Rakyat Yang Hilang Minat Terhadap Politik

Minat rakyat Malaysia terhadap politik dilihat menurun selepas PRU-13. Penglibatan yang dahulunya hangat (memuncak sekitar tahun 2008-2013), kini suam-suam sahaja.

Dahulu, setiap isu dibahaskan dengan teliti, tidak kiralah di kedai kopi ataupun di media sosial – kini seperti ‘acuh tak acuh’. Bukan tiada isu-isu mendesak. Cukai GST, kepincangan proses perundangan dan eksploitasi akta hasutan, antaranya. Jika dahulu, kehadiran ceramah, forum dan demonstrasi cukup ramai – kini tidak memberangsangkan, adakalanya menyedihkan.

Secara peribadi, saya kesal dengan kualiti diskusi politik di kalangan masyarakat umum. Hujah-hujah yang diketengahkan cetek. Lihat sahaja di media sosial. Remeh-meremeh, senda-mempersenda dan maki-memaki. Mungkinkah ini keberkesanan strategi Barisan Nasional?

 

Pentingnya kesedaran politik pada masyarakat

Asas kepada sistem demokrasi adalah kuasa rakyat (People’s Power). Individu yang meraih sokongan majoriti dipilih sebagai pemimpin untuk menjaga kepentingan dan melaksanakan dasar-dasar berpandukan kehendak kolektif masyarakat. Dengan kata lain, pemimpin adalah khadam kepada rakyat.

Namun, seperti mana-mana sistem pentadbiran, terdapat kelopongan pada sistem demokrasi. Ia dieksploitasi pemimpin-pemimpin negara dunia ketiga termasuklah negara kita. Bukan sahaja tidak perihatin, mereka sering membelakangi rakyat. Bagi memastikan kelangsungan kuasa, undang-undang yang mengongkong pemikiran dan suara rakyat dikuat-kuasakan. Rakyat tumpul dan takut bersuara. Sebaliknya, pemerintah semakin pintar dan berani menyeleweng. Hanya melalui suara pembangkang yang kuat dan kesedaran masyarakat, situasi sebegini mampu dipantau dan diimbangi.

Kelemahan Pakatan Rakyat dan hilangnya minat rakyat terhadap politik pasca PRU-13 mengundang keghairahan kerajaan Barisan Nasional melaksanakan polisi-polisi yang membelakangi rakyat. Janji PRU-13 tinggal janji, pelbagai subsidi ditarik, cukai GST diluluskan secara terburu-buru, penggunaan akta hasutan dan banyak lagi.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin Barisan Nasional terus menerus mengeluarkan kenyataan-kenyataan angkuh dan mempersendakan rakyat – langsung tidak melambangkan keperibadian mahupun intelek pemimpin kerajaan.

Ini semua adalah penanda ketiadaan akauntibiliti. Pemimpin berkelakuan sesuka hati tanpa kebertanggungjawaban. Cuba kita rujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang lepas-lepas. Pembaziran, ketirisan dan penyelewengan berleluasa tanpa apa-apa tindakan.

Oleh itu, keperihatinan masyarakat terhadap politik harus dipulihkan. Ia bagi mengawasi dan mengimbangi (‘check & balance’) kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak, keadaan sedia ada (status quo) akan berterusan.

 Mengapa masyarakat hilang minat politik?

Kehidupan rakyat bertambah susah dengan kenaikkan kos sara hidup terutamanya susulan perlaksanaan cukai GST. Bagi mereka, mencari rezeki adalah lebih berfaedah dari berpolitik. Sekurang-kurangnya, kederat digunakan untuk memperbaiki kehidupan. Politik (beretika) bukan sahaja tidak memberi pulangan kewangan, seringkali ia menghabiskan wang.

Keluh kesah dan kesedihan akibat kesempitan hidup membuatkan psikologi dan kapasiti mental seseorang itu sesak. Perkara yang tidak mengubah kualiti hidup secara langsung seperti politik, pentadbiran dan hala tuju negara – hilang keutamaan dan daya tarikan.

Seterusnya – faktor kerapuhan Pakatan Rakyat. Selang beberapa ketika selepas PRU-13, masyarakat dihidangkan dengan episod perebutan kerusi MB Selangor. Dari episod tersebut, teserlah satu per satu kecelaruan Pakatan Rakyat. KEADILAN dengan perbalahan dalaman semasa Pemilihan 2014. PAS pula terbelah kepada kumpulan UG (Unity Government) dan kumpulan Pro-Pakatan. Sementara itu, PAS dan DAP tidak habis-habis berbalah tentang Hudud – sedangkan, rakyat sendiri  mampu simpulkan bahawa Hudud hanyalah tektik lapuk Barisan Nasional bagi memecah belahkan musuhnya. Jika PAS dan DAP masih terpedaya dengan perangkap yang sama, mampukah mereka memerintah negara?

Rakyat mengharapkan perubahan melalui Pakatan Rakyat. Namun, selepas PRU-13, rakyat dikecewakan oleh sikap pemimpin Pakatan Rakyat yang mementingkan kedudukan dari membela nasib mereka. Di kala ekonomi meleset, harga keperluan asas meningkat dan lain-lain permasalahan – pemimpin Pakatan Rakyat sibuk berebut jawatan.

Kesannya, rakyat hilang minat terhadap politik. Mereka tidak nampak apa-apa faedah dari kegiatan politik. Lantas, program-program politik mendapat sambutan dingin. Hinggakan keputusan pemenjaraan DS Anwar Ibrahim yang jelas pincang gagal menjana penglibatan masyarakat yang sepatutnya.

Bicara tentang pemenjaraan DS Anwar Ibrahim, saya lihat ianya jauh berbeza dari tahun 1998. Dahulu, tanpa arahan atau perancangan tersusun, rakyat bangkit melawan kezaliman. Kini, walaupun dirancang dengan teliti dan dipromosi besar-besaran, penyertaan masyarakat lesu. Yang terlibat hanyalah penyokong tegar Pakatan Rakyat dan golongan beragenda, bukan masyarakat umum. Segelintir ahli politik menggunakan peluang ini untuk menonjolkan diri dan meningkatkan populariti. Ia menjengkelkan.

Akhir sekali, rakyat hilang keperihatinan politik disebabkan kosistensi kerajaan Barisan Nasional melaksanakan polisi-polisi yang membelakangi rakyat. Kerajaan Barisan Nasional tidak berganjak walaupun menerima pelbagai kritikan dan tentangan rakyat.  Luahan hati, penulisan, diskusi, forum, memorendum, tindakan mahkamah, flashmob, demonstrasi besar-besaran – semuanya tidak diendahkan. Bukan itu sahaja, keluhan rakyat sering diremehkan oleh para menteri dengan kenyataan-kenyataan superfisial dan tidak sensitif .

Rakyat jadi ‘letih’ apabila usaha mereka tidak berhasil. Setelah kitaran ‘keluhan-tiada apa-apa tindakan’ ini berulang berkali-kali, hingga kebarangkalian ia berulang lagi seakan pasti – mereka akhirnya pasrah.

Terdapat segmen kecil masyarakat yang lebih agresif menentang kepincangan kepimpinan negara. Namun, oleh kerana respon kerajaan Barisan Nasional cetek, tidak rasional dan sentimental, segmen masyarakat ini menjadi reaktif. Itulah punca kepada perbalahan remeh-meremah, senda-mempersenda dan maki-memaki. Dari satu sudut, Barisan Nasional telah berjaya mengumpan masyarakat untuk mengikut rentak politik mereka.

 

Mengembalikan keperihatinan masyarakat terhadap politik

Mengembalikan minat masyarakat terhadap politik adalah initiatif yang mencabar. Ia disukarkan oleh keadaan ekonomi rakrat dan konsistensi kerajaan Barisan Nasional melaksanakan dasar-dasar tidak popular.

Ketika ini, Pakatan Rakyat masih merupakan harapan rakyat untuk membawa perubahan. Akan tetapi, ia seharusnya bimbang dengan penurunan minat rakyat terhadap politik. Ini kerana; kejayaan Pakatan Rakyat selama ini adalah melalui sokongan rakyat kebanyakkan, bukan dari ahlinya semata-mata. Jurang antara jumlah undi yang diraih dan kuantiti ahli parti komponen Pakatan Rakyat amatlah luas. Oleh itu, Pakatan Rakyat wajib memenangi kembali hati dan minda rakyat kebanyakkan.

Pakatan Rakyat harus muhasabah diri dan perbetul kekurangan yang ada. Perkukuhkan kesefahaman sesama parti komponen. Usah bergaduh tak tentu hala. Sentiasa waspada dengan permainan sentimen perkauman dan agama oleh Barisan Nasional. Kepada ahli yang ingin berbaik dengan UMNO/ Barisan Nasional, eloklah dinasihatkan agar mereka berundur dan mendaftar sebagai ahli UMNO/ Barisan Nasional.

Juarai isu-isu rakyat seperti GST, kos sara hidup, 1MDB, kenaikkan kadar jenayah, TPPA dan sebagainya. Ketika artikel ini ditulis, isu Tabung Haji membeli tanah 1MDB di TRX mula hangat. Lihat bagaimana respon masyarakat terhadap isu tersebut. Sangat meluas. Inilah contoh isu yang perlu dibawa – isu rakyat.

Pada masa yang sama, selain dari ‘menyerang’, Pakatan Rakyat harus membuktikan bahawa ia merupakan kerajaan alternatif yang lebih baik. Negeri-negeri Pakatan Rakyat hendaklah ditadbir secara telus, efisien dan berorientasikan rakyat. Pendekatan pentadbiran berintegriti perlu diberi keutamaan. Jika ada pertuduhan salah guna kuasa, siasat dengan teliti dan amalkan kebertangungjawaban.

Walaupun ketika ini tidak banyak serangan dari Barisan Nasional, Pakatan Rakyat mesti bersedia untuk menangkis olahan persepsi dan perang psikologi seterunya. Bilamana Barisan Nasional mengundang perdebatan isu-isu picisan, Pakatan Rakyat haruslah tenang dan beretika. Biarpun perit apabila berhadapan provokasi, amalan politik nilai dan berjiwa besar akan mengukuhkan imej jangka panjang Pakatan Rakyat di mata masyarakat.

 

Penutup

Kesedaran akan mengapa rakyat tidak lagi berminat terhadap politik adalah penting – kerana ia merupakan titik tolak kepada usaha mengembalikan keperihatinan rakyat terhadap pentadbiran dan hala tuju negara.

Hanya dengan memahami situasi, muhasabah diri serta fokus kepada isu rakyat – Pakatan Rakyat yang masih merupakan harapan kita – mampu menekan kerajaan Barisan Nasional supaya tidak terus membuat onar di bumi Malaysia.

Wallahu a’lam

 

Advertisements

One comment

  1. […] yang saya tulis sebelum ini (baca); rakyat yang sememangnya kecewa kerana gagal membawa perubahan pada PRU-13, dikecewakan lagi […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: