetik ketika barisan gigi tersebut memancarkan cahaya biru muda yang menyilaukan penglihatan hasil pantulan lampu neon berdekatan. Silaunya tak ubah seperti ‘glare’ yang disengajakan dalam filem-filem Hollywood terkini!

Dari terus menghampakan pemuda itu, aku bertanya, ‘kenapa ramai sangat orang malam ni?’. ‘Ini semua cuti C.N.Y – Chinese New Year!’, jawabnya sambil menutup dan memasukkan kotak jam ke dalam beg galasnya. ‘Kilang tutup 3 hari, kami jalan-jalan, tinggal kongsi kawan, enjoy-enjoy cari awek!’, pemuda itu memetik jari sambil kenyitkan matanya. Gedik Bangla ni, kata hatiku. ‘Sudah berapa lama you di Malaysia?’. ‘6 bulan!’, jawabnya. ‘Ahh, kalau you mau cari awek-awek cun kena pergi Bukit Bintang atau KLCC. Sini semua jantan!’ kataku. Muka pemuda Bangladesh berkerut sesaat sebelum kembali bergeliga. ‘Betul-betul-betul! Okay Abang. Thank you!’, besar senyumnya kali ini. Pemuda itu menepuk lenganku lalu pergi, melintasi jalan dan ditelan lautan manusia.

Aku sambung perjalanku. Tersenyum aku mengenangkan telatah pemuda Bangladesh itu. Hakikatnya, dia dan ribuan pendatang Bangladesh di situ manusia seperti kita yang punya keinginan dan cita-cita untuk berjaya. Aku kagum dengan semangat pemuda Bangladesh itu. Beliau optimistik dan ceria walaupun terpaksa merantau sebatang kara ke negeri orang untuk mencari rezeki.

Hakikatnya, dia dan ratusan ribu pendatang Bangladesh adalah mangsa tolak-ansur penguatkuasa ekomoni negara terhadap ketamakkan golongan kapitalis yang memperhambakan pendatang asing untuk buruh murahan demi memaksimakan keuntungan. Bukan sahaja gaji yang diberikan tak berpatutan, kerja melampau dan kualiti hidup mereka terabai. Itu tidak termasuk penghinaan oleh segelintir rakyat Malaysia yang memandang rendah kepada mereka.

Jam sudah 8.20 malam! Cis, andainya tidak melencong ke sini, sudah sampai aku ke Kinokuniya! Aku mempercepatkan langkahku dan memasuki lorong ke kanan yang menemukan aku dengan Jalan Tun Perak – jalan yang berbumbungkan landasan LRT menghala ke Masjek Jamek.

Jalan Tun Perak dan lorong-lorong kecil yang bercambah darinya mempunyai karakter tersendiri. Keunikan yang sebenarnya memalukan! Di sini bertaburan peminta sedekah dan mereka yang terbiar – gelendangan. Kaki-kaki lima terutamanya di lorong-lorong kecil dipenuhi gelendangan yang tidur bergelempangan, bertilamkan kotak-kotak lama. Baju koyak-koyak, rambut kusut masai dan susuk kurus hingga ke tulang!

Aku pasti kesukaran hidup menjejaskan mental mereka. Aku terlihat seorang gelendangan terduduk, merenung panjang. Apalah sejarah hitam yang dikenangkan, atau masa depan yang digundahkan, atau keluarga yang dirindukan?

Dimanakah saudara dan teman-teman? Dimanakah jemaah Islam, Pusat Zakat dan Jabatan Agama? Jabatan Kebajikan? GLC? Taikun-taikun yang mahakaya? Rakyat Malaysia?!

Sudahlah, usah hipokrit dan katakan tiada kemiskinan. Kemiskinan berleluasa! Sepanjang jalan Tun Perak, di tengah-tengah ibu negara, tertonjol kemiskinan tegar! Usah buat-buat sedih dan simpati. Jujur, aku pun sama hipokrit. Perasaan belas kasihan hanya sekilas lalu tanpa diikuti perlakuan. Aku tinggal sahaja gelendangan di situ. Aku lebih risaukan waktu penutup Kinokuniya dari mereka yang tagihkan bantuan!

Sumbangan aku dari tadi hanyalah RM 1 kepada peminta sedekah di tangga Stesyen LRT Masjid Jamek. Tidakku pasti samaada ianya ikhlas atau hanya untuk menyedapkan hati.

III

Eskalator yang membawaku dari ruang utama Stesyen Masjid Jamek ke platform bawah tanah, panjang dan menjunam. Dinding di kiri dan kanannya dihiasi papan-papan iklan yang berulang-ulang. Aku berdiri disisi kiri eskalator untuk memberi ruang kiranya ada yang ingin memotong. Hari itu tiada. Kesemua yang menaiki eskalator berdiri malas. Masa yang diambil eskalator untuk tiba ke platform sudah cukup untuk mengeringkan peluh di muka dan tengkukku.

Setibanya aku di platform, papan digital di situ menunjukkan jam 8.50 malam dan tren seterusnya akan tiba 3 minit lagi. Mintalah Kinokuniya tutup pukul 10.00 bukannya 9.00 malam. Jika tidak sia-sialah perjalanan aku ini!

Jumlah manusia yang menunggu di platform kurang dari biasa. Mungkin itulah sebab mengapa aircond terasa luar biasa dinginnya. Tren yang bertentangan tiba dahulu dan ramai di kalangan penumpang yang turun membawa beg pakaian. Begitu juga tren aku.

Aku menaiki gerabak yang depan sekali. Di bahagian sebelah kanan gerabak terdapat sekumpulan gadis genit berpakaian sendat, ber-make-up tebal, rambut panjang paras pinggang – kelihatan sangat bahagia bersama rakan-rakan. Gelak ketawa mereka memenuhi gerabak. Loghat bahasa menunjukkan mereka datang dari Indonesia. Mungkin kilang mereka juga tutup sempena Tahun Baru Cina. Tersenyum aku. Kalaulah pemuda Bangladesh yang cuba menjual jam kepadaku tadi ada sekali, pasti dia teruja!

Aku mengambil tempat duduk di bahagian sebelah kiri gerabak. Terdapat 2 orang anak cina baya tadika, seorang lelaki dan seorang perempuan, duduk di bingkai cermin hadapan gerabak. Mereka menekapkan wajah ke cermin tersebut. Apalah yang menarik perhatian kanak-kanak ini pada kegelapan terowong di hadapan?

Ketika tren mula bergerak kanak-kanak cina yang berada di bingkai cermin itu menggelongsor jatuh ke bawah seperti nangka busuk. Risau aku. Tetapi, apabila melihat wanita cina yang duduk setentang dariku tersenyum dan ketawa mesra bersama kanak-kanak yang sedang bangkit dan memanjat kembali bingkai cermin – aku jadi lega. Kemungkinan wanita yang sedikit tembam dalam lingkungan usiaku itu ibu kepada anak-anak tersebut. Ketika tren berhenti, momentum mereka membawa muka, kaki-tangan dan seluruh badan melekap pada cermin hadapan. Kali ini aku turut tertawa!

IV

Aku tiba di KLCC jam 9.10 malam. Antrum KLCC yang beratapkan kaca dihiasi ribuan tanglung-tanglung merah yang bergantungan. Lantai marmarnya berkilauan memantulkan cahaya lampu. Deretan kedai-kedai memperagakan jualan dengan menarik dan warna-warni. Pengunjung pelbagai usia, budaya dan keturunan menikmati keindahan ruang dalam KLCC. Pasti ramai lagi di luar sana, di taman KLCC yang rimbun dengan pohonan dan air pancur yang bercahaya. Tiada wajah yang tidak ceria.

Tiba-tiba aku terdengar satu suara menyeru namaku berulang kali. Aku berpusing-pusing mencari dari mana arah suara yang memanggilku. Akhirnya, ku lihat seorang jejaka tinggi berambut lurus berselang uban, berbaju kemeja berlipat lengan, berjalan ke arahku. Tenung punya tenung, baru aku perasan siapakah gerangan jejaka yang sudah hampir denganku itu. Jeff!

Jeff adalah kawan remajaku. Dahulunya dia amat minat kepada muzik rock alternatif. Dia boleh bermain gitar dan ada kumpulan rock-nya sendiri. Aku tak boleh ingat nama band-nya walaupun setiap kali mereka keluarkan demo atau album, Jeff pasti berikan satu salinan kepadaku. Jeff dan rakan muziknya semuanya mempunyai attitude yang bersahaja dan mudah bergaul. Kami terpisah sejak memasuki universiti. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa perkahwinan Jeff kira-kira 10 tahun lalu, itu pun buat beberapa minit di atas pentas pelamin.

Laah, kau masih kurus macam tu jugak’, sapaku.

Haha, tak sangka jumpa kau kat sini’, ujar Jeff.

Selepas berbual kosong, Jeff yang kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat minyak multinational mengajakku untuk makan di Dome, KLCC. Masa berjumpa dengan Jeff tadi, keinginanku untuk ke Kinokuniya hilang serta merta. Kerana itu aku bersetuju untuk temankan dia makan malam.

Kami duduk di bahagian luar Dome yang mengadap taman KLCC kerana kami merokok. Biarpun jam sudah 9.45 malam, ramai lagi manusia yang bersantai di sana. Cahaya flash kamera bertali arus menyusuri macam-macam gaya posing manusia berlatar-belakangkan Kuala Lumpur, air pancur KLCC, taman KLCC, masjid KLCC dan semestinya menara kembar KLCC.

Jeff memesan kopi dan sandwich ayam cajun, manakala aku hanya memesan Chocolate Shake. Pesanan kami tiba dengan agak pantas. Melihat sandwich Jeff yang menyelerakan, aku pun meminta pelayan bawakan sandwich yang sama seperti Jeff untukku.

‘Aku tak duduk PJ lagi dah’, ujar Jeff sambil mengunyah sandwichnya.

‘ Aku sekarang duduk kat Bangi, tapi anak-anak aku duduk dengan ex-wife aku!’, sambung Jeff. Terlihat sedikit kesedihan pada riak wajahnya.

Aku sebenarnya tersentak dengan berita tersirat itu tetapi tidak berkata apa-apa. Aku tahan dari kelihatan simpati, tetapi menunjukkan sokongan kukuh kepadanya.

‘Tapi ada benda yang aku rasa mungkin kau berminat’, katanya.

‘Hah?’, soalku sedikit konfius.

‘Takde kena mengena dengan aku bercerai. Itu nanti aku story lain kali, panjang ceritanya!’, jawab Jeff bagi meredakan kebingunganku.

‘Kau ingat tak member-member band aku dulu? Kita orang sekarang dah bukak rumah anak yatim!’, jelasnya.

‘Biar benar!’, reaksi spontan yang keluar dari mulutku.

‘Ada 10 anak yatim, kami sewa rumah di Damansara,..self funded,… makan-minum kami tanggung, sekolah.……’ katanya dengan penuh semangat.

Tumpuan aku tidak lagi kepada kata-kata Jeff tetapi ironi yang dipersembahkan kepadaku. Jeff dan kawan-kawan rock-nya  yang dahulu ‘selamba’, kini membuka rumah anak yatim? Sukar untuk aku percaya!

Ironinya bertambah bila aku fikirkan perihal kawan-kawan lama yang dahulunya alim dan kaki usrah. Hanya seminggu lepas aku bertemu mereka. Setelah mendapat pekerjaan yang baik, mereka lebih mementingkan diri sendiri. Cakap-cakap mereka berkisar tentang mengejar harta dan pangkat – siapa yang berumah dan kereta besar, siapa ada doctrate dan dato’, macam mana nak gandakan pendapatan dan sebagainya. Ada juga yang mula menggatal sempena memasuki usia pertengahan. Alangkah lainnya pemikiran mereka yang sepatutnya warak dengan Jeff yang rock!

Oi kau dengar tak apa yang aku cakap ni?’, desak Jeff. Tersentak aku dari lamunan. Tersedak asap aku dibuatnya.

‘Dengar, tengah pikir ni!’ jawabku.

‘Jomlah join tolong masa weekends, kau pun boleh sponsor!’, rayu Jeff dengan semangat.

Sure. Nanti kau bawaklah aku pi sana dulu’, jawabku semata-mata untuk tenangkan dia.

‘Ok boleh!! Bila kau nak pi?’

‘Lek lu, bak nombor telifon kau, nanti kita adjust lah!’.

‘Alrite!’, lafaz Jeff kepuasan.

Macam-macam topik lain yang kami bualkan, terutamanya hal kawan-kawan lama. Banyak juga cerita kelakar yang disingkapkan. Sedar tak sedar, masa sudah 11.15 malam. Jeff yang sedar dahulu dan syorkan kami bergerak supaya aku tak tertinggal bas buat kali kedua. Jeff sudah berjanji untuk menghantar aku ke Puduraya. Jeff membayar bil dan kami bangkit untuk meninggalkan KLCC.

Semasa berdiri untuk beredar, pandangan aku tertambat kepada satu sosok yang betul-betul mencuri perhatian. Ku lihat pemuda Bangladesh yang cuba menjual jam kepadaku tadi! Beliau sedang tersengih manja melambai-lambai kepada sekumpulan gadis di bibir kolam air pancur KLCC! Aku beredar dalam keadaan tersenyum!

~ Selesai ~


Jemput setai kaji selidik mengenai cerpen di atas.

Terima Kasih!

%d bloggers like this: