MH370: Reaksi Masyarakat & Kebertanggungjawaban MAS

Ketika artikel ini ditulis, pesawat MH370 telah hilang lebih dari 60 jam, dan masih tiada sebarang petunjuk tentang lokasi pesawat tersebut. Fakta-fakta sampingan seperti pengumuman yang lewat, terdapatnya 2 penumpang yang menggunakan passport palsu dan tiadanya panggilan kecemasan SOS, menimbulkan banyak keraguan. Akibat kurangnya maklumat, besertakan fakta-fakta yang mencurigakan, lahirlah teori-teori konspirasi dan terorisme. Walaupun ia tidak sahih, teori-teori tersebut menarik perhatian semua.

 

Berat lagi bahu memikul

Penulis bersimpati dengan kegundahan perasaan keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Mana tidaknya, sudah lama mereka menunggu berita nasib orang tersayang. Mereka keliru – hendak optimis atau bersedih? Penantian dalam ketidak-tahuan sebegini pasti menyeksakan. Tekanan perasaan yang mereka alami, hanya mereka dan Tuhan sahaja yang tahu. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Pada masa yang sama, sikap masyarakat kita yang tidak sensitif sungguh mengecewakan. Krisis ini dijadikan bahan jenaka di laman sosial dan chat. Celoteh sosial juga sarat dengan teori-teori konspirasi dan terorisme. Ada antaranya lansung tidak masuk akal. Terdapat juga individu yang mengambil kesempatan untuk ber’khutbah’ tak tentu pasal.

Penulis juga kecewa dengan respon superfisial yang ditunjukkan oleh media perdana terutamanya radio. Lawak-lawak murahan diselang-selikan dengan ucapan ‘sabar’ dan doa bernada sayu oleh penyampai radio. Selesai bersyahdu, mereka kembali berjenaka, ketawa terbahak-bahak kepada lawak-lawak mereka sendiri.

Kesempatan untuk menonjolkan keperihatinan diambil sepenuhnya oleh ahli-ahli politik. Penulis setuju dengan kebaikan kunjungan pemimpin untuk memberikan kata semangat kepada keluarga magsa. Tetapi, tidak perlulah publisiti yang berlebih-lebihan. Penerbitan melampau gambar muka-muka sugul dan titisan air mata politik tidak menyelesaikan krisis, mahupun meringankan kesedihan ahli keluarga mangsa, ataupun kebingungan rakyat. Kompetensi kepimpinan sahaja yang ditagih di saat begini.

 

Keyakinan kepimpinan ditagih

Diwaktu ketidak-tentuan, pemimpin negara hendaklah memperlihatkan keyakinan dan kebolehan yang tinggi. Sidang media perlulah dikendalikan dengan pantas dan berkeyakinan. Pemimpin hendaklah menunjukkan kefahaman yang tajam pada kes, kontroversi dan kerisauan rakyat. Mereka mestilah fokus dan terang dalam penjelasan yang diberikan. Apabila disoal pemberita, mereka hendaklah tenang dan terbuka.

Bukanlah hajat penulis untuk mengkritik kerajaan. Namun, pendekatan kerajaan (seperti yang sering ditunjukkan), seolah-olah sambil lewa. Kenyataan rasmi dibuat hanya setelah 12 jam pesawat MH370 disedari hilang. Kenyataan yang dibuat juga tidak teliti. Apabila disoal tentang fakta-fakta mencurigakan, jawapan yang samar-samar diberikan seolah-olah cuba mengelak. Apabila diketengahkan teguran agensi asing tentang sistem dan operasi keselamatan imegresen dan lapangan terbang, menteri terbabit melenting dan memberi jawapan yang defensif dan reaktif.

Menteri yang bertangungjawab juga hendaklah dilihat komited kepada menyelesaikan krisis ini. Sebaik-baiknya, beliau hadir di setiap sidang media dan menjawab soalan-soalan pemberita dengan yakin, lebih-lebih lagi apabila Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awan (DCA) menghadapi kesukaran mengendalikan suasana sidang media yang panas. Pengerusi dan eksekutif tertinggi MAS pula seperti mengelak dari ke hadapan, walaupun mereka sama-sama bertanggungjawab.

 

Kebertanggungjawaban eksekutif MAS

Satu masa dahulu, syarikat penerbangan MAS adalah sebuah syarikat penerbangan  kebanggaan negara. Ia menjulang nama Malaysia dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang. Pelbagai anugerah antarabangsa yang diterimanya. Bukan rakyat Malaysia sahaja yang rasa selesa dan selamat menaiki kapal terbang MAS, rakyat negara luar juga memilih MAS kerana kecemerlangan perkhidmatan dan rekod keselamatan yang meyakinkan.

Namun, sejak 15 tahun kebelakangan ini, prestasi MAS merudum. MAS mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit dan menghadapi kesukaran untuk bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan lain. Ini semua berlatar-belakangkan pelbagai skandal pemberian kontrak yang tidak ekonomik kepada individu-individu yang ada hubungan dengan pemimpin politik. Turut diberitakan, di kala MAS terpaksa membuang pekerja berjawatan rendah, para eksekutifnya bukan sahaja mengekalkan jawatan, tetapi gaji mereka (yang sudah sememangnya lumayan) terus meningkat.

Krisis ini meluahkan kepincangan kepimpinan dan organisasi MAS. Sikap menikus kepimpinan MAS berhadapan dengan persoalan rakyat di kala pesawatnya hilang, amat memalukan. Sudah tiba masanya (setelah selesai krisis MH370) untuk kepimpinan diaudit oleh rakyat (parlimen). Struktur organisasi, sistem operasi, kewangan, pemberian kontrak dan sebagainya, hendaklah disiasat dengan teliti. Segala kelemahan dan penyelewengan harus dipertanggungjawabkan kepada para eksekutif tertinggi. Hukuman yang keras hendaklah dikenakan tidak kira tinggi mana darjah kebesarannya.

Hanya dengan itu, penumpang dan anak kapal MH370, serta keluarga mereka beroleh keadilan. Hanya dengan ini juga, rakyat mendapat pampasan kekecewaan dari kemunduran MAS yang memalukan.

Semoga Allah menyelamatkan penumpang dan anak kapal MH370, dan memberi kesabaran yang kuat kepada keluarga mereka. Amin

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: