Demonstrasi – Cermin Kepincangan Pemerintahan

Ketika artikel ini ditulis, negara diambang satu lagi demonstrasi di ibukota, iaitu perhimpunan TURUN. Perhimpunan yang akan diadakan pada 31 Disember 2013 ini bertujuan mendesak kerajaan agar bertindak terhadap kenaikan kos sara hidup.

Rakyat yang sudah sememangnya susah dengan kenaikkan harga barangan dan petrol, dibebankan lagi dengan kenaikan tarif elektrik dan ura-ura kenaikkan kadar tol lebuhraya yang tidak masuk akal. Negara sudah membina banyak empangan mega untuk menjana elektrik. Empangan-empangan berbilion ringgit yang serba moden itu sepatutnya efisien dari segi kos. Lojiknya, tarif elektrik semakin menurun. Perjanjian dengan IPP (Independent Power Producers) yang merugikan kerajaan dan juga pengguna sepatutnya ditamatkan sahaja. Kadar tol lebuhraya pun begitu. Sewajarnya ia dikurangkan atau ditamatkan. Lebuhraya seperti Lebuhraya Utara-Selatan yang sudah berpuluh tahun beroperasi – pastinya sudah selesai kos pembinaannya. Tol, jika ingin dikenakan, memadai pada kadar minima bagi kos pengendalian. Justeru, keputusan menaikkan tarif elektrik dan tol lebuhraya adalah tidak masuk akal.

Rakyat di negeri-negeri pantai timur pula ditimpa bencana banjir – bagaikan jatuh ditimpa tangga. Majoriti kawasan yang terkena banjir adalah kawasan orang-orang susah. Sudahlah asalnya susah, disusahkan lagi dengan kegawatan ekonomi dan kini, harta benda musnah dek banjir. Janji-janji pampasan kerajaan (RM500) masih belum terlaksana. Jika pun dibayar sebanyak itu, jumlahnya amat sedikit untuk membina kembali kehidupan yang baik.

Dalam kesempitan hidup, rakyat dihidangkan dengan berita dan foto PM (Perdana Menteri) dan isteri berkunjung ke luar negara dengan penuh gaya. Makan-makan, main golf, bersosial – wajah penuh ceria. Rakyat yang sedang gundah-gelana jelek dengan gelagat mereka. Kemarahan rakyat membuak-buak apabila diberitakan bahawa anak kepada isteri PM membeli sebuah apartment di New York bernilai RM110 Juta. Dikala mangsa banjir berebut-rebut untuk se-paket biskut, mereka boleh membazir untuk bergaya.

 

Olahan persepsi yang tempang

Rakyat kesusahan. Itu hakikat. Tetapi, apa yang cuba digambarkan media adalah semuanya okay. PM kata okay, menteri kata okay, professor kata okay, pakar ekonomi kata okay dan temuramah orang ramai di television pun kata okay. Kata mereka ‘negara ini aman, politik kita stabil, ekonomi kita berkembang baik, pendidikan kita bertaraf antarabangsa dan rakyat dijamin selamat’.

Strategi mengulang-ulang pembohongan melalui media bagi mengolah persepsi sebegini sudah basi. Ia tidak berhasil lebih-lebih lagi apabila hakikat sebenar disokong oleh perut-perut yang lapar. Biar siapa pun yang kata okay; PM, menteri, professor mahupun pakar ekonomi, kata mereka tidak akan bermakna kepada rakyat yang kesempitan asas kehidupan. Malah, cubaan mengolah persepsi tersebut memakan diri. Kini, apa sahaja kenyataan kerajaan, biar betul sekalipun, akan dipandang curiga oleh rakyat.

Pendekatan yang lebih produktif adalah belaku telus kepada rakyat. Kerajaan sepatutnya mengaku yang negara di dalam kegawatan ekonomi. Pengakuan itu perlu diikuti dengan langkah-langkah kreatif dan proaktif (contoh: berjimat) dalam menangani kegawatan ekonomi. Penulis berasa bahawa rakyat akan bersama kerajaan jika ia bersikap telus. Ini tidak. Bukan sahaja kos sara hidup naik secara melulu, ia diikuti dengan keangkuhan dan sikap tidak sensitif pemimpin-pemimpin.

 

Keluhan rakyat tidak diendah

Lumrah orang kesusahan adalah keinginan mereka meluahkan perasaan. Jika tidak diberi pertolongan sekalipun, menyantuni dengan mendengari kepayahan dan berkata-kata baik kepada mereka sudah banyak membantu. Bak kata orang tua, ‘separuh masalah selesai’. Begitu juga rakyat yang kesusahan. Mereka perlu disantuni. Ini tidak.

Ketika wakil-wakil rakyat PR (Pakatan Rakyat) menimbulkan isu kenaikan harga barangan dan kos sara hidup di Parlimen, mereka dicemuh dan dipersendakan. Bukan itu sahaja, keluhan rakyat terus diremehkan oleh para menteri. Kenyataan seperti ‘jika harga ayam mahal, jangan makan ayam’, cukup menjelekkan. Kenyataan dangkal sebegitu mencerminkan kerendahan tahap peradaban dan intelek para menteri. Jika pun tidak mampu memikirkan pendekatan efektif menangani kegawatan ekonomi, sekurang-kurangnya sensitiflah sedikit kepada keluhan rakyat.

Pembaziran melampau yang diwartakan dalam Laporan Audit Negara 2012 menambahkan perit kepada luka. Dalam rakyat berlapar perut, kerajaan berfoya-foya membazir sana sini. Lebih menyedihkan, tiada tindakan diambil kepada pesalah. Menteri, timbalan menteri, ketua-ketua pengarah, ketua-ketua jabatan, semuanya bebas begitu sahaja. Tiada akauntibiliti.

Harga petrol, barangan, elektrik dan tol dinaikkan satu persatu tanpa mengendahkan keluhan demi keluhan rakyat. Rakyat sudah pun mengeluh sebelum naik harga minyak lagi. Dalam rakyat mengeluh, harga terus-menerus naik. Yang menyedihkan, tiada tindakan proaktif dari kerajaan bagi mengekang kenaikkan demi kenaikkan tersebut. Seperti yang dikatakan, menteri-menteri terus-menerus mencemuh rakyat, manakala media terus berbohong.

Apa lagi yang rakyat boleh lakukan? Sudah diikat perut, sudah berlaparan. Salahkah rakyat meminta penjelasan dari kerajaan? Apakah jawapan atau tindakan kerajaan? Apabila kerajaan mempersendakan persoalan rakyat, rakyat pastinya kecewa dan marah – lumrah manusia apabila diperbodohkan.

 

Cermin kepincangan pemerintahan

Rakyat mana-mana negara pun tidak akan berdemonstrasi tanpa sebab. Pasti ada yang tidak kena dalam pemerintahan sesebuah negara jika rakyatnya menunjuk perasaan di jalanan. Ambil contoh revolusi di negara-negara Arab. Semuanya salah kepimpinan negara-negara Arab yang korup, boros dan tidak mengendahkan kepentingan rakyat. Lihat juga ke jiran kita Thailand. Serupa sahaja. Penipuan, penyelewengan, korupsi dan sebagainya.

Demonstrasi TURUN yang akan diadakan esok mencerminkan kekecewaan rakyat kepada kerajaan yang gagal mengurus ekonomi. Demonstrasi itu juga mencerminkan yang pemerintahan sedia ada banyak pincangnya.

Kerajaan perlu audit diri sendiri dengan ikhlas. Fikirkan mengapa rakyat di bawah jagaannya begitu kecewa dan tidak berpuas hati? Akuilah kelemahan dalam mengurus ekonomi dan ambillah pendekatan proaktif dan kreatif. Jauhkan sikap meremehkan rakyat. Dan, janganlah asyik menyalahkan pembangkang, mahupun keadaan ekonomi global. Buatlah sesuatu.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: