Apabila Terlalu Lama Membangkang

Disebabkan terlalu lama berkuasa, kerajaan Barisan Nasional  menjadi selesa dan  leka mentadbir negara. Sebaliknya, tumpuan kerajaan diarahkan kepada pengekalan kuasa. Pelbagai pendekatan digunakan. Kaedah yang paling berkesan adalah mengekang suara rakyat melalui akta dan undang-undang. Pendapat rakyat – pelajar, ahli akademik, kaum pekerja, badan-badan bukan kerajaan, dan parti-parti pembangkang dikongkong – mengakibatkan ketumpulan pemikiran.

Akibat kelekaan pentadbiran, prestasi negara merudum. Ekonomi merosot. Kekayaan digondol sekumpulan manusia, jurang perolehan antara golongan kaya dan rakyat kebanyakkan membesar, kos sara hidup meningkat dan nilai mata wang menyusut. Pelindungan yang dinikmati golongan kapitalis membuatkan mereka bertambah tamak. Gaji pekerja dikekalkan seminimum mungkin. Warga negara yang tidak lagi sanggup diperhambakan dengan gaji tidak setimpal, diganti dengan pendatang asing. Itulah punca lambakkan warga asing yang mendominasi sektor buruh negara.

Kualiti pendidikan juga ketinggalan. Institusi-institusi pengajian tinggi bukan lagi tempat pemikir-pemikir beradu pemikiran, tetapi tempat profesor-profesor tumpul yang hanya geliga dalam mengiyakan kehendak orang atasan. Begitu juga keselamatan negara. Kes-kes jenayah berat menjadi-jadi. Jika dahulu, jarang sekali kita mendengar berita pembunuhan melibatkan senjata api. Kini, ianya berita biasa. Negara yang dahulunya aman, sekarang sudah boleh diceroboh pengganas (baca: Lahad Datu), dan terbaru, penculikan pelancong China di Sabah.

Dalam kemurungan pencapaian negara, terdapat segolongan masyarakat progresif yang berani menyuarakan kepincangan pemerintahan. Mereka tidak dapat menerima  pentadbiran negara ala negara dunia ketiga. Aspirasi mereka – untuk menjadikan negara ini maju dan berdaya saing di peringkat global. Mereka aktif atau, sesekurang-kurangnya cenderung kepada gagasan parti pembangkang, Pakatan Rakyat.

Usaha membela nasib rakyat dan memperbetulkan hala tuju negara umpama ‘mendaki gunung yang curam’, yakni sebuah inisiatif yang sukar. Mana tidaknya, bukan sahaja terpaksa mencari pintasan kepada kongkongan dan penapisan, mereka berhadapan dengan pelbagai intimidasi kerajaan. Ia meletihkan, dan lazimlah jika ada yang surrender separuh jalan.

Kepada yang tabah, perjuangan menguji jati diri. Sedar atau tidak, ia merubah persepsi dan cara pemikiran. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sudah berjuang untuk tempoh yang lama tanpa hasil dan pulangan. Di kala macai-macai Barisan Nasional hidup bersenang lenang, projek sana sini, mereka derita seperti rakyat biasa.

Pejuangan berpanjangan mampu merubah seseorang atau sesebuah pegerakan ke arah negatif. Ada yang terpesong dari fokus, ada yang menjadi totok dan hilang pertimbangan, ada yang hilang semangat nasionalisme, dan ada yang menjadi terlalu partisan. Kini, bila Pakatan Rakyat berpengaruh dan popular, ada yang jadi sombong dan takabur.

 

Hilang fokus

Misi dan visi adalah nadi sesebuah perjuangan. Contoh perjuangan yang tersasar dari misi asalnya adalah UMNO. Perjuangan UMNO bukan lagi untuk membela nasib orang melayu, tetapi untuk mengaut kekayaan peribadi. ‘Hidup Melayu’ hanya tinggal slogan kosong yang dilolongkan semasa orang UMNO berhimpun atau sedang mengamuk. Perjuangan hipokrit begini membuatkan orang Melayu semakin mual dengan mereka.

Tingkah laku Pakatan Rakyat mula menampakkan bibit-bibit kekaburan fokus. Puncanya – keasyikkan berpolitik dan perebutan kuasa. Contohnya adalah ‘Langkah Kajang’.  Asalnya, ‘Langkah Kajang’ diwar-warkan sebagai strategi mengambil alih Putra Jaya. Penulis masih tidak memahami logik Pilihan Raya Kecil Kajang  dengan pengambil-alihan Putra Jaya. Kabarnya, ia adalah langkah meneutralkan perebutan kerusi MB Selangor antara TS Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Jika inilah objektif sebenar – ia masalah dalaman PKR. Selesaikanlah dalam parti. Mengapa perlu diheret penduduk Kajang dan aktivis Pakatan Rakyat seluruh negara?

Bukanlah niat penulis untuk membincangkan ‘Langkah Kajang’ yang sudah berlalu. Cuma, ia petunjuk mudah bagaimana Pakatan Rakyat hilang fokus gara-gara terlalu asyik berpolitik bagi merebut kuasa. Pada masa tersebut (sekarang pun), isu yang lebih mendesak adalah kelansungan hidup rakyat akibat kenaikkan kos sara hidup. Momentum perhimpunan TURUN diambang tahun baru  yang lalu, dipatahkan sendiri oleh ‘Langkah Kajang’. Barisan Nasional masih memerintah federal, TS Khalid dan Azmin masih bergelut. Dua sasaran utama ‘Langkah Kajang’ belum mengena (lagi). Yang rugi adalah rakyat. Kesempitan hidup yang seolah-olah dibela Pakatan Rakyat – dilupakan.

Kecenderungan hilang fokus dek asyik berpolitik inilah yang mudah di-exploit oleh Barisan Nasional. Bagi menutup kelemahan pentadbiran – kegawatan ekonomi, kenaikkan kadar jenayah, kehilangan MH370 dan sebagainya, Barisan Nasional (melalui proksi-proksinya) hanya perlu menyajikan isu-isu remeh, perkauman dan agama. Kemudian, hangatlah pembangkang berpolitik, hentam sana sini. Visi asal Pakatan Rakyat lalu lesap begitu sahaja.

 

Pemikiran seragam

Antara daya tarikan Pakatan Rakyat adalah keterbukaannya terhadap pendapat dan idea. Sumbangan idea dari segenap lapisan masyarakat dihargai – tidak kira latar belakang kaum, agama, status sosial atau ekonomi. Justeru, rakyat majoriti merasakan suara mereka didengari.

Malangnya kini, bibit-bibit penyempitan pandangan sudah terlihat melalui tingkah laku penggerak dan kepimpinan Pakatan Rakyat. Andainya ada satu isu, hujah yang sejenis disuarakan Pakatan Rakyat. Pendapat yang berlainan akan ditolak dengan keras.

Punca kesempitan pemikiran ini bertitik tolak dari corak pergaulan mereka yang hanya berkisar sesama sendiri. Apabila sekian lama  bergaul dengan golongan yang sama – mesyuarat sekali, demonstrasi sekali, gotong royong sekali, kedai kopi sekali dan segalanya sekali – pemikiran mereka menjadi sempit dan seragam. Muncul-lah mentaliti kekawan atau herd mentality dimana, pemikiran dan tingkah laku seseorang dipengaruhi trend pemikiran dan tingkah laku kekawan-nya. Jika seorang cuba utarakan pendapat berbeza – dia akan dilabel pengkhianat, sudah dibeli UMNO dan sebagainya. Akhirnya, pendapat alternatif tidak diluahkan kerana takut menyalahi pendapat kumpulan. Contohnya, hanya kerana Pakatan Rakyat menolak perlaksanaan GST, orang-orang Pakatan akan tolak GST tanpa usul periksa. Jika ada yang ingin mempersoalkan mengapa?, dia akan dituduh macam-macam. Malangnya, sikap kasar begini ditujukan juga kepada segmen masyarakat yang neutral. Sikap beginilah yang menjauhkan rakyat non-partisan, dan ‘pengundi atas pagar’ dari Pakatan Rakyat.

Bicara tentang GST, penulis membangkang keras perlaksanaan-nya. Ketika menuntut dahulu, penulis berpengalaman menjadi mangsa GST. Biarpun negara di mana penulis menuntut itu maju dan efisien, kenaikkan kos sara hidup tidak dapat disekat biarpun pelbagai kaedah diguna-pakai kerajaan negara tersebut untuk menghalangnya. Sewa rumah, tambang bas, barangan dapur, alat tulis dan sebagainya – naik mendadak-dadak. Pada masa itu, kerajaan Malaysia terpaksa bersetuju untuk menambah elaun sara hidup yang sudah lama kami, dan senior sebelum kami perjuangkan. Bayangkan jika GST itu dilaksanakan di Malaysia yang kompetensi dan efisiensinya lebih kebelakang.

Seterusnya, kesempitan pemikiran juga timbul angkara sikap taksub kepada pemimpin. Segala keputusan kepimpinan dianggap benar, dan tiada apa yang lebih benar. Ianya tidak boleh dikritik atau dipersoal. Benar, hujah- hujah pemimpin Pakatan Rakyat jauh lebih bermutu dari Barisan Nasional. Tetapi ingatlah, hanya kerana ia lebih baik dari Barisan Nasional, tidak semestinya ianya terbaik.

Kerana sudah selalu menang debat, pemimpin Pakatan mula terasa hebat. Mereka terpesona dengan kebolehan sendiri dan percaya bahawa mereka sahaja yang betul. Lalu, menghadapi kesukaran menerima pendapat berbeza, apatah lagi kritikan. Apabila mengemukakan pendapat, mereka berhujah dengan kasar. Lihatlah siri ceramah, sidang media dan perbahasan segelintir mereka di Dewan Rakyat. Arrogant, Takabur.

Perkembangan pengaruh dan kuasa turut membesarkan ego. Pakatan Rakyat meraih sokongan majoriti rakyat Malaysia (51.4% undi popular di PRU-13). Ia menang di bandar-bandar besar dan berjaya memerintah di 3 buah negeri. Seperti Barisan Nasional, pengaruh dan populariti mula mengaburi hati mereka. Mereka mula leka akan tujuan mereka terpilih – untuk mentadbir urusan dan kepentingan rakyat.

Satu lagi masalah apabila pemikiran Pakatan Rakyat menyempit adalah sikap partisan dan tidak mahu bekerjasama. Sudahlah ketat dengan pendapat sendiri, sumber dan tenaga kerja juga berkira. Ini berlaku antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat, malah dalam parti masing-masing pun terlihat puak-puak. Contohnya, dalam usaha membantu mangsa banjir, parti PKR, PAS dan DAP tidak dapat bekerjasama gara-gara berkira sumber dan tenaga kerja, serta perbezaan ideologi yang remeh. Dalam parti pula, akan wujud puak-puak bertentangan menjelang pemilihan parti. Geng-geng ini akan terus berbalah di luar waktu pemilihan, umpat-mengumpat di belakang tabir. Jika ini berterusan, budaya cantas-mencantas ala Barisan Nasional akan mekar dalam Pakatan Rakyat.

 

Hilang Patriotisme

Apabila terlalu lama membangkang, apa sahaja keputusan kerajaan tampak salah. Ini bahaya kerana bila negara menghadapi krisis, mengkritik tindakan kerajaan boleh dilihat sebagai menentang kepentingan negara lalu melukakan perasaan rakyat yang sedang kerisauan.

Contohnya, pencerobohan militan Sulu di Lahat Datu tempoh hari. Tindakan mengkritik kerajaan secara keterlaluan dilihat tidak patriotik. Begitu juga dengan kes kehilangan MH370 sekarang. Kritikan keterlaluan boleh menguris perasaan keluarga dan rakyat yang sedang keliru dan kesedihan.

Memang, cara krisis-krisis ini ditangani kerajaan banyak menyerlahkan kelemahan pentadbiran. Tetapi, janganlah jadikan ia ‘bola tanggung’ untuk dihentam habis-habisan. Sikap kerajaan yang tidak transparen membuatkan semua orang dalam ‘kegelapan’ dan keliru. Boleh jadi, disebabkan kurang maklumat, kita terbuat kesimpulan yang salah. Adalah lebih baik jika Pakatan Rakyat menyantuni sentimen – kerisauan, kekeliruan dan kesedihan rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat seharusnya lebih terkehadapan dalam menyantuni keluarga mangsa MH370. Apa kata Pakatan adakan perhimpunan besar-besaran sebagai simbol solidariti rakyat terhadap kehilangan MH370? Tentunya, rakyat akan menghargai dan bersama-sama menjayakan initiatif murni itu.

 

Apa sudahnya?

Hendak atau tidak, kerajaan Barisan Nasional perlu ditukar. Mereka telah banyak membuat onar. Pentadbiran negara carca merba. Ekonomi, keadilan, keselamatan, pendidikan – segala aspek pentadbiran merosot dan mundur. Jenayah, ketegangan kaum dan agama menjadi-jadi. Rakyat tidak selesa. Kita perlukan sekumpulan pemimpin yang berintegriti, kompeten dan berwibawa bagi membalikkan negara ke landasan yang betul, yakni mesra rakyat, efisien dan berdaya saing di peringkat global.

Harapan rakyat kini disandarkan kepada Pakatan Rakyat. Maka, refleksi dan perbetulkan niat dan tingkah laku. Sekat nilai-nilai buruk di kala ia masih awal kerana bila berleluasa, ianya sukar ditangani dan mungkin terlambat. Janganlah kesempitan pemikiran, dan sikap sombong dan takabur itu membengkak hingga Pakatan Rakyat ditolak rakyat seperti seterunya, Barisan Nasional.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: