Tekad, Rasional dan Paradigma

Perubahan adalah lumrah kehidupan. Fisikal, pemikiran, emosi dan spiritual manusia berubah mengikut peringkat kehidupan dan peredaran zaman.

Perubahan bukanlah persoalan. Ia konstan kata Albert Einstein. Tumpuan sebenar adalah kepada haluan perubahan. Adakah kita berubah kearah positif atau negatif? Kebaikkan atau keburukkan?

Setiap kita ingin maju ke arah yang positif. Bukan itu sahaja, kita ingin melihat lingkungan famili dan sahabat, serta masyarakat dan negara progres pada haluan yang betul. Maka, persoalan seterusnya adalah; bagaimana kita mempengaruhi individu dan masyarakat ke arah positif?

Pelbagai kaedah diambil manusia untuk memajukan diri dan masyarakat. Melalui pertembungan idea dan pemikiran, lahirlah pelbagai teori tentang kaedah terbaik untuk merubah perilaku manusia. Selain dari pendekatan agama, pendekatan falsafah, psikologi, sosiologi hingga ke neuro-sains dan politik diketengahkan dengan visi merubah individu dan masyarakat ke arah kebaikkan.

Pendekatan motivasi sangatlah popular sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Ketika artikel ini ditulis, prinsip-prinsip motivasi tersebar luas melalui penerbitan buku-buku, kursus dan seminar, serta rancangan radio dan televisyen. Ia kini sebuah industri tersendiri yang lumayan.

Di negara kita, walaupun sudah terlihat trend kesedaran dikalangan golongan berada dan terpelajar, masyarakat kebanyakkan masih mengamalkan gaya hidup regresif. Dari meluangkan masa dengan pembacaan atau aktiviti-aktiviti kecergasan, mereka menggunakan lebihan masa dan wang untuk memuaskan nafsu makan, melayari media sosial, mengadap televisyen, mendengar muzik dan sebagainya.

 

willpower

Tekad

Perubahan menagih kekuatan dalaman yang kuat. Ia memerlukan azam dan disiplin yang tinggi. Untuk berubah, seseorang perlu melawan nafsu yang cenderung kepada tabiat-tabiat buruk.

Ambil senaman sebagai contoh. Bukan senang untuk seseorang berganjak dari sofa yang empuk dan keluar bersenam, lebih-lebih lagi selepas penat bekerja. Berehat di sofa lebih menggoda. Untuk melawan naluri berehat, dia perlu mengenakan azam dan disiplin yang kuat. Bukan itu sahaja, stamina mentalnya akan teruji untuk senaman tersebut menjadi konsisten.

Bukan senaman sahaja, setiap aktiviti positif memerlukan keazaman dan disiplin yang kuat. Budaya membaca, pemakanan seimbang, sikap amanah dan integriti adalah diantaranya.

Dalam mendorong perubahan, motivasi menumpukan perhatian kepada kekuatan dalaman dan disiplin. Prinsip-prinsip seperti projeksi positif, visualisasi, neuro-linguistic programming, ‘kau boleh’ dan sebagainya membina keyakinan dan menguatkan resolusi.

Tetapi, adakah kekuatan dalaman dan disiplin mencukupi? Jawapannya – tidak. Sering kita lihat pengamalkan doktrin motivasi pada mulanya berapi-api tetapi sampai ke satu tahap, semangatnya pudar lalu kembali kepada keadaan asal. Ini kerana perubahan dengan hanya bergantung kepada tekad dan disiplin meletihkan.

Tambahan pula; prinsip-prinsip motivasi kini sudah ‘merepek’ akibat terlalu komersial. Ia bukan lagi wadah agen-agen perubah, tetapi medan meraih keuntungan segera para oportunis. Di negara kita, terdapat oportunis yang cuba mencampur-adukkan motivasi dan agama sebagai strategi pemasaran. Malang sekali, bukan sahaja gagal mencetus perubahan, mereka mengelirukan orang ramai.

 

child heads with symbols

Rasional

Untuk konsisten, perubahan memerlukan elemen logik dan rasional. Rasional adalah proses akal yang mandalami usul, meneliti pilihan dan menganalisa kesudahan sesuatu tindakan. Keputusan terhasil melalui pertimbangan akal secara komprehensif.

Apabila sesuatu tindakan mempunyai justifikasi (rasional) yang kuat, perubahan ke arahnya menjadi lebih mudah. Perubahan akan lebih natural dan peluang untuk perubahan itu kekal adalah lebih baik.

Ambil contoh diet seimbang. Apabila asas kepada mengawal pemakanan disandarkan kepada mengurangkan risiko penyakit kronik atau serangan jantung, ber-diet akan menjadi lebih mudah dan semulajadi – terutamanya apabila ia disokong oleh prospek bentuk badan yang tegap dan menawan. Ini lebih lestari dari azam tahun baru majoriti kita yang ingin kurus.

Namun, kebanyakkan manusia yang mempunyai kesedaran masih gagal berubah. Walaupun sedar bahawa peperiksaan pasti tiba, masa diluangkan dengan aktiviti tidak berfaedah. Walaupun sedar bahawa makanan berminyak membahayakan kesihatan, Mc Donald’s masih dikunjungi. Walaupun sedar bahawa penyelewengan itu merugikan negara, rasuah masih berleluasa.

Mengapakah seorang yang waras boleh jadi begini? Jawapannya – manusia bukanlah makhluk rasional. Kita adalah makhluk yang emosional. Kita unik dan dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang berbeza. Maka, menggunakan rasional akal semata-mata dengan harapan merubah perilaku manusia adalah pendekatan yang timpang.

 

644033_671445319533437_1075166527_n

Paradigma

Paradigma adalah pandangan dunia dari kaca mata peribadi atau masyarakat. Ia berbeza antara satu individu dengan individu lain. Paradigma sesebuah masyarakat juga berlainan dengan masyarakat lain.

Perbezaan ini dipengaruhi oleh budaya, agama, latar belakang keluarga dan pendidikan, status sosial dan ekonomi, pengalaman hidup dan sebagainya. Faktor-faktor ini membentuk nilai dan teras hidup seseorang dan masyarakat.

Nilai dan teras hidup terletak di minda dalaman atau subconscious mind. Sesetengah ahli fikir menamakan ia pandangan hati atau intuisi. Ada yang mengaitkan minda dalaman dengan jiwa dan roh. Biar apa pun labelnya, ia lebih ‘dalam’ dari rasional akal. Kerana ia lebih ‘dalam’ dari minda sedar, ia di luar kawalan seseorang.

Apa yang menarik adalah; majoriti pilihan hidup dipengaruhi oleh minda dalaman. Kerana itulah, kita sering kebingungan akan pilihan orang lain yang tidak masuk akal. Sebenarnya, kita hanya berbeza minda dalaman, nilai, pandangan dunia – paradigma.

Paradigma jualah yang menyebabkan anak-anak dari keluarga miskin mewarisi kemiskinan keluarganya. Berilah sebanyak mana pun motivasi atau rasional kepada anak-anak keluarga miskin – mereka tidak minat belajar. Bukannya mereka tidak mahu berjaya. Cuma, paradigma mereka berbeza. Keluh-kesah dan kepayahan hidup membelenggu pandangan mereka. Bagi mereka, sesuap rezeki adalah lebih bermakna dari budaya ilmu.  Tanpa pendidikan tinggi, kehidupan generasi seterusnya akan kekal susah.

Bagaimanakah kita mengubah paradigma? Seperti yang dibincangkan, nilai dan teras hidup membentuk paradigma. Ia dipengaruhi persekitaran, iaitu budaya, latar belakang keluarga, sosio-ekonomi, pengalaman hidup dan lain-lain. Pembentukkannya mengambil masa. Maka, adalah hampir mustahil untuk mengubah paradigma dalam masa yang singkat. Oleh kerana nilai dan teras hidup terletak di minda dalaman, pendekatan rasional juga tidak berkesan.

Ramai ahli fikir percaya bahawa portal kepada minda dalaman adalah sastera dan seni. Menurut mereka, karya-karya sastera seperti hikayat, novel dan puisi serta karya-karya seni seperti sutradara, gurindam dan muzik mampu mengolah minda dalaman. Manusia lebih mudah menghayati dan terkesan dengan medium-medium ini.

Lihatlah bagaimana Hikayat Hang Tuah mempengaruhi tingkah laku orang Melayu. Feudalisme, yakni sifat taat kepada pemerintah (kadangkala secara membuta tuli) amat sebati dengan budaya Melayu. Begitu juga karya-karya Shakespeare yang membentuk nilai kemanusiaan tamadun barat. Dan juga karya-karya sastera Revolusi Perancis yang menganjak paradigma feudal barat kepada nilai-nilai kebebasan (liberty), kesamarataan (equality) dan sebagainya.

Konsep ini menarik perhatian saya kepada susunan dan gaya penyampian Al-Quran. Ianya tidak logikal, yakni tidak tersusun seperti penerbitan saintifik. Susunan dan gaya penyampaian Al-Quran lebih mirip kepada sastera dan seni. Malah, sastera dan seni karyaan manusia tidak terlawan kesempurnaan Al-Quran.  Saya percaya, Tuhan Maha-mengenali ciptaanNya. Dia menurunkan Al-Quran sedemikian rupa sebagai penghubung antara-Nya dan roh (minda dalaman) manusia supaya manusia berubah kepada kebaikkan. Ini terbukti dengan kejayaan Al-Quran merubah kaum Arab yang jahil dan degil kepada kaum yang bertamadun.

Untuk melihat pengaruhnya kepada perubahan, kegiatan sastera dan seni harus diperkasa dan dikembalikan mertabatnya. Novel-novel remaja dan muzik terkini wajar disuntik dengan nilai-nilai yang unggul. Pendidikan agama pula perlu transformasi. Penekanan harus juga diberikan kepada penerapan nilai-nilai mulia dalam Al-Quran – tidak sekadar pengajian dalam bentuk logikal seperti perbahasan tentang hukum-hakam dan halal-haram.

Selain dari mensasarkan minda dalaman seseorang, kita boleh menyediakan persekitaran kondusif bagi memangkin perubahan. Buat anak-anak keluarga miskin tadi, barangkali boleh didirikan pusat-pusat sumber yang menarik di kawasan perumahan mereka. Pertubuhan-pertubuhan sosial dan kebajikan pula boleh melawat dan berkongsi kisah-kisah yang meluaskan persepsi mereka. Guru-guru yang kreatif dan berdedikasi wajar diberi insentif untuk mengajar di kawasan orang miskin. Bukan sekadar efektif, mereka boleh menjadi contoh ikutan (role model) kepada anak-anak ini.

Sebenarnya, pendekatan merubah persekitaran ini sudah terbukti keberkesanannya. Ia terlihat melalui program sekolah berasrama. Padangan dunia anak-anak keluarga miskin berubah hasil dari pergaulan dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang. Mereka lebih berjaya dalam akademik dan kehidupan berbanding rakan-rakan yang tinggal di rumah. Perhatikan juga kepada paradigma mereka yang berpeluang melanjutkan pelajaran atau tinggal di luar negara. Sangat terbuka dan progresif.

 

3316344997_delta_answer_15_xlarge

Harapan

Manusia yang waras tidak dapat lari dari keinginan memajukan diri, keluarga, teman dan masyarakat keseluruhannya.

Seruan memimpin perubahan adalah lebih mendesak buat kita yang tinggal di negara yang mana sebilangan besar penduduknya masih mengamalkan gaya hidup regresif.

Oleh kerana tidak menghasilkan perubahan yang signifikan, saya sarankan agar pendekatan sedia ada dikaji semula. Dari tertumpu kepada motivasi, kita ubah paradigma masyarakat. Ini tidak bermaksud motivasi dan kempen kesedaran (rasional) dipinggirkan. Cuma, pendekatan anjakan paradigma diberi keutamaan dalam merealisasikan agenda reformasi gaya hidup masyarakat kita.

Wallahu a’ lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: