Apabila Golongan Moderat Tidak Mahu Mengalah

Pengaruh sesebuah pergerakkan atau organisasi ditentukan oleh falsafah perjuangan mereka. Apabila prinsip perjuangan bersifat moderat (sederhana), sejagat dan inklusif, ia menarik perhatian dan penyertaan masyarakat umum. Dari situ, sokongan dan pengaruh pergerakkan atau organisasi tersebut berkembang. Pengaruh mereka bertambah kuat dan kukuh selagi mana prinsip perjuangan mereka adil dan konsisten.

Namun, apabila pengaruh sesebuah pergerakkan atau organisasi itu berada di puncak kegemilangan, dan berlanjutan untuk tempoh yang lama, ia menjadi angkuh. Keangkuhan itu menjadikan mereka bersikap eksklusif, dan ekstrem apabila dikritik. Dari situ, daya tarikan yang dimiliki mula merosot. Pengaruh dan kuasa menyusut, dan akhirnya hilang. Ini adalah resam atau natural course sesebuah pemerintahan yang disimpulkan para pengkaji sejarah kemanusiaan dan ketamadunan.

Evolusi negara kita tidak terlepas dari resam ini. Sejarah negara menyaksikan pelbagai kerajaan Melayu, datang dan pergi. Para penjajah yang kuat pun, datang dan pergi. Pemerintahan demokrasi pasca merdeka turut memperlihatkan pengembangan dan pengukuhan pengaruh Barisan Nasional yang kini merudum sebelum pupus. Kepercayaan rakyat mula beralih ke Pakatan Rakyat yang lebih moderat dan inklusif. Suatu hari nanti, Pakatan Rakyat akan mengharungi jalan yang sama. Kuat, angkuh, menyusut, dan akhirnya pupus.

 

Isu kalimah Allah yang tidak berkesudahan

Pada minggu lepas, isu kalimah Allah yang disangkakan selesai, muncul semula. Episod kali ini bermula dengan JAIS menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan merampas Injil berbahasa Melayu. Susulan dari rampasan tersebut, puak pro-penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristien – menjadi marah. Pemimpin-peminpin dari golongan itu membuat kenyataan-kenyataan tegas. Ketegasan itu cuba dijuarai oleh tiga ADUN DAP yang (mulanya) merancang untuk meminda enakmen negeri Selangor yang berkaitan.

Sebagai tindakan balas, puak anti-penggunaan kalimah Allah membidas pendirian seterunya dengan kenyataan-kenyataan yang juga tegas. Bertalu-talu sidang media pemimpin-pemimpin UMNO, dan NGO-NGO yang mengaku mempertahan Islam disiarkan. Hinggakan, mereka yang memaki perhimpunan TURUN, pun turun ke jalanan untuk berdemonstrasi!

Nampaknya, isu kalimah Allah akan terus berlanjutan selagi kedua-dua pihak, pro dan anti penggunaan kalimah Allah itu masih berdegil dan tidak mahu beralah.

Bagi penulis, para alim Islam sepatutnya menerangkan mengapa kalimah Allah tidak wajar digunakan dalam penerbitan Kristien dengan jelas. Rundinglah bersama pemimpin Kristien dengan baik-baik dan lunak. Penulis percaya orang Kristien adalah golongan yang waras. Mereka pasti akan faham dan berbesar hati untuk menggunakan kalimah lain, selain Allah – memandangkan banyak terjemahan lain yang boleh digunakan untuk menakrif ‘Tuhan’, selain dari bahasa Arab (Allah) untuk Injil bahasa Melayu mereka.

Ini tidak. Pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO  seperti Perkasa yang kononnya ‘mempertahankan’ Islam mengambil pendekatan yang salah, sejak awal lagi. Pangkalnya, mereka bukanlah orang yang sepatutnya mewakili Islam. Bukan sahaja tidak bertauliah (agama), mereka ini adalah jenis politikus bercakap besar. Seterusnya, mereka melihat isu ini dari sudut pandang yang sempit, dengan ‘mentaliti dikepung’ (seige mentality). Sebab itulah reaksinya seolah-olah mereka sendiri yang sedang diserang. Mereka jadi gelabah, emosional dan agresif.

Penulis percaya, tindakan kebudak-budakkan, emosional dan agresif tersebut bukan disebabkan kebodohan semata-mata. Mereka ada agenda tersendiri. Ada yang mengejar populariti, dan ada yang sengaja mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama, bagi meraih kembali sokongan yang merosot dan menutup kelemahan pentadbiran kerajaan, terutamanya dari UMNO dan Barisan Nasional. Lagipun, mereka di babak akhir penguasaan. Telatah agresif dan ekstrem sebegitu adalah reaksi normal golongan yang pengaruhnya teruk menyusut dan hampir pupus.

Penulis kesal dengan segelintir pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya dari DAP yang ingin menjuarai isu ini bagi pihak pro-penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristien. Mereka terikut-ikut dengan rentak pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO seperti Perkasa. Kebudak-budakkan, emosional dan agresif. Penulis bersetuju dengan Ketua Pembangkang yang membidas tindakan gopoh segelintir pemimpin DAP yang (mulanya) berhajat untuk meminda undang-undang negeri Selangor yang berkaitan.

Rasa kesal penulis khususnya terhadap sikap keras kepala, dan tidak mahu berkompromi pemimpin Pakatan Rakyat tersebut. Ia bertentangan dengan tanggapan masyarakat bahawa Pakatan Rakyat membawa wadah moderat dan inklusif. Adakah Pakatan Rakyat sudah mencapai puncak kegemilangannya hingga boleh bersikap angkuh dan sombong? Jika ya – ia amatlah sedih kerana jalan seterusnya adalah curam kemerosotan yang berakhir dengan kepupusan.

Sewajarnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengambil ‘high moral ground’ dan beralah. Tinggalkan sentimen perkauman dan agama. Sebaliknya, fokus kepada isu-isu kelansungan hidup rakyat. Biarkan sahaja pekikkan dan lolongan pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO seperti Perkasa.

 

Islam agama yang sederhana dan toleran

Ketahuilah bahawa personaliti-personaliti seperti Noh Omar, Bung Mokhtar, Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin bukanlah contoh muslimin yang baik. Tatasusila mereka tidak mencerminkan prinsip kesederhanaan Islam, atau prinsip agama mana sekali pun. Justeru, kenyataan-kenyataan dan pendapat mereka mengenai agama perlu diabaikan.

Kesederhanaan dan toleransi adalah prinsip-prinsip asas dalam ajaran Akhlak Islami. Kepada yang bukan pakar agama; Akhlak adalah tatasusila, etika dan sifat-sifat mulia yang membentuk keperibadian seseorang. Sumber-sumber kepada prinsip-prinsipnya adalah Al-Quran dan keperibadian Nabi Muhammad SAW. Berbeza dari Falsafah (Philosophy) yang berubah-ubah mengikut masa, tempat dan pandangan kolektif sesebuah masyarakat, prinsip-prinsip Akhlak bersifat universal dan relevan sepanjang zaman.

Antara Kajian Kes (Case Studies) yang selalu dirujuk umat Islam mengenai sifat kesederhanaan dan toleransi adalah Perjanjian Hudaibiyah dan Pembukaan Kota Mekah. Pada rundingan Hudaibiyah, Nabi Muhammad SAW berkompromi dan beralah. Walhal, ketika itu, konvoi umat Islam dari Madinah (jemaah Haji) cukup ramai – mereka boleh berkeras dengan pemimpin Mekah. Tetapi, Nabi Muhammad SAW beralah dan menasihati seluruh konvoi supaya bersabar dan pulang ke Madinah (tanpa menunaikan Haji). Pada Pembukaan Kota Mekah pula, tiada setitis darah penduduk Mekah pun yang tumpah, walaupun orang Mekah-lah penentang dan penzalim utama umat Islam ketika itu. Tempat perlindungan yang diwartakan pula adalah kediaman, rumah-rumah Ibadah seperti Gereja, dan rumah Abu Sufyan (Ketua Mekah yang banyak memerangi dan menyeksaan umat Islam)! Begitu santun dan mulianya akhlak dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Kelunakkan itulah yang menyebabkan seluruh penduduk Mekah terbuka hati untuk memeluk Islam – agama yang mereka benci dan perangi sebelum itu.

Contoh-contok akhlak Islamik kontemporari boleh dilihat melalui keperibadian alim-ulama. Lihatlah betapa santun dan ramahnya Ustaz Don Daniyal, dan betapa lembutnya Tuan Guru Nik Aziz. Pendapat mereka dan sarjana-sarjana Islam lain-lah yang patut ditagihi. Mengenai penggunaan kalimah Allah, sarjana-sarjana mahsyur seperti Yusuf Qaradawi dan Tariq Ramadan, serta sarjana negara seperti Dr. Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA); kesemuanya berpendapat bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam, kerana kalimah itu adalah milik seluruh umat manusia dan bukannya umat Islam sahaja.

Walaupun penulis yakin dengan pendapat sarjana-sarjana di atas, penulis berpendapat bahawa kalimah Allah tidak wajar digunakan di dalam Injil bahasa Melayu, dalam konteks negara kita. Pertamanya, terdapat banyak terjemahan lain yang boleh diguna-pakai sebagai ‘Tuhan’ dari perbendaharaan kata Arab (Allah) untuk Injil versi Melayu. Keduanya, kepentingan penyelarasan dan piawaian. Apabila penerbitan semua agama menggunakan satu kalimah untuk menafsir konsep Tuhan yang beza-beza, tentunya ia akan menyebabkan kekeliruan. Adalah lebih baik jika terdapat penyelarasan, di mana setiap konsep ketuhanan mengenakan kalimah berbeza untuk entiti Tuhan masing-masing. Yang terakhir, (jika dibenarkan) penulis ingin berpesan kepada pemimpin Kristien – bahawa teks alih bahasa tidak akan serupa dengan teks asal dari aspek kefahaman, penyampaian konsep, tema-tema penting dan pengajaran yang tersurat. Cubalah baca sebuah artikel terjemahan dan bandingkan ia dengan artikel asal. Banyak perbezaan yang boleh ditemui. Justeru, adalah lebih baik jika Injil itu dikekalkan pada bahasa asal.

 

Fokus kepada kelansungan hidup rakyat

Itu hanyalah pendapat penulis mengikut kebaikkan segregasi takrif Tuhan bagi umat Islam dan Kristien. Jika kalimah Allah dibenarkan penggunaannya oleh orang Kristien – tiada masalah kerana umat Islam sekarang sudah terpelajar dan boleh menentukan dari mana sesebuah tulisan itu berasal. Malah, jika betul itu tektik jahat Kristien untuk menyesatkan orang Islam sekalipun, ia akan hanya memakan diri kerana niat jahat akan akhirnya terbongkar. Maka, tiada masalah.

Justeru, adalah lebih produktif jika tumpuan rakyat Malaysia diarahkan kepada menyelesaikan masalah-masalah yang melanda negara seperti kegawatan ekonomi, kenaikkan kos sara hidup, kenaikkan kadar jenayah dan sebagainya.

Bagi Pakatan Rakyat, sudahlah. Beralah-lah. Abaikan sahaja politik murahan pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO seperti Perkasa yang ingin menimbulkan ketegangan kaum dan agama di negara kita. Gilap nilai-nilai keterbukaan dan toleransi pada masyarakat. Kembali menerajui isu-isu keadilan, kesejahteraan dan kelansungan hidup rakyat. Semua itu pastinya membuatkan Pakatan Rakyat kekal relevan, buat masa yang mendatang.

Wallahu a’lam


					
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: