Anak Borneo di Dataran Merdeka

I

Di sebuah bilik apartment, seorang anak muda bernama Simon merenung ke luar jendela. Pemandangannya singkat, terbatas oleh blok apartment bertentangan. Terlihat pelbagai telatah manusia melalui tingkap-tingkap blok di hadapannya. Ada yang menonton TV, ada yang sedang makan dan ada yang sedang berbual. Kipas-kipas berputar ligat.

Simon melihat ke bawah, antara dua blok itu. Terlihat barisan kereta milik penghuni apartment yang diparkir di bahu jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Simon meluruskan pandangannya. Terlihat sebuah stadium yang bercahaya. Di sebelah stadium itu terdapat kawasan gelap yang luas. Di situlah Tasik Permaisuri, tempat Simon berjogging dengan Julia. Simon tidak sabar untuk bertemu Julia!

Oi Simon, kau intai orang lagi kah?!’, sapa Jaleh, rakan sebilik Simon yang hanya bertuala, baru keluar dari bilik mandi.
Hah, apa yang kau merepek ni. Cepatlah siap!’, arah Simon.
‘Kenapa kau pakai t-shirt kolar tuck in?’ gelak Jaleh
‘Ikut suka aku lah. Ini gaya hipster!’, jawab Simon.
Mmm, ye ke? Nak jadi hipster pulak kau ni. Sabar jer lah’, usik Jaleh.
‘Siaplah cepat, nanti tertunggu pulak Julia dan kawan-kawannya!’ tegas Simon.

Simon terus merenung ke luar jendela. Dia mendongak ke langit. Cerah, tidak berawan. Bintang-bintang berkelipan bagaikan permata-permata halus menerangi malam.

Simon berasal dari Kota Belud, Sabah. Pekannya kecil. Tidak banyak hiburan ataupun akitiviti perniagaan. Majoriti penduduknya terdiri dari petani tradisional. Orang Bajau menduduki daerah pesisir pantai, manakala orang Dusun tinggal di kawasan berbukit-bukit.

Simon terkenangkan kampung. Rumah papannya, tinggi bertiang enam di lereng bukit. Dari tangga tempat dia selalu bertenggek, kelihatan Laut China Selatan di sebelah kanan, manakala hutan dara di sebelah kiri. Setentang dengan tangga kayu itu kelihatan atap-atap rumah jiran di lereng bawah. Kemudiannya, lerengan-lerengan padi bukit, beralun-alun, saujana mata memandang!  Pada pagi yang cerah, Gunung Kinabalu tesergam gagah memagari lerengan-lerengan padi bukit yang terdampar dihadapannya!

Simon bercita-cita untuk pergi ke Kuala Lumpur sejak dari kecil. Simon sangat tertarik kepada Dataran Merdeka. Pelbagai perayaan dan pertunjukkan pentas diadakan di sana. Lampu-lampu dan perhiasannya mempersonakan. Ribuan manusia berkumpul di situ. Wajah-wajah mereka, semuanya ceria! Setiap kali acara di Dataran Merdeka ke udara di kaca TV, Simon pasti teruja dan menontonnya dengan penuh minat!

Kini, cita-citanya tercapai. Sudah tiga tahun Simon berada di Kuala Lumpur. Semenjak Simon berhijrah ke Kuala Lumpur, banyak kali dia ke Dataran. Malah, pada malam itu, Simon akan menyambut Tahun Baru bersama kawan-kawannya di Dataran Merdeka.

Kala Simon melamun, Jaleh gegas menyiapkan diri. Dia mangambil seluar jeans yang tersepuk di atas tilamnya dan kemeja dari almari kain. Cepat-cepat dia menyarungkan pakaian. Dia mengenakan gel rambut yang banyak. Rambutnya digayakan seperti Christiano Ranaldo, belah tepi. Ini baru hipster!, kata hatinya.

‘Jom!’, teriak Jaleh.
‘Tuala kau tu, sangkutlah dulu’, arah Simon sambil menudingkan jarinya ke arah tuala lembab yang tergelimpang di atas tilam Jaleh.
Okay-okay!‘, ujar Jaleh. Dia pun menyidaikan tualanya ke atas para kayu di kaki katil bujangnya.

Simon dan Jaleh pun meninggalkan apartment mereka, menaiki lif untuk turun ke lobi dan berjalan ke pagar utama, lokasi janji temu rakan-rakan Sabah mereka. Dari jauh, sudah kelihatan Sylvia, Emelda dan Julia. Dari jauh, sudah terdengar Sylvia membebel!

Penglihatan Simon lebih tertumpu kepada Julia. Julia berketurunan Kadazan-Dusun, berkulit licin dan putih. Wajahnya bujur. Matanya besar. Hidungnya tirus. Senyumannya manis. Rambutnya hitam dan lurus, sedikit beralun. Susuknya langsing. Julia kelihatan ayu dengan jeans ketat dan tshirt belang biru-putih yang longgar. Dari jauh, Simon dapat melihat senyuman manis Julia!

Julia berlainan dari rakan-rakan Simon dari Sabah. Rakan-rakan Sabahnya yang lain hapenning dan peramah. Julia tenang dan lembut. Sedikit malu-malu. Itu yang membuatkan Simon tertarik dan selesa dengan Julia.

Oi, kau ni selalu saja lambat!’, ulang Sylvia kepada Jaleh dan Simon.
Lah cakap pukul 8. Kau orang yang cepat. Nak marah-marah pulak!’, tegas Jaleh.
‘Kau tengok jam betul-betul. Sudah pukul 8.05!’, hujah Sylvia yang comel itu.
‘Kami sudah tunggu 15 minit’, sampuk Emelda, kakak Sylvia, tanpa perasaan.
‘Tak apalah. Bising-bising pun nanti lambat lagi. Kita nak makan dulu kan?’, pujuk Julia.
‘Betul tu Julia!’, sambut Simon.
Hah, kau ni apa saja Julia kata, mesti betul!’ kata Sylvia lantas mengorak langkahnya.

Lima sekawan itu pun bergerak, melintasi simpang empat dan terus menyusuri laluan pejalan kaki yang melewati Masjid Tasik Permaisuri dan deretan panjang apartment pencakar langit. Selalunya, apabila keluar berlima, mereka akan menumpang kereta Myvi Emelda. Malam itu mereka menaiki LRT. Parkir sekitar Dataran Merdeka tentunya mustahil pada malam Tahun Baru.

II

Bila keluar bersama, lima sekawan ini akan bergilir membayar makan. Kali ini giliran Simon.

Order?‘, soal pelayan gerai kepada mereka.
‘Simon, kau order lah untuk semua. Kali ini turn kau kan?’, toleh Jaleh kepada Simon.
Eh order lah apa-apa. Tapi janganlah mahal sangat. Haha!’, jawab Simon.
‘Nanti aku order ikan bakar, baru kau tau!’, usik Sylvia.
Eh janganlah macam tu. Goreng-goreng macam biasalah. Haha!’, ujar Simon.
‘Kakak, kasi Nasi Goreng Pataya lima, Teh Ais lima’, order Sylvia. Walaupun paling muda dan bertubuh kecil, Sylvia paling dominan antara mereka.

Sementara itu, Julia merenung Simon, pemuda kacukan Rungus-Dusun yang duduk setentang dengannya. Simon kurus dan panjang. Tulang lengan dan jari-jemarinya jelas kelihatan ketika dia memegang menu makanan. Rambutnya pendek, cacak-cacak. Matanya tajam, hidungnya mancung dan senyumannya manis. Kulitnya sawo matang. Julia tahu, di sebalik tshirt polo ada tatu berbentuk bunga berwarna hitam di dada Simon. Dia lebih suka melihat tubuh Simon tidak berbaju.

Julia mengenali Simon sejak tiba di Kuala Lumpur, setahun yang lalu. Ketika itu dia masih baru berkerja, sebagai pelayan di kafe Hotel Shangri-La. Simonlah yang mengajarnya selok belok menjadi pekerja yang baik. Simon yang mendorongnya untuk menerima jawatan receptionist kerana ianya lebih ringan. Simon jugalah yang memperkenalkan Julia kepada Emelda yang mengajaknya tinggal bersama di apartment sekarang. Sebelum itu, Julia berkali-kali mengadu kepada Simon yang dia selalu diganggu pendatang asing di asrama hotel.

Julia memang selesa dengan sikap Simon yang matang. Simon prihatin dan selalu membantu Julia. Dia gentleman dan pendengar yang baik. Kerana itu, Julia sentiasa mencari peluang untuk bersama Simon. Julia tahu Simon sukakannya, tetapi belum lagi meluahkan perasaan. Julia juga tahu yang Simon tidak akan terburu-buru. Julia pun tidak suka mendesak. Julia senang dengan hubungan mereka ketika ini.

‘Senyap jer kau ni!’, sergah Sylvia. Julia hanya mengangkatkan sudu tanda dia sedang menikmati nasi gorengnya.
‘Sudah tu, kau saja yang tak habis-habis bercakap!’, sampuk Jaleh.
‘Haha!’, ketawa sinis Sylvia.
‘Bila kau nak makan ni?’, sambung Emelda.
Okay, kau orang ingat tak Mimie, budak KK yang kerja di Hotel Istana?’, soal Sylvia dengan semangat.
Haish, makanlah dulu!’, tegas Emelda.
‘Nanti kita sambung ya cik adik. Hahaha!’, gelak Jaleh sambil mengenyit mata kepada Sylvia yang baru sahaja dimarahi kakaknya.

Di sebalik gelak ketawa mereka, Simon sedang fikirkan sesuatu. Dia terkenangkan keadaan kewangannya yang sesak. Pendapatan sebagai pelayan kafe hotel hanya cukup untuk hidup dan bersuka-ria, sekali sekala. Mana tidaknya, saban tahun sewa apartment, petrol, pakaian, makan-minum – semuanya naik. Gajinya masih di takuk lama!

Simon bercita-cita untuk menyara orang tuanya. Dia juga teringin untuk berumah tangga, membeli kereta dan rumah sendiri. Semua itu tidak dapat dilakukannya. Sekurang-kurangnya, biarlah dia mampu belanja kawan-kawannya makan tanpa had!

Simon memang bercadang untuk melanjutkan pelajaran bagi melayakkan diri menjawat jawatan yang lebih baik. Dia minat subjek pengurusan hotel. Simon sering bertanya kepada beberapa eksekutif di hotelnya. Melalui mereka, Simon sudah kenal pasti kolej yang menawarkan kursus part-time. Cuma, simpanannya masih belum cukup untuk membayar yuran pengajian. Jika dia tekun menabung, mungkin setahun lagi Simon mampu mengikuti kursus idamannya itu.

Lamunan Simon tersentak apabila matanya bertentang mata Julia. Hatinya berbunga apabila Julia menguntumkan senyuman mesra.

Oi, apa yang kau orang senyum-senyum ni!’, sergah Sylvia.
‘Hahaha!’, gelak si Jaleh. Emelda tersenyum melihat wajah Julia yang kemerahan kerana malu.
‘Sudah habis makan, semua? Aku nak bayar ni’, balas Simon.
Eh kau jangan nak tukar topik!’, potong Sylvia, sepantas kilat.
‘Hahaha!’, gelak besar si Jeleh. Emelda tidak dapat menahan geli di hatinya lalu turut ketawa.

Sesudah makan, lima sekawan itu berjalan ke arah Stesyen LRT Salak Selatan untuk ke Dataran Merdeka. Sepanjang perjalanan, mereka dihiburkan dengan gosip-gosip Sylvia!

III

Muda-mudi memenuhi LRT yang menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Wajah-wajah mereka segar dan ceria. Riuh-rendah suasana gerabak dek celoteh dan gelak ketawa mereka.

Biarpun tersepit di kalangan manusia sambil berpaut pada tiang besi di tengah-tengah gerabak, Sylvia tetap mencuri perhatian. Jenaka-jenaka dengan loghat Sabahnya yang pekat, mencuit hati semua. Sylvia turut memulakan nyanyian lagu-lagu patriotik. Setiap kali dia memulakan nyanyian, Sylvia akan melaungkan, ‘This is New Year’s Choir!’. Seluruh gerabak pun bersorak ‘New Year!’ berkali-kali sebelum menyanyi bersama! Penyokong kuat Sylvia, tak lain tak bukan, Jaleh! Sementara itu, Simon, Julia dan terutamanya Emelda kebingungan. Lagu-lagu patriotik kendalian Sylvia, seperti lagu Sudirman, ‘Tanggal 31, bulan Ogos..’, langsung tiada kena-mengena dengan sambutan Tahun Baru!

Setibanya di Stesyen LRT Masjid Jamek, mereka bergerak menuju Dataran. Mereka berjalan dalam satu barisan, Sylvia di hadapan and Simon di belakang sekali. Setelah mengelak-elak manusia, mereka tiba di hadapan Mahkamah Tinggi lama. Di situ, keadaannya sesak dengan manusia. Sekumpulan aktivis berpakaian serba hitam sedang mengadakan protes. Mereka kibarkan bendera Malaysia, memegang sepanduk dan bersorak. Manakala polis berbaris, membuat benteng manusia bagi menghalang kumpulan itu dari memasuki Dataran Merdeka. Sayup-sayup terdengar ucapan ketua-ketua mereka melalui pembesar suara – ‘turunkan tol!’, ‘turunkan harga petrol!’, ‘hidup,hidup – hidup Rakyat!’

Emelda cepat-cepat mengenggam lengan Sylvia yang seperti hendak menuju ke arah kumpulan itu. Dia memberi isyarat kepada kawan-kawannya untuk mengikutinya ke Dataran Merdeka. Julia pula tercari-cari Simon yang hilang dari pandangan. Terlihat Simon beberapa langkah di belakangnya, tercegat seolah-olah terpesona dengan ucapan dan sorakan kumpulan protes itu. Julia lekas ke Simon dan memegang tangan Simon. Dia berbisik, ‘Jom Simon, kita dah nak pergi ke Dataran. Jom lah’. Sememangnya Simon tertarik kepada kumpulan itu. Padanya, perjuangkan mereka ada kebenarannya.

Setelah menyelit-nyelit di celah himpitan manusia dan menjawab soal-siasat ringkas polis, lima sekawan itu berjaya meloloskan diri ke Dataran Merdeka. Emelda mengumpulkan mereka di penjuru padang Dataran Merdeka.

‘Kenapa kau nak ke situ tadi?!’, soal Emelda kepada Sylvia dengan lantang. Emelda menunjukkan jarinya ke arah kumpulan protes di hadapan Mahkamah Tinggi lama.
Eerrr..’, tersedu Sylvia kerana kakaknya jarang naik angin begitu.
‘Mereka tu bukan orang baik-baik! Pembangkang! Kita pun bukan di Sabah kau tau! Kena ingat tu. Kalau polis tangkap, macam mana? Siapa nak selamatkan kau? Kau pun sama Jaleh. Dengar tak?!’, bebel Emelda.
Yes mom!‘, jawab Jaleh perlahan.
‘Apa?!’, bulat mata Emelda.

Hi Emelda, Hi Sylvia!’, tiba-tiba suara lelaki menyapa mereka.
Eh Pijan!’, terperanjat Emelda. Lelaki Dayak dari Sibu itu adalah kawan lama Emelda di kolej. Mereka pernah berpacaran seketika.
Hi Abang’, jawab Sylvia. Gembira Sylvia kerana diselamatkan Pijan dari amarah kakaknya. Lalu dia memperkenalkan Jaleh, Simon dan Julia kepada Pijan. Emelda masih terpaku.
‘Ramai kawan-kawan Sabah dan Sarawak berkumpul di situ’, ujar Jaleh sambil menudingkan jarinya ke kawasan padang berdekatan dengan kolum separa bulat di hujung Dataran Merdeka. Emelda hanya mampu tersenyum.
‘Bagus tu, tapi sekejap. Terlupa pulak!, jawab Sylvia.

Sylvia membuka beg tangan/ sandangnya. Dia keluarkan gelang besar fluorescent. Disangkutkan gelang itu ke tengkuk Julia. Kemudiannya, dia menghulurkan kayu plastik sekaki panjang, juga bercahaya fluorescent kepada Jeleh dan Simon. Sylvia seterusnya mengenakan cekak rambut berbentuk telinga kucing yang berkelip-kelip di kepalanya. Ada satu lagi gelang fluorescent dalam beg tetapi tidak dikeluarkan. Asalnya, gelang itu hendak diberikan kepada Emelda tetapi Sylvia bimbang kakaknya berang semula dan rosakkan mood semua.

Suasana di Dataran Merdeka kali ini tidak semeriah ambang Tahun Baru yang lepas. Manusia pun berkurangan. Mereka bergerak rawak atau duduk berkelompok di padang. Pertunjukkan pentas ala kadar. Sistem audio pun perlahan. Dari penjuru tempat mereka berdiri, lagu-lagu yang didendangkan hanya terdengar samar-samar. Mungkinkah kumpulan protes tadi mensabotaj pertunjukkan ambang Tahun Baru?, soal hati Sylvia.

Lima sekawan campur Pijan pun berganjak ke kawasan hadapan kolum separa bulat di hujung padang Dataran Merdeka. Di situ mereka bertemu banyak kenalan baru dan lama dari Sabah dan Sarawak. Kebanyakkan pemuda-pemudi Sabah Sarawak ini bekerja di hotel, pusat membeli belah, hypermarket dan panggung wayang sekitar Lembah Kelang. Ada juga pelajar. Sesudah bergaul, Simon dan Julia duduk berpasangan di atas padang. Emelda dan Pijan duduk tidak jauh di hadapan mereka. Sylvia dan Jaleh pula terus merewang dan bercampur gaul dengan kelompok Sabah Sarawak di situ. Sekali-sekala terdengar ketawa Sylvia di kalangan kelompok itu.

Sejurus berdua, Emelda terus bertanya kepada Pijan yang duduk setentang dengannya – ke mana Pijan pergi selama ini, sekarang kerja di mana dan hal kawan-kawan lama mereka.

Selepas menamatkan diploma, Pijan kembali ke Sibu. Kerana peluang pekerjaan terhad di Sibu, dia berhijrah ke Kuching. Nasibnya di Kuching serupa. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran. Pijan kini mengambil kursus ijazah di UiTM Shah Alam. Katanya, dia cuba menjejaki Emelda sekembalinya dia ke Semenanjung tetapi gagal hinggalah dipertemukan secara tak sangka-sangka malam itu. Emelda gembira apabila tanpa disoal, Pijan menyatakan bahawa dia masih single. Malah, dia tidak pernah berpacaran sejak mereka berpisah.

Keriangan Emelda terganggu apabila dia terdengar suara nyaring Sylvia.

‘Wahai anak-anak Borneo!’, pekik Sylvia, dengan cekak rambut kelap-kelipnya, berdiri di atas tebing batu air pancur di situ. Jaleh, berdiri di sisinya sambil tersenyum lebar.

‘Wahai anak-anak Borneo!…
Dengar sini!…
Kita mesti bersatu!…
Borneo United!…
Negeri kita kaya – ada pelancongan, ada balak, ada minyak! – tetapi kita miskin, papa kedana!..
Kita terpaksa datang ke Melaya…kerja buruh seperti pendatang! Seperti Bangla!…
Oleh itu… Marilah bersatu!’, Sylvia berucap garang seperti Bung Karno!

‘Borneo United, Borneo United!’, laung Jaleh sambil menjulang kedua tangannya yang digoyangkan ke kiri dan kanan. Secara berjemaah, kelompok di hadapan mereka meniru perilaku Jaleh!

Okay, sekarang mari menyanyi!.. Selamat Tahun Baru…’ jerit Sylvia memulakan nyanyian Tahun Barunya dengan irama ‘Happy Birthday to You’.

Emelda bingkas berdiri. Telatah adiknya sudah melampau, tidak terkawal! Namun, langkahnya untuk mendapatkan Sylvia terhenti apabila melihat polis berdekatan sedang ketawa dan mengetuk-ketuk tapak kakinya mengikut rentak nyanyian Sylvia. Cemasnya reda bila ditenangkan Pijan. Pijan menyentuh tangannya tanda tiada apa-apa yang harus dirisaukan. Emelda duduk kembali. Biarpun bibirnya tersenyum, matanya masih menjeling-jeling ke arah Sylvia.

‘Hahaha!’, geli hati Simon dan Julia melihat telatah Sylvia.
‘Jue…’, ujar Simon, merenung jauh ke arah tiang bendera di hujung Dataran bertentangan mereka.
‘Ya.’, Julia menoleh ke arah Simon.
‘Jue, kita sambung belajar nak?’, Simon menoleh ke arah Julia sambil tersenyum.
‘Macam mana tu?, soal Julia.
‘Kita ambil kursus hotel management,  part time. Kita boleh study sama-sama! Bila dah ada diploma, kita boleh kerja di resort-resort sekitar KK. Tak pun di Kundasang. Dekat sikit dengan rumah parents Jue!’, jelas Simon.
‘Bagus tu Simon. Boleh kita balik Sabah!’, ujar Julia penuh harapan.

Tiba-tiba keadaan menjadi teruja. Orang-orang di hadapan mereka bangun serentak. Pembesar suara yang sebelum ini samar-samar, kini jelas kedengaran. ’10, 9, 8…..

Count down Tahun Baru semakin kuat. Kelihatan Sylvia sedang melonjak-lonjak di atas tebing batu air pancur. Jaleh pula terjatuh ke dalam kolam air pancur. Emelda dan Pijan masih duduk bersemuka di hadapan mereka. Simon dan Julia juga masih duduk, berdampingan.

…..3, 2, 1! Happy New Year!’, riuh jeritan manusia sambil berpelukan dan melonjak gembira!

Dom-dom-dom, bunyi letupan bunga api yang silih berganti bagaikan tidak mahu berhenti. Cahayanya keemasan, menerangi malam!

Julia meletakkan kepalanya ke dada Simon sambil memeluk tubuh Simon. Sebelah tangan Simon memegang erat bahu Julia. Julia rasa amat bahagia ketika itu.

Kala menikmati keindahan percikan bunga api bersama Julia disisinya, Simon terfikir, barangkali ada seorang budak di pendalaman Sabah yang sedang teruja menonton kemeriahan Dataran Merdeka ini, di kaca TV!

 ~ Selesai ~


Jemput sertai kaji selidik mengenai cerpen di atas.

Terima Kasih!

%d bloggers like this: