Apabila Rafizi Ditangkap Polis

I

Cara Rafizi diperlakukan polis memilukan rakyat Malaysia.

Rafizi dicekup ketika mahu pulang dari sidang di luar pagar Parlimen. Khabarnya, 10 pegawai polis menahan dan mengarahkan beliau keluar dari kereta dan menaiki kenderaan polis yang menunggu. Beliau kemudiannya dibawa pergi.

Buat seketika, tiada apa-apa berita tentang lokasi beliau. Rakyat Malaysia jadi cemas, takut perkara yang tidak diingini berlaku. Polis pula hanya mengesahkan penangkapan tanpa memberi maklumat terperinci. Berbekalkan maklumat yang terhad serta beberapa foto amatur, media sosial sarat dengan spekulasi. Selain menyatakan kebimbangan, rakyat menuntut penjelasan!

Beberapa jam kemudian, kelibat Rafizi muncul. Beliau dibawa ke ibu pejabat KEADILAN, ke pusat khidmat dan kemudiannya ke kediaman beliau oleh polis penyiasat. Setelah digeledah premis-premis tersebut, beliau ditahan di Balai Polis Jinjang.

Keesokkan harinya, Rafizi muncul di Mahkamah Majistret Putrajaya dalam keadaan seolah-olah bergari. Ini membuatkan rakyat Malaysia marah. Mereka merasakan tidak patut seorang wakil rakyat lebih-lebih lagi seorang tokoh seperti Rafizi diperlakukan begitu. Berlatar-belakangkan pelbagai kes penyelewengan yang tidak di bawa ke muka pengadilan, kes ini kelihatan selektif dan berbaur politik. Kebetulan pada masa yang sama, anak Perdana Menteri yang dikaitkan dengan Panama Papers tidak pula disiasat.

Rafizi dituduh di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen sulit yang menurut beliau mengaitkan 1MDB dan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dengan kelewatan pembayaran gratuiti pesara tentera . Beliau ditahan reman 3 hari.

Upacara solidariti di Balai Polis Jinjang pada malam harinya mendapat sambutan besar. Sehari kemudian, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang pula berarak dari Parlimen ke Bukit Aman. Di media sosial, mesej sokongan dari rakyat Malaysia tidak putus-putus.

II

Reaksi marah rakyat Malaysia ini normal. Manusia yang berperikemanusiaan tidak boleh melihat manusia lain teraniaya. Ianya natural kerana keadilan merupakan naluri kemanusiaan. Lihat kepada sejarah ketamadunan, dari zaman nabi-nabi hingga ke era sekular – prinsip keadilan (justice) tetap diutamakan dan sentiasa diperjuangkan.

Kerana itu, apabila Rafizi ditangkap, jiwa rakyat Malaysia terkesan. Sama seperti kes-kes Akta Hasutan dan juga Anwar Ibrahim.

Tetapi, luahan perasaan marah rakyat Malaysia, lembut (mild). Perasaan marah kita hanya diluahkan melalui media sosial. Kadangkala, ada juga perhimpunan tetapi (syukurlah) perhimpunan-perhimpunan dalam negara semuanya aman. Jika perkara yang sama berlaku kepada masyarakat lain, ada kemungkinan berlaku rusuhan.

Selain dari budaya ketimuran, ‘kelembutan’ ini disebabkan kongkongan kerajaan Barisan Nasional . Sudah berdekad-dekad kita dikongkong dengan pelbagai intimidasi. Lihat kepada nasib segolongan kecil yang kritikal. Buat pelajar dan golongan pertengahan – ada yang digantung pengajian, dinafikan peluang naik pangkat, ditukar atau dibuang kerja. Seperti yang sedang dilalui Rafizi, kadangkala intimidasi undang-undang digunapakai.

Apabila insiden begini berulang berkali-kali buat jangka masa yang panjang, ia meninggalkan kesan kepada minda masyarakat. Rakyat jadi takut untuk menentang ketidakadilan. Mana tidaknya, setiap manusia ingin berjaya dan siapa yang sanggup mengadai kebebasan? Kerana itu Rafizi luar biasa. Beliau berani dan sanggup menghadapi risiko dipenjarakan demi kepentingan rakyat. Memang patutlah beliau diangkat sebagai wira.

III

Kes Rafizi ini mencetuskan persoalan tentang keberkesanan sistem perundangan negara terutamanya dari sudut kedaulatan undang-undang (rule of law). Undang-undang berdaulat bermaksud undang-undang yang agung (supreme) di mana tiada siapa yang kebal darinya. Bila ada golongan yang kebal dari undang-undang, maka undang-undang itu tidak berdaulat. Begitu juga bila terdapatnya dua set undang-undang – contohnya, satu set untuk pemimpin dan satu lagi untuk orang kebanyakkan.

Hanya apabila undang-undang sesebuah negara itu berdaulat, rakyat terlindung dari penindasan dan hak mereka terjamin. Jika tidak, ketidakadilan akan berleluasa biarpun negara tersebut mempunyai sistem perundangan.

Dalam kes Rafizi, dimanakah kedaulatan undang-undang apabila ada sesetengah individu kebal dari undang-undang? Dimanakah kedaulatan undang-undang apabila mereka yang dikaitkan dengan rasuah tidak didakwa manakala pendedah maklumat pula yang didakwa?

Satu lagi persoalan yang timbul dari kes Rafizi adalah mengenai kriteria rahsia rasmi kerajaan. Adakah dokumen atau bukti penyelewengan boleh diketegorikan sebagai rahsia? Jika ya, mudahlah penguasa melakukan rasuah kerana salah laku tersebut dilindungi undang-undang!

IV

Masyarakat yang toleran kepada ketidakadilan hanya menggalakkan kezaliman. Ya, protes melalui media sosial mampu membangkitkan kesedaran masyarakat. Tetapi, dalam konteks negara kita, kaedah ini sukar untuk mengubah apa-apa. Sudah banyak kes penyelewengan yang mulanya hangat dibincangkan berlalu begitu sahaja dan dilupakan tanpa akauntibiliti.

Jika ditanya, ‘jadi, apa yang harus kita buat?’. Saya akan syorkan agar kita lebih teratur dalam memberi tekanan melalui media sosial serta program-program seperti ceramah, forum dan perhimpunan. Tetapi sejujurnya, saya pun tidak tahu. Barangkali Rafizi sudah temui jawapannya, hingga terdorong untuk melakukan apa yang beliau lakukan, bagi mempasak persoalan-persoalan di atas ke hati dan minda rakyat Malaysia.

Wallahu a’lam

#BebasRafizi

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: