Bajet dan Realiti

Pembentangan Belanjawan adalah acara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Belum pun belanjawan diumumkan, media perdana dan elektronik tidak putus-putus meramal itu dan ini. Di tampuk pemerintahan, Menteri Kewangan berdolak dalih apabila ditanya tentang isi belanjawan. Responnya hanyalah sekuntum senyuman yang mungkin bererti, ‘tunggulah dulu. Barulah ada kejutan!’

Tiba hari pembentangan, media memenuhi Parlimen. Menteri Kewangan dan para menteri kabinet mengenakan baju melayu berwarna-warni. Posing yang sama – memegang briefcase atau teks ucapan – dilagakkan bertahun-tahun oleh si Menteri Kewangan; sejak Tun Daim hingga kini.

Semasa pembentangan, Dewan Rakyat yang lazimnya berapi-api menjadi dingin. Menteri Kewangan fokus membacakan teks belanjawan. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain tampak memberi sepenuh perhatian. Entah faham atau tidak? Yang dirumah – lagilah!

Selesainya pembentangan, keterujaan terus memuncak. Televisyen dan akhbar kerajaan sibuk menyimpulkan ucapan belanjawan bagi memudahkan rakyat faham. Semuanya baik belaka. Kata mereka, ‘Inilah belajawan yang terbaik di dunia’. Sebaliknya, media-media pro-pembangkang menghentam habis-habisan. Tiada apa yang baik. Mereka mengisytiharkan bahawa, ‘Belanjawan ini akan membankrapkan negara’.

Dewan Rakyat kembali hangat apabila belanjawan dibahaskan. Habis semua angka dibahaskan. Trend perbahasan sebenarnya mudah untuk diramal. Ahli-ahli dewan Barisan Nasional (BN) akan puji melambung-lambung lalu menyokong belanjawan tersebut. Wakil Rakyat Pakatan Rakyat (PR) pula membangkang habis-habisan.

Di luar dewan, serata Malaysia, rakyat turut serta berbahas sesama sendiri di kedai-kedai kopi, facebook, twitter dan juga whatsapp. Kadangkala, kehangatan perdebatan mereka mengalahkan perbahasan Dewan Rakyat.

Begitulah negara kita pada musim belanjawan. Dari yang di atas, hingga ke bawah – semuanya teruja.

Tetapi percayalah, keterujaan ini akan surut begitu sahaja seketika nanti. Hidup rakyat akan kembali seperti sediakala (susah). Pemimpin-pemimpin politik akan membawa rakyat keseluruhannya berhijrah dan teruja kepada, dan dengan isu-isu lain pula. Peruntukkan yang diumumkan akan dibazirkan. Laporan Audit Negara yang menyusul akan melaporkan ketirisan melampau seperti, atau lebih buruk dari tahun sebelumnya.

 

Belanjawan kerajaan BN yang tiada pembaharuan

Meninjau ucapan belanjawan 2014, tiada banyak yang baru. Format dan intipatinya seakan sama dengan tahun lepas. Sekali lagi, kerajaan membentangkan belanjawan defisit; meletakkan peruntukkan besar (RM 264.2 billion) berbanding unjuran pendapatan yang lebih kecil (RM 224 billion), dengan kadar kerugian (defisit fiskal) sebanyak 3.5%.

Seperti biasa, pelbagai skim dan insentif baru diperkenal. Subsidi– subsidi dikurangkan, manakala BR1M diteruskan. Penyelarasan cukai, yakni ada cukai yang naik dan ada cukai yang turun, dilakukan sekadar untuk membuka jalan kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa April 2015. Mungkin GST ini sahaja yang baru. Lainnya tetap sama; pengumumam bonus penjawat awam, peningkatan elaun pesara dan sebagainya.

Kadar inflasi (2-3%) dan kadar pengangguran (3.1%) yang diumumkan sedikit meragukan. Angka-angka (kecil) ini tidak mencerminkan keadaan sebenar. Nilai matawang menjunam jika dilihat dari sudut kuasa membelinya. Jika tahun lepas sebungkus nasik campur boleh dibeli dengan harga RM5, tahun ini nilai nasik bungkus dengan lauk-lauk yang sama meningkat ke RM7.50. Peningkatan harga barang-barang makanan yang lain juga begitu. Mungkin pakar-pakar ekonomi boleh memutar-mutar angka dan fakta untuk membenarkan kadar inflasi yang rendah itu, tetapi hakikatnya, kesan inflasi yang ditanggung rakyat di bawah ini adalah lebih tinggi, jauh lebih tinggi dari 2-3%.

Melalui pemerhatian saya, pengangguran juga lebih besar dari peratusan yang diumumkan. Sejak 10 tahun yang lepas, banyak kedengaran kisah-kisah sedih pekerja dibuang kerja. Petronas, syarikat terbesar negara pun tidak dapat lari dari membuang pekerja-pekerjanya. Graduan-graduan baru sukar mendapat pekerjaan. Beratus ribu graduan baru masih terkial-kial mencari pekerjaan. Belum lagi graduan-graduan tahun-tahun lepas yang masih menganggur. Kebanyakkan mereka kini hanya mampu menunggu surat saman dari PTPTN – skim yang memerah duit rakyat bagi mengayakan tauke-tauke IPTS.

Belanjawan 2014 juga menjadi bukti kegagalan kerajaan BN mengotakan janji-janji pilihanraya umum (PRU) yang lalu. BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1200 seisi rumah, akan dibayar RM650. Golongan bujang yang dijanjikan BR1M RM600, hanya akan mendapat RM300. Baucher Buku 1Malaysia yang dijanjikan meningkat kepada RM300, kekal pada RM250. Tiada pengumuman mengenai langkah-langkah kerajaan dalam menurunkan harga kereta. Apatah lagi janji-janji samar seperti persekolahan satu sesi dan penambahan 3.3 juta peluang pekerjaan. Hampir kesemua janji-janji BN tidak ditepati.

Ironinya, BN masih melaung-laungkan slogan ‘Janji Ditepati’. Strategi mengulang-ulang pembohongan melalui poster, iklan, slogan, lagu-lagu dan filem patriotik; bagi mengolah persepsi, sudah ketinggalan zaman. Kini, setiap fakta perlu berasaskan bukti. Rakyat sudah pandai dan tidak mudah diperbodohkan seperti dulu.

 

Belanjawan Pakatan Rakyat yang kurang sengatnya

Bajet PR yang diumumkan sehari sebelum pembentangan belanjawan negara dilihat sedikit tawar dan mendatar. Tidak seperti bajet-bajat PR pada tahun-tahun lalu, bajet PR kali ini kurang sengatnya. Ia tidak membayangkan ketelitian kerja yang sinonim dengan PR. Tiada idea-idea mahupun konsep-konsep segar seperti yang biasa diketengahkan. Ia terlalu ringkas mengikut standard PR yang biasanya komprehensif. Ia juga tidak menyatakan tindakan-tindakan yang akan diambil bagi melunaskan manifesto PRU PR yang sememangnya lebih populis dari BN.

Terdapat beberapa sebab mengapa Bajet PR kali ini kurang sengatnya?  Pertembungan sengit pada PRU yang lepas telah melemahkan stamina mereka. Ditambah lagi dengan kekecewaan gagal mengambil alih Putrajaya. Dana yang tinggal pun sudah berkurangan. Dengan kata lain, PR sekarang sedang keletihan.

Tiadanya PRU pada masa tersingkat memberi PR sedikit masa menghirup udara bagi memulihkan semangat dan tenaga. Jika pun segala daya ditumpukan untuk menghasilkan bajet yang kompetetif, intipati bajet tersebut akan diabaikan kerajaan. Pada tahun-tahun yang lalu, bajet-bajet yang canggih sekurang-kurangnya dapat meningkatkan imej dan kredibiliti PR sebagai kerajaan yang berwibawa.

Sangkaan penulis akan mengapa kurangnya sengat pada bajet PR kali ini bukanlah kerana malas atau sikap sambil lewa, tetapi ia adalah keputusan strategik setelah mengambil kira faktor-faktor keletihan, kekurangan sumber dan kecilnya impak bajet PR terhadap keputusan kerajaan – demi survival politik.

Ketiadaan tokoh yang menjuarai isu-isu ekonomi seperti Rafizi Ramli yang menunaikan Haji, dan Dr. Dzulkefly yang kecundang pada PRU lepas, mengurangkan lagi tarikan kepada bajet PR kali ini. DS Anwar Ibrahim pun sering ke luar negara semasa keterujaan terhadap belanjawan memuncak.

Walau bagaimanapun, masih ada ketajaman pada Bajet PR. Biarpun ringkas, ia menumpukan pandangannya terhadap isu-isu rakyat secara spesifik. Jika diteliti pada teras-terasnya, ia berjaya mengabungkan pengurusan ekonomi negara dengan permasalahan rakyat. Sebagai contoh, ia menumpukan secara spesifik kepada kos sara hidup yang tinggi, kos pendidikan dan harga makanan dalam teras kedua; Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kualiti Hidup Mereka. Saya berasa lega, meskipun ringkas, PR masih menumpukan fokusnya kepada rakyat, dan bukannya golongan kaya-raya.

Bajet PR itu juga berjaya menghuraikan ketidak-sesuian masa dan keadaan ekonomi negara untuk GST diperkenalkan. Tindakan  preemptive menerbitkan dahulu bajet bayangan yang berjaya mencabar kandungan belanjawan kerajaan,  memperlihatkan  kebijaksanaan pengkaji-pengkaji dan think tank Pakatan Rakyat.

 

Realiti kehidupan rakyat

Belanjawan yang dibentangkan kerajaan tidak akan memberi kesan signifikan kepada rakyat kebanyakkan. Hidup rakyat biasa akan terus susah. Yang miskin akan tetap, atau lebih miskin. Mungkin, yang kaya-raya akan bertambah kaya.

Harga barangan keperluan asas yang tinggi tidak mungkin turun. Sebaliknya, harga barangan akan terus naik. Kehidupan rakyat yang sememangnya susah, akan bertambah susah. BR1M RM650 buat sekeluarga miskin tidak mencukupi untuk menghadapi kesan penarikkan subsidi minyak dan kenaikkan harga barangan. Yang sedihnya, golongan miskin ini hanya mampu menerima kesan-kesan kelemahan pengurusan ekonomi negara sebagai suratan takdir. Tiada siapa yang hiraukan keluhan, atau  payah dan jerih hidup mereka.

Pelbagai skim, insentif dan agensi baru bernilai ratusan juta ringgit ditubuhkan. Antaranya adalah Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGiC), program 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) dan Skim Permulaan Entreprenor Melayu Bumiputera (SUPERB). Inisiatif-inisiatif ini kononnya bagi membantu usahawan-usahawan muda dan graduan-graduan baru dalam sektor perniagaan. Mengapakah perlu ditubuhkan skim-skim dan agensi-agensi baru sedangkan sudah ada skim-skim dan agensi-agensi seumpamanya yang ditubuhkan pada tahun-tahun lepas? Beratus juta, mungkin berbillion ringgit telah dibelanjakan kepada skim-skim dan agensi-agensi terdahulu. Namun, tiada hasil yang boleh dilihat. Industri-industri perniagaan dan perdaganggan masih dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar. Jika ada pun usahawan baru, mereka adalah anak-beranak para menteri, Perdana Menteri atau mantan Perdana Menteri.

Dimanakah perginya dana berbillion ringgit untuk pembanggunan usahawan itu? Jika tidak disebabkan kelemahan pengurusan atau penyaluran kepada yang berhak, ianya akan dibazirkan, atau dibaham oleh anak-beranak dan kroni-kroni para menteri, Perdana Menteri atau mantan Perdana Menteri.

Begitulah juga dengan dana-dana yang diperuntukkan untuk ‘Meluaskan Akses Internet’, ‘Meningkatkan Sektor Pertanian’, ‘Pembanggunan Luar Bandar’, ‘Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan’, ‘Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti’, ‘Pengurusan Alam Sekitar’, ‘Meningkatkan Keselamatan Awam’, dan sebagainya.

Hakikatnya; perkhidmatan internet masih tidak menyeluruh, lambat dan dicaj pada kadar yang mahal, petani dan nelayan masih bergelumang dengan kemiskinan, kampung-kampung tradisional terus daif dan terbiar, mutu penyelidikan-penyelidikan negara tiada yang berkualiti, universiti-universiti tidak mampu membentuk siswa-siswinya menjadi graduan yang berdaya saing, penyakit-peyakit seperti TB masih menular dan setiap tahun rakyat kita mati dek Demam Denggi, hutan-hutan digondolkan bagi mengayakan tauke-tauke balak; dan, jenayah dalam negara semakin menjadi-jadi dari tahun ke tahun.

Itulah hakikat belanjawan negara dan realiti kehidupan rakyat. Dana berbillion ringgit hilang entah kemana, kehidupan rakyat yang sememang susah, bertambah susah.

 

Penutup

Mereka yang pro kerajaan BN tentunya melabelkan penulisan ini sebagai negatif dan pesimis.  Tetapi, itulah hakikatnya. Belanjawan negara tidak ubah seperti satu set pembohongan bagi menghalalkan penyaluran wang rakyat kepada golongan kaya-raya. Bagi rakyat biasa; tiada apa-apa kemajuan yang boleh diharapkan.

Rakyat tiada suara. Wakil rakyat PR pula bersuara demi kepentingan politik. Biarpun kepentingan politik mereka (buat masa ini) selari dengan kelansungan hidup rakyat, suara mereka tidak mempunyai impak yang ketara. Belanjawan kerajaan BN dan perlaksanaannya tidak mampu dipinda atau diubah melalui sistem sedia ada.

belanjawan najibJadi, tiada guna untuk kita teruja dengan belanjawan 2014. Kitaran pasang surut keterujaan ini; sudah berulang berkali-kali, dari tahun ke tahun, hingga kebarangkalian ia berulang kembali, tanpa apa-apa kesan positif, adalah pasti.

Erti sebenar sekuntum senyuman si Menteri Kewangan adalah, ‘Padan muka kamu semua. Kena tipu lagi!’

Wallahu a’lam

Advertisements

One comment

  1. Finally i quit my day job, now i earn a lot
    of money on-line you should try too, just type in google – slabs roulette system

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: