Hedonisme dan kita

Manusia senantiasa mencari pengertian hidup. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, pencarian erti hidup merupakan proses semulajadi.

Kemajuan pemikiran menyaksikan pelbagai kaedah diguna-pakai manusia dalam menyusun dan memahami matlamat kehidupan. Renungan dan refleksi sarjana-sarjana terdahulu, dan pengembangan pemikiran mereka – dijadikan aliran-aliran ideologi dan falsafah yang diikuti.

Pendekatan gaya hidup berteraskan agama pula – lebih direktif. Bukan sahaja ia memperuntukkan panduan dan etika kehidupan (seperti falsafah), ia juga menanamkan konsep kebertanggungjawaban – accountibility (baca: dosa dan pahala, syurga dan neraka). Tidak seperti falsafah yang berubah-ubah mengikut masa, tempat dan pandangan kolektif sesebuah masyarakat; disiplin agama bersifat muktamat kerana tuntutan-tuntutan dan sempadan-sempadannya ditetapkan Tuhan.

 

Kehidupan moden dan hedonisme

Gaya hidup manusia zaman sekarang telah banyak berubah. Perkembangan sains dan teknologi banyak mempengaruhi kehidupan manusia masa kini. Dengan perolehan material, manusia kini mampu meraih keselesaan yang belum pernah dikecapi manusia sebelumnya. Kemajuan sains dan teknologi juga membolehkan manusia terus menggunakan sumber-sumber yang ada bagi menambah keselesaan hidup.

Walaupun kehidupan mereka lebih sempurna dari sebelumnya; makanan yang mudah diperolehi, tempat tinggal dan kenderaan yang selesa – manusia masih belum puas. Keselesaan dan keseronokan duniawi hendak ditingkatkan mereka. Justeru, manusia terus berusaha untuk menambah perolehan bagi menokok keselesaan dan keseronokan tersebut.

Ini menghasilkan pemikiran yang beranggapan bahawa – kebahagian hanya boleh diperolehi melalui kesenangan, keseronokkan dan nikmat-nikmat duniawi sahaja. Oleh itu, segala daya usaha dan sumber-sumber yang ada akan ditumpukan bagi memaksimakan keseronokan. Pada masa yang sama, letih dan jerih serta perasaan-perasaan yang menduka-citakan akan cuba diminimakan, seminimum mungkin. Falsafah kehidupan sebegini dinamakan Hedonisme.

Bukan sahaja ia (Hedonisme) menghasilkan manusia yang hidup demi keselesaan dan keseronokkan semata-mata, ia juga menghasilkan manusia yang lalai akan kepayahan dan kesengsaraan masyarakat sekeliling. Lihatlah bagaimana kaum kapitalis memperhambakan golongan pekerja dengan kerja yang melampau dan bayaran yang tidak setimpal. Kebajikan, kepayahan dan kesengsaraan hidup kaum pekerja tidak dipeduli. Kelalaian ini berpunca daripada keinginan mencapai keuntungan berlipat ganda bagi memaksimakan kesenangan dan keseronokkan peribadi.

 

Kita dan Hedonisme

Kita sering beranggapan bahawa nilai-nilai kehidupan yang rendah hanya terdapat pada masyarakat asing dan tidak ada kena-mengena dengan kita. Kita seolah-olah kebal terhadap apa sahaja yang buruk. Hedonisme, jika dibincangkan, akan dikaitkan dengan masyarakat luar, terutamanya masyarakat barat yang ‘berbudaya kuning’dan ‘mementingkan dunia dari segala-galanya’.

Jika pun cuba dipadankan dengan masyarakat kita, anak-anak mudalah di-‘kambing hitam’-kan; oleh para pemimpin, agamawan, cerdik pandai dan sebagainya. Anak-anak muda digambarkan sebagai segmen masyarakat yang tiada pedoman, dan ‘hidup untuk enjoy sahaja’.

Memang ada benarnya tuduhan-tuduhan tersebut. Merempit, hiburan melampau, konsert-konsert liar, dadah dah alkohol merupakan gejala-gejala yang mempengaruhi sebahagian anak-anak muda. Tetapi, persepsi ‘pukul rata’ memusatkan segala yang tidak elok kepada golongan muda merupakan cerapan yang malas dan superfisial.

Hakikatnya – masyarakat kita telah terjebak dengan Hedonisme secara sistemik (menyeluruh). Jika ditanya pelajar akan tujuan dia belajar – pasti dijawab untuk mendapat kerjaya yang bergaji besar dan berstatus tinggi. Motivasi untuk berpayah menelaah pelajaran adalah untuk mencapai kesenangan dan keselesaan hidup. Jarang sekali kita mendengar sasaran mencari ilmu untuk kebajikan masyarakat. Pemikiran Hedonistik begini sudah diterapkan sejak awal oleh ibu bapa, para guru dan masyarakat keseluruhannya.

Ibu bapa mereka dan golongan dewasa pula betungkus-lumus, kerja dari pagi hingga malam untuk menambah perolehan. Aspirasi membeli rumah yang lebih besar, kereta yang lebih mewah dan percutian tahunan yang lebih eksotik mendorong mereka untuk bekerja dengan lebih kuat. Kerja kuat itu bagus, tetapi, tujuan kerja itu bersifat ‘pentingkan tembolong sendiri sahaja’. Tiada aspirasi untuk membebaskan bangsanya dari kemelut kemiskinan.

Para professional sama sahaja. Perubatan bukan lagi gerbang bagi para doktor membantu orang yang memerlukan. Kini ia menjadi lubuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Lihatlah percambahan hospital-hospital swasta yang mengenakan caj melampau. Pensyarah di universiti serupa juga; sudahlah muncul sekali-sekala, kulliyah yang diberi tiada pembaharuan dari tahun-tahun sebelumnya. Persidangan (conference) luar negara boleh pula dihadiri . Mengapa? Mungkin mendidik anak bangsa tidak seseronok berjalan-jalan di luar negara. Kemudian, disalahkan anak muda itu dan ini – walhal, gaya hidup hedonisme mereka sama sahaja, atau lebih teruk.

 

Kesan terhadap institusi agama, keluarga dan sosial

Hedonisme bukan sahaja melalaikan seseorang terhadap masalah masyarakat sekelilingnya, malah ia melalaikan dia dari tanggungjawabnya agama, budaya dan sosial.

Kerana terlalu fokus dalam usahanya untuk meningkatkan kesedapan hidup;  zikrullah dan solat dilupakan, haji ditangguh-tangguhkan, dan puasa menjadi beban kepadanya. Fakir dan miskin tidak disantuni, zakat dan sedekah menjadi terlalu berat.

Tanpa dia sedari, tanggungjawab terhadap kebajikan keluarga juga terabai. Ibu bapa ditinggalkan di kampung-kampung. Bagi menyedapkan hati, dia menelefon ibu bapanya sekali-sekala untuk bertanya khabar. Walhal, kebajikan mereka jarang-jarang difikirkan. Orang tua yang sudah hilang upaya dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Kononnya, kemudahan di sana lebih baik. Hakikatnya, orang tua itu menjadi beban baginya dalam mencari kesenangan duniawi.

Anak-anak dibiarkan bergaul dan berkawan sesuka hati. Tanggungjawab mendidik anak-anak diabaikan. Didikan agama, moral, etika, akhlak dan kebertanggungkawaban diserah bulat-bulat kepada guru-guru sekolah and ustaz-ustaz. Apabila anak-anak dilanda masalah sosial, mulalah dia menyalahkan sistem pendidikan, guru-guru, hingga ke kepimpinan negara.

Tanggungjawab sebagai suami mahupun isteri – tunggang-langgang. Pasangan hidup dianggap sebagai portal mengecapi keselesaan dunia. Apabila itu menjadi fokusnya, segalanya akan jadi serba tak cukup. Lalu, mulalah mereka bertelingkah – hingga ada yang bercerai-berai.

Fakir dan miskin menjadi golongan yang ‘menyakitkan mata’ bagi mereka. Bukan sahaja tidak diberi pertolongan, golongan yang daif diherdik dan dihina. Fakir miskin disalahkan kerana ‘tidak berusaha memajukan diri dan keluarga’, kata mereka. Kalau diberi sumbangan; hanya seringgit-dua bagi menyedapkan hati atau menghindarkan si pengemis yang ‘menyakitkan mata’ dan merosakkan suasana.

Nasib saudara seagama yang ditindas di luar negara tidak dihiraukan. Dikala berita dan gambar-gambar kezaliman dan pembunuhan saudara-saudara mereka ditayang di televisyen dan internet, mereka masih boleh ketawa gembira, makan berselera dan tidur nyenyak. Kepada yang lebih melampau, dicemuh dan dipersenda usaha dan pengorbanan saudara-saudara yang ditindas dan dizalimi.

 

Hedonisme membayangi agama

Apabila hidup ‘bermazhabkan’ Hedonisme, agama sudah tiada dihati. Hidup matinya akan diperhambakan untuk mencapai cita-cita dan keseronokkan.

Semasa berpayah mencapai cita-cita keseronokkan itu, prinsip-prinsip motivasi dijadikan panduan. Mana tidaknya, prinsip-prinsip motivasi menjanjikan dunia yang indah. Keputuan peperiksaan yang baik, kejayaan kerjaya, kereta mewah, rumah besar dan sebagainya. Tiada unsur-unsur kebajikan dan kebertanggungjawaban yang diketengahkan dalam falsafah motivasi. Apatah lagi iman dan pergantungan terhadap Tuhan.

Agama dijadikan upacara-upacara keramaian dan kebudayaan. Pelbagai jenis majlis seperti sambutan hari raya, tahlil dan doa selamat diadakan bagi ‘membuktikan’ keIslaman seseorang atau sesebuah masyarakat.  Tidak dinafikan, terdapat ceramah yang baik dan ikhlas. Namun, seringkali kesan positif ceramah tersebut akan tertinggal di masjid atau surau, tempat ceramah. Akhirnya, kulliyah agama berfungsi sebagai upacara keinsafan sementara yang penuh syahdu,  secara berjemaah.

Budaya Melayu dan ketimuran pula ditinggalkan sedemikian rupa. Yang berpolitik, kononnya memperjuangkan bangsa Melayu, sudah tiada nilai sopan dan santunnya. Pemimpin-pemimpin, pegawai kerajaan dan swasta, penguatkuasa undang-undang – semuanya kasar dan biadab. ‘Bersopan santun amalan hidup kita’ menjadi slogan (seperti pelbagai slogan-slogan lain) yang tidak bermakna. Akhirnya, budaya Melayu yang tinggal adalah pada pakaian dan tarian; baju melayu dan baju kebaya, serta zapin dan inang sahaja.

Itulah nilai agama dan budaya yang terdapat didalam masyarakat kita sekarang – akibat penyerapan nilai Hedonisme yang sudah hampir mutlak.

 

Penutup

Hedonisme – cara hidup yang menumpukan fokus kehidupan kepada keseronokkan dan keselesaan dunia telah menjadi darah daging masyarakat kita. Ia telah menakluki hati nurani, dan dijelmakan pada gaya hidup – tanpa kita sedari. Puncanya adalah dari perkembangan dunia yang mengutamakan keselesaan dan kepuasan hidup semata-mata.

Agama dan budaya ketimuran terhakis sedikit demi sedikit, hingga ia bukan lagi menjadi panduan hidup. Agama dan budaya diketepikan, dan kini hanya berfungsi sebagai upacara-upacara keraian yang menyedapkan hati.

Wallahu a’lam.

hedonisme

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: