Seperti GST, Hudud perlu diperjelaskan

Walaupun hangat diperbedatkan, maklumat tentang Hudud amatlah sedikit. Kerana kurangnya maklumat, rakyat jadi keliru. Kekeliruan ini diburukkan lagi dengan pertembungan politik, dan perselisihan antara kumpulan manusia yang mahukan perhatian dan pengaruh.

Selain parti-parti politik yang sememangnya tidak mengenal erti kompromi, pertubuhan-pertubuhan berkaitan agama turut bertembung. Pertembungan ini bukanlah baru, tetapi lanjutan daripada perselisihan-perselisihan yang lalu – kalimah Allah, orang Islam masuk Gereja, orang Buddha masuk surau dan sebagainya.

Seperti sebelumnya, walaupun mendapat perhatian meluas, pengisian perdebatan cetek, dan hanya berkisar kepada sentimen, retorik dan prejudis perkauman dan agama. ‘Fakta’ yang diulang-ulang adalah hukuman potong tangan – seolah-olah itu sahaja kaedah hukuman Hudud. Keserasian Hudud dan potong tangan begitu kuat, hingga mengundang polimik perubatan, dari sudut etika dan sumpah pengamalnya, yang sebenarnya tersasar jauh dari isu, oleh Pertubuhan Perubatan Malaysia dan pertubuhan-pertubuhan perubatan muslim. Polimik sebegini adalah sia-sia, dan tidak memberi apa-apa faedah.

Implikasi paling buruk adalah ketegangan agama dalam masyarakat. Apabila dua pihak berbalah berlatarkan sentimen dan prejudis, adab dan budi bahasa tidak lagi dipedulikan. Sensitiviti agama ditusuk, meninggalkan parut emosi yang penuh dendam dan memecah-belahkan masyarakat.

 

Hudud perlu diperjelaskan

Jadi atau tidak perlaksanaannya, PAS perlu berlaku adil kepada Hudud, dan masyarakat. Hudud perlu diperjelaskan.  Janganlah ia ditolak kerana kurang atau tidak efektifnya penjelasan dari PAS. Jika ia ditolak selepas usaha penjelasan dilakukan, sekurang-kurangnya PAS telah berlaku adil kepada Hudud, dan juga masyarakat. Dari apa yang dilihat, setakat ini, sedikit sekali usaha penjelasan yang dibuat. Kekeliruan dan ketegangan masyarakat, yang berpunca dari kurangnya kefahaman, adalah cermin kelemahan penjelasan PAS.

PAS juga perlu berlaku adil kepada Hudud dalam menangkis remehan dan ejekan masyarakat yang kurang faham, melalui pencerahan. Sindiran-sindiran seperti ‘habis kudunglah tangan-tangan orang Malaysia’ membuktikan betapa ceteknya pemahaman masyarakat. Usah reaktif terhadap cemuhan sebegitu. Sebaliknya, jadikan ia sebagai cabaran untuk menambah-baik penerangan tentang Hudud.

Masyarakat Malaysia kini sudah terpelajar dan terbuka kepada idea dan maklumat. Malah, mereka tagihkan maklumat. Mereka ingin tahu tentang apa yang berlaku pada kehidupan mereka. Juga, itu sememangnya hak mereka. Era dimana rakyat mengikut arahan pemerintah tanpa usul periksa sudah berlalu. Ketaatan kini bersyarat – berlandaskan hujah dan bukti. Kesedaran ini jugalah yang membuatkan rakyat mual dengan sikap kerajaan Barisan Nasional yang sering memutuskan dasar negara tanpa rasional atau penelitian rapi, seperti perlaksanaan GST, sesuka hati. Justeru, PAS wajib memberi hak maklumat Hudud kepada rakyat.

Seterusnya, rakyat – baik bukan Islam, ataupun yang beragama Islam – masih jahil tentang Hudud. Sebab itulah Hudud tidak henti-henti dikaitkan dengan potong tangan. Tiada apa yang diketahui selain itu. Bidang kuasa, perlaksanaan, hukuman kepada jenayah selain mencuri seperti pecah amanah, penipuan, dadah, pembunuhan dan sebagainya. Apakah mekanisme untuk memastikan sistem perundangan Hudud itu adil dan bebas dari pengaruh politik? Banyak persoalan yang perlu diperjelaskan. Hakikatnya, Hudud adalah konsep yang asing buat rakyat.

 

Kaedah Penerangan

Bukanlah tempat penulis untuk menasihat PAS tentang kaedah penerangan. Bahkan, PAS terlalu arif tentang initiatif penerangan. PAS adalah sebuah parti politik yang berkesan. Penerangan, propaganda, perang psikologi dan perang persepsi, adalah asam garam, bread and butter, baginya.

Jelajahlah keseluruh negara dan buatlah road show. Adakan dialog, forum, perdebatan dan sebagainya. Naikkan poster, sebarkan handbills, cetaklah kalender, dan berikan momento. Perbanyakkan penulisan, dan gunalah internet dan media sosial sebaik mungkin. Adakan klip-klip penerangan pelbagai bahasa seperti klip-klip manisfesto Pakatan Rakyat pada PRU yang lepas.

Maklumat hendaklah diberikan dengan padat, jelas dan menarik. Gaya bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan audiens. Penampilan amat penting, dan ianya mungkin cabaran bagi PAS. Adalah lebih elok jika PAS menyesuaikan penampilannya dengan fesyen kontemporari. Ketepikan imej kopiah dan jubah buat seketika, dan kenakanlah kemeja dan seluar slack. Perubahan penampilan ini pasti akan meredakan prejudis dan membuatkan audiens lebih reseptif kepada apa yang hendak disampaikan.

Gunakan tawaran bantuan dari UMNO sebaik mungkin. Tuntutlah dana yang diperlukan. Minta dibenarkan program penerangan di televisyen, radio dan sebagainya. Perah segala sumber dan jentera UMNO untuk menjayakan usaha penjelasan tersebut.

Penulis yakin jika pelan dan gerak kerja penerangan Hudud dirancang dengan sistemetik, tembok prejudis masyarakat terhadap Hudud akan runtuh. Rakyat akan terbuka dan lebih memahami Hudud. Sekiranya rakyat menolak Hudud sekali pun, PAS telah berlaku adil kepada semua, termasuk hukum Hudud itu sendiri.

Penulis sedar, menjelaskan Hudud adalah usaha yang sukar dalam suasana politik negara yang tidak menentu, ketika ini. Imej Islam dicemari kebiadaban individu-individu yang mahukan perhatian dan pengaruh, melalui pertubuhan seperti Perkasa. Bukan itu sahaja, di peringkat global, persepsi terhadap Islam di tahap yang rendah. Kerana kurang kefahaman, Barat, pasca serangan 9/11 – mengaitkan Islam dengan terorisme, mengakibatkan ketakutan global – Islamophobia.

Oleh itu, penulis mengucapkan selamat maju jaya kepada PAS. Moga dipermudahkan-Nya. Amin.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: