Merdeka Semula

Hidup rakyat Malaysia kala ini terjerat. Demokrasi yang kononnya diamalkan tidak berfungsi seperti sepatutnya. Rakyat tidak mempunyai suara dalam mencorak dasar, apatah lagi hala tuju negara. Pandangan rakyat tentang ekonomi, pendidikan, keselamatan dan soal-soal pentadbiran tidak diendahkan. Ruang demokrasi sebagai rakyat hanya terbuka sekali dalam lima tahun iaitu semasa pilihan raya umum. Pilihan raya yang jarang-jarang sekali itu pun diragui kredilibitinya.

Ketika ini, masalah utama negara adalah kegawatan ekonomi. Hidup rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat. Pelbagai subsidi ditarik balik manakala cukai baru (GST) diperkenalkan. Walaupun cuba ditepis pemerintah, kenaikkan kos sara hidup tidak dapat disanggah. Ia dirasai sendiri oleh rakyat.

Bukannya tiada usaha dilakukan rakyat. Demonstrasi, petisyen, memorendum dan lain-lain initiatif oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti pembangkang – yang memantulkan keluhan rakyat – tidak didengari. Malah, setiap kali rakyat mengeluh, pemimpin-pemimpin kerajaan mempersendakan mereka dengan kenyataan-kenyataan dangkal.

Sambil itu, kerajaan terus boros dan menyeleweng. Laporan Ketua Audit Negara saban tahun sarat dengan keterangan mengenai ketirisan dan penyelewengan. Itu tidak termasuk kes-kes seperti 1MDB yang tidak audit. Dalam masa sama, pelbagai urus niaga agensi-agensi yang melibatkan dana rakyat seperti KWSP, Tabung Haji, Mara dan Felda, sangat meragukan. Laporan demi laporan, kes demi kes – tiada tindakan susulan atau kebertanggungjawaban.

Operasi kerajaan pula sumbang seolah-olah tiada Perlembagaan yang mengawasi tingkah laku pemerintah. Kebebasan bersuara dan lain-lain hak rakyat yang sepatutnya dilindungi Perlembagaan dicabuli dengan eksploitasi undang-undang seperti Akta Hasutan. Dalam pada rakyat menuntut Akta Hasutan dimansuhkan, diluluskan pula Rang Undang-undang POTA yang regresif.

Hakikatnya, kita tiada suara.

 

IMG_20150711_100715

Mahasiswa harapan rakyat

Baru-baru ini saya bertemu dengan sekumpulan mahasiswa di satu forum. Saya kagum dengan pemikiran anak-anak muda ini. Pengetahuan mereka tinggi dan idea-idea mereka segar dan progresif.

Namun, kebolehan mereka dibatasi oleh undang-undang universiti yang mengongkong. Kebelakangan ini ramai pemimpin mahasiswa dikenakan tindakan tatatertib, hingga ada yang digantung pengajian. Ini sesuatu yang mengecewakan. Universiti-universiti sepatutnya mengalakkan pertembungan idea di kalangan pelajar-pelajarnya. Ia adalah proses pemantapan pemikiran mahasiswa kita yang sememangnya pintar. Kongkongan pemikiran begini boleh menumpulkan minda mereka. Kita mahu barisan pimpinan masa depan yang terbuka serta bijak meneliti permasalahan dan kreatif membuat keputusan, bukan sebaliknya.

Saya berpeluang untuk belajar di luar negara suatu ketika dahulu. Suasana pengajian di sana berbeza (terbuka). Pertembungan idea dan perbezaan pendapat digalakkan. Malah, siswa yang tiada pandangan tersendiri dipandang lemah. Budaya ini subur bukan sahaja semasa kuliyah, tetapi pada aktiviti-aktiviti luar kuliyah. Persatuan-persatuan pelajar diberi kebebasan sepenuhnya. Forum-forum yang dianjurkan sentiasa kontroversial. Saya masih ingat sewaktu Menteri Pelajaran negara tersebut mengadakan perjumpaan dengan mahasiswa; bagaimana beliau ‘berpeluh’ apabila di’soal-siasat’ mahasiswa.

Ini mengingatkan saya terhadap kes rampasan mikrofon yang berlaku kepada Rafizi Ramli di UIA baru-baru ini. Ia memeranjatkan apabila sebuah institusi pengajian tinggi bertindak sebegitu rupa kepada seorang wakil rakyat. Tidak cukup dengan itu, dua orang siswa kini berhadapan dengan tindakan tatatertib. Saya kesal kerana peristiwa tersebut berlaku di sebuah universiti yang berlabel Islam dan Antarabangsa. Tingkah laku tersebut tidak Islamik dan langsung tidak menampilkan karakter sebuah institusi antarabangsa.

Kongkongan mahasiswa begini sebenarnya mencerminkan kerajaan yang tidak yakin dan takut kepada bayang-bayang sendiri. Seperti negara-negara mundur, idealisme, dinamisme dan pengaruh mahasiswa dibendung pemerintah kerana resah kehilangan kuasa.

Melihat kepada mentaliti dan semangat mahasiswa sekarang, saya percaya bahawa mereka akan terus berkembang. Tindakan dan intimidasi tatatertib hanya akan mengasah kreativiti dan menguatkan jati diri. Saya percaya, tidak lama lagi, mereka inilah yang akan membebaskan rakyat dari status quo, yakni cengkaman politik sedia ada.

 

UF-wOL8HJzjp94-K_MnD9zxmDNHRiU1P6d73Z_T2Zl-8df6sVSkO5zt_1ovoBLgfsoHtP2Hpi53w3n2vHog

Elitis bermaharajalela

Di kala ekonomi merudum, kumpulan elitis iaitu pemimpin, keluarga dan kroni mereka hidup dengan penuh kemewahan. Kebelakangan ini, gaya hidup mewah tersebut diketengah dan dipersoal pelbagai pihak. Ada yang mengaitkan sumber kekayaan mereka dengan penyelewengan dana awam.

Jika diteliti, serangan Tun Mahathir terhadap DS Najib supaya berundur merupakan pertembungan dua kumpulan elit negara. Isu 1MDB yang mulanya dibawa oleh pihak pembangkang kini diambil alih oleh kem Tun Mahathir. Satu per satu salah laku DS Najib diselak, hingga tuduhan penyaluran RM 2.6 billion ke akaun DS Najib dibawa ke pengetahuan umum.

Sedar atau tidak, rakyat hanyalah buah catur permainan persepsi mereka. Lihat bagaimana hangat isu 1MDB dibahas di media sosial. Setiap pembongkaran disahut dan lincah diperdebatkan masyarakat. Tetapi, adakah rakyat meraih faedah dari kegiatan ini?

Kesudahannya adalah; kem sedia ada mengekalkan kuasa atau diganti oleh kem satu lagi. Kaedah mereka memerintah (apabila tamat pergelutan) adalah sama. Justeru, rakyat tidak akan mendapat apa-apa keuntungan dari pertembungan ini. Tetapi, andaikata kedua-dua kem bertempur ‘ke titisan darah terakhir’ hingga mengancam kepentingan negara – rakyatlah yang paling rugi.

Oleh itu, dari menjadi buah catur golongan elit, rakyat harus menjadi pemain utama. Dari pasif menunggu kesudahan yang tidak menguntungkan, mereka harus bersatu menentang salah-guna kuasa yang sudah berlarutan terlalu lama. Mereka harus aktif memperjuangkan reformasi (perubahan) demi menyelamatkan negara dan mencorak masa depan yang lebih baik.

 

salam_2121

Hijrah

15 tahun kebelakangan ini menyaksikan ramai rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara. Asas penghijrahan mereka adalah tawaran gaji dan kehidupan yang lebih sempurna. Di sana, kemahiran mereka dihargai. Kemajuan karier berteraskan meritokrasi. Bukan itu sahaja, mereka berpeluang untuk hidup dalam suasana masyarakat yang terbuka dan progresif.

Fenomena penghijrahan ini mengakibatkan ‘brain drain’ di mana negara kehilangan sumber manusia yang mahir. Golongan yang berhijrah ke luar negara adalah professional seperti ahli akademik, saintis, doktor, jurutera, akauntan dan sebagainya.

Diberitakan bahawa kebelakangan ini, orang Melayu adalah segmen terbesar yang berhijrah. Kebanyakkan mereka terdiri daripada bekas pelajar luar negara tajaan kerajaan Malaysia. Ini bukan sahaja mengakibatkan ‘brain brain’, malah merugikan negara dari sudut pelaburan modal insan. Kos pendidikan mereka, dari darjah satu hingga ke universiti ditanggung kerajaan Malaysia. Negara-negara yang mana mereka mencurahkan khidmat kemahiran meraih hasil dari pelaburan modal insan negara kita.

Ramai rakan-rakan saya yang berhijrah. Saya sering berhubungan dan gembira dengan kemajuan karier dan kehidupan mereka. Kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya dengan tuduhan tidak patriotik atau mata duitan. Pilihan mereka untuk berhijrah adalah rasional. Memilih kehidupan yang lebih baik adalah lumrah manusiawi. Tawaran gaji dan kehidupan yang lebih kondusif sahaja yang mampu menarik minat mereka untuk kembali.

Namun, buat mereka yang berhijrah – fikirlah, sampai bila kita hendak menjaga tembolong sendiri? Negara sedang berhadapan dengan krisis. Kemahiran, keterbukaan pemikiran dan pengalaman yang ditimba di luar negara amat berguna kepada usaha menyelamatkan negara yang semakin parah. Setidak-tidaknya, sumbanglah wang atau buah fikiran melalui penulisan seperti M. Bakri Musa dan Azly Rahman.

 

20120726.093711_macivilservants

Mengejutkan golongan pertengahan

Golongan pertengahan negara berkebolehan. Di kalangan golongan pertengahan, terdapat kaum muda (belia), professional dan agamawan yang berpotensi membawa perubahan. Lihat persatuan-persatuan yang dipimpin mereka. Teratur dan progresif. Agamawan, dalam konteks masyarakat kita, sangat berpengaruh. Kata-kata dan nasihat mereka ditagih dan dipatuhi.

Tetapi, golongan pertengahan kita bagaikan sedang terlena. Fokus mereka adalah menambah perolehan dengan angan-angan menyertai kelas elit. Mereka kerja siang-malam, akur dengan kenderaan dan kediaman sederhana, serta percutian sekali-sekala. Taring golongan pertengahan yang lazimnya tajam ditumpulkan oleh intimidasi undang-undang. Risiko dibuang kerja dan kehilangan peluang naik pangkat terlalu besar buat mereka.

Namun, golongan pertengahan kita mula sedar, sedikit demi sedikit. Maklumat alternatif melalui internet dan media sosial membuka minda mereka. Tekanan ekonomi yang dihadapi pula meninggalkan kesan yang real. Secara prinsipnya, mereka pro-perubahan. Malah, kecenderungan mereka terhadap perubahan dinyatakan melalui peti undi. Pada PRU 2008 dan PRU 2013, Pakatan Rakyat memenangi hampir kesemua kerusi kawasan bandar.

Cuma, dilema antara risiko dan kelangsungan hidup (survival) membuatkan mereka ‘bersembunyi’ dan teragak-agak untuk komited sepenuhnya kepada gerakan perubahan.

Persoalannya; sampai bila kita harus ‘bersembunyi’? Negara sedang berhadapan krisis. Keadaan sekarang (status quo), jika dibiarkan berterusan akan merosakkan masa depan generasi akan datang – anak-anak kita. Perlukah krisis negara bertukar parah sebelum kita bangkit?

Bangkitlah sekarang sebelum terlewat.

 

riot

Revolusi !

Buat pembaca yang condong kepada revolusi, artikel ini anti-klimaks. Opsyen tersebut secara statistik tidak berkesan pada era ini. Menurut buku Chenoweth & Stephan yang meneliti 67 peralihan kuasa pemerintahan diktator ke demokrasi sepanjang 35 tahun yang lepas, 50 darinya adalah melalui gerakan aman – contohnya pilihanraya, demonstrasi aman atau keingkaran awam (Civil Disobedience).

Benar, adakalanya kita kecewa dan marah kepada kerajaan yang sambil membuat onar, sering mempersenda-sendakan rakyat. Kita juga mahukan keadilan yang setimpal buat pemimpin zalim. Tetapi, kita tidak boleh mengikut perasaan.

Ketahuilah bahawa kerajaan kita seperti mana-mana kerajaan di dunia mempunyai kapasiti untuk membendung revolusi. Jentera-jentera kerajaan seperti polis, tentera, penjara dan mahkamah mampu mematahkan usaha revolusi dengan mudah. Malah, kerajaan yang terdesak tidak akan teragak-agak untuk berlaku kejam. Lihat apa yang berlaku semasa Revolusi Mesir. Ramai orang tidak berdosa menjadi mangsa kazaliman Mubarak ketika itu.

Seterusnya, gerakan revolusi tidak menarik kepada majoriti, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat kita yang pasif. Masyarakat kita ketakutan. Rakyat kita sudah lama ditakut-takutkan dengan berita negatif revolusi luar negara. Ketakutan mereka berganda apabila disogok dengan fitnah ‘keganasan’ dan berita tangkapan pemimpin-pemimpin pembangkang.

Dari sudut perancangan, pendekatan revolusi tidak strategik bilamana kerajaan sudah bersedia membendungnya. Gerakan massa secara kreatif contohnya, demonstrasi aman seperti #BantahGST baru-baru ini adalah lebih efektif. Kerajaan jadi binggung. Apakah tindakan yang patut diambil? – Nak tangkap salah, tak tangkap pun salah.

Syukur, masyarakat kita tidak cenderung kepada kegiatan militan. Kegiatan militan adalah opsyen paling teruk kerana ia tidak akan berhasil dan meninggalkan kesan negatif. Dalam negara, kita pernah dikejutkan dengan kes Al-Maunah. Kumpulan militan tersebut bukan sahaja gagal mencapai objektif, tetapi mengakibatkan kematian beberapa orang awam.

Semakin kuat sesebuah kumpulan militan, semakin sukarlah perjuangannya. Kesan negatif turut memuncak. Lihat kepada penentangan militan terhadap regim Basyar Al-Asad di Syria. Pertempuran sudah menjangkau beberapa tahun tetapi Basyar masih berkuasa. Setakat ini, ratusan ribu rakyat tidak berdosa menjadi korban.

 

2810750851_cc463a1958

Merdeka Semula

Initiatif rakyat Malaysia sudah berada di landasan yang betul. Pendekatan politik dan gerakan awam adalah tepat. Malah, usaha-usaha tersebut hampir-hampir berjaya.

Pada PRU-12 (2008), Pakatan Rakyat berjaya menidakkan majoriti 2/3 Barisan Nasional. Keputusan tersebut telah meyakinkan rakyat bahawa ‘perubahan’ tidak mustahil. Sejak dari itu, pelbagai usaha pro-perubahan dianjurkan orang awam. Di alam maya, tema penulisan dan perbincangan berkisar tentang ‘perubahan’. Ceramah, forum dan majlis makan malam mendapat sambutan menggalakkan. Demonstrasi seperti Bersih, Bersih 2.0, Bersih 3.0, Himpunan Anti-Lynas dan Bantah PPSMI mendapat penyertaan rakyat yang luar biasa. Puncak kepada perhimpunan rakyat adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 (sebelum PRU-13) yang memperlihatkan ratusan ribu manusia melimpahi stadium Merdeka.

Pada PRU-13 (2013), rakyat memberi sokongan majoriti (52%) kepada Pakatan Rakyat. Namun, harapan ‘perubahan’ tidak kesampaian (lagi). Melalui manipulasi pilihanraya seperti Gerrymandering dan Malapportionment, Barisan Nasional mengekalkan kuasa, biarpun hanya meraih 47% undi.

Pasca pru-13, momentum gerakan rakyat terbantut. Ini disebabkan politik Pakatan Rakyat. Selang beberapa ketika selepas PRU-13, kita dihidangkan dengan episod perebutan kerusi MB Selangor. Dari episod tersebut, teserlah satu per satu kecelaruan Pakatan Rakyat. KEADILAN dengan huru-hara Pemilihan 2014. PAS pula terbelah kepada kumpulan UG (Unity Government) dan kumpulan progresif. Sementara itu, PAS dan DAP tidak habis-habis berbalah tentang Hudud hingga mengakibatkan pembubaran Pakatan Rakyat.

Seperti yang saya tulis sebelum ini (baca); rakyat yang sememangnya kecewa kerana gagal membawa perubahan pada PRU-13, dikecewakan lagi dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat yang mementingkan kedudukan dari visi perubahan, pasca PRU-13. Rakyat mulai skeptikal dan sinis terhadap perubahan. Ramai yang dahulunya tegar, kini pasrah menerima status quo sebagai ketentuan.

Namun, sikap pasif begini counter productive. Kepasifan rakyat hanya mendorong golongan oportunis untuk merompak hasil negara. Kebobrokan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, terutamanya apabila negara berhadapan kegawatan ekonomi yang serius.

Gerakan menuntut perubahan harus dihidupkan semula. Bagi yang kecewa dan merajuk – biarkan. Tidak perlu dipujuk. Berikan ruang dan masa kepada mereka. Setelah beberapa ketika, apabila fokus kembali jelas, mereka akan pulang ke pangkuan gerakan rakyat dengan lebih kental.

Kegagalan lalu memberi pengajaran yang bermakna. Melalui pengalaman, gerakan rakyat (sepatutnya) lebih matang. ‘Bedah siasat’ dan rancang pergerakkan dengan teliti. Humban ego dan perselisihan remeh-temeh jauh-jauh. Visi setiap penggerak haruslah jelas. Jika masih tidak jelas, perjelaskan. Visinya mudah, sebenarnya – iaitu, mungubah situasi negara sedia ada (status quo) kepada yang lebih berdaya saing, progresif dan berorientasikan rakyat.

Saya lihat, golongan mahasiswa berpotensi untuk memimpin gerakan rakyat yang baru. Kumpulan mahasiswa sekarang tampak bijak, articulate dan berani. Mereka juga berdisiplin dan tersusun. Kebolehan mahasiswa ber-organisasi kadangkala mengatasi keupayaan parti-parti politik. Bukan sahaja mempunyai fokus yang jelas, idealisme mereka pure (suci).

Selain dari mahasiswa, golongan pertengahan perlu lebih mengambil bahagian. Kata kuncinya adalah keberanian. Berdasarkan perilaku kerajaan sekarang, slogan para reformis – ‘usah bicara soal perjuangan, jika takut pada risiko’ – masih relevan.

Walau bagaimanapun, risiko boleh dikurangkan dan keberanian akan berganda jika gerakan dilakukan secara massa, yakni dengan jumlah yang besar. Jika majoriti golongan pertengahan mengambil bahagian, pihak pemerintah tidak terdaya untuk menukar, membuang kerja atau memberkas semua orang. Ketahuilah bahawa operasi negara kita sangatlah bergantung kepada golongan pertengahan.

Gerakan golongan pertengahan haruslah kreatif dan dinamik. Tiada guna kita lakukan sesuatu yang sudah diduga. Contoh kejayaan di negara luar adalah seperti mogok dan tekanan kesatuan pekerja menuntut kenaikkan gaji minima. Saya sebenarnya bingung akan mengapa kesatuan pekerja negara kita masih membisu sedangkan sektor buruh telah pun didominasi warga asing disebabkan ketamakan kaum kapitalis menggunakan buruh murahan bagi mengaut keuntungan maksima.

Seterusnya, politik pembangkang harus distabilkan semula. Ketika artikel ini ditulis, Pakatan Rakyat sudah terbubar. Baru-baru ini, pemimpin kumpulan progresif PAS yang disisih pada Muktamar 2015 telah mengumumkan penubuhan sebuah gerakan politik baru yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB). Ini adalah berita baik buat rakyat yang inginkan perubahan.

Tidak perlu musyawarah atau berunding lagi. Jangan lengah-lengah. Kuatkan tekad, usah toleh ke belakang dan terus maju ke hadapan. Bersama KEADILAN dan DAP, dirikan Pakatan Rakyat 2.0 secepat mungkin dan kembali menjuarai aspirasi rakyat majoriti yang inginkan perubahan. InsyaAllah, rakyat akan kembali memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat yang baru, dengan syarat ia buktikan persefahaman yang baik dan tidak lagi carca-merba.

Akhir kata, negara kita perlukan reformasi secara menyeluruh. Prestasi kerajaan sedia ada terlalu buruk. Kerajaan juga terdesak untuk kekal berkuasa, menggunakan intimidasi bagi mengekang suara rakyat yang inginkan perubahan.

Bagi rakyat Malaysia, tiada siapa yang akan membebaskan kita kecuali, kita sendiri. Dengan evolusi pemikiran dan kesedaran yang ada, ‘merdeka semula’ bukanlah retorik, tetapi kepastian. Persoalannya; bila?

Elok sekarang sebelum terlambat.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: