Kepimpinan yang ditagih

Malaysia yang dahulunya berpotensi besar, kini terkial-kial untuk bersaing di persada antarabangsa. Pencapaian ekonomi,  pendidikan, teknologi, keselamatan dan sebagainya – merosot.

Faktor utama mengapa negara kita merosot adalah kelemahan kepimpinan. Ia dirasai sejak pesaraan Tun Mahathir. Malah, kemerosotan ini bermula sebelum beliau bersara lagi. Tindakan Tun Mahathir memenjara DS Anwar Ibrahimm ketika negara memerlukan kestabilan dalam menghadapi kegawatan ekonomi (1998), merupakan permulaan kepada ketandusan kesinambungan kepimpinan yang berwibawa.

Meskipun tampuk pemerintahan telah bertukar beberapa kali, negara masih bermasalah. Rakyat sedar dan inginkan perubahan. Mana tidaknya, hidup mereka susah. Namun, perubahan yang diharap-harapkan terencat. Barisan Nasional, biarpun hanya mendapat 47% undi, mengekalkan kuasa. Setengah tahun selepas pilihan raya umum (PRU) – harga barangan, makanan, minyak, elektrik, tiket bas – semuanya naik. Kadar jenayah terus meningkat. Ketegangan antara agama dan kaum menjadi-jadi. Sekali lagi, keadaan mendesak perubahan kepimpinan.

Sudah nyata bahawa kepimpinan sedia ada lemah dan mesti bertukar. Persoalannya; kepimpinan jenis mana yang mampu mengembalikan negara ke landasan yang betul? Dari sudut kepartian, jelas bahawa Pakatan Rakyat lebih berwibawa. Tetapi, perubahan tersebut hanya boleh berlaku melalui PRU. Alternatif lain adalah perubahan dalaman Barisan Nasional. Apakah perubahan kepimpinan ala Tun Abdullah diturunkan akan berlaku?

Apa pun kesudahannya, kepimpinan yang baru mestilah menunjukkan peningkatan. Sekurang-kurangnya, kompeten dan berkebolehan. Itulah ciri-ciri yang vakum pada kepimpinan sekarang.

 

Kompetensi (kebolehan)

Kepimpinan yang baru hendaklah jelas pemikirannya. Jelas tentang tugas dan tanggungjawab. Fokus utamanya adalah mentadbir negara dengan baik. Tiada lain selain itu. Tiada agenda tersembunyi, mahupun agenda politik, ataupun agenda peribadi. Setiap keputusan hendaklah  dibuat, hanya dan semata-mata untuk kepentingan negara dan rakyatnya.

Ia hendaklah waras. Isu-isu bersentimen seperti isu-isu agama dan perkauman tidak dibiarkan subur dan ditangani dengan cepat dan tegas. Pencapaian hendaklah diukur melalui kayu ukur yang berteraskan kesejahteraan rakyat – bukannya melalui pencapaian picisan seperti membina kolam 1Malaysia atau membuat kek lapis terpanjang. Tiada apa yang diraih dengan meraikan pencapaian remeh-temeh kecuali menipu diri sendiri.

Kepimpinan yang baru juga perlu mempunyai tujuan dan wawasan. Untuk masa ini, fokusnya amat jelas, iaitu kelangsungan hidup rakyat. Sekat pembaziran, perbaiki ekonomi, tingkatkan mutu pendidikan dan tingkatkan keselamatan. Setiap kementerian haruslah komited. Lupakan wawasan 2020 buat masa ini kerana ia tidak lagi pragmatik.

Pelan-pelan strategik dan gerak-kerja haruslah dirangka dan disusun dengan cermat dan teliti. Ia hendaklah berdasarkan kemampuan. Tiada gunanya pelan-pelan yang tampak gah dan mempersona jika ia tidak boleh dicapai. Pelan-pelan yang gah tetapi tidak realistik, tidak ubah seperti ‘angan-angan Mat Jenin’. Sesebuah pelan yang mampu dicapai, dan membuahkan hasil apabila diusahakan, mendorong usaha yang lebih gigih. Ia menanam keyakinan untuk pelan seterusnya berjaya.

Selain itu, kepimpinan yang baru hendaklah berani. Keberanian adalah melakukan apa yang perlu walaupun ianya tidak seronok. Pemuka-pemuka yang memecah belahkan semangat toleransi antara kaum dan agama hendaklah diadili dan dihukum. Menteri-menteri, ketua-ketua pengarah, pengarah-pengarah jabatan perkhidmatan awam yang membazir, menyeleweng dan rasuah, hendaklah dikenakan tidakan, sekurang-kurangnya dibuang kerja. Ahli-ahli peniagaan yang menipu, rasuah dan mengelak cukai, tidak lagi disantuni tetapi dihukum dengan tegas. Itulah kepimpinan yang berani.

Satu elemen yang sering dilupakan adalah penampilan pemimpin dan pasukannya. Barisan kepimpinan yang gemuk-gemuk menggambarkan budaya kerja yang lembab dan tumpul. Imej sihat, tangkas dan tajam mendorong keyakinan dan kepercayaan rakyat. Bandingkan Presiden Obama, Tony Blair dan Sultan Brunei dengan pemimpin lain yang gemuk. Mereka kelihatan jauh lebih yakin dan ‘in control’. Ini tidak bermakna pemimpin itu perlu bergaya seperti bintang filem. Imej mestilah disokong oleh idea, konsep dan wawasan yang jelas.

Ekonomi sesebuah negara amatlah penting. Kepimpinan yang baru hendaklah arif tentang perkembangan ekonomi lokal dan global. Mampu menterjemah masalah ekonomi dan memberi pendapat yang kreatif dan bernas. Tokoh yang cukup pintar dalam aspek ini adalah Rafizi Ramli. Perhatikan bagaimana beliau menyimpulkan permasalahan ekonomi dengan mudah dan jelas, hingga mampu difahami oleh segenap masyarakat.

Seterusnya, kepimpinan yang baru hendaklah mampu belajar dan menyesuaikan diri dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Dengan perkembangan teknologi maklumat, rakyat sudah pandai, terbuka dan kritikal. Kepimpinan, sewajarnya lebih pintar dan selangkah kehadapan. Polisi-polisi yang dirangka mestilah meransang pemikiran, ‘out of the box’ dan progresif. Barulah ia menarik perhatian rakyat. Kaedah ketinggalan zaman seperti propaganda dan olahan persepsi melalui slogan, lagu patriotik, penjenamaan (contoh: segalanya 1Malaysia), poster, papan tanda dan seumpamanya – sudah tidak sesuai.

Ciri seterusnya adalah kerja keras. Pemimpin yang baru kenalah berkerja keras, bersungguh-sungguh, berdisiplin, menepati masa dan sering ‘turun padang’ untuk meninjau kerja dan keadaan masyarakat. Contoh yang baik adalah Perdana Menteri terdahulu seperti Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir. Mereka mempunyai etika kerja yang berdisiplin dan berpandangan jauh. Ia menjadi tauladan kepada penjawat awam dan seluruh masyarakat untuk cemerlang. Gambar- gambar lawatan kerja mereka banyak memberi inspirasi kepada rakyat ketika itu, hingga kini. Ia cukup berbeza dengan kepimpinan yang ada sekarang. Kepimpinan sedia ada tidak bersungguh-sungguh dan ‘bersahaja’ dalam menangani masalah-masalah negara. Dikala ekonomi meleset, tiada tindakan proaktif yang diambil. Malah, ketika rakyat kesempitan, mereka enak ke luar negara dengan mewah dan bergaya.

Kepimpinan yang baru hendaklah cekal dan tabah (persevere) dalam menghadapi cabaran. Ia sangat penting kerana tugas yang menunggu adalah sukar. Membalikkan kemelesetan sistemik dan menyeluruh memerlukan ketabahan yang kuat. Pasti akan ada tentangan, dan pasti akan ada masalah (setbacks). Biarpun begitu, kepimpinan yang baru hendaklah berpegang teguh dengan misi dan polisi-polisi yang dirancang. Dasar yang berubah-ubah ala flip-flop yang acap kali dibuat kepimpinan yang ada sekarang, menyebabkan rakyat hilang keyakinan.

 

Berkeyakinan

Kepimpinan yang baru hendaklah yakin dengan setiap keputusan yang diambil. Imej berkeyakinan ini penting bagi meraih kepercayaan rakyat. Kepimpinan yang baru tidak boleh apologetik terhadap suara-suara kecil yang berkepentingan. Contohnya, jika konsep kebajikannya merentasi sempadan perkauman, suara-suara ‘ultra Melayu’ tidak perlu dipedulikan. Jika konsepnya untuk membantu Bumiputera dahulu, maka, suara-suara ‘ultra Cina’ jangan diendahkan. Ia tidak perlu berdolak-dalih, mencari alasan itu dan ini untuk popular. Kepimpinan berkeyakinan akan teguh dengan pendiriannya.

Selain itu, kepimpinan yang berkeyakinan tidak melatah dengan kritikan dan idea-idea yang bertentangan. Malah, ia menggalakkan pertembungan idea dan kritikan. Rakyat dibiarkan bebas menyuarakan pendapat. Program-program debat, forum dan dialog dialu-alukan. Pertembungan pemikiran beginilah yang membuatkan tamadun Barat berkembang dengan cepat dan pesat, lalu menguasai dunia semenjak 5 abad yang lepas. Budaya penapisan (censorship) dengan mengenakan pelbagai tekanan kepada minda-minda kritikal – hanya menyerlahkan kurangnya keyakinan dan kebolehan memimpin. (baca: Kepupusan Budaya Kritikal, Penularan ‘Kaki Penipu’, dan Revolusi Minda)

Akhir sekali, kepimpinan yang berkeyakinan mempunyai rekod ‘menang’ yang berterusan. Pelan-pelannya teliti, kukuh dan sukar untuk diprotes. Projek-projek siap pada waktu, ekonomi negara berkembang maju, hasil kekayaan negara dikongsi bersama, kualiti kehidupan meningkat dan rakyat berasa selamat. Kejayaan beginilah yang meningkatkan keyakinan rakyat kepada sesebuah kepimpinan.

 

Penutup

Itu ciri-ciri kepimpinan yang rakyat harap-harapkan bagi membalikkan kemelut negara yang kian kritikal. Ternyata bahawa kepimpinan sedia ada  tidak kompeten, tidak berkeyakinan dan tidak lagi berpengaruh. Mengikut resam, pertukaran tampuk kepimpinan tidak dapat dielak lagi. Jika kepimpinan sedia ada kekal, nasib dan masa depan negara, serta rakyatnya, amatlah kelam.

Rakyat tagihkan perubahan. Sekarang bukan masanya untuk memilih personaliti, tetapi kompetensi. Tidak kira siapa yang akan mengambil alih kepimpinan; DS Anwar Ibrahim, DS Muhyiddin Yassin, TG Hadi Awang, atau Lim Kit Siang sekali pun. Beliau hendaklah berkebolehan untuk membalikkan kemelut negara yang sudah parah.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: