Ketuanan atau Perhambaan Melayu?

‘Ketuanan Melayu’ adalah candu pemikiran yang menyuntik keyakinan palsu kepada orang Melayu. Ia hanyalah khayalan atau delusi, yakni kepercayaan songsang yang tidak berpaksikan kebenaran.

Hakikatnya, orang Melayu tidak pernah menjadi ‘tuan’ di negara ini. Sejak dari zaman penjajah ke pasca merdeka hingga kini, orang Melayu diperkudakan pemerintah baik penjajah mahupun pemimpinnya sendiri. Kehidupan orang Melayu dikekalkan susah dan pemikirannya dibiarkan mundur.

Benarlah kata Hang Tuah, ‘tak akan Melayu hilang di dunia’. Benar – orang Melayu masih menetap di muka bumi. Namun, apa gunanya wujud sekadar ‘melukut di tepi gantang’?

.

Nota buat sahabat bukan Melayu

Saya sedar, bicara tentang survival Melayu mungkin menguris perasaan bukan Melayu. Seperti orang Melayu, mereka ditipu kerajaan dan pemimpin kaumnya sendiri. Peluang pendidikan dan ekonomi disempitkan oleh kepincangan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan. Ia diburukkan lagi dengan hasutan perkauman oleh pemimpin bangsanya yang chuavinis.

Biarpun begitu, tembok prejudis antara kaum sudah mula terhakis. Ramai pemikir dan pemimpin Melayu yang merapati dan menyuarakan permasalaahan dan kerisauan orang bukan Melayu. Mereka juga giat membelah kepompong pemikiran yang membelenggu bangsanya (Melayu) sendiri. Kini, tiba masanya pemimpin bukan Melayu menyahut pelawaan solidariti, lantas merobohkan tembok prejudis perkauman dalam masyarakat kita.

Oleh itu, lihatlah artikel ini dari sudut pandang yang segar dan toleran. Masalah Melayu, seperti masalah kaum-kaum lain, adalah masalah kita bersama.

.

Relevan

Ianya ‘berat’ buat saya untuk membincangkan isu Melayu. Isu Melayu dianggap lapuk dan ketinggalan zaman. Membendung kemiskinan dan memajukan pemikiran Melayu sudah hilang daya tarikannya. Bukan itu sahaja, permasalahan Melayu dikaitkan dengan rasisme – angkara kebiadaban pemimpin parti UMNO dan sekutunya seperti Perkasa. Pendeknya, ia tidak popular.

Trend pemikiran sekarang condong kepada falsafah-falsafah demokrasi seperti kebebasan (liberty), keadilan (justice) dan kesamarataan (equality). Ia meng-uja minda. Tetapi, sedarlah bahawa pemikiran ini berasal dari masyarakat barat yang sudah matang dan terbuka. Keselesaan dan kesejahteraan hidup hasil dari pentadbiran yang mantap membolehkan mereka terbuka kepada perkembangan idea dan pemikiran.

Hakikatnya, negara kita masih mundur. Kemiskinan – walaupun cuba diselindungi – amat berleluasa. Ia teserlah melalui gejala rasuah, sosial dan kadar jenayah yang meningkat. Ketegangan agama dan kaum kebelakangan ini turut mencerminkan kemunduran masyarakat kita. Maka, mengambil model masyarakat maju walaupun ianya ideal, secara bulat-bulat ke dalam masyarakat kita adalah cerapan yang hanya mengundang kegagalan.

Dalam konteks masyarakat kita, kemiskinan adalah rintangan utama kepada progres. Segmen masyarakat terbesar yang bergelumang dengan kemiskinan adalah orang Melayu. Masalah kepimpinan yang korup dan kemunduran pemikiran perlu diatasi dengan segera dan serius. Melayu perlu dikejutkan supaya bangkit dan menyertai arus perubahan. Jika tidak, progres masyarakat keseluruhannya akan tersekat.

.

Kejelekkan kepimpinan Melayu

Pemimpin adalah payung kepada masyarakat. Apabila kepimpinan sesebuah masyarakat itu korup, maka koruplah masyarakat tersebut. Bandingkan kepimpinan negara-negara Arab dan Afrika dengan kepimpinan negara-negara maju. Jurang perbezaannya luas. Negara-negara Arab dan Afrika terkenal dengan korupsi, pembaziran dan kezaliman. Manakala, kepimpinan negara maju berteraskan transparensi, akauntibiliti dan efisiensi.

Kepimpinan Melayu menyerupai kepimpinan Arab dan Afrika. Bezanya, negara kita tidak sekaya negara-negara Arab ataupun sedaif  negara-negara Afrika. Mentalitinya sama. Lupakan cita-cita untuk maju (baca: Wawasan 2020) selagi kepimpinan bermentaliti begini memerintah.

Pemimpin Melayu adalah perompak. Biarpun banyak bukti dan pembongkaran dibuat, mereka masih bebas merompak. Perihal rompakan harta negara dan hak orang Melayu berulang berkali-kali hingga ia dianggap lumrah.

Tidak perlu disenaraikan satu-persatu muslihat pemimpin Melayu merompak bangsanya. Bandingkan sahaja kekayaan keluarga pemimpin dengan orang Melayu kebanyakkan. Lihat kedudukan ekonomi keluarga Tun Mahathir, Tun Abdullah dan DS Najib dan lihat pula kepada sumber pendapatan anak-anak Melayu. Keluarga pemimpin kaya-raya. Perniagaan mereka – ratusan juta ringgit. Anak Melayu – terkial-kial berniaga burger, pasar malam dan menjaja.

Setiap tahun berjuta-juta ringgit disalurkan kepada program dan skim-skim keusahawanan. Mana hasilnya? Jarang sekali kita mendengar cerita kejayaan anak Melayu dalam perniagaan. Sebaliknya, berita yang sering didengari adalah pemberian bantuan kepada bisnes anak-anak Menteri, Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri.

Kuasa adalah sumber kepada kekayaan pemimpin Melayu. Jadi, pengekalan kuasa adalah penting bagi mengekalkan kekayaan tersebut. Untuk itu, pemimpin Melayu sanggup berbuat apa sahaja termasuklah berlaku zalim terhadap bangsanya sendiri.

Ramai dikalangan Melayu progresif yang menjadi mangsa kezaliman pemerintah. Ramai pejuang;  kaum muda, pemikir dan cerdik pandai Melayu yang diugut, dibuang kerja dan hilang punca pencarian. Ada juga yang dibelasah separuh mati, ada yang dikenakan tahanan tanpa bicara dan ada yang dipenjara melalui penghakiman yang timpang. Orang Melayu yang memperjuangkan keadilan diperlakukan lebih teruk dari hamba.

Kepimpinan Melayu (sedia ada) tidak berkebolehan untuk mentadbir negara. Prestasi negara merudum. Ekonomi gawat, kos sara hidup meningkat dan nilai mata wang menyusut. Kualiti pendidikan terus menjunam. Rasuah dan kadar jenayah menjadi-jadi. Dan, ketengangan sosial membarah. Siapa, jika bukan orang Melayu dan rakyat umumnya, yang menderita akibat kelemahan pentadbiran ini?

Fokus kepimpinan Melayu tertumpu kepada isu remeh-temeh. Terbaru adalah krisis politik di Terengganu. Satu lagi politik picisan UMNO –  berkisar sekitar kenduri kawin, merajuk, melompat keluar, melompat kembali, cium tangan dan sebagainya. Hampir-hampir DUN Terengganu dibubarkan. Politik begini membuang masa dan memalukan bangsa.

Kesan terburuk kejelekkan kepimpinan adalah pembudayaan corak kepimpinan tersebut. Merompak, menipu, mementingkan diri sendiri, zalim dan remeh-temeh,  menjadi norma kepimpinan Melayu di segenap lapisan. Pada setiap organisasi yang  mana Melayu menjadi ketua – contohnya, pentadbiran awam, universiti dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – corak kepimpinan tersebut menyerlah. Organisasi-organisasi ini akhirnya merosot, korup, membazir, rugi, kacau-bilau dan menyusahkan orang ramai.

.

Penumpulan pemikiran

Seperti hamba, minda orang Melayu ditumpulkan bagi mengelak pemberontakkan. Pendekatan dunia ketiga iaitu memperalatkan akta dan undang-undang serta intimidasi diguna-pakai. Suara-suara progresif Melayu dikekang dengan pelbagai tekanan dan hukuman.

Golongan Melayu yang korup ditempatkan di posisi-posisi kuasa dan strategik. Ia bagi mengawal dan mengekalkan kesinambungan hegemoni (pengaruh). Lihat kepada ketua-ketua peguam, dekan-dekan universiti, pengarah-pengarah perkhidmatan awam dan ketua-ketua eksekutif syarikat berkaitan kerajaan. Mereka tumpul dan hanya mampu mengiyakan kehendak pemimpin politik.

Seterusnya, minda Melayu dikhayalkan dengan rasa bangga terhadap pencapaian-pencapaian yang tidak berasas. ‘Pendidikan bertaraf dunia’, ‘negara aman permai’, ‘ekonomi terbaik’, ‘infrastuktur dunia pertama’ dan sebagainya. Penipuan-penipuan ini diulang-ulang melalui slogan, lagu-lagu patriotik, penjenamaan, temuramah ahli akademik dan pelbagai lagi kaedah propaganda. Penerapan kepercayaan songsang beginilah yang menyokong premis ‘Ketuanan Melayu adalah candu pemikiran’, di awal penulisan.

Jati diri Melayu dimandulkan. Majoriti orang Melayu, terutamanya kaum muda, golongan pertengahan, agamawan dan profesional – hidup dalam ketakutan. Mereka tiada daya untuk menentang penyalah-gunaan kuasa, pembaziran dan ketidak-adilan. Mana tidaknya, risiko dibuang pengajian, dihentikan kerja dan kehilangan peluang naik pangkat adalah terlalu besar. Itu belum lagi intimidasi undang-undang dan penjara. Taring kaum muda, golongan pertengahan, agamawan dan profesional yang lazimnya berbisa – tumpul.

Selain kebaculan, penumpulan pemikiran turut mempengaruhi tahap intelektual orang Melayu. Daripada menumpukan daya fikiran kepada ilmu-ilmu berguna, orang Melayu lebih tertarik kepada hiburan, gossip, dan pelbagai keseronokkan segera. Permasalahan tidak diteliti dengan rapi atau dianalisa dengan kritikal. Sebaliknya, jalan pintas yang dicari. Kesempitan hidup dan kecenderungan mengejar kepuasan segera inilah yang mendorong kepada pelbagai masalah sosial seperti merempit, pergaulan luar batasan dan penagihan dadah.

Akhir sekali, walaupun minda mereka tajam dan terbuka, golongan progresif Melayu turut menerima impak buruk. Mereka yang sepatutnya ditempatkan di kedudukan kepimpinan dan menentukan polisi dan dasar kerajaan – terpinggir. Kini, ramai antara mereka berhijrah ke luar negara, menyumbang kuderat dan pemikiran kepada bangsa asing. Buat bangsanya sendiri, sumbangan yang mampu diberi hanyalah komentari dan saranan yang tidak dipedulikan.

.

Sikap adalah punca masalah Melayu?

Ramai yang berpendapat bahawa masalah orang Melayu disebabkan sikap mereka sendiri. Melayu malas, tidak berdisiplin, tidak berani mengambil risiko, rasuah, mengejar kepuasan segera dan sebagainya. Saya bersetuju pada sebahagiannya. Tetapi, bagi saya, attitude bukanlah punca utama kepada masalah Melayu.

Saya berpendapat bahawa punca utama masalah Melayu adalah kemiskinan dan kepimpinan yang bobrok. Kemiskinan mempengaruhi psikologi dan pemikiran. Jerih, kepayahan dan kegundahan perasaan menghalang orang susah dari berfikir panjang. Fokus mereka hanyalah mencari rezeki untuk memenuhi keperluan asas seperti bekalan makanan keluarga, sewa rumah dan persekolahan anak-anak. Tiada masa ataupun daya untuk memikirkan masalah-masalah yang kompleks.

Dalam konteks masyarakat Melayu, situasi mereka diburukkan oleh kejelekkan pemimpinnya sendiri. Seperti yang dibincangkan, kepimpinan Melayu licik mengambil kesempatan. Orang Melayu dibiarkan miskin dan pemikiran mereka dikekalkan mundur – untuk kemudahan pemimpin merompak harta negara

Oleh itu, faktor sikap bukanlah pokok kepada masalah Melayu. Masalah attitude yang disebut-sebut bukannya punca, tetapi kesan negatif dari penumpulan pemikiran akibat kemiskinan dan inhibisi kepimpinan Melayu sendiri.

Jika diperhatikan, hujah Melayu dan masalah attitude sering dilontarkan oleh golongan yang menganggap diri mereka ‘profesional’. Tuduhan yang dibuat selalunya berkonotasi negatif seperti ‘Melayu malas!’ dan ‘Melayu mudah lupa!’. Sebenarnya, merekalah yang mempunyai masalah attitude kerana angkuh dan malas berfikir. Melekehkan keupayaan Melayu adalah langkah mudah untuk melarikan diri dari tanggungjawab.

.

Harapan

Peredaran masa, perubahan sosio-politk dan pengaruh globalisasi menuntut transformasi minda dan kepimpinan orang Melayu. Kemunduran Melayu dari sudut sosial, ekonomi dan pemikiran, sudah berlanjutan terlalu lama. Ianya menjadi halangan utama kepada masyarakat umum yang inginkan progres.

Orang Melayu harus sedar dari lamunan ‘ketuanan’-nya lalu bangkit memperbetulkan kemelut kepimpinan. Raikan keterbukaan pemikiran dan semai keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Jika ini berlaku, masa depan dan survival seluruh rakyat Malaysia pastinya cerah dan gemilang.

Persoalannya – mampukah Melayu berubah?

Wallahu a’lam

Advertisements

2 comments

  1. Narimsh daud · · Reply

    Yes, Melayu boleh berubah jika kita hapuskan politican yg corrupted, liars dan tiada berintergeriti….

  2. Saya setuju sama article ini 100% ..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: