Mengapa Penurunan 20 Sen Subsidi Petrol Mengecewakan Rakyat

Buat sekalian kalinya, subsidi petrol dipotong – kali ini, sebanyak 20 sen – pada minggu lepas (2 Oktober 2014), beberapa hari sebelum Hari Raya Haji, 1435 Hijrah. Dengan demikian, harga petrol RON 95 yang dahulunya RM 2.10 naik kepada RM 2.30 se-liter.

Penurunan subsidi yang menaikkan harga minyak ini adalah satu keputusan yang sukar buat kerajaan kerana ianya tidak popular. Siri pemotongan subsidi minyak terdahulu mendapat respon tidak baik dari rakyat. Malah, persepsi rakyat terhadap kebolehan pemimpin negara mengurus ekonomi merosot akibatnya.

Biarpun tidak popular, kerajaan terpaksa juga menurunkan subsidi petrol, kata DS Najib. Mana tidaknya, perbelanjaan kerajaan kian meningkat dan tidak mampu diimbangi oleh pendapatan negara. Ini dilihat melalui belanjawan defisit beberapa tahun kebelakangan ini. Pengurusan kewangan yang regresif begini tidak boleh berterusan. Rezab semakin berkurangan, manakala hutang negara sudah terlalu tinggi.

Hendak atau tidak, perbelanjaan kerajaan mesti dikurangkan. Pendekatan yang diambil adalah melalui pemotongan subsidi-subsidi yang ditanggung kerajaan. Selain dari petrol, pelbagai lagi subsidi contohnya subsidi gula – sudah dipotong. Bagi meningkatkan pendapatan pula, cukai diluaskan perlaksanaannya. Ini dilihat melalui keputusan meluluskan cukai GST secara terburu-buru, tanpa perbahasan terbuka. Dengan kata lain, ketidak-seimbangan perbelanjaan dan pendapatan negara inilah yang mendesak kerajaan mengambil tindakan tidak popular dengan memotong subsidi petrol.

Sebenarnya, banyak pandangan alternatif diutarakan dari pelbagai pihak bagi mengatasi masalah ini. Pakatan Rakyat (pembangkang) menegaskan bahawa; daripada memotong subsidi dan menaikkan cukai, adalah lebih baik jika kerajaan mengambil pendekatan berjimat cermat dengan mengurangkan pembaziran dan ketirisan yang berjumlah berbillion ringgit seperti dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada tahun-tahun lepas. Pada pendapat mereka, kawalan perbelanjaan sebegini sudah cukup untuk mengimbangi pendapatan negara yang tidak berapa dinamik sekarang. Objektif utama pendekatan ini adalah bagi mengelakkan  pemotongan subsidi dan kenaikkan cukai yang membebankan rakyat.

Akan tetapi, kerajaan sekali lagi memutuskan untuk memotong subsidi petrol. Kesan negatif kenaikkan harga minyak terhadap kedudukan ekonomi rakyat sudah pun terbukti. Setiap kali harga minyak naik, kos sara hidup meningkat. Bukan sahaja harga makanan, dari beras hingga ke burger – harga barangan keperluan asas seperti susu bayi, pampers, sewa rumah, kos pengangkutan, pakaian dan barangan kelengkapan peribadi – turut naik. Walaupun tidak mendatangkan kesan terhadap golongan kaya, ianya menyempitkan kehidupan rakyat yang majoritinya berpendapatan sederhana dan rendah.

10704187_10204566648148225_8927513843529413341_n

Pernah sekali harga minyak turun pada September 2009 sebanyak 90 sen, dari RM 2.70 ke RM 1.80. Namun, biarpun  harga minyak turun, kos sara hidup kekal tinggi (tidak pula turun). Apabila harga minyak dinaikkan pada tahun berikutnya, sebanyak 5 sen, harga barangan ikut sama meningkat. Nampaknya, kos sara hidup hanya selari dengan kenaikkan harga minyak, bukan sebaliknya (penurunan).

Reaksi pemimpin dan penyokong kerajaan Barisan Nasional

Saya sebenarnya hairan dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sensitif. Datuk Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri boleh berkata ‘rakyat sepatutnya bersyukur dan tidak patut protes’. Ada pemimpin Barisan Nasional dengan angkuh ‘mengingatkan’ rakyat bahawa petrol di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia. Ada pula yang cuba kelihatan cerdik dengan mengatakan ‘harga minyak tidak naik, cuma subsidi sahaja yang kurang!’

Adakah mereka ini tidak belajar dari kenaikkan harga minyak (dan barangan) yang lepas-lepas? Kenyataan-kenyataan tidak perihatin terhadap penderitaan rakyat kali ini, sama dengan ungkapan-ungkapan,  ‘kenaikkan harga barang adalah ketentuan Allah’, ‘kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam’ dan ‘harga kangkung sudah turun, rakyat perlu adil’, dahulu. Respon-respon begini bukan sahaja menguris perasaan rakyat, tetapi mencerminkan kerendahan peradaban dan intelek para menteri. Jika pun tidak mampu memikirkan pendekatan efektif menangani kemurungan ekonomi, sekurang-kurangnya sensitiflah sedikit kepada keluhan rakyat.

Fenomena baru yang agak menarik untuk dikomen adalah mengenai keghairahan penyokong-penyokong Barisan Nasional mempertahan tindakan-tindakan kerajaan. Mereka kelihatan lebih agresif. Jika dahulu mereka tidak banyak bersuara, kini mereka begitu lantang dan kasar. Sebenarnya, perilaku emosional dan kata-kata kesat sahaja yang mampu mempertahan tindakan memotong subsidi petrol. Ini kerana, hujahnya tidak kuat. Seterusnya, tindakan agresif sebegini adalah manifestasi rohani yang sedang bergolak. Sebenarnya, jauh di lubuk hati, mereka juga kesal dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak. Selain dari itu, ia mencerminkan kekecewaan mereka kerana sudah lama berada dalam kedudukan defensif angkara polisi-polisi lemah kerajaan.

Mengapa rakyat kecewa dengan penurunan 20 sen subsidi minyak

Seperti yang dibincangkan tadi, pengurangan subsidi yang mengakibatkan kenaikkan harga minyak pasti akan meningkatkan kos sara hidup. Ini bukan kali pertama harga minyak dinaikkan, tetapi sudah banyak kali dan setiap kali ia naik, kos sara hidup meningkat. Disebabkan ianya berlaku berkali-kali, kebarangkalian ia berlaku lagi – hampir pasti. Remehan pemimpin-pemimpin kerajaan bukan sahaja tidak membantu, ia bagaikan menggosok garam ke dalam luka.

Rakyat juga rasa tertipu dengan janji-janji Barisan Nasional pada PRU-13. Sudahlah harga kereta masih tinggi, BRIM pula diberi separuh (janji RM1200 diberi RM600 tahun lepas). Subsidi demi subsidi dipotong dan cukai GST pula ingin dikenakan. Harga barangan keperluan asas terus meningkat. Memang ada benarnya laungan nakal penyokong Pakatan yang menyamakan akronim BN dengan ‘Barang Naik’.

Timing kenaikkan harga minyak kali ini juga tidak kena. Ia diumumkan beberapa hari sebelum perayaan Hari Raya Korban. Baru sahaja rakyat hendak bergembira, kabar buruk diumum kerajaan. Kos minyak untuk pulang ke kampung bagi menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang sememangnya meningkat akibat kesesakan lalu lintas, ditingkatkan lagi oleh pengurangan subsidi minyak. Tidak bolehkah kerajaan tetapkan kenaikkan harga minyak ini selepas musim perayaan? Jika tidak boleh, bukankah lebih bijak jika kerajaan umumkannya lebih awal? Sekurang-kurangnya, rakyat lebih bersedia dari aspek psikologi. Perasaan kecewa mereka akan reda dengan ketibaan Hari Raya Haji.

Dari sudut politik, kerajaan berpeluang untuk mengumumkan potongan subsidi minyak kali ini semasa krisis MB Selangor sedang hangat – tatkala parti-parti pembangkang berkelahi sesama sendiri dan keberkesanan mereka rendah. Sekarang, setelah tamatnya isu MB Selangor, peluang itu terlepas. Pakatan Rakyat kini mampu menumpukan perhatian sepenuhnya menentang keputusan pemotongan subsidi minyak ini. Malah, ia mengukuhkan kesepakatan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat yang berbeza pendapat dalam banyak isu sebelum ini, dihidangkan dengan wadah yang disetujui bersama.

Seterusnya, potongan subsidi ini diumumkan dikala mood rakyat masih muram akibat kehilangan kapal terbang MH 370 yang masih tidak dijumpai, disusuli pula dengan MH 17 yang ditembak jatuh di sempadan Ukraine. Emosi rakyat keletihan apabila disajikan dengan satu berita sedih selepas yang lain.

Turut menyedihkan adalah pemotongan subsidi ini diumumkan semasa keadaan ekonomi rakyat sedang parah. Walaupun kadar inflasi dilaporkan sebagai minimal, realiti sebenar adalah sebaliknya. Nilai matawang menjunam dari sudut kuasa membelinya. Jika 2 tahun dahulu, sebungkus nasik campur boleh dibeli dengan harga RM 5, tahun ini nilai nasik bungkus dengan lauk-lauk yang sama meningkat ke RM 7.50.

Begitu juga dengan kadar kemiskinan. Ia dilaporkan sebagai kecil dan berkurangan. Jika kemiskinan berkurang, mengapa peratusan kes muflis meningkat secara mendadak? Diberitakan bahawa 60 orang diisytihar muflis setiap hari. Sejak 2007 hingga September 2013, seramai 116,488 orang diisytihar bankrap. Punca utama kepada angka yang menakutkan ini adalah – kegagalan melunaskan pinjaman kenderaan dan perumahan (baca seterusnya). Perlu ditegaskan bahawa kenderaan dan rumah merupakan keperluan asas di negara kita.

Bicara tentang kenderaan, rakyat terpaksa bergantung kepada kenderaan persendirian (motosikal dan kereta) kerana kemudahan pengangkutan awam di negara kita masih tidak menyeluruh. Mungkin sesetengah kawasan di Lembah Kelang mempunyai kemudahan LRT, tetapi bagaimana pula dengan kawasan yang tiada LRT? Pengangkutan awam di bandar-bandar dan pekan-pekan selain dari Kuala Lumpur lebih mengecewakan. Justeru, majoriti rakyat akan terkesan secara lansung dengan kenaikkan harga minyak disebabkan kebergantungan mereka terhadap kenderaan persendirian kerana tiada pilihan.

Banyak lagi sebab mengapa rakyat kecewa dengan kenaikkan harga minyak ini, termasuklah ketirisan projek-projek yang menelan belanja bermillion-milion ringgit dari dana kerajaan. Jejambat, bumbung masjid dan bumbung hospital, hinggakan stadium pun boleh runtuh. Ini tidak termasuk projek-projek tidak berfaedah seperti membela beruang Panda, dan pelbagai penyelewengan seperti projek penternakkan lembu dan pembinaan kampus UiTM.

Penutup

Suka atau tidak, pemotongan subsidi minyak mendatangkan banyak kesan negatif kepada kehidupan rakyat. Rakyat sepatutnya tidak dimarahi atau diremehkan jika mereka mengeluh kerana kesan buruk kenaikkan harga minyak adalah nyata. Kerajaan sepatutnya perihatin terhadap keluhan masyarakat, serta terbuka kepada pandangan pertubuhan bukan kerajaan dan ahli-ahli akademik. Malah, jika cadangan seterunya, yakni pihak pembangkang  lebih baik, kerajaan seharusnya menyahut pendapat mereka dengan hati terbuka – demi kepentingan rakyat.

Tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak mengundang kekecewaan rakyat. Kekecewaan mereka berasas. Rakyat tidak diberikan alternatif dalam bentuk pengangkutan awam yang efisien. Hidup mereka yang sudah sememangnya susah, disusahkan sekali lagi dengan kenaikkan harga minyak. Kuasa membeli telah pun merosot dengan dahsyat, dan kemiskinan menjadi-jadi. Timing perlaksanaannya, mood yang masih muram, janji-janji kerajaan yang tidak ditepati, serta pelbagai ketirisan dan penyelewangan kerajaan membuatkan mereka bertambah kecewa.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: