Ke Mana Hala Tuju Pembangkang?

I

Bahang kota raya Kuala Lumpur memuncak dek terik mentari dan haba manusia. Bayu yang mendiam dan fenomena El-Nino tidak membantu. Di pinggir Dataran Merdeka pada hari yang sama, tanggal 2 April 2016 berlangsunglah himpunan #UndurNajib #MansuhGST.

Biarpun tidak semeriah Bersih 4, atau setegang Bersih 2.0, mahupun sebesar Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 –  himpunan ini memiliki signifikannya sendiri.

Perhimpunan #Undur Najib #MansuhGST ini bermula agak hambar. Tetapi, suasana lesu tersebut bertukar meriah bila kumpulan-kumpulan Pasar Seni, Sogo dan Masjid Jamek bersatu di tapak pilihan kedua iaitu pinggiran Dataran Merdeka. Ketika itu, polis telah pun membuat benteng halangan ke tapak asal iaitu Padang Kelab DiRaja Selangor. Saiz himpunan tidak mengecewakan, kurang-kurang 5000 orang.

Himpunan ini dihadiri oleh muka-muka yang sama. Kemesraan terpancar apabila mereka bersua. Namun, ramai lagi rakan seperjuangan yang tak kelihatan. Rakan-rakan PAS juga tiada. Jauh sekali rakyat kebanyakkan!

Punca utama kehadiran yang rendah adalah perbezaan pendapat antara pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan. Jurang perbezaan ini melebar apabila pimpinan Pakatan membuat keputusan untuk bergabung dengan golongan kecewa Barisan Nasional. Gabungan longgar yang mengangkat Tun Mahathir sebagai gembala mempunyai satu tujuan sahaja, hanya dan semata-mata untuk menjatuhkan Najib.

Jika ada janji reformasi, ia ibarat melepaskan batuk di tangga kerana agenda pihak-pihak yang bergabung, berbeza. Satu pihak mahu selamatkan Barisan, manakala satu lagi ingin Barisan tumbang pada PRU-14. Ada juga yang ingin bebaskan Anwar walaupun tidak termaktub dalam deklarasi. Letaklah slogan semanis mana pun, #SelamatkanMalaysia, Deklarasi Rakyat – tidak mungkin berlaku reformasi institusi kerana visinya singkat.

Kecelaruan percaturan politik seperti ‘Langkah Kajang’ dan perbalahan sesama sendiri hingga terbubarnya Pakatan Rakyat masih segar dalam ingatan. Ini membuatkan pengikut sangsi tentang kebijaksanaan pemimpin mereka. Kecurigaan ini, beserta cuaca panas dan kesempitan ekonomi menyebabkan kebanyakkan ‘kaki demo’ tinggal di rumah.

Penglibatan kaum Tionghua pula jauh berkurangan jika dibandingkan dengan Bersih 4. Selain dari kecelaruan politik dan pengaruh cuaca, ia kemungkinan berpunca dari prejudis terhadap Tun Mahathir dan UMNO yang dianggap perkauman.

Maka, tinggallah penyokong tegar serta pejuang sentimental. Terdapat juga anak-anak muda yang benar-benar bersemangat dan idealistik. Mereka ini ibarat pahlawan terakhir kota Pakatan kala teman-teman dikaburi kesangsian dan noda keselesaan.

II

Di tengah-tengah tapak perhimpunan ada pentas kecil di mana penceramah berceramah garang. Di situ juga ketua-ketua sorak mengetuai sorak. Laungan ‘Undur Najib’ dan ‘Mansuh GST’ disahut lantang setiap peserta. Terdapat selingan hiburan seperti persembahan muzik dan lagu-lagu ‘sing along’. Tidak kira yang berpanas mahupun yang berteduh di bawah pokok, semuanya terhibur.

Dalam kerancakkan acara, tiba-tiba suasana menjadi tidak teratur. Rupa-rupanya ada kejutan. Tun Mahathir muncul!

Suasana menjadi teruja. Yang bukan pengawal pun berebut-rebut hendak mengawal – menyusahkan Tun bergerak, tetapi akhirnya selamat ke pentas. Laungan ‘Reformasi’ dan ‘Bebas Anwar’ bertali arus hingga terpaksa ditenteramkan penganjur agar Tun boleh berucap. Ketika itu, pentas jadi sesak dengan mereka yang ingin sepentas bersama Tun biarpun tiada fungsi selain menjadi Pak Pacak.

Tiada yang baru pada ucapan Tun. Serangan bertalu-talu terhadap Najib dan harapan agar semua menandatangani Deklarasi Rakyat untuk jatuhkan Najib. Selepas doa yang disulami kata-kata tajam seorang reformis, Tun Mahathir pun berangkat pulang. Tidak lama selepas itu himpunan melabuhkan tirainya. Peserta bertebaran pulang sesudah mengucapkan selamat tinggal dan ber-selfie sebagai kenang-kenangan.

III

Dalam perjalanan pulang, Tun bersyukur kerana tiada perkara tak diingini berlaku. Kali ini, beliau berdepan seteru kuatnya, pihak pembangkang – dalam suasana yang di luar kawalan beliau. Beliau puas dapat menyampaikan mesej dengan aman. Tun turut berasa lega kerana beliau yakin selepas ini pembangkang akan membela beliau. Malah, semenjak Deklarasi Rakyat, pihak pembangkanglah yang bersungguh-sungguh membela beliau dari serangan UMNO. Golongan kecewa Barisan Nasional terus menyepi, seolah-olah membiarkan Tun yang kini berusia 90an keseorangan.

Dalam perjalanan pulang, ada di kalangan pemimpin Pakatan yang kecewa dengan tingkah laku peserta himpunan. Berapa kali harus dipujuk supaya ‘berjiwa besar’? Terimalah hakikat bahawa Tun Mahathir sudah berubah! Sedangkan Anwar boleh memaafkan Tun, kenapa yang bawah-bawah ini masih berdendam? Sedangkan kami yang pernah dipenjarakan Tun boleh ‘berjiwa besar’, mengapa yang bawah-bawah ini tidak?! Kalau nak selamatkan negara, kita kena jatuhkan Najib. Itu fokus utama!

Namun, fokus dan perasaan peserta yang pulang kabur dan bercabang-cabang. Antara ‘kaki demo’, ada yang gembira kerana dapat berdemo. Polar satu lagi hampa dengan kehadiran yang sedikit , hingga ada yang mengatakan bahawa himpunan ini adalah himpunan paling memalukan yang pernah mereka sertai.

Anak muda rata-rata teruja dan optimistik. Penyertaan mereka menyerlah. Design t-shirt serta reka bentuk poster dan placard, segar dan progresif. Ramai yang berpeluang untuk berucap dan mengetuai sorakan. Perkara yang paling dominan tentang mereka adalah kekuatan solidariti terhadap teman-teman yang dikenakan tindakan undang-undang – mantap!

Orang lama, reformis asal perjuangan rakyat – sentimental. Walaupun tidak setuju dengan keputusan pimpinan, mereka tetap ikut berhimpun. Mereka tahu sudah berkali-kali disaran supaya ‘berjiwa besar’. Bagi mereka, pimpinan bolehlah ‘berjiwa besar’ kerana meraih laba politik, tetapi mereka tidak – sedangkan mereka lebih banyak berkorban. Yang mereka ada hanyalah maruah! Wajarlah mereka berat hati untuk bersekongkol dengan Tun yang mereka lawan dahulu. Dan lumrah-lah jika mereka persoalkan kredibiliti syarahan pemimpin yang ‘baru melompat’ dan ‘masih mentah’ tentang perjuangan, pengorbanan dan ‘berjiwa besar’.

Majoriti peserta himpunan pulang dalam kebimbangan. Mereka bimbang mengenai trend kepimpinan dan strategi politik pembangkang. Kepimpinan pembangkang kelihatan terburu-buru, tertutup dan tidak telus serta sering membuat keputusan unilateral tanpa mengambil kira pendapat dan sentimen pengikut. Ini membuatkan ramai rakan seperjuangan menyisihkan diri lantas tidak lagi menyumbang.

Trend ini juga mengurangkan daya tarikan Pakatan Harapan kepada masyarakat. Imej progresif dan keterbukaan kian pudar. Peluang Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya yang sebenarnya terhidang, kini menipis. Adakah himpunan ini petanda kemerosotan momentum perjuangan rakyat?

Peserta yang perihatin pulang bersama satu ketentuan. Sesuatu perlu berubah!

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: