Lawak Keterlaluan di Radio

Radio sudah menjadi sebahagian dari hidup kita. Bicaranya menjangkaui segenap lapisan masyarakat. Ke mana sahaja seseorang pergi, pasti akan kedengaran radio. Restoran, gedung beli-belah, pejabat, lapangan terbang, stesyen bas – di mana-mana sahaja. Di kota, tatkala terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, radio-lah menjadi teman hati.

Radio kebelakangan ini dipenuhi lawak murahan. Dengarkan stesyen radio perdana seperti Era FM dan Hot FM di waktu pagi. Ia didominasi oleh lawak-lawak berunsur slapstik dan tidak berkualiti. Panggilan ‘hangit’, sketsa murahan, ejek-mengejek, seloroh melampau dan sebagainya. Lawak-lawak ini diikuti dengan ketawa terbahak-bahak oleh penyampai-penyampai radio itu sendiri.

Johara-Pagi-Era

Trend lawak keterlaluan di radio meninggalkan pengaruh yang buruk kepada mentaliti dan pandangan hidup masyarakat. Memandangkan golongan belia adalah pendengar utama, merekalah yang banyak terikut dengan trend tidak sihat ini. Walaupun jenaka itu berguna untuk kesihatan mental, lawak keterlaluan membawa lebih banyak keburukan dari manafaat.

 

Refleksi tekanan hidup dan tahap pemikiran masyarakat

Masyarakat hari ini menghadapi pelbagai tekanan hidup. Sukatan pelajaran yang mendesak, kerja yang melampau, hutang yang membebankan, kos sara hidup yang meningkat, kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Pelbagai kaedah diambil masyarakat untuk menghilangkan stress. Ada yang tengok wayang, ada yang mendengar ceramah motivasi dan ada yang bersenam. Disebabkan tekanan yang terlalu kuat, ada yang terjerebak dengan dadah dan alkohol.

Radio muncul sebagai saluran utama bagi masyarakat menangani stress kerana ianya mudah diperolehi. Seperti yang diperkatakan, radio dimainkan di merata-rata tempat. Secara persendirian pula, ia didengari ketika memandu atau melalui telifon bimbit dan pelbagai jenis gadjet yang canggih masa kini. Kerana kemudahan itulah – radio menjadi sumber penting buat masyarakat menghilangkan stress kehidupan.

Masyarakat memilih hiburan berlebihan bagi mengimbangi tekanan hidup yang kini ekstrem. Demi menyesuaikan diri dengan kehendak tersebut, stesyen radio menetapkan komedi sebagai tema utama. Pelawak-pelawak popular diambil sebagai DJ. Penyampai sedia ada yang kurang lucu turut digalakkan untuk berjenaka.

Pendeknya, tekanan hidup adalah antara faktor yang menyumbang kepada penawaran lawak keterlaluan di radio ala ‘bekalan dan permintaan – ‘supply and demand’.

tekanan kerja

Selain dari refleksi tekanan hidup, lawak keterlaluan di radio adalah refleksi ketumpulan pemikiran masyarakat. Ketumpulan pemikiran masyarakat berpunca dari pola pendidikan yang mendatar, serta kengkangan terhadap budaya kritikal dan pertembungan idea – melalui sistem dan budaya yang mengongkong kreativiti. (Baca: Kepupusan Budaya Kritikal, Penularan ‘Kaki Penipu’ dan Revolusi Minda)

Penumpulan idea dan pemikiran ini turut terlihat pada aktiviti seni dan kebudayaan – yang kini sarat dengan produksi-produksi yang bertunjangkan lawak keterlaluan, glamer dan populariti. Sebagai portal hiburan, radio tidak ketinggalan dalam menyajikan hiburan keterlaluan yang dikehendaki umum.

 

Implikasi

Jenaka keterlaluan secara berterusan meninggalkan kesan yang tidak baik kepada minda dan pandangan hidup masyarakat. Cara pemikiran individu menjadi simplistik. Apabila berhadapan dengan masalah, jalan mudah yang dicari. Kesulitan tidak diteliti dengan rapi atau dianalisa dengan kritikal. Masyarakat kini cenderung untuk ‘melarikan diri’ dari masalah melalui hiburan dan lawak jenaka.

Seterusnya, sensitiviti masyarakat menjadi rendah. Kesusahan segmen masyarakat yang memerlukan bantuan dilihat boring dan tidak seronok. ‘Bebanan perasaan’ tersebut hendak digantikan dengan sesuatu yang melucukan. Lihat bagaimana penyampai-penyampai radio menangani isu-isu nasional, contohnya kehilangan MH370. Selepas sahaja bersedihan dengan doa-doa, dan kata-kata sayu dan syahdu, mereka kembali ketawa terbahak-bahak kepada lawak sendiri. Begitu juga reaksi mereka terhadap panggilan pendengar yang cuba berkongsi masalah. Masalah yang diutarakan dijadikan ‘modal’ jenaka – hingga terkedu penelifon dibuatnya. Penulis pasti, jauh di sudut hati, pemanggil seperti itu akan terguris hatinya.

Kerendahan sensitiviti inilah yang menyebabkan ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat yang memerlukan bantuan – terabai. Pengemis dipandang sebagai sampah masyarakat. Sedekah, jika diberi pun, sedikit sekadar untuk menghindarkan pengemis yang memburukkan pandangan dan merosakkan suasana.

Masyarakat turut menjadi superfisial dan tidak bertanggungjawab. Tujuan hidup adalah untuk berseronok dan bergelak ketawa. Tiada aspirasi untuk memajukan diri, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, gossip, berita sensasi dan gambar-gambar selfie artis-artis menjadi keutamaan hidup.

Kemahiran komunikasi dan interpersonal menjadi pincang. Proses komunikasi yang memerlukan masa dan tumpuan dalam mendengar pandangan orang lain, tidak berlaku. Sebaliknya, seperti penyampai-penyampai radio, masyarakat kita suka menyampuk dan memotong cakap orang lain. Bukan itu sahaja, perbincangan menjadi tidak rasional dan kepelbagaian pendapat tidak diurus secara efektif. Kelemahan ini selalunya berakhir dengan perselisihan. Tidak hairanlah jika rundingan dan perbincangan rumah tangga dan di tempat kerja, sering temui jalan buntu.

Penggunaan bahasa – carca-merba. Sudahlah tata bahasa dan perbendaharaan kata dipinggirkan, bahasa pasar diagungkan.  Slanga, dialek, kata-kata buatan dan penggunaan bahasa asing (yang selalunya salah tempatnya) merupakan kaedah murahan DJ-DJ membuat lawak. Hasilnya – pertuturan dan penulisan masyarakat menjadi compang-camping dan tidak teratur. Benarlah kata orang tua-tua, ‘Bahasa jiwa Bangsa’.

 

Lebih keburukkan dari manafaat

Perlu ditekankan bahawa radio adalah gerbang maklumat yang berguna buat masyarakat. Berita, isu semasa, ceramah agama dan motivasi, informasi lalu lintas dan sebagainya. Ia juga memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk mempromosi produk-produk mereka. Antitesis artikel ini hanya tertumpu kepada trend lawak keterlaluan yang berleluasa di radio.

Lawak dan jenaka sebenarnya baik untuk psikologi dan kesihatan mental manusia. Ia mengundang keceriaan, senyuman dan vibrasi yang baik – jika dilakukan dengan molek. Tidak perlu berlebih-lebihan, menjerit-jerit atau ketawa kuat-kuat. Jenaka yang berkualiti dilakukan dengan cool, santai dan bersahaja.

always cool

Cerita-cerita ringan dan kisah-kisah mencuit hati boleh dijadikan bahan jenaka. Melaluinya, penyampai radio boleh menerapkan nilai-nilai baik secara halus. Nilai-nilai kepimpinan, berterima kasih, usaha gigih, hormat-menghormati dan toleransi antara kaum mampu disemai. Karekter yang baik boleh diketengahkan sebagai cool dan trendy, bukannya karekter menggelabah yang sering dikaitkan dengan lawak melampau.

Tentunya ada peminat komedi yang berkata, ‘terdapat banyak stesyen radio, awak boleh dengar yang lain jika tidak sukakan yang ini’. Untuk itu, penulis ingin menyatakan bahawa stesyen-stesyen yang membawa lawak-lawak keterlaluan ini adalah stesyen-stesyen radio perdana. Stesyen-stesyen tersebut memiliki jumlah pendengar yang besar dan mempunyai pengaruh yang tinggi. Sebagai stesyen perdana, mereka haruslah memperlihatkan sikap bertanggungjawab. Sebagai stesyen perdana juga, mereka hendaklah menunjukkan class dan peradaban yang tinggi.

 

Penutup

Lawak keterlaluan yang menjadi trend di radio-radio kita membawa lebih keburukkan dari faedah. Ia merendahkan keperibadian masyarakat, menghapuskan nilai-nilai murni, serta menumpulkan daya pemikiran dan kreativiti. Bukan itu sahaja, ia turut merencat kemahiran komunikasi dan tatacara sosial.

Jika diteliti, trend lawak keterlaluan merupakan refleksi kepada tekanan hidup dan tahap pemikiran masyarakat. Tindakan yang lebih segar dan progresif harus diambil stesyen-stesyen radio bagi menghadapi situasi ini. Amalkan lawak jenaka yang cool, berpada-pada dan bermutu tinggi. Lawak dan jenaka hanyalah sebahagian dari naluri manusia – gunakan ia untuk kebaikkan bersama.

Wallahua a’lam

Advertisements

2 comments

  1. Saya setuju, lagi sedih melihat pelawak terpaksa berjenaka secara melampau sehingga menjatuhkan maruah mereka sendiri. Secara tidak langsung, impak negatif pun kenalan atau orang yang rapat dengan mereka turut diperlekeh.

    1. Benar. Kadangkala, mrk seperti memaksa diri utk ketawa kpd jenaka (sendiri) yg tdk lucu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: