Keluhan Rakyat Johor Mula Mendapat Perhatian

Rang undang-undang (RUU) penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang membuka laluan kepada penglibatan Sultan Johor dalam pentadbiran negeri, telah pun diluluskan (semalam).

Menjelang pembentangan RUU tersebut, hingga ke hari ini, isu penglibatan Istana dalam pentadbiran Negeri hangat dibincangkan. Ia dicetuskan oleh kebimbangan Tun Mahathir akan kemungkinan terdedahnya institusi Raja kepada kritikan. Beliau juga khuatir akan kemampuan Menteri Besar Johor menasihati sultannya. Luahan rasa yang penuh sopan itu disambut oleh media-media perdana seperti Utusan Malaysia dengan menyiarkan artikel-artikel yang intipatinya sama seperti pandangan Tun Mahathir.

Lain pula di media alternatif; blog dan laman sosial. Isu tersebut dikupas dengan lebih terbuka,merangkumi pelbagai aspek, dari keluhuran perlembagaan, keberkesanan dasar, hingga ke kemampuan Sultan dalam pentadbiran. Ada pula yang menyingkap kembali kisah silam Istana bagi meramal keberkesanan dasar tersebut.

Menarik apabila melihat reaksi pemimpin-pemimpin politik. Mereka mengambil jalan selamat dengan memberi kenyataan non-partisan. Selain dari timbalan presiden PAS, tiada seorang pun yang berani kehadapan untuk membantah atau menyokong RUU tersebut secara terbuka.

Dalam kehangatan perbincangan nasional yang seperti biasa; hanya sekadar hangat dan tidak memberi impak (RUU itu diluluskan juga dengan beberapa pindaan) – terdapat kebaikkan yang tidak mungkin lahir tanpa isu RUU tersebut. Keluhan rakyat Johor yang saban hari hilang hak milik hartanah akibat pembanggunan Wilayah Pembanggunan Iskandar (WPI) – mula mendapat perhatian.

 

Merempat di negeri sendiri

Sudahlah prestasi pasukan bolasepak JDT yang diharapkan memberi sedikit kegembiraan ‘biasa-biasa’ sahaja, rakyat Johor sedang kehilangan tanah tumpah darah mereka. Tanah-tanah pusaka diambil kerajaan dan diberikan kepada pemaju-pemaju WPI. Pampasan yang diberikan hanya mampu bertahan, maksima, untuk tempoh satu generasi. Pemaju-pemaju WPI pula membangunkan perumahan eksklusif yang hanya mampu dimiliki oleh segelintir golongan kapitalis tempatan, dan warga asing, bukannya majoriti rakyat Johor. Rumah mampu milik yang dijanjikan kerajaan dibangunkan secara sambil lewa. Kuantitinya pula dirisaukan tidak mampu menampung pertambahan populasi.

Kenaikkan kos sara hidup dan inflasi memburukkan lagi keadaan. Duit hasil perhambaan diri, walau di Singapura sekali pun, tidak mencukupi untuk mengimbangi kenaikkan sewa rumah, kos pengangkutan, makanan dan sebagainya. Akhirnya, kehidupan mereka bertambah susah, sedangkan tanah sudah pun tergadai. Hidup mereka  ibarat merempat di negeri sendiri.

 

Mendapat perhatian

Dengan tersebarnya isu RUU LPHJ ini, keluhan rakyat Johor mula mendapat perhatian. Kepincangan dan tipu muslihat pegawai-pegawai kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab, serta pemaju-pemaju WPI, dalam mengaut keuntungan berlipat ganda dari kesengsaraan hidup rakyat Johor, yang dulunya dikeluhkan sesama mangsa dan saudara terdekat, sudah mula dibincangkan secara terbuka oleh orang ramai. Walaupun masih didiamkan media perdana, luahan perasaan rakyat Johor sudah mula dibincangkan di media alternatif dan laman sosial.

Bukan itu sahaja, pembongkaran tipu muslihat individu-individu yang menjual ‘kedaulatan’ negeri Johor kepada rakyat asing dilakukan oleh mereka sendiri. Ini disebabkan; ada yang tidak berpuas hati dengan kemungkinan hilangnya sumber kekayaan segera, dan ada yang ingin membersihkan diri dari akauntibiliti apabila RUU LPHJ itu dilaksanakan.

 

Hati-hati dengan pemuka-pemuka baharu

Kepincangan perlaksanaan WPI yang mengayakan segolongan oportunis dengan menggadaikan tanah Johor kepada warga asing, lambat laun akan teserlah. Dengan terlaksananya RUU LPHJ, diharapkan agar keadaan bertambah baik. Baki-baki hartanah yang tinggal, moga dapat dikekalkan milik rakyat Johor.

Walau bagaimanapun, rakyat Johor perlu waspada dengan perlaksanaan RUU LPHJ. Ini kerana ramai oportunis dan ‘kaki penipu’ lain yang sedang menunggu untuk menyambar peluang kekayaan segera dari perlaksanaan RUU tersebut. Malang-lah rakyat Johor jika mereka terus ditipu oleh kumpulan oportunis baharu yang menggantikan ‘kaki penipu’ terdahulu. Segala usaha dan perbincangan tentang nasib mereka akan menjadi sia-sia.

 

Harapan

Adalah menjadi hasrat seluruh rakyat Malaysia bahawa baki-baki hartanah dapat dikekalkan milik rakyat Johor. Bukan itu sahaja, tanah-tanah tersebut tidak lagi dibiarkan menjadi ‘belukar’, tetapi dibangunkan oleh pemiliknya sendiri (rakyat Johor), supaya menjadi sumber pendapatan yang berterusan. Secara kreatif, ia (pemilik sebagai pemaju) mampu dilakukan dalam kerangka WPI sedia ada.

Untuk itu, golongan arif, efisien dan amanah perlu ditempatkan di kedudukan strategik dalam pembanggunan negeri Johor. Onar menjual negara demi kekayaan segelintir manusia – wajib dihentikan.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: