Belia Malaysia Gemuk

Menurut pemerhatian saya, belia Malaysia, iaitu mereka yang berusia 20 ke 40 tahun – hampir kesemuanya gemuk-gemuk. Pada mulanya, saya beranggapan bahawa belia Melayu sahaja yang mempunyai masalah kegemukkan. Tetapi, apabila diteliti,  belia Cina dan India juga menghadapi masalah yang sama.

Dalam mencari jawapan, saya bertemu dengan beberapa statistik. Diwartakan bahawa 29.4% rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, dan 15.1% adalah obes (gemuk melampau). Ini bermaksud, hampir 1/3 rakyat Malaysia gemuk. Jika diketepikan populasi 40 tahun keatas dan 20 ke bawah (yang rata-ratanya kurus), memang padanlah dengan pemerhatian saya bahawa belia Malaysia (20 ke 40 tahun), majoritinya gemuk.

Ini adalah fenomena yang ganjil. Lazimnya, orang Asia bertubuh lansing dan kurus. Jika pembaca lihat ke negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam, populasi mereka tidak kira generasi apa sekalipun, kurus-kurus belaka. Begitu juga negara Asia yang lain seperti China dan India. Mereka kurus. Apa yang membuatkan belia kita lain dari kebiasaan hingga mereka jadi gemuk?

Malaysia Obes Asia Tenggara

Yang pasti adalah kesan-kesan negatif yang akan melanda generasi ini kelak. Apabila mereka melepasi 40 tahun, ramai yang akan menghidapi penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol. Serangan jantung, stroke dan mati mengejut akan berleluasa. Malah, cerita-cerita serangan jantung, stroke dan mati mengejut dikalangan mereka yang berumur 30an, sudah tidak asing lagi.

Bukan sahaja ia mendatangkan kesan buruk pada kesihatan umum, ia mencemarkan imej profesionalisme negara. Belia kita dipandang malas dan lembab. Saingan sengit di persada global memerlukan para belia berketerampilan, kelihatan tajam dan tangkas. Dengan berimejkan gemuk, malas dan lembab, peluang mereka adalah tipis.

 

Punca-punca gemuk dari pandangan konvensional

Telah banyak diperkatakan mengenai faktor kegemukkan rakyat kita melalui kempen-kempen kesihatan, ceramah-ceramah, forum-forum dan sebagainya. Sumber maklumat adalah dari pakar-pakar perubatan, pemakanan, kecantikan, serta jurulatih kelansingan dan kecergasan. Secara kovensional-nya punca kegemukkan boleh dibahagi kepada dua, iaitu pemakanan berlebihan dan kurangnya senaman.

Pemakanan mengandungi gula dan lemak yang berlebihan membuatkan seseorang gemuk. Makanan sebegini mudah didapati di Malaysia. Masakan goreng, burger, nasi lemak, roti canai, teh tarik, nasi kandar dan seumpamanya boleh didapati di mana-mana, pada bila-bila masa, dengan harga yang berpatutan. Tabiat belia bersosial di kedai-kedai mamak  membuatkan mereka makan makanan-makanan tidak sihat ini. Begitu juga mereka yang sibuk bekerja dan tidak sempat memasak.

Gaya hidup sedantari, yakni tidak aktif, turut menggemukkan belia kita. Kerja di kantor berhawa dingin, ke mana-mana berkenderaan, melepak di kedai mamak sampai larut malam, bangun lambat dan kurangnya riadah, antaranya. Kalori yang terhimpun  menjadi lemak yang menyeliputi badan.

Itulah secara ringkas faktor-faktor kegemukkan rakyat Malaysia menurut pandangan konvensional. Semuanya betul dan berasas.

 

Falsafah makan yang salah

Di sini, saya ingin ketengahkan faktor yang sering dilupakan apabila membincangkan masalah kegemukkan, iaitu – falsafah pemakanan.

Tidak seperti generasi terdahulu yang makan sekadar untuk hidup, falsafah makan belia sekarang adalah untuk enjoy dan puas. Hidup untuk makan. Keenakkan makanan amat diutamakan. Jadi, banyaklah minyak dan perisa (gula dan garam) untuk memaksimakan rasa.  Seterusnya, mereka makan dengan bahagian (portion) yang banyak – sampai puas. Jika dahulu, seekor ikan dikongsi sekeluarga, belia kini makan seekor seorang. Sekarang, jika ke KFC, tiga ketul ayam masih tidak cukup. Mesti ada tambahan kentang goreng atau wedges.

Pemikiran ‘makan untuk enjoy dan puas’ ini ada kaitan dengan cara hidup Hedonisme yang pernah saya tulis dahulu (baca: Hedonisme dan kita).

Nafsu manusia tidak pernah puas. Begitu juga nafsu makan. Bahagian (portion) makanan terus bertambah. Sudahlah bahagian makanan rutin (sarapan, makan tengah hari dan malam) banyak, snek-snek antaranya juga dimakan dengan banyak. Ada sahaja yang ingin dikunyah.  Biskut, roti ban, pau, keropok lekor, sotong salai, coklat, aiskrim dan banyak lagi. Selagi boleh dimakan, pasti akan dimakan.

Jenis makanan terus bertambah variasinya. Setelah bosan dengan sesuatu masakan, mereka akan cuba masakan baru. Justeru, tidak hairanlah jika makanan-makanan dari luar begitu popular. Jika dahulu burger dan pizza, sekarang – Nasi Arab, Nasi Ambon, Sushi, Tokoyaki, Tempayaki, makanan Korea  dan lain-lain juadah yang tidak sihat menjadi trend pemakanan.

Falsafah makan yang salah ini berasal dari pengaruh budaya popular – televisyen dan media. Pelbagai program gaya hidup (seperti Anthony Bourdain dan Jalan-Jalan Cari Makan) dan program-program memasak – meletakkan keutamaan pada kelazatan dan keenakkan makanan. Kesan utama rancangan sebegini adalah penerapan prinsip ‘makanan mestilah sedap’. Mana tidaknya. Setiap kali makan, pengacara-pengacara melagakkan aksi keterujaan (dengan bunyian dan memek muka) yang amat meyakinkan. Ini membuatkan belia yang cenderung pada keseronokkan, mencari makanan yang sedap-sedap.

81v1j5s5SJL._SL1500_

 

Manifestasi pemikiran ‘makan mestilah sedap’ dan ‘makan untuk enjoy dan puas’ terlihat di media-media sosial. Status dan post seperti di facebook, merupakan cermin pemikiran empunya diri. Kita lihat betapa banyaknya status mengenai makanan – ‘apa yang hendak dimasak’, ‘restoran mana yang hendak dikunjungi’, ‘menu apa yang hendak dipesan’ dan sebagainya. Gambar-gambar hidangan (untuk tatapan kawan-kawan), banyak juga dimuat naik.

Seterusnya,  makanan segera (fast food) mendapat exposure meluas di media. Sungguh kerap iklan mereka ditayangkan di televisyen – hinggakan iklan yang sama diulang beberapa kali dalam satu rancangan. Kaedah ‘brainwashing’ pengiklanan ini membuatkan rakyat terpegaruh untuk makan. Ditambah lagi dengan papan-papan iklan yang memenuhi jalanraya, iklan radio, internet, majalah dan sebagainya. Ini tidak termasuk pengaruh facebook kawan-kawan. Semua ini mengingatkan orang ramai  supaya makan, dan terus makan.

 

Ubah falsafah makan

Sekiranya falsafah ‘makan untuk enjoy dan puas’ itu boleh diubah, pokok kepada masalah makan berlebihan boleh diselesaikan. Persoalannya, bagaimana hendak mengubah pemikiran ini?

Mengubah pemikiran bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keazaman yang kuat di peringkat individu, masyarakat dan penggerak perubahan itu sendiri. Keberkesanan kaedah yang diguna-pakai pula bergantung kepada kehendak (motivasi) dan kebolehan setiap peringkat tersebut (individu, masyarakat dan penggerak).

Falsafah ‘makan untuk enjoy dan puas’  mesti digantikan. Itu objektifnya. Kaedah pemakanan sunnah iaitu ‘makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang’ boleh ditekankan sebagai prinsip pemakanan yang baru. Saya percaya bahawa belia bukan Islam boleh menerima falsafah ini kerana prinsipnya universial dan bukannya berkaitan dengan kepercayaan ataupun akidah. Jika tidak, tagline yang lebih ‘neutral’ seperti ‘makan untuk hidup’ boleh diketengahkan.

Motivasi untuk berubah menjadi lebih kuat apabila seseorang mengalami sendiri kesan buruknya. Contohnya, setelah seseorang mendapat serangan jantung (dan survive), falsafah pemakanannya secara automatik berubah. Kerana bimbang terjadi lagi serangan jantung, dijaga rapi pemakanan selepas itu. Namun, mengharapkan belia kita menghadapai serangan jantung adalah sesuatu yang tidak beretika. Maka, kempen yang meluas dan berterusan hendaklah dirancang dan dilaksanakan bagi mengubah falsafah pemakanan.

Kempen yang dimaksudkan bukanlah seperti kempen penerangan konvensional.  Objektif mengubah falsafah pemakanan hendaklah jelas dan spesifik. Liputan hendaklah meluas dan berpanjangan. Ia mestilah meluas, seluas kempen 1Malaysia. Jentera kerajaan dan media massa perlu digerakkan. Slogan ‘makan untuk hidup’ perlu sepopular slogan segalanya 1Malaysia. Jika peruntukkan dana boleh diberikan untuk membuka kedai kain 1Malaysia, outlet dan restoran ‘makan untuk hidup’ yang menyajikan makanan seimbang pasti boleh direalisasikan.

Usaha merubah falsafah pemakanan haruslah disokong di peringkat struktur dan penguatkuasaan. Agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mestilah bekerjasama. Sebuah jawatankuasa yang efektif dan bersungguh-sungguh perlu ditubuhkan. Jawatankuasa ini bukan sahaja bertindak sebagai penggerak kempen merubah falsafah pemakanan, ia juga berkuasa dalam menentukan arah tuju polisi-polisi nasional yang berkaitan. Contohnya, ia mempunyai kuasa untuk menyekat pengiklanan makanan segera (fast food) – seperti pengharaman iklan rokok dan alkohol. Ia juga mampu menaikkan cukai kepada makanan-makanan yang tidak sihat.

 

Penutup

Idea ini dilontarkan saya kerana pendekatan konvensional sedia ada tidak menampakkan impak yang berkesan. Jika pemikiran belia terhadap makan dapat diubah, masalah makan berlebihan boleh diselesaikan. Jadual makan seharian, iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam, serta snek diantaranya boleh diteruskan. Apabila falsafah  makan adalah kelansungan hidup, bahagian (portion) yang dimakan adalah cocok, manakala jenis makanan yang dipilih tidak mengandungi gula dan lemak berlebihan.

Ini, serta dorongan agar  hidup secara aktif – pastinya mampu mengubati epidemik kegemukkan belia Malaysia.

Wallahu a’lam

Advertisements

7 comments

  1. Alfian · · Reply

    Saya baru terjumpa banyak kajian (berserta video youtube) yg menyarankan makan lebih lemak, moderate protein, dan kurangkan karbohidrat… Perlu dikaji lagi, tapi setakat ni, nampak macam make sense (walaupun bertentangan dengan apa yg telah diajar sekian lama)… saya sendiri alhamdulillaah sudah turun 7 kilo dengan mengamalkan pemakanan lemak yg agak tinggi… Mungkin boleh cuba lihat video2 dan kajian Prof Tim Noakes, Jeff Volek, Steve Phinney dan juga tulisan Gary Taubes. (dan juga hasil2 kajian sendiri Dr Peter Attia) 🙂

  2. Wahh..tahniah. 7 kilo bukan senang utk dihilangkan!…nasihat sya, buatlah check up setiap 6 bulan. hanya kerana kita kurus, tidak semestinya bebas dari gula/ cholesterol tinggi…sekali lagi..congrats bro, keep it up!

    1. Alfian · · Reply

      T kasih di atas komplimen tuan 🙂 Alhamdulillaah, gula saya pun turun dengan cara pemakanan ni. Hari tu masa check mmg agak tinggi k manis saya (13.7 mmol/l fasting dan 26 mmol/l 2 jam selepas minum air glukos). Selepas tak sampai sebulan mengamalkan low carbohiydrate eating style (moderate protein dan high fat), gula saya turun ke 5 hingga 6 (fasting, random dan juga selepas makan) … dan Alhamdulillaah tanpa ubat 🙂

      Berdasarkan kajian saya sendiri, saya dapati yang saya memang masuk dalam kategori carbohydrate resistant atau insulin resistant. Secara amnya, ini bermakna badan saya susah nak metabolize glukosa secara eficien… lama2 ia membawa kepada kepayahan utk sel2 saya menerima glukosa (end up kencing manis). Jadi, pada pendapat saya, sesiapa yang dalam keadaan sama seperti saya, insyaAllaah boleh benefit dari cara pemakanan ini (antara maklumat yg saya boleh kongsi ada di dietdoctor.com/lchf dan dietdoctor.com/diabetes). Mmg bertentangan dengan pemahaman asal kita (atau conventional wisdom dalam bahasa orang putih). Tetapi, kebelakangan ini, makin banyak kajian saintifik menunjukkan kebanyakan penyakit kronik (k manis, diabetes, sakit jantung etc.) berlaku akibat keterlebihan karbohidrate dalam diet kita (lebih2 lagi yg proses, seperti roti, nasi putih, makanan ringan dsb.). Malahan, ada kajian yg ditulis di dalam jurnal2 berwasit tersohor, yang mengatakan tiada bukti kukuh yang mengaitkan pengambilan lemak (lemak sebagai makanan, bukan lemak di antara organ) dengan penyakit2 seperti sakit jantung dan sebagainya. Malahan, pengambilan lemak boleh meningkatkan kolesterol HDL, dan juga merubah kolesterol LDL kita kepada yang jenis bersaiz besar (dan terapung), yang mana para penyelidik mengatakan LDL tersebut adalah baik utk badan kita [LDL yang kecil dan tidak terapung tu yang merbahaya sebenarnya….]

      Mungkin saudara Faizal boleh membuat kajian di dalam bidang Low-Carb dan High-Fat diet pula. Mungkin saudara akan dapat menemui pelbagai ilmu baharu 😀 Wallaahua’lam 🙂 Moga teruskan penulisan blog saudara yang bagus ini 🙂

      1. MasyaAllah, bagus tuan berjaya control level gula begitu baik sekali. Sya sudah baca links yang tuan beri – Informasi nya extensive dan di tulis dgn gaya yg mudah difahami. Sya syor pembaca semua utk ke websites tersebut juga.

        Mengenai diet low carb/ high fat itu, sya terbuka kpd kepelbagaian kaedah kesihatan selagi ianya tidak memudaratkn. Dan sya berpendapat bhw sdr alfian mempunyai insight dan dedikasi yg tinggi utk memantau keberkesanan/ kemudaratan (jika ada). Maka, teruskan disamping perubatan kontemporari. Tetapi, adakalanya perubatan kontemporari bersikap defensif dan tertutup kepada pendapat lain melalui kaedah pemikiran yang tidak sceintifik dan flawed. Hanya kerana sesuatu tdk dibuktikan lagi oleh perubatan moden, tdk semestinya ia salah.

        Barangkali Sdr Alfian boleh menjadi pioneer kpd kaedah ini di Malaysia.

        Apapun, kunci kepada kesihatan adalah disiplin dan komitmen spt yang sdr alfian miliki. 🙂

  3. Alfian · · Reply

    NAk kata jadi pioneer tak la kot 😛 Sebb ada orang yg sudah berjaya mengamalkan cara ini di Malaysia… cuma belum secara terbuka.

    Setahu saya, Sweden adalah antara negara yang sudah ‘membuang’ food pyramid… yang mana menurut banyak kajian saintifik mendapati adalah punca kepada kebanyakan penyakit kronik (akibat gula dan karbohidrat berlebihan). Mungkin Malaysia juga boleh cuba ke arah itu, namun saya faham ramai akan bantah akibat telah di-kondisi terlalu lama dengan conventional wissdom bahawa lemak membawa padah 😀

    tapi insyaAllaah, mungkin saya juga akan memulakan blod seprti saudara. Cuma tak tau mana nak mula. hahaha! Anwyayz, t kasih di atas kata2 positif. Saya pon tengah melihat sama ada wujud kemudaratan. Harap2 tak ada lah, ….

    setakat ini, ‘side-efek’ yg saya dapat observe adalah penurunan berat badan. Dulu mmg agak sukar utk saya cecah bawah 80kg. Namun, sekarang Alhamdulillaah sudah 73kg (asal2 berat dulu hampir mencecah 83-84 kg).

    1. Bagusnya dpt turun 10kg. Sya pun berusaha nak turun berat badan 🙂 .

      Baik lah jika Sdr Alfian ada berniat nak tubuhkan blog. Sya syor utk teruskan. Melalui komen sdr, sya berpendapat yg sdr Alfian mempunyai kebolehan utk menulis dengan baik.

      Utk blog, tidak lah susah – boleh register dan guna platform wordpress atau blogspot. Kedua2nya very user friendly, dan support group/ forum etc dari team wordpress/ blogspot dan pengguna sendiri banyak di internet. Tips: buat sikit-sikit & slow-slow. Overtime nanti, akan jadi mudah.

      Bagi sya kebaikkan menulis adalah latihan mental – ie bagaimana kita conceptualise idea dan info yang ada di dalam kepala. Proses/ kebolehan ini berguna di segenap lapangan kehidupan. InsyaAllah.

      Good Luck!

      1. Alfian · ·

        T kasih di atas galakan 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: