Kajang dan Kematangan Politik

Plot ADUN Kajang meletak jawatan dan rancangan menggantikannya dengan DS Anwar Ibrahim berlangsung dengan pantas. Ia berlaku berikutan tekanan berpanjangan oleh Azmin Ali dan pengikutnya terhadap Menteri Besar Selangor, TS Khalid Ibrahim. Ia mengesahkan bahawa negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat sedang bergelut dengan krisis kepimpinan yang serius.

Langkah tersebut memeranjatkan semua pihak. Rakyat, Barisan Nasional, parti-parti komponen Pakatan Rakyat, malah, ramai dari PKR sendiri pun terkejut. Rakyat menjadi keliru dan gelisah. Ia juga membingungkan kepimpinan Barisan Nasional. Mereka mencongak-congak apakah yang hendak dilakukan Pakatan Rakyat? PAS dan DAP pun tertanya-tanya. Antara mereka, ada yang marah kepada PKR kerana membuat keputusan berisiko tinggi secara unilateral.

Pelbagai spekulasi menyusul. Ada yang mengatakan DS Anwar ingin mengambil alih jawatan MB, sebelum mengambil alih tampuk kepimpinan negara sebagai PM. Ada juga yang mengatakan ia sebagai laluan kepada Azmin untuk menjadi MB. Ada yang membincangkan dari sudut perlembagaan negeri Selangor, dan kuasa Sultan Selangor. Dan, macam-macam lagi. Kehangatan spekulasi ini terus memuncak selagi PKR mengambil sikap berahsia.

Penulis tidak ingin membuat sebarang spekulasi kerana keadaan yang julung kali sebegini sukar untuk diduga. Tiada siapa yang tahu apakah strategi dan agenda disebalik tindakan PKR. Biarkan masa menentukan apakah kesudahannya.

Penulis ingin membincangkan tentang keresahan yang dialami rakyat, juga kematangan politik dan keluhuran demokrasi Pakatan Rakyat.

 

Impak langkah PKR terhadap keyakinan rakyat

Pergeseran antara Azmin Ali dan TS Khalid Ibrahim sudah berlanjutan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri Selangor pada 2008. Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Pengerusi PKR Selangor secara naturalnya merasakan beliau lebih layak untuk menjadi MB. Kekecewaan kerana sekali lagi dipinggirkan selepas PRU-13 (untuk dilantik sebagai MB) membuatkan beliau terus-menerus menekan TS Khalid.

Persepsi rakyat kepada Azmin Ali tidaklah begitu elok. Rakyat inginkan kestabilan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang lemah kini. Mereka juga berpuas hati dengan pentadbiran TS Khalid. Polisi-polisi seperti air percuma, bantuan kewangan kepada yang berpendapatan rendah, pelajar, warga tua dan orang kurang upaya, serta pengurusan ekonomi yang baik – amatlah popular. Ini dibuktikan dengan sokongan padu rakyat Selangor kepada Pakatan Rakyat. Biarpun diserang habis-habisan dan disabotaj Barisan Nasional dan proksi-proksinya sepanjang penggal pertamanya sebagai MB, sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat. Sultan Selangor, PAS dan DAP turut berpuas hati dengan prestasi beliau. Walaupun PKR mendapat kerusi DUN terendah dikalangan parti-parti komponen Pakatan Rakyat pada PRU-13, beliau masih diberi mandat.

Sentimen perkauman dan agama seperti isu kalimah Allah yang cuba dimainkan Barisan Nasional di Selangor (dan juga Pulau Pinang) tidak menjadi. Sebaliknya, rakyat menuding jari kepada kelemahan kepimpinan DS Najib. Rakyat juga bersikap ‘tutup sebelah mata’ kepada keputusan TS Khalid menaikkan gaji ADUN-ADUN Selangor. Ramai yang positif terhadap keputusan tersebut. Ia membolehkan ADUN-ADUN Selangor yang jujur dan tidak korup untuk berkhidmat dengan lebih efektif. Pendek kata, rakyat mempercayai TS Khalid dan sanggup berkompromi dengan dasar-dasar yang tidak popular.

Tiadakah cara lain untuk meredakan tekanan Azmin terhadap TS Khalid? Tiadakah jalan rundingan supaya Azmin dan pengikutnya bertenang? Adakah meletakkan DS Anwar Ibrahim di DUN Selangor atau menjadikan beliau MB pendekatan yang terbaik? Mengapa tidak diletakkan DS Wan Azizah yang lebih lembut dan keibuan,  sahaja? Yang nyatanya, tindakan ini memburukkan krisis yang sudah sememangnya buruk.

Tindakan terbaru itu juga berisiko tinggi. Jika tersilap langkah, boleh hilang segala-galanya, umpama ‘apa yang dikejar tidak kesampaian, yang dikendong berciciran’. Rekod perebutan kuasa melalui permainan politik tidak menyebelahi Pakatan Rakyat. Lihat kepada strategi lompat-melompat di Perak dahulu. Akhirnya, kuasa yang ada terlepas begitu sahaja. Janganlah cuba bermain politik, terutamanya dengan Barisan Nasional yang tiada etika, mahupun ‘gentleman’. Masalah dalaman di Kedah yang mengakibatkan terlepasnya satu lagi negeri Pakatan Rakyat juga merupakan tauladan yang baik. Mungkinkah ini yang cuba dielakkan oleh PKR di Selangor?

Persepsi rakyat terhadap kemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat adalah penting. Jika antara parti komponen bertelagah, bagaimana rakyat ingin yakin kepada mereka? PAS dilihat terperanjat dan mula mengkritik secara terbuka. Ia tidak melambangkan perpaduan Pakatan Rakyat yang dihendaki rakyat.

Langkah Kajang ini ada aspek positifnya. Ia melambangkan keberanian dan keyakinan kepimpinan PKR mengambil risiko – kualiti yang baik sebagai pemimpin. Ia juga tindakan proaktif bertujuaan menyelesaikan masalah pergeseran Azmin-Khalid sekali dan untuk selama-lamanya. Terpulanglah kepada kepandaian politik Pakatan Rakyat dalam menanamkan idea ini ke dalam minda rakyat.

 

Menyalahi falsafah demokrasi

Walau bagaimanapun, cubaan mengatur pucuk pimpinan hingga mengakibatkan pilihan raya menyalahi prinsip demokrasi. Prinsip utama pemerintahan demokrasi adalah pemusatan kuasa kepada perwakilan yang dipilih rakyat untuk menggubal undang-undang berdasarkan prinsip-prinsip keadilan (justice), kesaksamaan (equality), kebebasan (liberty) dan sebagainya – bagi menjamin hak-hak rakyat keseluruhan. Maka, tiadalah undang-undang suku dan puak, warlords atau hukum rimba. Institusi Parlimen adalah tempat undang-undang digubal dan ia selalunya dijadikan lambang kedaulatan sesebuah negara demokrasi. Perbezaan demokrasi, monarki, tirani autokrasi, oligokrasi dan sebagainya adalah mekanisme pemusatan kuasa sesuatu kerajaan.

Hakikatnya, PKR hanyalah mengambil kesempatan melalui sistem yang ada bagi mengatur kembali pucuk pimpinan. Bagi penulis, walaupun tidak salah, ianya tidak beretika. Wakil-wakil rakyat yang telah pun terpilih sepatutnya menumpukan perhatian kepada meminda atau menggubal undang-undang untuk kesejahteraan rakyat, mengikut kehendak dan perubahan semasa. Contohnya, apabila penjenayah berjaya memanipulasi undang-undang untuk memboloskan diri dari hukuman, wakil-wakil rakyat seharusnya membahaskan bagaimana untuk memperkukuhkan undang-undang supaya ia lebih berkesan. Itu tugasan utama ADUN dan Ahli Parlimen. Malangnya, di Malaysia, wakil-wakil rakyat tidak habis-habis berpolitik, dalam dan luar Parlimen, semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa. Episod kali ini sama sahaja.

 

Kematangan politik Pakatan Rakyat?

Seperti yang dibincangkan, krisis ini berpunca dari Pakatan Rakyat sendiri. Ideal-nya PKR berbincang dan selaras dahulu bersama PAS dan DAP. PAS pula sepatutnya bertenang dan janganlah mudah melenting apabila berdepan dengan krisis atau kontroversi.

Reaksi pengarah strategi PKR mengakui kepincangan pendekatan Langkah Kajang dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya adalah dialu-alukan. Tindakan beliau yang lekas memohon maaf meredakan sedikit-sebanyak kemarahan rakyat. Jika beliau tidak bertindak dengan cepat, kemarahan rakyat pastinya memuncak, dan silap-silap, rakyat akan menolak Pakatan Rakyat secara mutlak selepas ini.

Pakatan Rakyat perlu sedar bahawa kejatuhan sesebuah organisasi, kerajaan hingga ke empayar, kerap berlaku dengan pantas. Lihat bagaimana pantasnya kejatuhan tamadun Maya, Mesir dan Rome yang lampau. Kerajaan Melayu Melaka juga jatuh dalam masa yang singkat. Politik pasca merdeka melihatkan kehancuran Parti Semangat 46 yang juga pantas. Maka, beringatlah, sokongan yang ada boleh berubah dengan cepat sekali.

Reaksi Azmin Ali dan pengikutnya (setakat ini) juga boleh diberi pujian. Mereka tenang dan pantas mengumumkan sokongan 100% kepada keputusan tersebut. Penulis percaya, ia adalah keputusan yang berat memandangkan peluang bagi Azmin untuk menjadi MB bertambah sukar. Itulah tanda seorang pemimpin yang tenang, konsisten dan tidak emosional dalam berpolitik.

Tampuk pimpinan DAP memberi sokongan padu kepada tindakan PKR. Tiada susulan kenyataan atau kritikan dari pemimpin-pemimpin DAP yang lain. Mungkin mereka tidak ingin merumitkan keadaan kerana mereka dapat merasakan kepayahan PKR mentadbir Selangor, memandangkan pentadbiran DAP di Pulau Pinang juga diserang bertalu-talu oleh Barisan Nasional.

Sebaliknya, PAS dilihat tidak berpuas hati dan merasakan dirinya tertipu. Pucuk pimpinan PAS pula gagal mengeluarkan kenyataan yang tegas dan jelas mengenai isu ini. Yang lantang bersuara adalah Ketua Pemuda PAS Pusat dan mantannya yang mengkritik tindakan PKR secara terbuka. Tuntutan penjelasan mereka berasas, tetapi penggunaan media massa untuk tujuan itu adalah tidak wajar. Ia memburukkan imej Pakatan Rakyat dan imej PAS sendiri. Menyerang rakan sendiri ketika ia dalam kesusahan bukanlah nilai kepimpinan yang berani, tetapi penakut. Mungkin mereka kekontangan isu untuk menonjolkan diri ketika ini. Entahlah. Lebih baik mereka memikirkan strategi bagaimana untuk bersaing dengan Ketua Pemuda UMNO yang kini semakin berjaya menarik perhatian golongan muda.

Pakatan Rakyat haruslah bermuhasabah diri. Akuilah yang politik mereka (adakalanya) kebudak-budakkan. Berlajarlah dari krisis ini supaya ia tidak berlaku lagi di masa hadapan. Pada masa hadapan, bincang dan selaras setiap keputusan, terutamanya keputusan-keputusan berisiko tinggi. Bertenang apabila menghadapi krisis dan janganlah cepat melenting.

 

Prospek dan harapan

Keputusan yang diambil PKR banyak kepincangannya dan boleh dikritik habis-habisan. Tetapi, keputusan sudah pun dibuat. Hendak atau tidak, Pakatan Rakyat hendaklah bersatu, berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin dan meminimakan komplikasi. Untuk kali ini, ambillah pendekatan ‘tujuan menghalalkan cara’. Itu sahaja yang boleh mengembalikan fokus Pakatan Rakyat.

Seterusnya, kerjasama haruslah diberi kepada siapa sahaja yang menjadi MB selepas ini. Jangan lagi menekan sesama sendiri. Pentadbiran negeri Selangor sudah sememangnya susah dek tekanan dan serangan politik Barisan Nasional. Janganlah merumitkan lagi keadaan dengan bercakaran sesama sendiri.

Prospek yang paling baik adalah Barisan Nasional mengambil ‘high moral ground’ untuk tidak bertanding. Jadikan langkah untuk tidak bertanding itu sebagai mengelak pembaziran bagi tidak memburukkan lagi ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Kematangan sebegini pastinya berjaya meningkatkan sokongan rakyat Selangor kepada Barisan Nasional yang teruk merosot padaPRU-13 yang lepas.

Wallahu a’lam

 

Selamat Tahun Baru Cina kepada yang menyambutnya. Gong Xi Fa Cai !

medium_107134266352de65f932932

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: