Anjing, kebijaksanaan ulama terdahulu dan kegagalan perlaksanaan

Di penghujung Ramadan yang lepas, negara kita sekali lagi disuap dengan sentimen agama. Kali ini melibatkan pecinta anjing; Maznah binti Yusof (Chetz Yusof), seorang muslimah yang memuat naik klip video bagaimana beliau meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama anjing-anjing beliau. Akibatnya, beliau disoal-siasat oleh pihak berkuasa, dan dimasukkan ke dalam lokap untuk beberapa hari.

Pelbagai perbincangan, perdebatan, kecaman dan penghinaan menyusul, baik di media perdana mahupun di media sosial – tindak balas tipikal masyarakat kita. Semua orang meluahkan pendapat dan melontarkan hujah; dari ulama dan profesor, hingga ke mereka yang sebenarnya tiada kena-mengena dengan isu tersebut.

Perdebatan nasional sebegini, yakni berkaitan dengan sentimen agama atau perkauman, mengundang pertembungan pendapat-pendapat yang ekstrem (satu lagi tindak balas tipikal masyarakat kita). Dalam kes ini, pihak ‘anti-anjing’ melaungkan haram! Tindakan undang-undang dan hukuman wajib dikenakan kepada pecinta anjing itu. Pihak ‘pro-anjing’ pula, yang kononnya memperjuangkan keterbukaan, melekehkan seterunya dengan tuduhan jumud dan ketinggalan zaman.

 

Pedamba kontroversi

Polarisasi pendapat ini didokong oleh sejenis manusia yang penulis gelarkan ‘pedamba kontroversi’. Mereka tagihkan perhatian dan ingin pendapat mereka diikuti. Sifat mereka – berpendapat dengan keras, dan bukan sahaja tidak terbuka kepada kepelbagaian pendapat, malah meremahkan, hingga ada yang memaki-hamun pendapat orang lain.

Ahli-ahli politik seperti Noh Omar dan Bung Mokhtar, serta pemimpin-pemimpin NGO seperti Ibrahim dan Hassan Ali adalah contoh-contoh terbaik. Asalkan ada kontroversi antara kaum dan agama, mereka pasti mencuri tumpuan. Ada sahaja orang yang hendak dihukum, dan ada sahaja orang yang hendak dibuang negara!

Satu lagi demografi yang mendamba kontroversi adalah ‘pemikir’ yang terpengaruh dengan budaya popular. Mereka melontarkan idea-idea ‘lain dari yang lain’ supaya dilihat ‘cool’ dan ‘progresif’. Kerana itu, mereka teruja apabila timbulnya isu-isu sensitif, walaupun sering kali, isu-isu itu tidak sedikit pun mempengaruhi kehidupan mereka.

Dalam isu agama, pedamba-pedamba kontroversi tersebut akan membidas autoriti agama iaitu alim ulama. Mereka bukan sahaja meremehkan ulama sekarang, malah sarjana lampau juga menjadi mangsa remehan mereka. Segalanya, selain dari pendapat mereka, tidak betul.

Pembuka kata yang cukup cliché adalah – ‘agama dimonopoli oleh segolongan manusia, iaitu alim ulama, yang inginkan pengaruh dan kuasa’. Setelah itu, mulalah mereka berpendapat tanpa adab dan hormat. Alim ulama digambarkan sebagai golongan sekeji-keji manusia.

Di era teknologi maklumat, bahan rujukan amat mudah diperolehi. Jadi, tidak hairanlah jika artikulasi mereka tampak canggih. Jika diteliti, mereka sekadar memetik ayat-ayat Al-Quran yang samar-samar, dan memilih hadis-hadis tertentu sahaja (membelakangkan hadis-hadis yang lain). Hujah mereka diperkuatkan lagi dengan falsafah kontemporari yang popular dan logikal. Prinsip-prinsip universal seperti ‘Human Rights’ dan ‘Animal Rights’ sering menjadi penguat hujah.

Penulis bersetuju, ada benarnya hujah ‘agama dimonopoli sesetengah alim ulama yang inginkan pengaruh dan kuasa’. Dan, memang golongan yang ‘menjual agama’ berleluasa kini. Tetapi, bukannya semua orang alim begitu. Malah, majoritinya adalah oportunis-oportunis dari golongan kurang beragama yang memperalatkan agama untuk kepentingan mereka.

Maka, berpada-padalah. Janganlah keterujuaan terhadap kontroversi menghilangkan pertimbangan akal fikiran.

 

Kebijaksanaan ulama-ulama terdahulu

Disebabkan perdebatan yang tiada hemah seperti isu anjing di akhir ramadan yang lepas, umat Islam menjadi keliru. Mana tidaknya, ada yang kata – orang Islam boleh membela anjing dan ada pula yang kata – tidak. Yang berfatwa itu bukannya calang-calang orang. Penulis-penulis popular, ahli akademik, alim ulama, pemimpin politik dan sebagainya. Semuanya berpengaruh. Hujah-hujah mereka juga ‘canggih-canggih’ belaka.

Disinilah teserlahnya kebijaksanaan ulama-ulama terdahulu. Mereka sedar akan kepelbagaian pendapat atau khilaf terhadap sesuatu hukum. Mereka juga memahami telatah manusia yang sukakan kontroversi. Untuk tidak mengelirukan ummah, mereka menyeragamkan hukum-hukum yang mengundang perbahasan. Pendekatan ‘mencegah lebih baik dari merawat’ cukup bijaksana. Lihatlah sahaja kekeliruan yang melanda sekarang akibat perdebatan terhadap hukum-hukum agama. Bukan sahaja tidak bermanafaat, ia meremehkan agama dan ahli agama itu sendiri.

Seterusnya, ulama-ulama terdahulu melakukan semua ini (penyeragaman hukum-hukum) demi kemajuan ummah. Untuk berkembang maju, manusia memerlukan sebuah sistem yang standard. Sebagai contoh, perkembangan sains dan teknologi berkait rapat dengan penyeragaman sistem ukuran dan metodologi penyelidikan. Apabila tiada perbalahan kepada perkara-perkara asas, dialog dan perdebatan tertumpu kepada persoalan-persoalan yang lebih bermanafaat seperti penambah baikan dan aplikasi ilmu-ilmu saintifik.

Contoh lain adalah sistem pemerintahan. Terdapat pelbagai ideologi yang membentuk asas kepada ssitem pemerintahan – seperti sekularisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme, demokrasi dan sebagainya. Untuk maju sesebuah negara hendaklah memilih sistem yang standard dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsipnya.

Semasa penubuhan negara kita, pemimpin-pemimpin ketika itu sepakat memilih sistem demokrasi raja berpelembagaan mengikut prinsip-prinsip sekularisme. Kemakmuran yang kita nikmati adalah hasil kebijaksaan pemimpin-peminpin terdahulu dalam menetapkan sistem pentadbiran negara.

Penulis sedar ramai antara kita yang resah-gelisah dengan terma sekularisme. Ini kerana sekularisme sering dikaitkan sebagai sistem pemikiran yang menidakkan agama.

Sentimen ini (sekali lagi) menghasilkan pelbagai perbezaan pendapat yang ekstrem. Terdapat golongan yang begitu lantang meng’kafir’kan sekularisme, hingga mengakibatkan stigma terhadapnya. Bukan sahaja menyebabkan was-was kepada umat Islam, ia juga menlahirkan kumpulan ekstrem yang menentangnya. Puak (yang menentang) adalah mereka yang muak dengan retorik agama. Mereka bukanlah pendokong sekularisme sebenar, tetapi hanyalah gerombolan yang lantang dan keterlaluan dalam menentang agama.

Pertentangan ini memberi tekanan kepada kepimpinan negara untuk mengamalkan prinsip pentadbiran yang jelas. Sekularisme terpaksa dijauhi kerana tekanan dan stigma yang kuat – menyekat kerajaan dari menjiwai dan melaksanakan sistem sekular yang tulen dan bersepadu. Pendekatan ‘Islamik’ cuba diketengahkan bagi meraih populariti. Walau bagaimanapun, konsepnya samar-samar – sekadar penjenamaan Islam itu dan ini- tanpa pengisian and perlaksanaan yang mampan. Akhirnya, ‘Islam yang dikejar tidak kesampaian, sekularisme yang dikendong, jatuh berciciran’!

Jika diteliti, sekularisme merupakan dasar pemerintahan yang sungguh Islamik. Ia memusatkan tumpuan kepada elemen-elemen pentadbiran yang nyata dan terbukti – kepada apa yang mampu difahami dan dilaksanakan. Daya usaha kerajaan difokuskan kepada melakukan yang terbaik untuk kebaikan negara. Ia mengangkat nilai-nilai muamalah, yakni hubungan sesama manusia dalam urusan dunia. Ekonomi, kemajuan sistem pendidikan, keselamatan dalam negeri, keadilan sistem perundangan, kebajikan fakir miskin adalah antara fokus utama pemerintahan. Ia lebih Islamik dari sentimen-sentimen perkauman dan agama yang menjadi tumpuan kerajaan kita. Benarlah kata-kata sarjana Islam, Syeikh Mohammad Abduh – ‘Aku melihat Islam di Eropah, tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di negara Islam), tetapi aku tidak melihat Islam’.

Kejayaan penyeragaman sistem metrik dan metodologi penyelidikan yang melonjak perkembangan teknologi ; dan kekeliruan prinsip pemerintahan yang membantutkan kemajuan negara– memperlihatkan peri pentingnya sistem yang standard bagi sesebuah pemikiran, institusi, masyarakat dan negara untuk maju dan berkembang. Samalah juga tindakan menyeragamkan hukum-hukum Islam yang menyaksikan betapa bijaksana dan jauhnya pandangan (foresightfulness) sarjana-sarjana lampau. Bukan sahaja berjaya mengawal perbalahan pendapat yang mengakibatkan kekeliruan ummah, malah ia menjadi pemangkin perkembangan Islam di zaman mereka dan seterusnya.

 

Ulama kini pandai tetapi tidak bijaksana

Terdapat segelintir ulama sekarang yang turut teruja dengan kontroversi. Seperti ‘pedamba kontroversi’ yang lain, golongan ulama ini gemarkan isu-isu sensitif – peluang untuk melontarkan fatwa luar biasa supaya dilihat ‘cool’ dan ‘progresif’. Dalam isu anjing, mereka melawan kebiasaan dengan menghalalkan anjing. Hadis-hadis sahih dan pandangan ulama-ulama yang senada dengan fatwa mereka dipetik. Sambil itu, diperlekehkan juga pandangan dan ulama yang tidak selari dengan pandangan mereka.

Ulama begini selalunya mendapat pelajaran mereka dari luar negara. Apabila berada diluar negara, pandangan mereka terbuka kepada pendekatan keagamaan yang lain dari kebiasaan. Mereka teruja lantas mengadaptasi dan mengamalkan pendekatan baru ini. Apabila pulang ke negara, mereka cuba membawa pendekatan baru ini bulat-bulat, dan menyalahkan pendekatan masyarakat setempat. Tidak hairanlah jika yang belajar dari Arab Saudi lebih ‘wahabi’ dari wahabi; dari Yaman lebih ‘habib’ dari habib, dari India lebih ‘sufi’ dari sufi; dan dari Pakistan lebih ‘taliban’ dari taliban.

Populariti tentunya menyusuli sesuatu yang ‘lain dari yang lain’. Jika populariti yang dicari, perilaku mementingkan diri sebegini amatlah dikesali. Oleh kerana keluasan pentafsiran hukum-hakam, kedua-dua pendapat; terdahulu dan terbaru – sama-sama betul. Jadi, adalah lebih bijaksana jika pendapat dahulu terus diikuti kerana ia mengelakkan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat. Ia juga lebih mudah. Dari berbalah-balah, adalah lebih baik jika daya dan tumpuan diarahkan kepada sesuatu yamg memberi manafaat kepada masyarakat – seperti menambah baik mekanisme pengagihan zakat dan bantuan kepada fakir miskin.

 

Penjelasan adalah pendekatan yang terbaik

Pengalaman belajar di luar negara amatlah bernilai. Daripada mengikuti secara totok, ulama-ulama baru  harus lebih berfikiran terbuka. Mereka hendaklah mengadun pengalaman mereka dengan keadaan masyarakat setempat bagi menghasilkan pendekatan yang terbaik.

Dalam isu anjing ini, tidak perlu difokuskan kepada hukum halal dan haram membela anjing. Daripada bertegang urat mempertahankan fatwa, adalah lebih baik menjelaskan mengenai khilaf dan perbezaan pendapat tentangnya. Tegaskan bahawa kesepakatan dalam tidak mengalakkan membela anjing adalah untuk menghindarkan masyarakat dari perkara-perkara yang syubhah. Bagi penulis, inilah pendekatan yang paling waras, dan tidak bersentimen.

Dengan kefamahan agama yang tinggi, ulama-ulama sepatutnya menjadi pembela kepada saudari Maznah Yusof. Tindakan kasar kerajaan dengan menyumbat saudari Maznah Yusof ke dalam lokap harus dikritik dan ditentang sekeras-kerasnya. Bukankah wajib bagi ulama-ulama yang berpengetahuan membela keadilan untuk Maznah Yusof, pecinta anjing tersebut?

 

Kelemahan pentadbiran dan kegagalan perlaksanaan

Badan-badan agama kerajaan telah gagal dalam mengendali isu ini. Ia mengambil pendekatan yang terlalu reaktif – mempersalahkan pecinta anjing tersebut dan menghukumnya. Ia dilakukan tanpa penjelasan yang komprehensif. Umat Islam menjadi keliru. Imej Islam juga tercemar dikalangan orang bukan Islam – yang akan lagi menjauhkan diri dari agama Islam. Ini adalah kegiatan dakwah yang regresif.

Kerajaan pula sepatutnya bertindak sebagai pengawal keadaan. Dari sudut demokrasi, adalah wajib bagi pihak pemerintah untuk membela hak kaum minoriti, dalam kes ini saudari Maznah Yusof. (prinsip demokrasi – majoriti memerintah, tetapi hak-hak minoriti dibela). Ini tidak, kerajaan pula yang melebih-lebih, bertindak kasar terhadap pecinta anjing tersebut. Secara tidak lansung, tindakan sebegini menakut-nakutkan puak minoriti yang lain.

Sekali lagi ditegaskan bahawa tugas kerajaan adalah mengawal ketegangan isu-isu sensitif. Kerajaan hendaklah bertindak tegas kepada mereka yang mengeluarkan pandangan-pandangan ektrem, tidak kiralah siapa; pemimpim politik, NGO, media, professor mahupun para ulama, bagi mengelak ketegangan dalam masyarakat.

Daripada tertumpu kepada sentimen-sentimen agama dan perkauman, kerajaan sepatutnya menjalankan tanggungjawab utamanya iaitu mentadbir negara. Fokus utama adalah menangani kegawatan ekonomi dan kenaikan kadar inflasi yang mendadak ketika ini. Kenaikan harga makanan cukup dirasai rakyat. Bukan itu sahaja, tahap keselamatan dalam negara juga membimbangkan. Kes pembunuhan menggunakan senjata api menjadi-jadi kebelakangan ini.

Itu (mentadbir negara) sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan, bukannya sentimen-sentimen agama dan perkauman yang mengelirukan dan memecah-belahkan masyarakat.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: