Kepuasan Segera

‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’

Gaya hidup masyarakat kita telah banyak berubah. Antara unsur yang semakin menular adalah kecenderungan mengejar kepuasan segera. Kepuasan, keseronokkan dan kegembiraan, ingin dikecapi dalam masa sesingkat, dengan usaha seminima mungkin. Teknologi, pengaruh pengiklanan, media massa, pola pendidikan, perkembangan ekonomi dan pengaruh globalisasi menyumbang kepada budaya ini. Kesan-kesan negatifnya sudah kelihatan pada individu, institusi keluarga dan masyarakat. Malah, impaknya juga terlihat pada pentadbiran negara dan keselamatan awam.

PUNCA

Teknologi

Kecenderungan memilih kepuasan segera banyak dipengaruhi oleh perkembangan teknologi. Dengan terciptanya komputer, internet, dan kini tablet dan telifon pintar, keseronokkan boleh diperolehi dengan cepat. Maklumat boleh diakses di mana-mana, pada bila-bila masa, dengan percuma. Kini, seseorang boleh bersosial – mendapat cerita, melihat foto dan berbual (chat) dengan rakan-rakan pada masa sebenar (real time) – melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan WeChat.

Melalui media sosial juga, seseorang boleh mengikuti personaliti kesayangan. Tidak cukup dengan itu, portal dan blog menyajikan gossip tentang mereka. Lagu, klip video dan wawancara, boleh terus ditonton, asalkan ada internet. Sekarang,  tidak perlu menunggu waktu siaran di television, atau membeli CD di kedai, atau pergi ke panggung wayang. Hiburan kini ‘di hujung jari’.

Tiada batas hiburan di internet. Hiburan tidak bermoral berleluasa. Lambakkan video-video lucah tidak mampu ditapis kerajaan, mahupun ketua keluarga di rumah. Pelbagai jenis aksi seksual, termasuk di luar tabii boleh didapati di internet. Lain-lain anasir yang menyalahi etika termasuklah penyebaran fitnah dan maki-hamun. Kini, sukar untuk membezakan maklumat yang sahih dari yang palsu.

Kebergantungan manusia terhadap internet menjadi begitu kuat. Jika talian internet perlahan atau tergendala, seseorang akan menjadi resah dan marah. Perubahan sikap ini amat menakjubkan. Tidak lama dahulu, sebelum adanya sumber-sumber keseronokkan seperti Facebook, Twitter dan Youtube – konsumsi internet tidak meluas dan kebergantungan terhadapnya tidaklah terlalu ketara.

Strategi Pengiklanan

Strategi pengiklanan turut mempengaruhi manusia untuk mengejar kepuasan segera. Strategi pemasaran (marketing) dirancang dengan teliti. Kepakaran ahli-ahli psikologi yang arif tentang kelemahan kehendak manusia, digembeleng. Dengan bantuan pakar-pakar propaganda dan multimedia, mereka mengaitkan  keseronokkan kepada produk dalam iklan-iklan mereka.

Lihatlah bagaimana syarikat-syarikat besar mengolah iklan-iklan mereka. Coca-cola mengaitkan keterujaan sukan dan hiburan dengan minumannya. Kepada masyarakat yang gilakan bola, ia gunakan tagline – ‘ingat bola, ingat Coca-cola!’. Pemain dan perlawanan bolasepak ditajanya. Begitu juga dengan hiburan. Artis-artis popular dijadikan duta, dan konsert-konsert mereka di-sponsor. Tujuannya adalah – mengaitkan imej ‘cool’ dan kegembiraan kepada produk mereka.

Target promosi McDonald’s pula adalah kanak-kanak. Badut dijadikan maskot, dan macam-macam permainan dihadiahkan bersama pembelian. Pekej makanan kanak-kanak diberi nama ‘Happy Meal’. Disediakan juga playground di restoran sebagai tarikan. Bila kanak-kanak ini besar, mereka sudah mengaitkan (di minda subconcious) keseronokkan dengan McDonald’s, dan akan terus makan di sana.

Kaum wanita sering diperdaya untuk membeli secara impulsif (baca: impulse buying). Produk-produk kecantikkan seperti krim anti-penuaan, shampoo dan lipstik, memperagakan super-model yang sudah sememangnya cantik. Kononnya, produk kosmetik berkaitan-lah yang mencantikkan super-model tersebut. Lihat sahaja iklan Revlon, Fair & Lovely dan Pantene. Walaupun tidak masuk akal, pengolahan iklan cukup meyakinkan.

Coca-cola, McDonald’s dan Revlon hanyalah beberapa contoh dari jutaan industri yang meng-exploit kelemahan psikologi manusia bagi melariskan jualan. Apabila psikologi dan persepsi manusia diserang bertalu-talu oleh propaganda pengiklanan, ia menjadi ketagih kepada keseronokkan segera yang dikaitkan dengannya.

Televisyen

Seterusnya, pengaruh televisyen. Motif utama televisyen adalah hiburan. Jika diteliti, sedikit sekali program-program bermanafaat. Dengan adanya Astro, segala jenis hiburan dapat ditonton. Filem-filem Hollywood dan Bollywood, drama-drama luar negara, tv realiti, program –  muzikal, gossip, kartun, pelancongan, makanan, gaya hidup – ‘macam-macam ada’. Saluran History dan Discovery yang disangkakan ilmiah, turut menyajikan program-program tidak berfaedah, contohnya Ancient Aliens, Pawn Stars dan Swamp People. Ini semua bagi memenuhi kehendak penonton yang sentiasa ‘laparkan’ hiburan.

Ketersediaan pelbagai jenis rancangan televisyen ini memburukkan lagi ketagihan mereka. Sebuah keluarga boleh bertengkar kerana rebutkan channel. Set televisyen kini bukan sahaja berada di ruang rehat, tetapi di setiap sudut rumah. Tidak cukup dengan itu, interior kereta pun dipasangkan televisyen.

Ekonomi

Perkembangan ekonomi masyarakat, ketersediaan dan kemurahan barangan dan ‘gadget’, memudahkan orang ramai mengejar keseronokkan segera. Jika tidak, mana mungkin strategi pengiklanan (seperti di atas) berjaya. Dan, jika tidak, mana mungkin computer, tablet, telifon pintar dan segala alat kegembiraan lain boleh terjual dengan larisnya. Manusia sekarang kerja siang-malam, untuk makan makanan yang enak, bergaya, kelihatan cantik dan memiliki gadget untuk bergembira.

Pola pendidikan

Sedar atau tidak, pola pendidikan kita menuruti trend kepuasan segera dari aspek kaedah pembelajaran dan falsafah pendidikan. Lihat bagaimana para pelajar digesa untuk menyiapkan kerja rumah, kertas kerja dan thesis. Masa berfikir diwaktu peperiksaan juga suntuk. Untuk itu, banyak jalan pintas, crash course, teknik latih-tubi dan lain-lain kaedah belajar segera diguna-pakai. Bagi penulis, masa yang secukupnya harus diberi bagi mematangkan ilmu. Didiklah anak watan supaya menjadi bijaksana, bukan sekadar pandai.

Falsafah pendidikan yang terlalu mejurus kepada industri pekerjaan juga menghasilkan mentaliti yang superfisial. Pelajar diasuh supaya bercita-cita menjadi jurutera, akauntan, peguam ataupun doktor – kerana statusnya tinggi dan gajinya besar. Tiada nilai-nilai kepimpinan ataupun kemanusiaan diterapkan secara formal dan sistemetik. Untuk mengerah pelajar belajar, prinsip-prinsip motivasi – yang sebenarnya angan-angan kesenangan segera dalam mencapai cita-cita materialistik yang cetek – diterapkan

Globalisasi

Semua ini adalah pengaruh masyarakat barat dan negara-negara maju. Satu dunia kagum dengan kemajuan sosial, peradaban, ekonomi dan teknologi negara maju– lalu, terpengaruh dengan gaya hidup mereka. Apa sahaja yang mereka buat, dilihat betul dan ditiru bulat-bulat. Tetapi, sedarlah bahawa masyarakat mereka sedang mengalami kesan-kesan negatif dari budaya mengejar kepuasan segera, dan berusaha keras merawatnya. Malangnya, simptom penyakit sosial yang dihidapi mereka sudah terlihat di masyarakat kita.

 

KESAN

Individu

Perkembangan karekter seseorang individu menjadi pincang apabila sudah terbiasa dengan kepuasan segera. Tahap kesabaran dan ketenangan seseorang itu menjadi rendah. Dia akan cepat berang dan menggelabah apabila keinginannya tidak dipenuhi. Ini dapat dilihat di tempat orang ramai  menunggu giliran, seperti di klinik, pejabat pos dan bank. Manusia sekarang  gelisah jika terpaksa menunggu. Kepada yang lebih teruk, mereka akan bersikap sarcastic dan meradang. Pada situasi yang lebih mendesak, golongan inilah yang  panik dan kelam-kabut.

 

Kepuasan segera juga mendorong kepada pengharapan yang tidak realistik (unrealistic expectation). Kerana sudah terbiasa mengecapi keinginan dengan mudah, atau diangan-agankan dengan perasaan ‘super-boleh’ oleh ceramah motivasi – dia mengharapkan hasil terbaik dari usaha dan pengorbanan yang sedikit. Pelajar mengharapkan keputusan cemerlang dari usaha minit-minit akhir, ibu-bapa mengharapkan anak-anak bertanggungjawab dari pengasuhan yang sambil lewa, bos mengharapkan produktiviti tinggi dari disiplin peribadi dan kepimpinan yang malas, dan sebagainya. Apabila hasil tidak seperti yang dijangkakan, dia tidak dapat menerima kenyataan, lalu kecewa dan murung, atau bingung dan marah.

Disamping karakter yang lemah, kecenderungan mengejar kepuasan segera turut memudaratkan kesihatan fizikal. Falsafah makan untuk ‘puas dan enjoy‘ akan membawa padah. Khasiat dan kesederhanaan pemakanan tidak dipedulikan. Kriteria pemilihan juadah adalah keenakkan, dan makanan dimakan dengan kuantiti yang banyak, sehingga puas. Falsafah pemakanan beginilah yang membuatkan generasi belia kita gemuk. Ini mengundang pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol. Jika diteliti, peratusan pesakit yang mengidapi penyakit-penyakit kronik sedang meningkat dengan mendadak, dan purata umur pengidapnya semakin muda. Malah, berita belia mati mengejut akibat serangan jantung dan stroke, bukanlah sesuatu yang ganjil lagi. (Baca: Belia Malaysia Gemuk)

Keinginan untuk kelihatan cantik mendorong ramai wanita (dan juga lelaki) memperjudikan kesihatan. Pelbagai jenis barangan kosmetik yang menjanjikan kecantikkan segera seperti krim, facial, jamu dan vitamin, walaupun belum diperakui keselamatannya – dicuba. Kesengitan persaingan membuatkan rawatan kecantikkan bertambah agresif dan berani. Antaranya, suntikan vitamin ke dalam aliran darah, rawatan laser, suntikan botox dan pembedahan kosmetik. Risiko rawatan-rawatan ini juga masih belum diketahui sepenuhnya. Ini semua adalah hasil pemintaan pengguna yang inginkan kecantikkan segera.

plastic-surgery

Perkembangan intelektual juga terencat. Tahap pemikiran golongan pelajar lemah disebabkan banyak berhibur dan berseronok. Tumpuan dan disiplin mereka rendah. Pola pendidikan yang menjurus kepada keputusan segera memburukkan lagi keadaan. Kesannya adalah pemikiran masyarakat yang superfisial dan simplistik. Keputusan individual dibuat atas dasar ‘kerana ia mudah’, bukannya melalui penelitian yang rapi, atau analisa yang kritikal. Kemelesetan mutu individual tersebut diterjemahkan ke sektor pekerjaan. Tenaga kerja kita berkualiti sederhana dan tidak kompetetif jika dibandingkan dengan Singapura, atau negara-negara maju lain.

Kedudukan kewangan  individu yang mencari kepuasan segera – rapuh. Daya mengawal keinginan membeli menjadi lemah. Kerana ingin bergaya dan kelihatan gah, dia berbelanja diluar kemampuan. Pelbagai jenis hutang diambilnya – kad kredit, pinjaman rumah, pinjaman kereta dan sebagainya. Ada yang sanggup menggadai harta pusaka untuk mendapatkan wang tunai. Akhirnya, wang tersebut habis,  tanah sudah pun tergadai. Generasi dahulu dapat lagi menurunkan harta pusaka kepada anak-anak. Sekarang, ianya terbalik.

Masyarakat

Budaya mengejar kepuasan segera meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat. Kebajikan segmen masyarakat miskin, terbiar. Ini kerana kerja-kerja kebajikan tidak seronok. Menyantuni orang susah memerlukan karakter yang solid kerana iniatif itu sering berhadapan dengan kesedihan dan kesengsaraan. Ia juga menuntut fokus dan daya fikiran yang kuat untuk merancang program, serta tenaga yang banyak dalam melaksanakannya. Kepada yang sudah biasa berseronok, ia adalah beban yang sebaiknya ditepikan. Lagi pun, kemampuan untuk memberi sudah terhad akibat boros berbelanja dan tekanan hutang. Jika ada lebihan pun, difikirkan lebih elok dibelanjakan untuk kepuasan sendiri. (Baca: Hedonisme dan Kita)

Kemiskinan membawa kepada masalah sosial. Merempit, melepak, pergaulan bebas, perzinaan, buang bayi dan sebagainya. Kesempitan hidup juga boleh memaksa seseorang melakukan jenayah. Kenaikkan kadar jenayah dalam negara sangat membimbangkan. Kes-kes seperti ragut, mencuri dan menyamun adalah berita rutin setiap hari. Ini semua kerana inginkan kepuasan segera. Seperti masyarakat sekelilingnya, orang susah pun ingin berseronok.

Pentadbiran Negara

Budaya berbelanja tanpa memikirkan kesan jangka panjang turut meresapi pentadbiran negara. Perbelanjaan negara cukup tinggi – melalui projek-projek yang tidak dirancang dengan rapi dan membazir. Setiap tahun Laporan Audit Negara akan mewartakan ketirisan  berbillion-billion ringgit. Hanya kerana kita mempunyai pendapatan lumayan melalui jualan minyak, tidak bermaksud kita perlu belanjakan rezab tersebut. Adalah lebih baik jika hasil  minyak negara dilaburkan untuk memperkasa modal insan (contohnya biasiswa, intitut pengajian tinggi, institut penyelidikan) dan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat (contohnya klinik, hospital, pengangkutan awam). Sebahagian dari hasil minyak tersebut pula harus disimpan untuk kegunaan diwaktu darurat seperti kegawatan ekonomi, dan untuk masa hadapan.

Kerana inginkan keuntungan berlipat ganda, pelan dan rancangan pembanggunan bandar diketepikan. Pemaju hartanah dibenarkan membina banggunan-banggunan di kawasan limpahan air. Tibanya musim tengkujuh – banjir. Yang kerugian adalah orang ramai. Kemudian, untuk menyelesaikan masalah, kerajaan tempatan terpaksa mendalaman sungai, menbina sistem saliran air bawah tanah dan terowong pintar. Kosnya yang tinggi ditanggung oleh pembayar cukai. Kerana mengejar keuntungan segera jugalah, stadium, jejambat, struktur banggunan, boleh runtuh.

 

RESOLUSI

Seperti yang telah dibincangkan,  kecenderungan mengejar kepuasan segera telah meresapi minda dan gaya hidup kita secara sistemik (menyeluruh). Pengaruh teknologi, pengiklanan, media massa dan trend global sukar dibendung. Haluan pendidikan dan perkembangan ekonomi juga menjurus kita untuk terus bergelumang dengan budaya ini. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk membalikkan keadaan yang sudah sebati dengan sikap individual, masyarakat, mahupun kerajaan.

Bagi penulis, ketika ini, perubahan paling realitik adalah di peringkat individu. Sekiranya perubahan  berlaku di peringkat ini, lama-kelamaan keadaan keseluruhan akan bertambah baik. Kuncinya adalah kesedaran dan kekuatan daya tahan dalaman.

Kerana budaya kepuasan segera sudah sebati dengan kehidupan, kita tidak menyedarinya. Untuk menyedarkan diri, seseorang hendaklah  tenang dan mengambil masa sebelum membuat  keputusan. Jangan terburu-buru. Contohnya, apabila berada di hadapan hidangan, fikirkan dahulu apa yang hendak dimakan dan berapa kuantiti yang sepatutnya dimakan. Timbangkan antara kepuasan sementara dan kesan jangka panjangnya. Pemikiran yang waras akan memilih jenis dan kuantiti makanan yang pro-kesihatan. Pendekatan yang sama boleh dipraktikkan dalam menentukan jenis hiburan, perbelanjaan individu dan keluarga, dan sebagainya. Pokoknya adalah ketenangan dan berfikir sejenak.

Walau bagaimanapun, pertimbangan dan rasional akal hanya menentukan separuh dari tindakan seseorang. Selebihnya adalah disiplin diri. Seseorang mungkin mengetahui fakta baik-buruk sesuatu tindakan, tetapi kerana tiada kawalan diri, dia tetap memilih tindakan yang merosakkan. Disiplin  penting dalam mengawal diri dari tabiat-tabiat negatif seperti makan berlebihan, berhibur keterlaluan, berbelanja dengan boros, dan sebagainya.

Agama adalah ‘latihan’ yang baik bagi meningkatkan disiplin dan daya kawalan diri. Agama melatih seseorang untuk bertenang dan berfikiran panjang. Ia juga melatih seseorang menahan nafsu dari melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan. Bukan sahaja ia melatih individu untuk bertanggungjawab terhadap dirinya, Agama menekankan kebertanggungjawaban seseorang terhadap keluarga dan masyarakat.

Akhir sekali adalah ilmu falsafah kehidupan. Banyak yang dapat dipelajari dari renungan dan refleksi sarjana-sarjana falsafah terdahulu, dan pengembangan pemikiran mereka. Seperti Agama, falsafah memberi panduan kepada seseorang untuk hidup dengan lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: