Agamawan dan Politik

Semenjak 10 tahun yang lalu, politik Malaysia dibayangi isu-isu agama. Antaranya adalah Kalimah Allah, Injil Bahasa Melayu, Hudud, sentuh anjing, Syiah, Wahabi, penganut Buddha masuk surau, orang Islam masuk Gereja dan Kassim Ahmad.

Politik begini memualkan dan tidak mendatangkan faedah. Ia membantutkan perkembangan pemikiran dan memesongkan fokus kepimpinan negara daripada tanggungjawab sebenar, iaitu pentadbiran, pengurusan ekonomi, pendidikan, keselamatan, pengurusan bencana dan sebagainya.

Politik begini tidak boleh dibiarkan berterusan. Jika dibiarkan berterusan, masyakarat akan mundur dan negara akan ketinggalan di persada global. Berbekalkan pengalaman yang ada, rakyat seharusnya sedar dan tidak lagi tertipu dengan retorik-retorik yang dimainkan oleh segelintir agamawan dan ahli politik yang mengejar populariti, mengolah persepsi dan mengalih perhatian (diversion).

 

Tiada kebolehan memimpin atau berpolitik

Masyarakat sering diingatkan supaya berhati-hati apabila bercakap (atau menulis) mengenai agama. ‘Ia boleh mengelirukan orang ramai’, pesan agamawan. Malah, terdapat undang-undang yang menekankan pentauliahan, iaitu akreditasi ataupun ‘lesen’ mengajar agama. Kita dilarang berceramah agama tanpa Tauliah. Jika bantah, boleh diberkas jabatan agama.

Biarpun tidak sependapat dengan pendekatan perundangan, saya bersetuju dengan prinsip bahawa sesuatu ilmu itu haruslah disampaikan oleh mereka yang benar-benar pakar. Contohnya; mengenai penyakit, kita pergi kepada doktor. Untuk pengurusan kewangan, kita rujuk pakar kewangan. Dan, untuk membina bangunan, kita cari arkitek dan jurutera.

Workers

Begitu juga dengan kepimpinan. Kita hendaklah mengangkat pemimpin yang benar-benar layak memimpin – yang mahir dalam organisasi dan pentadbiran. Beliau (pemimpin) juga mestilah familiar (biasa) dengan cabang-cabang ilmu kepimpinan seperti sejarah, falsafah, psikologi, ekonomi, ketamadunan dan sebagainya. Seterusnya, seseorang pemimpin mestilah ‘street smart’ – yakni peka terhadap perilaku masyarakat, isu semasa dan trend pemikiran.

Berpendidikan tinggi tidak bermakna seseorang itu berkebolehan untuk memimpin. Anggapan bahawa mereka yang terpelajar layak diangkat sebagai pemimpin adalah satu kesilapan biasa. Kerap kita lihat seorang doktor, jurutera, peguam dan ahli akademik gagal melunaskan tanggungjawab sebagai pemimpin. Tidak sekadar cerdik, kepimpinan menagih kebijaksanaan yang jauh lebih luas dari ketajaman minda semata-mata.

Seperti proses pengajian ilmu lain, pengajian agama tertumpu kepada disiplin-disiplin ilmu agama sahaja. Agamawan tidak dilatih (secara formal) tentang kemahiran memimpin. Malah, penuntut agama yang cemerlang lazimnya terdiri daripada mereka yang menumpukan perhatian kepada pengajian akademik, bukannya daripada golongan yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang boleh menggarap kebolehan memimpin seperti berpesatuan dan kegiatan sosial. Oleh itu, penguasaan ilmu agama tidak menjamin kualiti kepimpinan seseorang.

Rakyat perlu sedar akan kenyataan ini. Hanya sedikit agamawan yang mampu memimpin. Bukannya agamawan tidak cerdik atau tidak perlu dihormati. Cuma, mereka tidak dilatih untuk memimpin, apatah lagi berpolitik.

Hakikatnya, agamawan kita tidak bersedia untuk berdepan dengan isu-isu politik walaupun melibatkan subjek agama. Mereka berulang kali gagal mambaca asbab dan selok-belok retorik agama yang dimainkan ahli politik. Lantas reaktif – menggelabah, hilang pertimbangan dan melatah. Tindak balas ini mudah diramal dan sering dieksploit pemuka politik. Contohnya, bagi mengalihkan perhatian rakyat dari kepincangan pengurusan ekonomi, sentimen-sentimen agama diketengahkan parti pemerintah. Kehangatan perbahasan agamawan melalaikan rakyat dari kepincangan tersebut. Maka, tidak hairanlah semenjak 10 tahun ini, di kala prestasi negara merudum, jelmaan sentimen-sentimen agama bertali arus.

 

Populis

Kurun yang lepas boleh dilihat sebagai kurun teknologi komunikasi. Perkembangan sains dan teknologi mendorong penciptaan alat-alat komunikasi seperti telegraf, telefon dan faksimili – yang menghubungkan manusia secara pantas rentas jarak dan sempadan. Ia menggalakkan rangkaian dan kerjasama antara manusia. Oleh kerana-nya, kegiatan ekonomi dan perdagangan berkembang pesat.

Teknologi komunikasi terus berkembang dengan terciptanya radio dan televisyen pada separuh kedua kurun ke-20. Disebabkan keberkesanannya menyebar maklumat, radio dan televisyen mendapat permintaan menakjubkan dan merebak ke seluruh pelusuk dunia.

Melalui radio dan televisyen, lahirlah personaliti-personaliti media dan bintang-bintang hiburan. Mereka petah berbicara, berpewatakan menarik, bergaya dan segak jelita. Mereka disayangi dan menjadi idola ikutan masyarakat. Pengaruh media massa ini mewujudkan ‘budaya popular’ dimana orang kebanyakkan turut mahu dikenali dan disanjung manusia. Karakter, lagak dan gaya bintang diperagakan supaya kelihatan cool dan trendy.

Perkembangan pesat teknologi maklumat 20-30 tahun kebelakangan ini memperlihatkan terciptanya komputer peribadi, tablet dan pelbagai gajet yang menyokong internet dan media sosial. Keinginan manusia untuk popular dipermudahkan dengan aplikasi-aplikasi seperti facebook, twitter dan instagram. Ianya mudah, percuma dan boleh diakses di mana-mana. Aplikasi-aplikasi ini dilengkapi ruangan komen serta butang-butang like dan follow sebagai indikasi terhadap populariti pemiliknya. Walaupun ianya superfisial, populariti maya memberi kesan ketagihan yang sama dan nyata.

Saluran penyampaian maklumat terbaru ini tidak dipersiakan oleh generasi agamawan sekarang. Bukan lagi di surau dan masjid, agamawan era baru berdakwah di hadapan komputer dan telefon pintar.  Jika aktivis media sosial dilabelkan ‘pahlawan keyboard‘, agamawan jenis ini saya gelarkan ‘mubaligh keyboard‘. Seperti pahlawan keyboard, mubaligh keyboard pintar dalam menarik pengikut yang ramai. Pengolahan prosa kata, grafik dan audio-visual yang dimuatkan ke laman facebook, twitter dan instagram mereka sangat efektif – memikat dan menghiburkan.

Penularan ‘budaya popular’ turut berjangkit kepada segelintir mubaligh keyboard. Mereka memuat naik gambar-gambar sosial, percutian, posing bersama personaliti popular; dan menulis posting mengenai aktiviti peribadi, lokasi, menu makanan dan lawak jenaka. Perilaku begini dari satu sudut pandang, boleh merendahkan kedudukan mereka sebagai agamawan. Bagi saya, gelagat begini mencerminkan kerendahan diri seorang agamawan yang juga manusia seperti kita. Sejujurnya, saya turut terhibur dengan sesetengah posting dan gambar yang dimuat naik.

Akan tetapi, mubaligh keyboard mempunyai sisi negatif. Demi kelihatan unik dan progresif, mereka cenderung mengeluarkan fatwa-fatwa ‘lain dari yang lain’. Isu-isu semasa merupakan peluang keemasan bagi mubaligh-mubaligh keyboard menonjolkan hujah-hujah kontroversi. Ia mudah buat mubaligh keyboard yang sememangnya berpengetahuan agama. Pendapat mazhab lain atau sarjana terdahulu dijadikan hujah.

Walaupun tidak salah, tindakan mereka menimbulkan was-was kepada masyarakat umum. Masyarakat menjadi keliru dan gelisah. Ya, mereka (mubaligh keyboard) kelihatan progresif di kalangan  peminat – tetapi, di manakah tanggungjawab ilmu? Hanya kerana inginkan imej progresif, kestabilan dan kefahaman masyarakat dipertaruhkan. Di manakah hikmah dan kebijaksanaan seorang agamawan?

Bukan itu sahaja, mereka sangat ketat dengan pendapat sendiri. Jika ada teguran, mereka akan bertindak difensif dan berhujah dengan keras. Kadangkala melibatkan sindiran-sindiran sarkastik dan maki-hamun. Cabar-mencabar itu biasa. Dimanakah ketinggian karakter dan akhlak seorang agamawan?

Kecenderungan mengejar populariti serta sikap mudah melenting – menjadikan mereka (mubaligh keyboard) alat permainan politik. Sekali lagi, bilamana alihan perhatian (diversion) diperlukan, sentimen-sentimen agama ditabur pemuka politik. Percakaran yang menyusul cukup sensasi, lalu mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar.

 

Agamawan politik

Di negara kita, sebahagian daripada agamawan secara langsung terlibat dalam politik kepartian. Mereka aktif berpolitik khususnya dalam parti PAS dan UMNO.

Dari sudut kepimpinan, golongan agamawan politik mempunyai kemahiran kepimpinan yang cemerlang, terutamanya dari parti PAS. Mereka berjaya membentuk struktur dan organisasi politik yang kukuh. Kesukarelaan dan gerak kerja mereka adalah yang terbaik. Biarpun sumber kewangan terhad, PAS mampu bergerak secara aktif di semua peringkat.  Kekuatan struktur dan sokongan akar umbi PAS adalah disebabkan organisasi dan kepimpinan yang konsisten.

Akan tetapi, oleh kerana objektif utama politik adalah pengaruh dan kuasa, kepakaran yang ada, yakni ilmu agama, dipergunakan untuk tujuan politik. Agamawan politik akan mengenengahkan hujah-hujah keagamaan dalam membahaskan isu-isu pentadbiran. Sebagai contoh, pemimpin PAS berhujah tentang hukum hudud dari aspek kefarduannya (perintah Tuhan). Prinsip keadilan dalam perlaksanaan undang-undang tidak dikupas dengan baik. Kaedah perlaksanaan hukum hudud itu sendiri tidak dijelaskan secara efektif kepada umum.

Kecenderungan menggunakan hujah-hujah spiritual begini-lah yang mendorong agamawan muda UMNO mempertahankan kenaikkan kos sara hidup yang disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi sebagai ketentuan Tuhan.

Eksploitasi hujah-hujah keagamaan turut menakutkan orang ramai. Masyarakat menahan diri dari berbicara, apatah lagi secara kritikal, tentang dakyah-dakyah agamawan politik kerana takut menyimpang dari ajaran agama, lebih-lebih lagi apabila tabiat kafir-mengkafir adalah kelaziman politik di Malaysia.

Suasana ini menyempitkan perbincangan, melumpuhkan kreativiti serta menghadkan ruang kompromi. Akhirnya, dasar-dasar pentadbiran negara lemah, tidak kompetetif dan regresif. Yang menanggung rugi adalah rakyat!

 

Ulama

Perlu ditegaskan bahawa artikel ini tidak bertujuan untuk menghina agama ataupun ulama. Saya sengaja menggunakan istilah agamawan dan bukannya ulama kerana tidak mahu menghina mereka yang benar-benar alim. Bagi saya, agamawan yang dibincangkan di atas – tiada kebolehan memimpin, populis dan beragenda politik – yakni, bukanlah ulama sejati. Ulama sejati memahami dan mempaktikkan agama dengan tenang, bijaksana dan terbuka.

Agama, jika dipelajari dengan ikhlas, secara langsung akan meningkatkan karakter, integriti dan kepimpinan seseorang. Saya kesal dengan segelintir agamawan yang menonjol di negara kita, seakan tidak faham nilai dan prinsip-prinsip agama, berkelakuan sumbang lalu memburukkan institusi agama itu sendiri.

 

 Harapan

Sudah tiba masanya kita menolak agamawan yang memperalatkan agama untuk agenda peribadi (mengejar populariti, kedudukan dan kuasa). Kita juga hendaklah berhati-hati terhadap permainan politik sentimen keagamaan. Sebaliknya, parti pemerintah mestilah didesak untuk fokus terhadap tanggungjawab sebenar iaitu pentadbiran, pengurusan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sebagainya.

Jika politik agama dibiarkan berterusan, pemikiran masyarakat akan mundur, ketegangan antara kaum pasti membarah, dan prestasi negara akan terus merudum. Nauzubillah, institusi agama akan dipandang remeh seakan rintangan kepada progres, lantas ditolak secara mutlak seperti di barat.

Kepada agamawan, bertenang-lah sejenak sebelum memberi pendapat di media massa mahupun sosial. Elak-lah dari diperlakukan seperti boneka oleh manusia-manusia berkepentingan. Sambil itu, luaskan pandangan dengan ilmu-ilmu baharu terutamanya berkaitan dengan kemasyarakatan dan ketamadunan seperti sejarah, falsafah, sosio-ekonomi, psikologi dan sebagainya. Turun dan dampingi masyarakat. Nescaya, pendekatan sebegini mampu menggarap kepimpinan, serta memberi hikmah dan kebijaksanaan. Jika tidak, adalah lebih afdal kiranya agamawan mendiamkan diri dari berpolitik.

Wallahu a’lam

Advertisements

2 comments

  1. […] agamawanlah yang sepatutnya membangunkan apabila yang lain leka dan tertidur. Ada juga yang tidak mahu campurkan politik dan agama, walhal mereka inilah yang menyalahkan sekularisme sebagai akar segala polemik skandal […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: