Agenda Melayu

Di kala dunia pesat berkembang, isu Melayu masih sama – kemiskinan. Biarpun sudah hampir 60 tahun merdeka, orang Melayu tetap ketinggalan. Dahulu, boleh disalahkan penjajah yang sengaja melemahkan kuasa politik dan ekonomi Melayu bagi mengaut kekayaan negara. Sekarang, alasan yang sama tidak boleh diterima.

Kemiskinan Melayu kini bertambah parah disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara. Hidup orang Melayu yang sudah sememangnya susah, disusahkan lagi dengan kenaikkan kos sara hidup dan inflasi. Hendak bekerja di negara sendiri pun sukar. Sektor buruh telah didominasi warga asing. Kini, bidang profesional seperti teknologi maklumat, kejeruteraan dan perubatan, mula ditembusi mereka.

Orang Melayu harus kembali sedar akan hakikat kemunduran bangsanya. Pernah satu ketika, iaitu menjelang dan beberapa dekat selepas merdeka, orang Melayu amat peka dengan agenda memajukan bangsa. Tumpuan kepimpinan Melayu ketika itu, di segenap lapisan – politik, perniagaan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya – adalah survival dan masa depan bangsa. Kepimpinan Melayu sekarang sudah tidak seperti itu. Mereka mementingkan kesenangan peribadi dan populariti.

 

Agenda Melayu rasis?

Agenda Melayu bukanlah agenda yang rasis. Aspirasi memajukan bangsa sendiri adalah sifat semulajadi manusia. Setiap bangsa mempunyai agenda masing-masing. Orang Cina ada agenda Cina, orang India ada agenda India, orang kulit hitam di Amerika ada agenda kulit hitam, dan orang Yahudi mempunyai agenda Yahudinya.  Agenda kebangsaan sesuatu kaum bertukar rasis hanya apabila ia menzalimi kaum lain.

Malangnya, agenda Melayu dikaitkan dengan rasisme. Orang Melayu yang membicarakan tentang nasib dan masa depan bangsanya akan dilabel rasis. Ianya taboo, terlarang, seakan haram. Ini adalah persepsi yang salah.

Punca utama persepsi negatif tersebut adalah organisasi Melayu sendiri, terutamanya UMNO dan sekutunya seperti Perkasa.  Daripada merancang dan berusaha memajukan orang Melayu, mereka menyerang dan menyalahkan bangsa lain. Gelaran seperti ‘pendatang’ dan saranan supaya kaum lain balik ke negara asal – amat biadap. Tingkah laku rasis beginilah yang mencemarkan imej Melayu.

Pencemar imej Melayu

Kaum yang banyak menentang usaha meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera adalah kaum Cina. Ketidakpuasan hati mereka berpunca dari mentaliti ‘zero-sum’ –  iaitu ‘jika orang Melayu untung, kami rugi’ –  hasil hasutan pemimpin-pemimpin Cina yang chauvinis. Korupsi pemikiran ini menghalang orang Cina bersikap terbuka kepada usaha-usaha menyama-ratakan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat.

Hubungan sosio-ekonomi antara kaum dalam masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia, amatlah berkait. Apabila kedudukan sosio-ekonomi masyarakat tidak seimbang, akan timbul ketegangan. Ketakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum (tinggalan penjajah) cuba diperbetulkan oleh pentadbiran Tun Razak melalui Dasar Ekonomi Baru – dengan tujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia. Malangnya, masyarakat kita gagal melihat kebijaksanaan Tun Razak. Pemimpin Melayu selepas beliau, menyalah-guna peluang ekonomi yang disediakan sebagai lubuk mengayakan diri, bukannya untuk memajukan bangsa. Orang cina pula, biar pun mengawal sebahagian besar ekonomi negara, tidak mahu berkompromi disebabkan mentaliti ‘zero sum’ yang tebal. Akhirnya, iklim sosio-ekonomi masyarakat kekal tidak seimbang, hingga ke hari ini.

 

Agenda Melayu bertentangan dengan Islam?

Banyak pendapat yang mengatakan bahawa agenda Melayu bertentangan dengan syariah dan haram. ‘Fatwa-fatwa’ sebegini dikeluarkan oleh mereka yang ingin dilihat sebagai ‘Islamis’. Walaupun berpengetahuan agama, golongan ‘Islamis’ sangat ketat dengan pendapat masing-masing. Hujah yang lain selain dari hujah mereka adalah sesat. Pendekatan begitu sebenarnya bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh mazhab dan aliran fahaman, supaya kelihatan lebih suci dan mulia dari aliran lain.

Hujah yang lain selain dari hujah mereka adalah sesat

Seterusnya, dakyah agenda Melayu tidak Islamik juga terhasil daripada politiking parti PAS. Dalam usaha mempengaruhi orang Melayu, PAS mengambil pendekatan menonjolkan diri sebagai lebih Islamik dari UMNO. Tindakan-tindakan kerajaan BN, terutamanya yang terpesong dari tuntutan syariah akan dikritik habis-habisan. Untuk melemahkan kredibiliti UMNO, agenda Melayu yang menjadi ‘cogan’ UMNO, digembar-gemburkan sebagai tidak Islamik. Propaganda tersebut disokong pula dengan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis (tertentu). Pemikiran superfisial meng’haram’kan bulat-bulat agenda kebangsaan menakutkan orang Melayu, lebih-lebih lagi kepada yang beragama. Secara langsung, golongan Islamis termasuk PAS-lah yang menjauhkan orang Melayu daripada usaha memajukan bangsanya.

Pemikiran dogmatik begini membuatkan umat Islam di Malaysia cepat melenting, hilang punca dan mudah diperkotak katikkan. Lihat bagaimana kerajaan BN, (melalui proksi-proksinya) membangkitkan isu-isu agama, seperti isu kafir-mengkafir, kalimah Allah, isu anjing, Syiah, Kassim Ahmad, dan baru-baru ini isu Hudud. Orang Melayu kebanyakkan, hingga ke Mufti menjadi reaktif dan hilang pertimbangan. Semua bertegas dengan ‘fatwa’ masing-masing. Tidak kurang yang menyokong hujah dengan kata-kata kesat. Ini adalah strategi mudah dan pasti berjaya bagi mengaburi perhatian rakyat terhadap kelemahan pentadbiran negara. Maka, tiada siapa yang menyoal mengapa ekonomi negara kian meleset, mengapa rasuah dan salah guna kuasa pemimpin negara tiada akauntibiliti dan mengapa kes jenayah berat menjadi-jadi? Tidak hairanlah bila MH370 hilang, Kassim Ahmad dan isu hudud yang telah lama dilupakan, diketengahkan semula.

Agenda Melayu selari dengan prinsip kebajikan yang disokong Agama

Bagi penulis, agenda Melayu tidak bertentangan dengan syariah. Malah, ia adalah tuntutan syariah. Islam menekankan soal muamalat, iaitu urusan sesama manusia. Selagi agenda Melayu itu adil dan tidak menzalimi kaum lain, konsepnya selari dengan prinsip kebajikan yang disokong oleh agama. Cuma, pelan dan perlaksanaannya perlu reformasi. Dari sudut bantuan kerajaan, peluang-peluang pendidikan dan perniagaan hendaklah diberi dengan saksama – iaitu kepada mereka yang berhak (golongan susah yang berpotensi), bukan kepada kroni-kroni yang sudah pun kaya raya. Kaum-kaum lain juga wajib dibantu. Peluang-peluang ekonomi hendaklah disalurkan kepada mereka yang susah, bukannya kepada tauke-tauke yang bersekongkol menggondol kekayaan negara.

 

Kegagalan UMNO

Tidak perlu dibicarakan tentang kegagalan UMNO membela Melayu – kerana ianya sahih – ‘terang lagi bersuluh’. Setelah hampir 60 tahun memikul mandat, bangsa Melayu masih ketinggalan. Petunjuk kepada kepincangan UMNO teserlah melalui harta dan gaya hidup pemimpinnya. Di kala orang Melayu kesempitan, pemimpin UMNO bermewah-mewah, membina mahligai di tengah kampung, makan berlebihan dan melancong sana sini.

Polisi dan pelan jangka panjang Tun Razak dikotak-katikkan. Objektif penubuhan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – yang berorientasikan kepentingan rakyat – kini, sudah tersasar. Petronas sebagai contoh. Sumber perniagaan Petronas adalah minyak – hasil bumi, hak seluruh rakyat Malaysia. Tetapi, keuntungan yang diperoleh (hasil jualan minyak – hak rakyat) dilaburkan kepada projek-projek yang tiada kaitan dengan kebajikan rakyat. Litar lumba Sepang, Dewan Filharmonik Petronas, Universiti swasta Petronas, hospital swasta Prince-Court dan lain-lain. Kontrak-kontrak pula diberikan saban kali kepada para parasit, yakni ahli keluarga pemimpin UMNO yang sudah pun kaya raya. Bonus untuk eksekutif Petronas berbulan-bulan gaji, sedangkan pemegang kepentingan (stakeholders) sebenar iaitu rakyat, hidup kesusahan.

Dewan Filharmonik Petronas

Keuntungan Petronas sepatutnya dilaburkan bagi memperkasa modal insan dan kebajikan rakyat (yang majoritinya Melayu) – pemberian biasiswa, pembinaan institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan, pusat-pusat perubatan, lebuhraya, pengangkutan awam dan lain-lain projek penambahbaikan kualiti hidup rakyat.

Sumbangan kecil Petronas akan dihebohkan berlebih-lebihan. Corporate Social Responsibility (CSR) kata mereka. Bagi penulis, tiada terma CSR buat Petronas, atau mana-mana GLC. Ia sememangnya tanggungjawab mereka – noktah.

Keperluan asas rakyat dijadikan sumber mengaut untung para kroni melalui projek penswastaan. Lebuhraya ber-tol, penjanaan elektrik melalui IPP, pengangkutan awam, kolej swasta yang didokong oleh PTPTN, air, sistem kumbahan, penternakan lembu hingga saman jalan raya pun hendak dijadikan lubuk mengaut untung. Senarai penipuan dan hipokrasi pentadbiran kerajaan UMNO/ Barisan Nasional seperti tiada kesudahan.

Air mata buaya

Apabila tektik-tektik penipuan UMNO terbongkar, mereka jadi sayu dan sentimental. Berderai air mata buaya apabila lagu-lagu kemunduran Melayu didendangkan. Dalam kesayuan, masih sempat menyalahkan orang Melayu, ‘Melayu malas’, ‘Melayu mudah lupa’ dan sebagainya. Walhal, merekalah yang mensabotaj pelan-pelan Tun Razak. Mereka jugalah yang menipu dan merompak orang Melayu.

 

Pakatan Rakyat dan Ketuanan Rakyat

Biarpun kepimpinan tertinggi PAS dan PKR adalah orang Melayu, mereka tidak membawa agenda Melayu dalam Pakatan Rakyat. Ini kerana PAS memperjuangkan Islam, manakala PKR memperjuangkan prinsip-prinsip demokrasi seperti keadilan (justice), kebebasan (liberty), kesamarataan (equality) dan sebagainya. Malah, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat tidak berasaskan bangsa. Maka, tidak cocoklah bagi mereka untuk mengangkat agenda mana-mana bangsa.

Sebenarnya, parti yang benar-benar berbilang bangsa adalah PKR – dari sudut keahlian dan prinsip perjuangan. Memandangkan majoriti umat Islam di Malaysia berbangsa Melayu, PAS secara tidak lansung adalah sebuah parti Melayu. Pendiriannya memantulkan aspirasi orang Melayu. DAP pula, secara efektifnya adalah sebuah parti Cina. Pendirian dan tingkah laku DAP berpaksikan kepentingan kaum Cina. Majoriti ahlinya juga berbangsa Cina. Walaupun DAP secara luaran cuba menonjolkan imej berbilang bangsa, namun ianya gagal kerana imejnya sinonim dengan agenda perkauman Cina. Kemasukkan seorang-dua pemimpin Melayu, tidak membuatkan ia multiracial.

Walau bagaimanapun, sebagai sebuah gagasan, Pakatan Rakyat menawarkan agenda rakyat berbilang bangsa. Pakatan Rakyat mengenengahkan konsep Ketuanan Rakyat yang merentasi sempadan perkauman. Kriteria penerimaan bantuan dan peluang-peluang ekonomi adalah – rakyat termiskin tanpa mengira bangsa. Memandangkan segmen masyarakat miskin majoritinya berbangsa Melayu dan bumiputera, merekalah yang akan mendapat bantuan terbesar. Konsep ini mudah dan straightforward.

Ketuanan Rakyat

Walaupun konsep Ketuanan Rakyat itu jelas, namun perlaksanaannya bakal menghadapi rintangan. Cabaran terbesar adalah kesepakatan parti-parti komponen. Ini berdasarkan kesulitan mencapai kata sepakat pada rundingan-rundingan parti komponen Pakatan Rakyat yang lepas. Contohnya isu Hudud dan Kalimah Allah. Ingatlah, retorik dan perlaksanaan adalah dua unsur yang berbeza.

Kepayahan mencapai persetujuan dalam Pakatan Rakyat berpunca dari sikap tidak mahu berkompromi, terutamanya dari parti DAP dan PAS. Selama ini, PKR banyak berkompromi dalam rundingan. Sebaliknya, DAP dan PAS selalu berkeras kepala, kadang-kalanya kebudak-budakkan. Dasar Ketuanan Rakyat yang bakal menguntungkan orang Melayu (miskin), mungkin sukar diterima DAP. Dengan kelicikan UMNO membakar isu perkauman – ke peringkat perselisihan nasional – ia mampu menjadi punca perbalahan parti komponen Pakatan Rakyat – yang tidak berkesudahan. Justeru, kemampuan perlaksanaan Ketuanan Rakyat itu wajar dicurigai.

Biarpun begitu, penulis berharap satu hari nanti dapat menyaksikan perlaksanaan dasar Ketuanan Rakyat tersebut.

 

Mentaliti Subsidi

Setelah sekian lama menerima bantuan kerajaan, orang Melayu merasakan bahawa bantuan-bantuan tersebut adalah hak mereka. Biasiswa, geran, skim usahawan, kuota, kontrak, BR1M, dan segala jenis pertolongan kerajaan, tidak mungkin, dan tidak boleh berkekalan selama-lamanya.

BR1M

Pendapatan negara yang statik dan kos penyelenggaraan yang meningkat (tidak termasuk ketirisan dan pembaziran) membuatkan pemberian bantuan kepada orang Melayu sesuatu yang tidak ekonomi. Malah, kerajaan sudah mula menghapuskan dana bantuan kepada orang Melayu dan rakyat umumnya, sedikit demi sedikit. Kini, biasiswa jarang sekali ditawarkan. Sebaliknya, kos pendidikan ditanggung oleh pelajar sendiri melalui pinjaman PTPTN. Subsidi, termasuklah subsidi minyak dan gula ditarik balik. Petunjuk betapa terdesaknya kerajaan dalam meningkatkan pendapatan teserlah melalui keputusan perlaksanaan GST secara terburu- buru, baru-baru ini.

Bukan sahaja ia tidak ekonomik, pemberian bantuan kepada kaum tertentu menyalahi prinsip demokrasi (majoriti memerintah, minoriti mempunyai hak) sesebuah kerajaan. Kerajaan wajib berlaku adil kepada semua kumpulan etnik dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya. Dasar Ekonomi Baru turut mengakui soal ini – dengan itu, menetapkan target dan tempoh masa yang spesifik (sudah pun tamat). Namum, target equiti bumiputera masih tidak tercapai, lalu, diteruskan dasar afirmatif tersebut oleh pentadbiran berikutnya. Persoalannya, sampai bila, dan mengapa target ekuiti masih tidak tercapai?

Dasar Ekonomi Baru turut meninggalkan kesan negatif kepada bangsa Melayu. Daripada berusaha memajukan diri, orang Melayu bergantung kepada bantuan kerajaan. Daripada bersaing dalam bidang perniagaan, usahawan Melayu (termasuklah yang sudah kaya dan berkapital besar) terus menagih kontrak dan tender kerajaan. Sudahlah menuntut kontrak, bantuan lain turut ditagih. Biaya pendidikan anak pun mahu ditanggung kerajaan (melalui biasiswa). Mentaliti subsidi ini, iaitu kebergantungan terhadap kerajaan, sudah membarahi minda dan jati diri orang Melayu keseluruhannya. Beza antara Melayu kebanyakkan dan kroni hanyalah pada jumlah subsidi yang ditagih. Melayu biasa, dana-nya kecil. Kroni, dana-nya berbillion-billion.

 

Mengembalikan agenda Melayu sebenar

Agenda Melayu sebenar tidak terletak pada bantuan kerajaan, tetapi ianya perihal mental (mental state), iaitu kesedaran dan aspirasi setiap minda Melayu untuk membantu bangsanya maju kehadapan. Dari perihal mental itulah lahir initiatif-initiatif bersama bagi memperkasakan tahap pemikiran, sosial dan ekonomi bangsa.

Pokok kepada agenda Melayu adalah kesedaran

Peredaran masa, perubahan sosio-politik negara, serta pengaruh globalisasi – menuntut transformasi pemikiran Melayu. Nasib dan masa depan Melayu tidak boleh disandarkan lagi kepada kerajaan. Orang Melayu hendaklah (kembali) peka dan berusaha menyesuaikan diri dengan peredaran zaman, perubahan sosio-politik dan perkembangan global, untuk survive.

Pada masa ini, cabaran utama adalah mengembalikan kesedaran orang Melayu. Target utama adalah Melayu kelas atasan, golongan pertengahan dan agamawan. Merekalah yang seharusnya membela nasib saudara sebangsa yang miskin.

Kelebihan Melayu kelas atasan, yakni pemimpin dan ahli-ahli perniagaan, adalah kuasa dan kewangan. Malangnya, golongan ini dilihat lalai dan ‘hilang sentuhan realiti’. Kemewahan mengasyikkan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan faedah kepada bangsa, seperti berfoya-foya, membeli-belah, bermain golf dan melancong. Disebabkan corak pergaulan eksklusif, lingkaran sosial mereka kecil. Mereka tidak berinteraksi dan merasai kesusahan orang Melayu.

Pendekatan yang halus harus diguna-pakai dalam menghampiri golongan elit. Bukan sahaja sukar ditemui, mereka mempunyai ego yang besar. Kaedahnya adalah dengan mendekati personaliti-personaliti yang terbuka dan bermasyarakat. Cara lain adalah dengan mendampingi orang-orang kanan mereka. Kesedaran sejumlah kecil sudah memadai kerana kuasa dan pengaruh yang dimiliki mampu memberi impak yang besar.

Aspirasi agenda Melayu adalah membantu bangsanya maju

Biarpun kuasa dan pengaruh tidak sebesar golongan atasan, golongan pertengahan berpotensi menjadi penggerak agenda Melayu yang berkesan. Malangnya, golongan pertengahan Melayu kini sibuk menambah perolehan, dengan cita-cita untuk menyertai kelas elit. Mereka kerja siang-malam dan terpaksa puas dengan kenderaan dan tempat tinggal sederhana, serta percutian sekali-sekala. Aspirasi untuk memajukan bangsa tidak ada dalam pemikiran mereka.

Golongan pertengahan berpotensi menjadi penggerak utama agenda Melayu kerana mereka muda, bertenaga, terpelajar, kreatif dan memiliki kebolehan untuk bergerak secara teratur (organised). Lihat sahaja pergerakkan pemuda parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan kelab yang digerakkan mereka – semuanya aktif dan progresif. Penulis percaya, jika golongan pertengahan Melayu sedar dan komited kepada agenda Melayu, idea dan konsep yang tidak pernah terfikir oleh generasi terdahulu mampu dilaksanakan dengan efektif.

Kedudukan golongan agamawan adalah tinggi dimata orang Melayu. Kata-kata dan nasihat mereka ditagih dan dipatuhi. Ini menempatkan mereka pada kedudukan yang ideal untuk merubah pemikiran orang Melayu. Disamping mengajar ilmu agama, para uztaz boleh membuka minda Melayu (yang juga umat Islam) tentang kedudukan dan cabaran masa depan.

Seperti yang diperkatakan di awal penulisan, agenda Melayu selari dengan tuntutan agama yang menekankan soal muamalat, iaitu hubungan sesama manusia. Ya, kerendahan akhlak belia Islam disebabkan kurangnya ilmu agama. Tetapi, faktor kesempitan sosio-ekonomi juga memberi impak kepada keruntuhan moral, rempit, pergaulan bebas, perzinaan, buang bayi dan sebagainya. Bukankah kemiskinan (isu sosio-ekonomi) membawa kepada kekufuran? Maka, bagi penulis, golongan agamawan juga bertanggungjawab dalam menyedarkan orang Melayu tetang kewajipan memajukan bangsanya.

Jerih kesusahan mempengaruhi psikologi dan pemikiran golongan miskin. Bagi mereka, fokus utama ialah mengisi perut ahli keluarga yang kelaparan. Tiada apa yang lebih penting dari asas kehidupan itu. Masa depan bangsa, kedudukan politik dan persaingan global bukanlah keutamaan bagi mereka. Sebab itulah kerajaan mengekalkan Melayu dalam kemiskinan, kerana menjelang pilihan raya, undi Melayu mudah diraih melalui pemberian-pemberian picisan. Sekampit beras, payung, topi, t-shirt adalah kemewahan bagi mereka. Inikan pula wang tunai seperti BR1M.

Daripada memberi wang tunai (atau topi dan tshirt), initiatif-initiatif seperti pembiayaan kos pendidikan anak-anak, modal perniagaan, latihan kemahiran, bantuan baja, jaring dan seumpamanya, dapat menjana pendapatan dan lebih bermakna.

Agenda Melayu terhasil dari kesepakatan dan usaha kolektif orang Melayu

Sebagai kesimpulan, agenda Melayu adalah perihal mental yang bertunjangkan kesedaran dan aspirasi setiap minda Melayu untuk memajukan bangsanya. Buat masa ini, cabaran utama adalah menyedarkan orang Melayu yang sedang leka.

Adalah menjadi harapan penulis agar orang Melayu kembali bersatu – membela nasib dan masa depan bangsa – secara berdikari – tanpa bergantung kepada kerajaan – ataupun berlaku zalim kepada kaum-kaum lain.

Wallahu a’lam

 

Advertisements

8 comments

  1. Ram_Baasha · · Reply

    Antara yang menarik perhatian saya adalah para dibawah:

    Kaum yang banyak menentang usaha meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera adalah kaum Cina. Ketidakpuasan hati mereka berpunca dari mentaliti ‘zero-sum’ – iaitu ‘jika orang Melayu untung, kami rugi’ – hasil hasutan pemimpin-pemimpin Cina yang chauvinis. Korupsi pemikiran ini menghalang orang Cina bersikap terbuka kepada usaha-usaha menyama-ratakan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat.

    Penulis perlu faham bahawa pada asalnya, DEB diwujudkan untuk tempoh 30 tahun sahaja. Jikalau kerajaan gagal untuk meyamaratakan taraf socio-ekonomi Melayu dengan Cina dalam tempoh, adakah ia salah Cina? Walaupun Cina & India adalah penyumbang terbesar cukai negara, apa yang kerajaan buat untuk kaum ini? Untuk berapa lama lagi Cina & India perlu menanggung beban menyuap Melayu ini? Penulis perlu menjawab soalan yang diajukan dengan telus. Sekain

    1. Saya juga utarakan persoalan yang sama pada artikel di atas.

      (Section – Mentaliti Subsidi, Para – 3). Excerpt: ‘…pemberian bantuan kepada kaum tertentu menyalahi prinsip demokrasi (majoriti memerintah, minoriti mempunyai hak) sesebuah kerajaan. Kerajaan wajib berlaku adil kepada semua kumpulan etnik dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya. Dasar Ekonomi Baru turut mengakui soal ini – dengan itu, menetapkan target dan tempoh masa yang spesifik (sudah pun tamat). Namum, target equiti bumiputera masih tidak tercapai, lalu, diteruskan dasar afirmatif tersebut oleh pentadbiran berikutnya. Persoalannya, sampai bila, dan mengapa target ekuiti masih tidak tercapai?’ .

      Dan, di akhir penulisan;

      (Section – Mengembalikan agenda Melayu sebenar. Para – akhir). Excerpt: ‘Adalah menjadi harapan penulis agar orang Melayu kembali bersatu – membela nasib dan masa depan bangsa – secara berdikari – tanpa bergantung kepada kerajaan – ataupun berlaku zalim kepada kaum-kaum lain.’

      Minta tuan baca sepenuhnya artikel di atas sebelum membuat kesimpulan. Terima Kasih

  2. Good article but my belief is about attitute malay itself

  3. Sabahan · · Reply

    TOLONGlah , cukuplah jangan salahkan kaum lain lagi atas semua masalah melayu, bahkan yg memerintah kerajaan melayu 50 tahun dah.. Sepatutnya kerajaan dan semua NGO melayu harus berkerjasama ikhlas dgn kaum cina dan lain utk membangunkan ekonomi melayu – yg ni attack attack mereka siang malam 24/7 buat apa ? Bila nak henti politik berkaya geng elit sendiri ni sedangkan 99% melayu lain susah? Kaum lain akan terus maju tanpa apa bantuan kerajaan, tapi kaum melayu mungkin tetap berada belakang jika semua NGO melayu dan kerajaan hanya suka main politik kanak-kanak dan tiada minat memajukan persefahaman dan keikhlasan kerjasama dgn orang lain..Banyak melayu yg rajin dan cerdik tidak diberi peluang keemasan, hanya kaki botek dan mat turut digunakan urus GLC dan diberi kontrak jutaan….agenda apa ni?

    1. Benar sekali, dan itulah tema dominan artikel di atas. T. Kasih

  4. Terlalu benar Sr AF Rahman…..Saya merupakan golongan ygb seperti dinyatakan oleh Sr Sabahan di atas…Teruskan penulisan saudara yg mengupas secara “above politic” dan akan saya share selalu dlm media sosial saya…..

    1. Ya sdr @mancina. Majoriti kita berpandangan yg sama. Moga perubahan yg diingini mampu kita kecapi dlm masa terdekat. Sama2 kita usahakan. T. Kasih

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: