Hudud, Pemilihan PKR dan Kekaburan Fokus Pakatan Rakyat

Politik Pakatan Rakyat sedang bercelaru. PAS dan DAP  kini berkelahi tentang Hudud. Manakala PKR, bertelagah sesama sendiri gara-gara Pemilihan parti. Fokus Pakatan Rakyat, iaitu membela kepentingan rakyat dan menekan kerajaan kearah pentadbiran efektif dan berdaya saing – terabai.

 

Hudud hanyalah sandiwara UMNO

Walaupun sudah lama dilagakan UMNO dengan sentimen-sentimen agama dan perkauman, PAS dan DAP masih tidak sedar bahawa Hudud hanyalah sekadar umpan bagi memecah-belahkan hubungan mereka. UMNO sendiri tentunya hairan – mengapa tektik ini masih menjadi? Walhal, ia telah pun di-recycle berkali-kali.

Pangkalnya, perselisihan PAS-DAP mengenai hudud berunsur sentimen. Tiada rasional akal dalam perselisihan sentimental. Apabila emosi dan perasaan mengatasi fikiran, adab dan tata susila tidak dipedulikan. Tujuan perbahasan bukan lagi menegakkan kebenaran, tetapi menyakiti lawan.

Sebenarnya, ramai di antara pimpinan PAS dan DAP yang sedar. Namun, sikap mereka yang bertelagah, iaitu keras kepala dan tidak mahu berkompromi, menyukarkan cadangan perdamaian. Nasihat akan dibalas makian dan label-label seperti ‘munafik’ atau penakut. Justeru, tiada siapa yang berani menegur pihaknya. Dalam PAS, tiada siapa yang berani membantah Hudud. Begitu juga DAP. Tiada siapa yang berani menyokong Hudud, termasuklah beberapa pemimpin beragama Islam-nya.

Hudud – Punca keretakkan persahabatan PAS-DAP

Ketahuilah, UMNO tidak pernah berhajat untuk melaksanakan Hudud. Jika ia inginkan Hudud, sudah terlaksana Hudud di Malaysia. Berdasarkan kecenderungan menggubal dasar negara sesuka hati tanpa penelitian rapi, seperti GST, atau untuk kepentingan sendiri, seperti dasar penswastaan – bukanlah menjadi masalah buat UMNO untuk memaksa penguatkuasaan Hudud kepada rakyat, jika ia mahu. Cuma, UMNO tidak berniat untuk mendirikan Hudud.

Ada di antara pemimpin PAS dan NGO yang melarang masyarakat dari mempersoalkan niat dan keikhlasan UMNO – kerana ianya urusan Tuhan, kata mereka. Janganlah memperbodohkan agama dan rakyat begitu sekali. Dalam Hudud sendiri pun, hakim wajib  menyiasat niat orang yang dituduh sebelum dijatuhkan hukuman. Tujuan sesuatu perbuatan jenayah, contohnya mencuri – wajib diteliti. Hukuman-nya tidak sama buat pengemis yang kebuluran, dari pemimpin yang menyonglap duit rakyat.

Oleh itu, pendirian UMNO yang tiba-tiba berpusing 180 darjah, dari anti kepada pro Hudud, wajib disiasat dengan cermat. Ajaib-lah jika niatnya berubah dengan drastik tanpa agenda dan kepentingan.

Bagi DAP – ketahuilah bahawa UMNO tidak mahukan Hudud, seperti atau lebih daripada DAP. Tidak usah panik. Bahkan, DAP berada pada kedudukan yang baik untuk menggertak dan membongkarkan percaturan politik murahan UMNO. DAP boleh bersandiwara menyokong Hudud dan tunggu reaksi UMNO. Apabila UMNO cuba berdalih, DAP boleh menuding jari, memperlihatkan ‘kemunafikan’ UMNO tersebut.

Hakikatnya – seperti sentimen agama dan perkauman lain, Hudud hanyalah alat UMNO bagi menjalankan dasar ‘pecah dan perintah’ yang diwarisinya daripada penjajah. Masyarakat dilaga-lagakan supaya berpecah-belah. Masyarakat yang berpecah-belah akan lemah dan tiada upaya untuk menentang penyelewengan pemerintah. Maka, mudahlah mereka menyamun harta negara. ‘Pecah dan perintah’ 101. Klasik!

Hakikat seterusnya – masyarakat masih tidak memahami dan belum bersedia untuk menerima Hudud. Prejudis antara agama hasil hasutan pemimpin-pemimpin politik dan pertubuhan berkaitan agama juga tidak membantu. PAS sendiri, tidak menunjukkan kesungguhan untuk menjelaskan Hudud – inikan pula melaksanakannya dengan adil dan berkesan. (Baca: Seperti GST, Hudud perlu diperjelaskan)

 

Ada yang tak kena dengan Pemilihan PKR

PKR adalah sebuah parti baru yang mengamalkan politik yang lebih segar. Ia tidak terpengaruh dengan sentimen-sentimen agama dan perkauman yang sudah lapuk. Sebagai parti baru, ia terbuka kepada pelbagai jenis pemikiran dan pendapat. Sebagai parti baru juga, ia terdedah kepada oportunis-oportunis yang mahukan pangkat dan kuasa.

Pemilihan PKR 2014

Pemilihan parti PKR, seperti yang lepas, menimbulkan banyak persoalan mengenai ketelusannya. Cara pengendalian Pemilihan di beberapa pusat mengundi amat meragukan. Banyak komplain dari ahli dan pemimpin parti yang membayangkan penipuan oleh kem tertentu. Ia disokong oleh bukti-bukti mencurigakan pada proses pengundian di beberapa pusat mengundi, seperti di Batang Sadong.

Terdapat beberapa kemungkinan yang menyebabkan kecelaruan Pemilihan PKR. Pertama – walaupun popular diperingkat nasional, pergerakkan akar umbi PKR lemah dan tidak teratur. Disebabkan disiplin dan profesionalisme yang rendah, penyelarasan operasi Pemilihan sukar direalisasikan mengikut pelan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Timbul-lah pelbagai kekeliruan yang sepatutnya tidak berlaku. Ia mengundang tanda-tanya dan keraguan.

Kedua – Pemilihan PKR dijalankan berperingkat-peringkat, mengambil masa berminggu-minggu. Keputusan-keputusan semasa sudah pun diketahui. Keputusan penuh sebenarnya boleh diramal berdasarkan trend pengundian di pusat-pusat yang telah mengundi. Calon-calon yang berkemungkinan kalah menimbulkan pelbagai dakwaan penipuan, untuk menidakkan keputusan yang tidak dapat dielakkan, gara-gara enggan menerima kenyataan secara gentleman. Peristiwa ‘Zaid Ibrahim’ mungkin berulang.

Terakhir – memang terdapat penipuan. Jika terbukti berlaku, ia hendaklah ditangani dengan tegas oleh PKR. Tiada guna melindungi individu-individu yang korup. Pesalah wajib dihukum, tanpa mengira siapa atau apa kedudukannya dalam parti. Jadikan hukuman keras sebagai tauladan kepada mereka yang ingin menipu pada Pemilihan akan datang.

Semua ini sebenarnya boleh dielakkan jika PKR belajar dari pengalaman. Hakikat masalah yang sama berulang kembali, menyerlahkan kelemahan perancangan PKR. PKR perlu tranparen dan mengakui kelemahan, bukannya terus-menerus memberi alasan dan melindungi kepincangan yang terdapat padanya.

 

Tumpuan Pakatan Rakyat terganggu

Fokus Pakatan Rakyat kini dikaburi Hudud dan Pemilihan. Tumpuan membela kepentingan rakyat, dan menekan kerajaan ke arah pentadbiran efektif dan berdaya saing – terabai. Isu-isu kelansungsan hidup rakyat seperti kenaikkan kos sara hidup dan GST, dan keberkesanan pentadbiran negara seperti keselamatan negara dan perjanjian TPPA – dilupakan. Jika ada pun, isu-isu tersebut ditangani sambil lewa, umpama ‘melepaskan batuk di tangga’.

Contohnya GST. Adakah penganjuran perhimpunan anti-GST di Dataran Merdeka itu sudah cukup? Berhimpun, bersosial, bersuka-ria, menghentam kerajaan beramai-ramai tidak mampu untuk membalikkan perlaksanaan GST yang sudah pun diluluskan. Jika diteliti, perhimpunan tersebut disertai oleh muka-muka yang sama, dari penyokong pembangkang sahaja. Ia tidak langsung meningkatkan kesedaran majoriti rakyat yang tidak ambil peduli tentang GST. Kaedah penyampaian maklumat secara kreatif dan pendekatan ‘di luar kotak’ untuk membatalkan perlaksanaan GST – sepatutnya difikirkan.

Kedatangan Presiden Amerika Syarikat juga tidak diambil peluang sepenuhnya. Barack Obama datang, dan pergi begitu sahaja. Tiada bantahan terhadap polisi-polisi neo-colonialism Amerika, mahupun polisi-polisi perdagangannya yang berat sebelah seperti TPPA. Yang mendapat perhatian adalah gambar selfie DS Najib dan President Obama.

Selfie DS Najib bersama Presiden Obama

Rakyat kesal dengan kecenderungan Pakatan Rakyat yang sering hilang tumpuan disebabkan isu-isu remeh dan sentimen agama dan perkauman. Tak lama dahulu – isu Kalimah Allah, isu Teressa Kok menghina DS Rosmah, isu Kassim Ahmad si ‘anti-Hadis’ dan sebagainya. Kini – Hudud dan Pemilihan PKR.  Akan datang – entah apalah isu remeh, agama atau perkauman yang bakal dimainkan UMNO.

Disyorkan agar PAS dan DAP melupakan Hudud. Ia hanyalah permainan UMNO, dan perlaksanaannya tidak praktikal (kerana kurangnya kefahaman dan persediaan) pada masa ini. Buat PKR – selesaikan masalah Pemilihan secepat mungkin, dan rangka sistem yang lebih ampuh untuk Pemilihan akan datang. Kembalilah memperjuangkan hak dan keadilan rakyat.

Memang bukan mudah menjadi pembangkang di Malaysia. Kekurangan sumber, serta pelbagai kongkongan dan intimidasi kerajaan, harus mereka tempuhi. Namun, sebagai pakatan yang bercita-cita memimpin negara, semua itu bukanlah alasan untuk lalai dari menjuarai kepentingan rakyat dan menambah-baik pentadbiran negara.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: