Keharmonian Kaum – Ke Mana Kita?

Secara luaran, hubungan antara kaum di negara kita tampak baik. Tiada rusuhan dan rakyat tenang menjalankan kegiatan harian. Setiap kali perayaan, pemimpin pelbagai bangsa raya bersama.

Negara dipromosi sebagai berbilang budaya. Di dada-dada iklan, model-model jelita pelbagai kaum berpakaian tradisional segak beratur sambil tersenyum mendepa tangan mengalu-alukan kehadiran pelancong asing. Imej toleransi yang ditonjolkan sangat memikat.

Hakikat

Namun, jika diteliti, hubungan antara kaum di negara kita tidaklah seharmoni mana. Anak-anak kecil di Sekolah Kebangsaan berkawan dengan rakan sebangsanya sahaja. Apatah lagi di sekolah vernakular? Peluang pelajar sekolah ber-Jenis ini untuk bergaul dengan bangsa lain adalah terhad. Persepsi mereka terhadap kaum lain tersandar kepada persepsi dan prejudis ibu bapa mereka.

Pembentukkan minda begini berterusan selagi anak itu membesar dikalangan kaum sendiri. Tidak hairanlah di universiti, kelompok rakan ber-sempadan-kan bangsa. Trend ini turut dilihat pada penuntut kita di luar negara. Walaupun terdedah dengan keterbukaan pemikiran, minda mereka masih sempit.

Kecenderungan berkelompok mengikut kaum berterusan ke alam pekerjaan. Sektor awam didominasi orang Melayu. Peratusan bukan Melayu di perkhidmatan awam adalah kecil. Kepada bukan Melayu yang berjaya menembusi kedudukan kuasa, akan dipastikan bangsanya memolusi jabatan. Perhatikan universiti dan hospital awam. Jika ketua jabatan, contohnya Cina, jawatan-jawatan penting akan diberikan kepada bangsa Cina. Jika ada, contohnya bangsa India pada jabatan tersebut, orang India itu akan sukar naik pangkat, atau diberikan jawatan picisan.

Sektor swasta tiada banyak bezanya. Syarikat-syarikat Melayu dipenuhi orang Melayu. Konglomerat-konglomerat Cina mengambil graduan-graduan Cina. Begitu juga firma-firma India. Tiada meritokrasi. Peluang tidak terbuka. Ciri yang diteliti cumalah warna kulit.

Kelompok-kelompok kaum juga terlihat pada aktiviti sosial. Pasukan futsal, badminton, bola keranjang dan lain-lain, jarang yang multiracial. Jika ke kedai mamak; orang Melayu duduk bersama orang Melayu, Cina dengan Cina, dan India dengan India. Pertubuhan-pertubuhan sosial pun sama. Orang Melayu dengan pertubuhan ke-Melayu-annya dan orang Cina dengan pertubuhan ke-Cina-annya. Pertubuhan kaum India pun sama. Sedikit sekali initiatif sosial dan kebajikan yang merentasi sempadan perkauman. Walhal, kemiskinan tidak mengenal erti perkauman.

Segregasi  ini dilihat sangat ketara pada institusi perkahwinan. Perkahwinan antara kaum yang lazimnya berleluasa dalam masyarakat berbilang kaum seperti kita, sedikit sekali. Malah, menurut pemerhatian penulis, peratusan perkahwinan antara kaum menurun sejak sedekat-dua ini. Pada generasi terdahulu, perkahwinan antara kaum adalah lebih biasa.

Politik perkauman cukup membarah. Barisan Nasional yang asalnya dibina atas semangat keharmonian kaum kini ibarat segerombolan rasis yang tinggal sebumbung. Sejak era Tun Mahathir, UMNO yang dahulunya berpewatakan, kini jelek dan tidak beradab. Martabatnya dicemari tingkah laku pemimpin yang bukan sahaja tidak berkebolehan dan korup, tetapi gemar bermain api perkauman. MCA dan MIC yang terkial-kial mengimbangi perwatakan ekstrem tersebut turut berlaku kurang ajar. Kredibiliti mereka hilang dan pengaruh yang ada lesap.

Polarisasi kaum

Hubungan antara kaum di negara kita pernah seketika dahulu lebih harmoni dari sekarang. Pada masa itu, kumpulan rakan karib terdiri dari pelbagai kaum. Kanak-kanak main bersama. Mereka bertandang ke rumah masing-masing bermain guli, kejar-kejar dan sebagainya. Main sama-sama, nakal pun sama-sama.

Hubungan kelompok dewasa juga akrab. Di tempat kerja, tiada hasad dengki dek kerana orang itu bukan dari bangsanya. Mereka mengunjungi rumah masing-masing dan senang berbual sesama sendiri. Jika kawannya tidak berkunjung buat seketika, akan ‘dimarah’ dan ‘dipaksa’ untuk datang ke rumah. Keakraban antara kaum begini membuatkan mereka selesa dan percaya antara satu sama lain. Tidak hairanlah jika rumah tangga antara kaum boleh terdiri dengan leluasa.

Suasana harmoni ini diceritakan dengan penuh nostalgia orang-orang terdahulu yang hidup di era pra-Merdeka dan beberapa dekad pasca-nya. Masyarakat dan kepimpinan ketika itu sungguh menitik beratkan hubungan baik antara kaum.

Pemimpin-pemimpin pada masa itu juga berdepan dengan cabaran mencapai kemerdekaan. Pihak British sebenarnya tidak yakin akan kemampuan negara dalam mengekalkan keharmonian kaum. Lebih-lebih lagi dengan pengaruh komunis yang berkembang. British asalnya bertegas untuk menangguh kemerdekaan Tanah Melayu. Ini kerana, menurut British, Tanah Melayu bakal bergolak apabila dimerdekakan.

Ketika itulah teserlah ketokohan Tunku Abdul Rahman. Beliau bukan sahaja berjaya menyatukan orang Melayu dalam UMNO, tetapi berjaya menyatukan masyarakat keseluruhan melalui pembentukkan Perikatan bersama MCA dan MIC dengan visi kemerdekaan. Sokongan padu penduduk Tanah Melayu kepada Perikatan pada Pilihan Raya Persekutuan 1955 mematahkan hujah British mengenai  ketegangan kaum. Susulan itu, bersama barisan kepimpinan, antaranya Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Chen Lock dan Tun Sambathan, Tunku bertemu dengan pihak British untuk ‘memburu’ kemerdekaan.

Mengenai ancaman komunis, Tunku tenang menyelidik pemikiran dan strategi mereka. Malah, Tunku mengambil initiatif untuk bertemu dengan Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), di Baling pada tahun 1955. Walaupun gagal memujuk Chin Peng meletak senjata, keterbukaan Tunku untuk berunding dikagumi semua pihak termasuk komunis sendiri. Keputusan untuk tidak mengaitkan komunis dengan perkauman melihatkan kematangannya membaca situasi masyarakat.  Desakan Tunku supaya dipercepatkan kemerdekaan bagi meredakan pengaruh komunis cukup pintar. Benar sekali, pengaruh komunis terhakis selepas Merdeka.

Tunku_abd_rahman

Tentang karekter Tunku, beliau diceritakan sebagai seorang yang berketerampilan, berpewatakan tenang, jelas tutur bahasa, serta tegas dan berpendirian. Beliau amat bijak dalam rundingan dan mampu membuat lawannya berkompromi dalam keadaan ‘riang dan tersenyum’. Tunku juga adalah seorang yang terbuka dan toleran. Keterbukaan inilah yang dimomokkan pemimpin UMNO hingga beliau meletak jawatan di kemudian hari.

Kebimbangan British terhadap keharmonian di Tanah Melayu sebenarnya berasas. Kedudukan sosio-ekonomi antara kaum ketika itu tidak seimbang. Kaum Cina menguasai ekonomi di bandar, Melayu menjalankan kehidupan tradisional di kampung-kampung, manakala orang India bekerja di estet-estet. Perpecahan ini adalah akibat dasar ‘pecah dan perintah’ British sendiri yang bertujuan untuk melemahkan masyarakat bagi mengaut hasil bumi negara. Ketidakseimbangan sosio-ekonomi begini adalah resepi kepada rusuhan kaum. Inilah yang terjadi kepada bekas-bekas koloni British. British khuatir reputasi empayarnya tercalar jika Tanah Melayu turut bergolak selepas pemergian mereka.

Kebijaksanaan Tunku mengumpul tokoh-tokoh berkaliber, meraih sokongan rakyat, mengurus ancaman komunis dan meyakinkan British dalam rundingan kemerdekaan membolehkan kita Merdeka lebih awal. Pada asalnya, British bercadang memberi kemerdekaan 5-10 tahun selepas Pilihan Raya Persekutuan 1955. Sebaliknya, kita Merdeka dalam masa 2 tahun, pada 31 Ogos 1957 – hasil kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman.

Penghayatan Tunku terhadap pentingnya keharmonian kaum jauh lebih luas dari hanya menjaga reputasi. Bagi beliau, keharmonian kaum adalah teras kepada pembangunan negara yang baru Merdeka. Dalam ucapan-ucapan dan penulisan beliau, keharmonian kaum ditekankan sebagai elemen utama dalam mengharungi cabaran-cabaran yang mendatang.

Biarpun dasar pembanggunan negara menitik-beratkan pendidikan dan bantuan kepada kawasan luar bandar, jurang sosio-ekonomi antara kaum melebar dengan perkembangan ekonomi negara. Ketegangan mula berputik, lebih-lebih lagi dengan kelantangan pemimpin-pemimpin kaum yang bersifat chuavinis. Ketegangan memuncak apabila kemerosotan perolehan kerusi Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969 dipersendakan penyokong Gerakan dan DAP yang terdiri daripada orang Cina. Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus oleh  laungan perkauman yang menghina orang Melayu semasa penyokong Gerakan dan DAP berarak meraikan kemenangan. Dalam keterujaan, perarakan tersebut memasuki kawasan-kawasan Melayu, termasuklah Kampung Baru. Dari situ bermula dan merebaklah rusuhan yang melibatkan pertumpahan darah ke sekitar ibu negara. Parlimen digantung, negara diisytihar darurat dan urusan pentadbiran diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Razak.

Walaupun lebih sedekat negara Merdeka, rusuhan tersebut ibarat tempelak British kepada negara. Dasar-dasar pembanggunan yang berteraskan keharmonian kaum bagaikan sia-sia. Lebih mendukacitakan adalah kesan psikologi-nya. Peristiwa hitam itu meninggalkan parut dendam dan prejudis antara kaum di negara kita. Politik perkauman lalu menjadi mainstream.

Selepas 13 Mei, kumpulan oportunis dalam UMNO mula meneguk di air yang keruh. Sikap toleran Tunku dimomok. Tuduhan bahawa Tunku lebih sayangkan kaum Cina disebarkan bagi mengaibkan beliau. Tunku Abdul Rahman meletak jawatan pada tahun berikutnya akibat tekanan dan penghinaan tersebut.

Tentang punca sebenar peristiwa 13 Mei 1969 – ianya dikaji dan dibahaskan dengan meluas dari pelbagai sudut hingga ke hari ini. Debat dan perbincangan terutamanya dari sudut pandang kaum tertentu tidak mendatangkan faedah, hanya mengimbas trauma lalu dan mengukukuhkan prejudis perkauman yang sudah pun parah.

Bagi penulis, penilaian Tun Razak dan penasihat-penasihat MAGERAN adalah yang paling tepat kerana mereka berada dan terbeban, pada dan dengan peristiwa 13 Mei tersebut. Dari sudut politik, Barisan Nasional ditubuhkan bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum. Untuk mengimbangi jurang sosio-ekonomi antara kaum – Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dengan tujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Malangnya, selepas pemergian Tun Razak dan perletakan jawatan Tun Hussein Onn, DEB disalah-guna oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengayakan diri, keluarga dan kroni. Peluang-peluang ekonomi yang dikhususkan kepada golongan miskin dibolot mereka. Untuk kekal relevan, mereka menyalahkan bangsa Cina dan menakut-nakutkan orang Melayu. Pada masa yang sama, pemimpin kaum Cina secara berterusan menanam prejudis terhadap kaum bumiputera melalui hasutan-hasutan chuavinis. Ini menyebabkan orang Cina enggan berkongsi kuasa ekonomi dengan kaum lain. Akhirnya, kaum bumiputera kekal miskin, dan jurang sosio-ekonomi antara kaum terus melebar.

Tindakan perkauman pemimpin-pemimpin Melayu dan Cina tersebut mengkhianati tujuan DEB. DEB yang bertujuan merapatkan hubungan antara kaum dijadikan instrumen dendam dan prejudis.

Di era Tun Mahathir, ketegangan tidak teserlah kerana perkembangan ekonomi (hasil dasar-dasar Tunku dan Tun Razak), memuaskan hati rakyat. Perolehan material dan kualiti hidup bertambah baik. Namun, secara terselindung, prejudis perkauman terus menebal. Punca perasaan iri hati kaum bukan Bumiputera, terutamanya orang Cina adalah pemberian biasiswa dan peluang pendidikan tertieri yang bias kepada kaum Bumiputera. Walaupun keputusan peperiksaan kaum Cina cemerlang, biasiswa dan tempat-tempat pengajian tidak diberikan kepada mereka, tetapi kepada pelajar-pelajar Bumiputera.

Ketegangan ‘senyap’ antara kaum ini berterusan sepanjang pentadbiran Tun Mahathir. Selain dari faktor ekonomi yang menampan perasaan iri hati antara kaum, pendekatan pemerintahan Tun Mahathir yang authoritative berjaya mengekang ketegangan kaum. Ketegasan pentadbiran Tun Mahathir juga bertujuan membatasi pemikiran masyarakat yang mula terbuka dan mempersoalkan perihal penyelewengan kerajaan. Untuk itu, undang-undang seperti OSA dan ISA diluaskan perlaksanaannya. Rakyat; secara amnya, tidaklah semakin toleran, tetapi takut untuk bersuara.

Sikap curiga Tun Mahathir pula melihatkan penyisihan pemimpin-pemimpin progresif dan toleran. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin  chuavinis mendapat tempat dalam UMNO dan Barisan Nasional. Pihak pembangkang, iaitu DAP dan PAS membariskan pemimpin-pemimpin yang lantang dan berani. Malangnya, oleh kerana perdebatan nasional berbaur perkauman, pemimpin-pemimpin pembangkang, khususnya DAP, turut terikut dengan rentak chuavinis parti pemerintah. Semakin subur-lah politik cerca-cerca dan hina-menghina antara kaum.

Setelah 22 tahun memerintah, Tun Mahathir meninggalkan jawatan Perdana Menteri dengan krisis kewangan yang serius. Walaupun pelbagai langkah diambil kerajaan bagi menangani gawat 1997, termasuklah kawalan mata wang, kedudukan ekonomi rakyat tidak menunjukkan pemulihan seperti mana yang dilaporkan kerajaan. Kuasa membeli merosot, kos sara hidup mula meningkat dan kemiskinan, walau cuba diselindungi, semakin bertambah.

Tun Mahathir juga meninggalkan krisis kepimpinan apabila beliau bersara. Sepanjang pemerintahan Tun Mahathir, ramai pemimpin disingkirkan akibat perbezaan pendapat atau terlalu menonjol. Tun Mahathir menganggap pemimpin berkebolehan sebagai ancaman terhadap kedudukan politik dan kelangsungan perniagaan ahli keluarga dan kroni-kroni beliau. Kerana itulah DS Anwar Ibrahim, Timbalan beliau sendiri, diaibkan dengan pertuduhan liwat dan kemudiannya dipecat (1998). Ia ibarat ‘melengkapkan’ proses penyisihan barisan pemimpin harapan rakyat dalam UMNO.

Susulan dari pemecatan DS Anwar Ibrahim, pelapis-pelapis berwibawa hilang kepercayaan, meninggalkan kerajaan dan membentuk Gerakan Reformasi atau menyertai pembangkang. Tinggal-lah Barisan Nasional dengan kepimpinan yang berpandangan sempit, lemah dan tidak berkebolehan.

Pentadbiran Tun Abdullah dan DS Najib adalah bukti betapa lemahnya kewibawaan kepimpinan Barisan Nasional yang kekal. Prestasi negara merudum. Ekonomi gawat, kos sara hidup meningkat dan nilai mata wang menyusut. Kualiti pendidikan menjunam. Rasuah dan kadar jenayah menjadi-jadi. Bersama semua itu, hubungan sosial, menjadi tegang dan membarah.

Karakter sebenar masyarakat mula teserlah kebelakangan ini disebabkan kemurungan ekonomi. Apabila kehidupan menyempit, ianya resam buat sesebuah masyarakat untuk mencari alasan bagi meluahkan perasaan marah. Bagi masyarakat kita, dendam dan prejudis antara kaum yang lama terpendam mula disuarakan.

Lihat kepada isu-isu nasional. Isu-isu agama seperti kalimah Allah dan  Hudud, bertali arus. Ahli-ahli politik, khasnya dari UMNO, DAP dan PAS bertegang lidah menjuarai kaum masing-masing. Tidak sekadar parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan berteraskan kaum dan agama seperti Perkasa, ISMA dan COMANGO turut masuk campur. Hujah-hujah yang diutarakan berbentuk sentimental dan hanya bertujuan menyakiti perasaan lawan.

Lihat juga kepada perbincangan di media sosial. Setiap berita kontroversi akan dijadikan modal perkauman. Sebagai contoh; peristiwa gadis Melayu, Kiki Kamaruddin, CDM 25, yang berkelakuan ala samseng jalan raya terhadap seorang pakcik Cina tempoh hari. Kaum Cina membesarkan isu tersebut dan mengaitkannya dengan kebiadaban orang Melayu. Begitu juga acara sukaneka bogel di Pulau Pinang. Hanya kerana peserta acara tersebut semuanya Cina, dan diadakan pula di Pulau Pinang, kejelekkan acara tersebut dikaitkan dengan kerendahan moral kaum Cina.

Pakatan Harapan Rakyat

Kontras kepada polarisasi kaum dalam negara, perkembangan pemikiran global semenjak kurun yang lepas terarah kepada toleransi, keterbukaan dan kesaksamaan kaum. Pergerakkan menuntut hak kaum minoriti, terutamanya di Barat, mendapat sokongan meluas, melibatkan individu-individu karismatik dan berpengaruh. Perbuatan rasisme kini dianggap taboo dan sumbang, hinggakan isyarat dan innuendo perkauman tidak dapat diterima masyarakat. Amerika Syarikat yang berketuanan orang putih pun memilih orang kulit hitam sebagai presiden.

Peluang ke luar negara dan perkembangan teknologi maklumat membuka pandangan masyarakat kita. Idea dan nilai toleransi antara  kaum kembali berputik. Sejak beberapa dekat yang lalu, terdapat sebahagian masyarakat yang terbuka minda. Kebanyakkan mereka terdiri dari kelas pertengahan. Mereka terpelajar dan berpeluang meng-access informasi melalui bahan bacaan dan internet. Segmen masyarakat ini lazimnya tidak gemarkan perhatian dan politik. Tetapi, kelaziman ini berubah sedekat yang lalu. Mereka sudah terlalu mual dengan suasana perkauman dan mempunyai opsyen politik dalam Pakatan Rakyat.

Kejayaan Pakatan Rakyat menidakkan majoriti 2/3 Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, dan peningkatan sokongan pada PRU 2013 merupakan isyarat penolakkan rakyat kepada politik perkauman. Malah, Pakatan Rakyat yang diketuai oleh DS Anwar Ibrahim meraih sokongan majoriti, 51.4% dari keseluruhan undi (baca: undi popular) pada PRU 2013. Pencapaian ini, bukan sahaja disebabkan kepimpinan, keterampilan, prinsip-prinsip pentadbiran dan ekonomi-nya, tetapi turut dipengaruhi oleh semangat toleransi yang dijuarai Pakatan Rakyat.

Sejak penubuhannya, Pakatan Rakyat menolak politik perkauman. Secara individu; parti-parti komponen Pakatan Rakyat tidak pernah, sekurang-kurangnya secara prinsipal, memperjuangkan politik bangsa. PAS memperjuangkan Islam, DAP merupakan sebuah parti demokrat, manakala PKR berunsur liberal demokrat.

Walau bagaimanapun, kerana telah lama bergelumang dalam politik nasional yang bersifat chuavinis, PAS dan DAP tidak dapat lari dari tempias politik perkauman. Oleh kerana majoriti umat Islam di Malaysia berbangsa Melayu, keanggotaan PAS didominasi oleh orang Melayu. Secara tidak langsung, pendirian PAS memantul aspirasi orang Melayu. Untuk mengimbangi imej perkauman ini, serta meraih kepercayaan kaum lain, PAS menubuhkan Kelab Penyokong PAS yang terdiri dari masyarakat bukan Islam. Langkah ini, serta initiatif menyantuni kaum-kaum lain berjaya memperbaiki imej PAS.

DAP pula, secara efektifnya adalah sebuah parti Cina. Pendirian dan tingkah laku DAP berpaksikan kepentingan kaum Cina. Majoriti ahlinya juga berbangsa Cina. DAP sedar akan kepincangan pendekatan dan imej negatif yang dibawa. Lantas, secara aktif berusaha memperbaiki penampilan-nya. Pemimpin-pemimpin kaum lain terutamanya Melayu dibawa masuk ke dalam DAP. Akan tetapi, pendekatan terbaru dengan membariskan gadis-gadis Melayu ‘cun’ sebagai tarikan, memakan diri. Langkah yang dilihat sebagai menghina intelek orang Melayu menyebabkan kekalahan calonnya, Dyana Sofea di Pilihan Raya Kecil Teluk Intan baru-baru ini (DAP merupakan penyandang kerusi tersebut).

Masalah utama PAS dan DAP adalah sikap mudah teruja dengan isu-isu agama dan perkauman. Sikap keras kepala dan tidak mahu berkompromi menyusahkan Pakatan Rakyat mencapai kata sepakat. Sering juga apabila tercapai kesepakatan, ada seorang-dua pemuka di kalangan mereka yang mensabotaj ‘dossier’ bersama dengan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah. Walaupun sudah ramai pemimpin PAS dan DAP yang terbuka, golongan keras kepala ini masih tegar.

Berbanding PAS dan DAP, PKR adalah sebuah parti muda. Sebagai sebuah parti baru, dasar-dasar PKR lebih segar dan terbuka. Ia memperjuangkan prinsip-prinsip demokrasi yang bersifat sejagat seperti keadilan (justice), kebebasan (liberty) dan kesamarataan (equality). Komposisi ahlinya juga benar-benar berbilang kaum. Maka, tidak hairanlah jika mereka tidak terkesan dengan sentimen-sentimen agama dan perkauman. Karakteristik ini membuatkan PKR sebuah parti masa hadapan.

Kerana keterbukaan dan usia yang muda, PKR terdedah kepada oportunis-oportunis yang dahagakan kuasa dan pangkat. Ketika struktur dan akar umbi masih memerlukan pengukuhan, pemimpinnya sibuk berebut jawatan. Ini membuatkan PKR liabel kepada perpecahan. Bukan itu sahaja, PKR dilihat terlalu bergantung kepada DS Anwar Ibrahim. Mampukah PKR kekal relevan pasca Anwar Ibrahim? Justeru, cabaran utama PKR adalah survival-nya dalam politik negara. Jika ia mampu kekal untuk tempoh yang panjang, masa depannya cerah.

Ke mana kita?

Pertama sekali, kita perlu menerima hakikat bahawa masyarakat kita berpecah mengikut sempadan perkauman. Pendekatan idealistik seperti mengambil model negara maju secara ‘bulat-bulat’ adalah tidak bijaksana dan akan mengundang kegagalan. Ketahuilah bahawa masyarakat negara maju melalui proses evolusi yang panjang melibatkan pengorbanan berterusan demi mengecapi keterbukaan sedia ada. Maka, kita haruslah pragmatik dan berpandangan jauh. Evolusi penyatuan masyarakat kita bakal mengambil masa yang panjang, beberapa generasi. Namun, putik-putik toleransi yang ada harus dipelihara dan dipupuk supaya subur dan mekar satu hari nanti.

Keduanya, polarisasi kaum yang menegar dalam masyarakat kita wajib dibalikkan. Jika tidak,  masyarakat kita akan mundur dan ketinggalan dalam persaingan global. Dari sudut politik, Barisan Nasional yang membawa politik perkauman harus ditolak. Bukan sahaja ia memecah belahkan masyarakat, prestasi pentadbirannya lemah dan tiada tanda-tanda menunjukkan perubahan sikap. UMNO dan Barisan Nasional, serta pertubuhan-pertubuhan, syarikat perniagaan dan individu-individu yang bersekutu dengannya pasti akan memberi tentangan. Status quo, iaitu polarisasi kaum sedia ada mendatangkan banyak keuntungan dari sudut politik dan ekonomi kepada mereka.

Initiatif menyatukan masyarakat hendaklah menyeluruh. Semangat toleransi harus diserapkan ke setiap peringkat masyarakat, iaitu individu, masyarakat dan struktur (pemerintahan). Di peringkat individu, keterbukaan minda harus digilap dari kecil. Pembentukkan minda perlu bermula di rumah. Ibu bapa seharusnya mencampurkan anak-anak mereka dengan anak-anak bangsa lain. Ibu bapa sendiri akan meraih manafaat dari percampuran tersebut, seperti mempelajari kaedah membesarkan anak dari perspektif yang baru –  tidaklah hanya menurut petua turun-temurun yang sempit. Hubungan antara ibu bapa tersebut akan turut  menghakis prejudis, lantas meningkatkan semangat toleransi antara mereka.

Sistem pendidikan harus diselaras. Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan perlu ditutup. Akuilah bahawa sekolah-sekolah ini secara langsung memisahkan masyarakat. Pada masa yang sama, kualiti pendidikan Sekolah Kebangsaan harus ditingkatkan. Ini kerana, kualiti pendidikan Sekolah Kebangsaan dipandang inferior (rendah) di mata sesetengah kaum. Justeru, silibus pembelajaran haruslah progresif dan terkini mengikut standard antarabangsa.

multiracial

Penyelarasan kepada satu  sistem sekolah membuka peluang anak-anak untuk bergaul sesama sendiri. Walaupun di permulaan kelompok-kelompok pasti terlihat, sedikit demi sedikit, tembok perkauman itu bakal tumbang. Mungkin juga akan terjadi pergaduhan dan pilih kasih di peringkat awal. Tetapi, kita tidak boleh patah semangat dan mudah melenting. Sistem satu aliran persekolahan ini telah berulang-kali membuahkan kejayaan (menyatukan masyarakat) di negara-negara lain. Ingatlah, ketabahan dan kesabaran sentiasa ditagih dalam apa-apa initiatif perubahan.

Di sektor pekerjaan, keterbukaan adalah penting kepada pekembangan ekonomi . Kaum pekerja kita haruslah mempunyai kebolehan berkomunikasi, bekerjasama dan bersaing di peringkat global. Dasar memilih kaum sendiri untuk lantikan dan kenaikkan pangkat harus dinyahkan. Apabila sesebuah intitusi itu dipenuhi oleh satu jenis kaum, perspektifnya sempit dan tertutup. Untuk maju di era ini, keterbukaan kepada kepelbagaian idea, walau dari apa jenis manusia atau sumber sekali pun, adalah esensial.

Dalam bermasyarakat, kita hendaklah toleran terhadap budaya, kepercayaan dan sensitiviti satu sama lain. Janganlah terlalu sensitif terhadap perilaku pelik kaum lain. Pelajari dan fahami budaya mereka. Penulis pasti, jika kita cuba memahami antara satu sama lain, tiada apa yang pelik antara kita. Kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan, cita-cita dan aspirasi untuk berjaya.

Di peringkat politik, buat masa ini, Pakatan Rakyat menawarkan perspektif yang lebih terbuka dan bertanggungjawab. Tindak tanduk mereka mempuyai iras-iras pentadbiran Tunku dan Tun Razak, serta semangat persahabatan antara kaum dalam Perikatan dan Barisan Nasional di awal penubuhannya. Namun, banyak  aspek yang perlu diperbaiki. Cabaran yang mendatang juga menggunung.

Penutup

Polarisasi kaum sudah sebati dalam masyarakat kita. Ia berpunca dari prejudis dan politik perkauman yang tidak dipantau. Situasi ini tidak boleh berterusan. Jika ia berterusan, masyarakat kita akan mundur dan ketinggalan di persada global.

Penyatuan masyarakat adalah sebuah initiatif yang memerlukan kreativiti, keazaman dan ketabahan. Ia tidak mampu dikecapi sekelip mata. Perubahan yang ditagih juga tidak boleh dicapai melalui slogan atau label superfisial seperti  1Malaysia. Ia (perubahan)  hendaklah substansial dan konkrit, meliputi segenap peringkat masyarakat, dari pembentukkan modal insan ke dasar-dasar pentadbiran negara.

Wallahu a’lam

ptg01947591

Advertisements

One comment

  1. Hi webmaster do you need unlimited articles for your blog ?
    What if you could copy article from other sites, make it unique and publish on your page – i
    know the right tool for you, just search in google:
    kisamtai’s article tool

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: