Budaya Boros Perkhidmatan Awam

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diterbitkan baru-baru ini amat menyedihkan. Ia melaporkan pelbagai pembaziran dan ketirisan melampau oleh Kerajaan dan Perkhidmatan Awam. Lebih mendukacitakan ialah – pembaziran dan ketirisan melampau ini dilakukan diwaktu kehidupan rakyat benar-benar tertekan dengan kenaikkan harga barang yang mendadak.

Siapa yang tidak kecewa apabila diberitakan bahawa duit cukai yang mereka bayar digunakan untuk membeli jam dinding yang bernilai RM 100 dengan harga RM 3810? Siapa yang tidak marah apabila kerajaan membayar penyanyi K-Pop RM 1.6 juta untuk menyanyi lagu yang tiada siapa fahami? Siapa yang tidak geram apabila Khazanah Nasional membayar RM 3.05 juta untuk membeli lukisan-lukisan? Dan, siapa yang tidak naik berang apabila kos lawatan luar negara untuk satu kementerian sahaja (Kementerian Penerangan) mencecah RM 3.34 juta ? Bagaimana pula dengan kerugian sebanyak RM 1.33 juta oleh Polis DiRaja Malaysia dengan kehilangan gari, senjata api dan walkie-talkie di laut? Itu hanyalah sedikit dari banyak lagi pembaziran yang tidak masuk akal. Mujurlah kerajaan yang boros dan tiada berkemampuan ini tidak berkempen supaya rakyat berjimat cermat seperti seketika dahulu. Jika ya, boleh jadi huru hara.

Bara kemarahan rakyat boleh dirasai dimana sahaja. Naik sahaja teksi, pasti pemandunya merungut. Pergi sahaja ke kedai kopi, pasti kedengaran rungutan ‘berjemaah’ di situ. Atau, tegur siapa sahaja di tempat awam dan cuba mulakan bicara tentangnya; jika tidak disyarahnya dengan analisa dan hujah-hujah, sekurang-kurangnya dia akan bersetuju.

Rasa kecewa rakyat juga diluahkan melalui laman-laman sosial; Facebook, Twitter, Blogs dan sebagainya. Luahan kekecewaaan masyarakat bukan cemuhan semata-mata, tetapi dilampirkan bukti-bukti seperti petikan, diagram dan graf yang disimpulkan dari laporan Ketua Audit Negara tersebut. Mereka yang sebelum ini tidak ambil kisah tentang perbelanjaan sektor awam menjadi pakar audit yang ‘sophisticated’.

Pemimpin-pemimpin kerajaan pula tetap bertegas menafikan kegagalan mereka dalam menguruskan duit rakyat. Ada yang dengan sinis sekali berkata, ‘laporan Ketua Audit Negara itu adalah bukti ketelusan pemerintahan’. Dan, kebanyakkan mereka akan meremehkan bukti-bukti laporan tersebut seolah-olah tiada kesalahan yang berlaku dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Penafian-penafian sebegini menyerlahkan lagi kerendahan sensitiviti dan kelemahan pentadbiran mereka.

Masih terdapat sekumpulan manusia yang masih tidak mahu menerima hakikat. Mereka akan tetap mempertahan tindakan boros kerajaan dan Perkhidmatan Awam ala ‘menegakkan benang yang basah’. Mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN)/ UMNO yang tegar dan totok.

Sebenarnya laporan-laporan rasmi tentang ketirisan melampau kerajaan dan Perkidmatan Awam bukanlah sesuatu yang baru. Setiap tahun Jabatan Audit Negara akan menerbitkan laporan yang sarat dengan pembaziran. Walaupun dikecam orang ramai, ketirisan tetap terus berlaku dan laporan tahun berikutnya sama sahaja atau lebih teruk. Tiada tindakan diambil; tiada kebertanggungjawaban.

 

Pembaziran sudah menjadi budaya Perkhidmatan Awam

Ramai yang memusatkan rasa kecewa mereka dengan menyalahkan kepimpinan BN. Memang betul ianya kelemahan kepimpinan BN. Tetapi, sikap boros ini bukan norma pemimpin BN sahaja, ia sudah menjadi budaya dalam Perkhidmatan Awam.

Masalah utama Perkhidmatan Awam adalah kepimpinan, arah tuju dan wawasannya. Kepimpinan kerajaan BN semenjak 30 tahun yang lepas memberi teladan yang buruk. Malas bekerja, tatasusila kurang ajar, pembaziran, penyelewengan wang rakyat, rasuah, penipuan dan suka berfoya-foya menjadi contoh-contoh keji ikutan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam. Perilaku dan tabiat buruk pemimpin-pemimpin BN yang menerajui kerajaan sekian lamanya telah meresap ke sanubari penjawat-penjawat awam; dari jawatan tertinggi hingga ke pekerja bawahan.

Ketiadaan tindakan undang-undang terhadap pembaziran melampau mengakibatkan kurangnya kebertanggungjawaban penjawat awam. Saban tahun, ketirisan berlaku tanpa apa-apa reperkusi. Apabila trend ini saban kali berulang-ulang, pembaziran tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang buruk, malah ia menjadi norma dan budaya.

Gaji yang sederhana atau kecil membuatkan penjawat awam mengintai peluang pada dana kerajaan untuk digunakan bagi memenuhi nafsu mereka yang tidak tercapai. Mana tidaknya, kemewahan dan keselesaan banyak terlihat pada profesyen swasta. Penjawat awam juga ingin makan makanan yang sedap dan melancong ke luar negara. Maka, jika ada jamuan, akan dipesan makanan yang enak-enak dan berlebihan; jika ada persidangan di luar negara, pasti mereka berusaha untuk menghadirinya. Begitu juga perolehan material, ada dikalangan mereka menggunakan pembelian alatan sebagai peluang mendapat untung ‘atas angin’. Mereka bersekongkol dengan pembekal yang akan meletakkan harga yang tinggi dari nilainya. Itulah yang mengapa sebuah jam dinding yang bernilai RM 100 boleh menjadi RM 3000 lebih.

Samalah juga dengan penganjuran program-program. Jika difikirkan, tidak masuk akal program sehari menelan belanja berjuta-juta ringgit. Modusnya adalah dengan melantik penganjur swasta dan bersekongkol dengan penganjur tersebut untuk mengenakan caj yang melampau. Keuntungan melampau nanti akan dikongsikan bersama-sama. Itulah mengapa anjuran Hari Belia hampir mencecah RM 3 juta. Begitu juga dengan jamuan Hari Raya Perdana Menteri dengan bayaran RM36 sekepala yang jumlah keseluruhannya hampir mencecah RM 3 juta.

Lawatan luar negara pegawai-pegawai Perkhidmatan Awan juga menelan belanja yang melampau. Persidangan antarabangsa (conference) menjadi peluang terbaik bagi penjawat awam melancong. Begitu juga lawatan kerja ke luar negara. Lagi tinggi jawatannya, lagi mewah perjalanannya, dan juga jumlah pengiringnya. Mereka menghabiskan masa di luar negara melawat tempat-tempat menarik dan membeli-belah. Ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya dipelajari tidak dibawa kembali atau dipraktikkan dalam negara. Sudah berjuta-juta ringgit duit rakyat dibelanjakan untuk lawatan luar negara, mutu khidmat sektor awam masih ditokok lama.

Walaupun laporan tahunan Ketua Audit Negara melaporkan ketirisan, pembaziran dan kelemahan kepimpinan, tiada usaha memperbaiki pendekatan dan ketelusan perbelanjaan Perkhidmatan Awam. Bukan sahaja tiada tindakan, penjawat-penjawat awan akan setiap tahun menerima ganjaran, kenaikkan gaji dan juga bonus. Insentif-insentif tersebut umpama kemestian, hingga jika jumlahnya kurang dari tahun sebelumnya, banyak suara-suara tidak berpuas hati akan kedengaran.

Begitulah pemikiran dan norma penjawat Awam.

 

GLC yang sudah hilang pedoman

Walaupun prestasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tidak dinilai dalam Laporan Ketua Audit Negara; budaya, arah tuju dan wawasan syarikat-syarikat GLC telah terpesong, seperti terpesongnya budaya, arah tuju dan wawasan Perkhidmatan Awam.

Perlu ditegaskan disini bahawa walaupun mereka beroperasi secara swasta, sumber-sumber perniagaan mereka adalah dari hasil bumi negara dan keperluan asas rakyat. Usul penubuhan dan sokongan operasi mereka juga banyak bersandarkan kepada kerajaan. Dasar penswastaan itu pun pada asalnya untuk mengoptimumkan kos dan meningkatkan prestasi dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan prosedur kewangan. Dengan kata lain, syarikat-syarikat GLC pasa asasnya bukanlah syarikat perniagaan persendirian, tetapi hak milik rakyat.

Objektif penubuhan mereka adalah untuk kebajikan rakyat. Selari dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), tujuan penubuhan GLC-GLC adalah – pembasmian kemiskinan dan penstrukturan sosial. Pelaburan-pelaburan mereka sepatutnya difokuskan kepada memperkasakan permikiran untuk mengangkatkan taraf ekonomi masyarakat seperti penubuhan sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi awam, pemberian biasiswa, pembinaan hospital-hospital percuma, bantuan-bantuan perniagaan dan sebagainya.

Malangnya, GLC kini sudah terpesong dari misi tersebut. Fokus utama sekarang adalah mencapai keuntungan, dan keuntungan semata-mata. Biasiswa yang ditawarkan semakin terhad. Tiada sekolah atau univeriti awam yang dibina, jauh sekali hospital percuma. Sebaliknya mereka berlumba-lumba membina serba-serbi swasta; universiti-universiti dan hospital-hospital swasta diantaranya. Malah lebihan perolehan dilaburkan kepada sukan dan hiburan; tajaan pasukan-pasukan bolasepak, pembinaan litar lumba Sepang, pembinaan dewan orkestra, penajaan konsert-kosert yang membuang masa dan lain-lain. Perlumbaan membina bangunan-bangunan tertinggi amat menjelekkan. Ia mencerminkan inferiority complex – mentaliti dunia ketiga yang tagihkan pengiktirafan dengan menunjuk-nunjuk kehebatan superfisial. Perasaan gah dan hebat, menipu diri dan tidak membawa mereka ke mana-mana. Yang rugi adalah negara dimana; modal insan yang patutnya dibangunkan, terabai.

Perilaku eksekutif-eksekutif GLC tidak banyak berbeza dari penjawat awam. Yang beza cuma dananya lebih besar. Maka, lebih eksotiklah lawatan luar negaranya, dan lebih eksklusiflah jamuan-jamuan dan majlis-majlis keraiannya. Bonus tahunan melampau-lampau hingga mencecah 6 bulan gaji. Kesemua duit ini adalah milik rakyat, orang-orang miskin. Seperti yang diperkatakan, dana perolehan GLC adalah untuk mengangkat taraf ekonomi sengmen masyarakat yang kurang berkemampuan. Tidak terlintaskah di minda kepimpinan GLC tentang tanggungjawab ini? Mungkin kemewahan telah mengaburi perpektif mereka.

 

Cabaran kerajaan akan datang

Sudah tiba masanya bagi negara ini bertukar kerajaan. Kelemahan pengurusan wang rakyat oleh kerajaan BN sudah terlalu kerap berulang, dan melampau-lampau. Sayangnya, mereka masih lagi memerintah walaupun keputusan pilihanraya umum (PRU) yang lepas membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia menolak mereka (baca: undi popular).

Rakyat berharap Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Mungkin PRU-14 adalah masanya. Tetapi, jika pun PR mengambil alih pemerintahan negara, banyak perubahan drastik yang perlu dilakukan. Keazaman yang kuat, kecekalan dan konsistensi adalah kuncinya.

Pendekatan yang paling utama adalah melalui kepimpinan. Kepimpinan yang bersifat telus, bertanggungjawab, adil, ikhlas, dinamik dan progresif mampu memberi contoh tauladan dan sumber inspirasi kepada penjawat-penjawat awam.

Ketelusan adalah keterbukaan kerajaan pada setiap aspek pentadbirannya. Tiada rahsia, tiada yang sulit dan tiada apa yang perlu diselindungkan. Jika kerajaan memasuki sesuatu rundingan, contohnya TPPA, isi kandungan perbincangan perlulah diketahui umum. Pelaburan dari luar juga hendaklah telus. Pelaburan yang berisiko seperti Lynas, mestilah mendapat persetujuan rakyat sebelum diterima untuk beroperasi di dalam negara. Begitu juga pemberian tender dan pembiayaan projek-projek mega yang akan dilaksanakan.

Kebertanggungjawaban adalah teras pentadbiran yang baik. Dalam kes-kes pembaziran Perkhidmatan Awam, Ketua-Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah, dan Ketua-Ketua Jabatan yang didapati melakukan pembaziran dan ketirisan harus dipecat. Begitu juga Menteri, Timbalan Menteri dan sebagainya. Kepada yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan, tindakan yang lebih keras hendaklah dikenakan. Kebertanggungjawaban menagih prinsip keadilan. Usahlah penjawat-penjawat rendah dikenakan tindakan manakala yang berjawatan tinggi bebas begitu sahaja.

Ikhlas dan fokus kepada misi dan visi Perkhidmatan Awam, begitu juga GLC perlu diterapkan oleh kepimpinan yang baru. Organisasi-organisasi tersebut perlu diarah kembali kepada misi dan visi sebenar, yakni mengangkat taraf ekonomi golongan yang memerlukan. Dasar-dasar (baru) mestilah jelas dan jernih. Jika ada tentangan, tentangan-tentangan tersebut harus diurus dengan tegas.

Akhir sekali adalah kepimpinan yang dinamik dan progresif. Kepimpinan yang baru hendaklah mampu bergerak mengikut perubahan global, berupaya memanafaatkan kemajuan komunikasi dan teknologi bagi meningkatkan efisiensi dan mengurangkan kos operasi. Sumber manusia pula digunakan sebaik-baiknya. Dengan itu hasil dapat ditingkatkan dengan peruntukkan yang sederhana dan munasabah.

 

Penutup

Laporan Ketua Audit Negara 2012 menunjukkan pembaziran dan ketirisan yang berlaku secara berleluasa dikalangan Perkhidmatan Awan. Ia sudah menjadi norma dan budaya. Budaya tersebut juga sebati dengan syarikat-syarikat GLC yang telah hilang arah tuju dan fokus sebenar. Kerajaan sekarang adalah kerajaan yang gagal. Tiada kaedah lain selain menukarkan kerajaan sedia ada. Kerajaan baru kelak pasti menghadapi cabaran yang getir untuk membalikkan budaya yang telah sebati dengan Perkhidmatan Awam. Pendekatannya hanyalah dengan menyediakan kepimpinan yang transparen, accountable, adil dan ikhlas, serta dinamik dan progresif.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: