Perjuangan dan Penyakit Wahan

Unsur utama sesebuah perjuangan adalah – menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Jika unsur ini tiada, daya usaha sesebuah kumpulan hanya boleh ditakrifkan sebagai initiatif, gerakan, kegiatan, koperasi, aktivisme dan sebagainya – bukan perjuangan.

Perjuangan memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan adalah sesuatu yang perit. Pengorbanan menagih seseorang mengorbankan keselesaan, kebebasan, hinggakan nyawanya sendiri. Maka, tidak ramai yang sanggup berjuang untuk ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’. Juga, tidak hairanlah jika terdapat mereka yang tidak tahan, lalu berhenti separuh jalan.

 

Sirah dan perjuangan

Perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’ bukanlah sesuatu yang baru. Ia adalah kitaran peradaban semenjak manusia mula-mula menjejakkan kaki di bumi ini. Cuma kumpulan dan kaum pendokong perjuangan itu bertukar-tukar, dari generasi ke generasi.

Kepada penganut agama samawi (Yahudi, Kristien dan Islam) yang mempercayai Kitab-Kitab Suci (Taurat, Injil dan Al-Quran), mereka tidak akan terlepas dari sirah-sirah (kisah-kisah) para Rasul. Rasul-rasul ini membawa mesej Tauhid, yakni mengajak manusia untuk tunduk kepada Tuhan yang Maha Esa; membebaskan manusia dari menyembah idola, atau apa sahaja selain dari Tuhan.

Dalam menyampaikan mesej tersebut (dakwah), para Rasul tidak terlepas dari tentangan masyarakat, terutama sekali pembesar-pembesar yang zalim. Selain dari menyampaikan mesej ketuhanan, para Rasul bersama sahabat-sahabat setia mereka menjadi pembela keadilan golongan teraniaya dan menentang penguasa yang zalim.

Sebagai contoh, Nabi Nuh a.s dengan tegas dan konsisten berhadapan dengan pembesar-pembesar kaumnya yang kasar dan angkuh.  Beliau berdiri teguh bersama golongan yang menerima kebenaran, walaupun mereka terdiri daripada pengemis dan orang miskin. Kesabaran dan ketabahan beliau menjadi pengajaran kepada usaha-usaha perjuangan umat manusia selepasnya. (Akhirnya, seperti yang semua tahu, beliau dan sahabat-sahabatnya terselamat dari bencana banjir besar dengan menaiki bahtera yang diperintahkan Allah untuk membinanya).

Sirah Nabi Musa a.s memberi pengajaran perjuangan ‘menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman’ dengan – terang, jelas dan klasik. Mungkin kerana itu, Al Quran dipenuhi dengan sirah Nabi Musa a.s. Seperti yang diketahui umum, Nabi Musa a.s berjaya membebaskan Bani Israel dari perhambaan Firaun yang sangat kejam dan zalim. Beliau tegas apabila berhadapan dengan ancaman Firaun serta pembesar-pembesarnya seperti Haman dan Karun. Nabi Musa a.s, mempunyai pilihan untuk tinggal di istana Firaun (beliau adalah anak belaan Asiah-permaisuri Firaun), tetapi memilih perjuangan untuk membela kaumnya. Keberanian dan kecekalan jiwa Nabi Musa a.s dalam menegakkan kebenaran, menjadi contoh ketinggian moral kepada umat manusia selepasnya.

Sirah Nabi Muhammad SAW juga penuh dengan perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’. Inilah sunnah yang diikuti oleh para sahabat dan generasi berikutnya. Ia merupakan faktor perkembangan Islam yang fenomenal pada generasi para sahabat, sehingga ia tersebar dari Persia hingga ke Mesir (dalam satu generasi sahaja).

Sirah Nabi Muhammad SAW jauh lebih lengkap dan terperinci berbanding rasul-rasul lain. Tidak kiralah dari sumber mana sekalipun, Islam ataupun barat. Ini adalah hasil usaha sarjana Islam yang sistemetik. Umat manusia haruslah berterima kasih kepada sarjana Islam kerana telah menyempurnakan sistem pengesahan fakta bersanad, yang sekurang-kurangnya 1200 tahun lebih awal dari sistem citation (seakannya) yang digunapakai sebagai kaedah sainntifik masa kini.

Secara ringkasnya, Nabi Muhammad SAW telah mengangkat martabat penduduk tanah Arab dengan nilai ketuhanan dan peradaban yang unggul. Perubahan ini amatlah mengagumkan kerana sifat orang Arab sememangnya kasar dan degil. Seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat setianya – membela mereka yang teraniaya dan menentang pemerintah yang zalim (Quraisy). Pengorbanan para sahabat tiada tolok bandingnya. Isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah yang kaya raya, meninggalkan dunia tanpa sebarang harta. Sama juga para sahabat, yang ternama ataupun tidak. Bukan setakat harta, mereka sanggup mengorbankan nyawa; menyertai peperangan menentang kaum Quraisy, perikatan kaum-kaum Arab, puak Yahudi dan kaum Roman, yang tidak henti-henti menekan kaum Muslimin. Ramai isteri yang menjadi janda dan ramai anak yang menjadi yatim. Pengorbanan mereka melibatkan keseluruhan kaum Muslimin ketika itu. Semuanya dikorbankan mereka demi menegakkan akidah, keadilan dan menentang kezaliman.

 

Ketamadunan dan perjuangan

Dunia pasca Nabi Muhammad SAW melihatkan perkembangan ketamadunan Islam. Dari pemerintahan Khalifah Ar-Rashidin, ke empayar Bani Umaiyah, kemudiannya empayar Abbasiyah dan akhirnya empayar Uthmaniyah. Sejarah ketamadunan Islam ini kaya dengan ilmu-ilmu; kerohanian, pentadbiran, sains, astronomi, matematik, falsafah, seni bina dan sebagainya; yang memberi banyak kebaikan universal, hingga ke hari ini. Ketamadunan Islam memperlihatkan tokoh-tokoh kerohanian seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Ibnu Taimiyyah, juga ilmuan sains dan falsafah seperti Ibnu Sina, Al Farabi, Ibnu Khaldun, Ar-Razi dan banyak lagi.

Sejarah ketamadunan Islam yang menjangkau lebih semileneum lamanya, tidak terkecuali dari pemerintahan yang zalim, dan memperlihatkan penentangan rakyat yang didokong oleh ulama-ulama yang berani. Penukaran satu empayar ke suatu yang lain juga banyak disebabkan faktor yang sama. Akhir sekali, kejatuhan empayar Turki Uthamiyah memperlihatkan kebangkitan rakyat menggulingkan kesultanan Turki yang ketika itu amat jumud, tidak terbuka, serta terpisah dari aspirasi, nasib dan survival ummah keseluruhannya.

Ketamadunan Islam memberi dorongan kepada Eropah untuk bangkit dari Zaman Gelap-nya pada kurun ke 14, dimana Eropah memasuki era perubahan. Era ini digelar Renaissance. Zaman ini memperlihatkan perkembangan idea dan pemikiran yang memacu perkembangan peradaban, ilmu pengetahuan dan seni kebudayaan Eropah. Inilah era dimana pengaruh sains dan kesenian dicetuskan oleh tokoh-tokoh ternama seperti Leornado da Vinci dan Copernicus. Tamadun barat terus unggul dengan kesinambungan teori-teori saintifik yang dikembangkan oleh saintis seperti Isaac Newton pada kurun ke-17 dan berikutnya. Melalui perkembangan sains dan teknologi, Eropah memasuki Revolusi Industri dengan terciptanya mesin-mesin yang menjana pelbagai jenis industri, termasuk tekstil, percetakan, perlombongan, pengangkutan dan sebagainya.

Perkembangan ketamadunan barat berteraskan falsafah sekular, memperlihatkan kejatuhan pengaruh gereja dan institusi agama. Pemikir-pemikir mereka mengenepikan unsur-unsur ghaib dan menumpukan daya pemikiran kepada elemen-elemen nyata yang boleh diukur dan dibuktikan pancaindera. Maka, wujudlah pelbagai sekolah falsafah, antaranya, materialisme, sekularisme, socialisme, feminisme, nasionalisme; dan pelbagai konsep seperti ’cause and effect’, ‘action and reaction’, positivisme, scepticisme, ‘paradigm shift’ dan sebagainya. Prinsip-prinsip ini bedasarkan falsafah – ‘segalanya dapat diramal’ (linear) melalui ilmu dan pemikiran saintifik. Agama bukan sahaja tidak mendapat perhatian, tetapi adakalanya ditentang secara terbuka. Kepada pendokong (falsafah barat) yang tegar, agama dianggap sebagai tahyul dan imaginasi liar yang tidak bermanafaat.

Anehnya, dalam kecelaruan pemikiran sebegini; biarpun tiada konsep ketuhanan, kezaliman tetap ditentang, dan keadilan tetap ditegakkan. Revolusi Perancis boleh dilihat sebagai kemuncak perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’ tamadun barat. Pada ketika itu, golongan bawahan bangkit menentang kaum pemerintah (Raja, aristokrat, institusi gereja) yang zalim. Ia juga melihatkan terkuburnya sistem feudal yang mengongkong pemikiran dan kehidupan rakyat Perancis ketika itu. Revolusi Perancis memberi pengajaran kepada negara-negara Eropah yang lain. Sejak itu (hingga kini), negara-negara Eropah mula memperbaiki sistem pemerintahan kepada yang telus dan adil.

 

Neratif romantik perjuangan

Neratif perjuangan ‘menegakkan keadilan, menentang kezaliman’ banyak dilakarkan dalam karya-karya seni sepanjang zaman. Coretan mengenainya menjadi neratif romantik kepada jiwa yang membaca (novel), mendengar (simfoni/ lagu) dan menonton (teater/ filem) – nya. Banyak karya mahsyur bertemakan perjuangan dihasilkan sasterawan-sasterawan ulung. Baru-baru ini, tulisan Victor Hugo yang berlatarkan Revolusi Perancis, Les Miserables, diadaptasikan melalui filem musikal dengan tajuk yang sama. Sambutan terhadap filem ini amat hebat walaupun buku asalnya ditulis 200 tahun yang lalu.

les-miserables

Filem moden yang paling berkesan dalam menyampaikan neratif perjuangan, bagi penulis, adalah triologi filem Star Wars yang diarahkan oleh George Lucas. Heronya Luke Skywalker, pemuda biasa dari planet yang mundur, dengan pelbagai kekurangan dan rintangan, berjaya memimpin pergerakkan kumpulan rebel dalam menentang kezaliman Darth Vader. Untuk men-dramatik-kan cerita, Darth Vader itu rupa-rupanya adalah bapa kepada Luke Skywalker. Neratif utama filem yang menjadi pujaan ini , tidak lain tidak bukan – ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’. Serupa juga dengan filem Braveheart lakonan dan arahan Mel Gibson. Bezanya adalah latar belakang; masa dan tempat, dimana William Wallace berjuang dizaman feudal Scotland, manakala Luke Skywalker, berjuang di ‘galaksi yang teramat jauh, pada masa yang tersungguh lampau’.

 

Intifada dan perjuangan moden

Fast forward ke masa zaman moden. Zaman ini tidak terlepas dari kisah perjuangan ‘menegakkan keadilan, dan menentang kezaliman’. Banyak negara mengecapi kemerdekaan dari penjajah yang zalim. Antaranya adalah negara kita, Indonesia, Vietnam, India, Pakistan, China dan negara-negara Afrika. Zaman ini juga memperlihatkan pelbagai revolusi yang menamatkan kuasa pemerintah yang zalim. Sebagai contoh Revolusi Iran dan Kebangkitan Arab (Arab Spring) seperti di Tunisia dan Mesir baru-baru ini. Ketika ini, rakyat Syria bangkit menentang kezaliman regim Bashar Assad. Hingga kini 90 000 nyawa rakyat Syria telah terkorban.

Penentangan rakyat Palestin terhadap penjajahan rejim Israel – gerakan Intifada – akan dikenang sebagai perjuangan ulung zaman ini, arakian menjadi neratif romantik, pada masa akan datang. Ia berlatarkan Jerusalem, Kota Suci kepada penganut agama samawi, yang menjadi rebutan sejak zaman-berzaman (baca: Perang Salib).

Pertembungan moden (Palestin-Yahudi) bermula dari penghijrahan kaum Yahudi pasca Perang Dunia Ke-2 pada tahun 1948. Walaupun populasi Yahudi kian meningkat, dunia Arab tidak mengiktiraf negara Israel kerana kaum pendatang Yahudi licik berhelah untuk menggandakan kawasannya.

Beberapa peperangan antara Israel dan Mesir, Lubnan, Syria dan Jordan, iaitu negara-negara Arab yang berjiran dengannya, telah berlaku. Kemuncak pertembungan Arab-Israel adalah peperangan ‘Six Day War’ pada tahun 1967 yang melihatkan kemenangan besar Israel. Israel berjaya menawan Semenanjung Sinai dan Gaza dari Mesir, Tebing Barat dan Timur Jerusalem dari Jordan, dan Bukit Golan dari Syria. Peperangan ini secara efektif, menumpulkan negara-negara Arab sekitarnya. Dikala itu, masyarakat Barat bersorak gembira kerana Israel yang kerdil dan lemah, berjaya menyalahkan kumpulan negara-negara Arab – sesuai dengan neratif ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’, menurut persepsi mereka.

Perjuangan menentang kekejaman Israel diambil alih oleh rakyat Palestin yang kini menjadi pelarian. Ia didokong oleh gerakan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dipimpin oleh Yasser Arafat. Mereka berpusat di Beirut, Lubnan. Modus operandi mereka adalah pertempuran gerila. Perjuangan mereka mendapat sokongan padu oleh pelarian Palestin, dan pengiktirafan negara-negara Arab (yang sudah mandul). PLO juga popular dikalangan rakyat Palestin dibawah jajahan Israel (Semenanjung Sinai, Gaza, Tebing Barat, Bukit Golan dan Timur Jerusalem).

Walaupun dipimpin oleh pemimpin-pemimpin karismatik, pertempuran secara gerila di sempadan-sempadan jajahan Israel dilihat tidak efektif. Tentera Israel yang lengkap dengan senjata berat dan canggih dengan mudah mematahkan serangan mereka. Bukan itu sahaja, Israel menggunakan alasan menjejaki pejuang PLO untuk membunuh pelarian-pelarian Palestin di sempadannya. Pengaruh PLO menjadi lemah apabila Israel menyerang Lubnan dan mengepung Beirut pada 1982. Akibatnya, PLO terpaksa berundur dari Beirut dan berpindah ke Tunisia. Semenjak itu, ucapan-ucapan garang pemimpin-pemimpin PLO mula tidak diendahkan. Mana tidaknya, sentimen-sentimen ‘mengembalikan keseluruhan tanah Palestin kepada penduduknya’ tidak disandarkan kepada bukti. Rakyat Palestin menderita, sebahagian besar menjadi pelarian dan mereka yang tinggal dibawah jajahan Israel dianiaya sewenang-wenangnya; sedangkan Yasser Arafat dan pemimpin-pemimpin PLO ‘enak bersiar-siar ke serata dunia, menaiki penerbangan kelas pertama!’

Disember 1988 – bermulanya gerakan Intifada, iaitu kebangkitan rakyat Palestin dibawah jajahan Israel, di Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalem (ketika itu, tentera Israel telah pun berundur dari Semenanjung Sinai dan Bukit Golan – memulangkan kembali wilayah-wilayah itu kepada Mesir dan Syria). Penduduk Gaza dan Tebing Barat tidak lagi sanggup diperhambakan Israel dibumi sendiri. Hak-hak; pendidikan, perubatan, makanan, tempat tinggal dan lain-lain, disekat oleh penjajah Israel. Penduduk Gaza dan Tebing Barat juga tidak berpeluang menjawat jawatan tinggi. Biar tinggi mana pun kelayakan, mereka hanya diambil sebagai buruh, pelayan tetamu, penyapu sampah dan sebagainya.

Pergerakkan Intifada melihatkan pergerakan civil disobedient penduduk Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalem secara menyeluruh. Mereka mula ingkar dengan pelbagai larangan tidak berguna Israel, mogok, membakar document pengenalan dan tidak mengaku sebagai rakyat Israel lagi. Kanak-kanak dan anak-anak muda, menggunakan apa yang ada, seperti batu-batu untuk dilontarkan ke arah tentera-tentera Israel yang mengadakan sekatan-sekatan jalan raya (check points), yang mengongkong mereka. Tindak balas tentera Israel – tidak berperi kemanusiaan; menangkap, memenjara, dan membunuh sewenang-wenangnya. Ketika itulah, kekejaman Israel teserlah dan dilihat dunia. Masyarakat Barat yang pada mulanya melihat Israel sebagai kaum yang teraniaya, kini terbuka mata. Israel yang dibangga-banggakan, sebenarnya penjajah yang kejam dan zalim. Rakyat Palestin yang digambarkan sebagai terroris, kini mirip kisah Nabi Daud a.s yang menumpaskan Jalut (David vs Goliath) menggunakan lastik dan batu. Equilibrium perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’, terang-terang berpihak kepada rakyat Palestin.

Masyarakat Barat yang menyokong rejim Zionist merasa malu dengan tingkah laku dan kekejaman Israel, lebih-lebih lagi apabila Barat sibuk mempromosikan Hak Asasi Manusia. Ini memaksa mereka mencari dan menjadi pemudahcara perdamaian, yang akhirnya termeterai dengan pejanjian Oslo 1993, dimana rakyat Palestin dibenarkan menubuhkan kerajaan interim di Gaza dan Tebing Barat.

Seperti yang semua maklum, Israel terus berhelah dan melanggar perjanjian Oslo, atau apa-apa perjanjian selepas itu. Pencabulan hak asasi rakyat Palestin dan penubuhan penempatan Yahudi di wilayah Palestin berterusan. Rakyat Palestin, dengan segala kekurangan, persis menentang kekejaman Yahudi, biarpun ramai yang dipenjara dan dibunuh dengan kejam. Intifada ke-2 bermula pada tahun 2000. Sokongan kepada pergerakan Hamas, iaitu gerakan penentang penjajahan Israel, di Gaza dan Tebing Barat amatlah kuat. Dasar perjuangan pergerakan ini (Hamas) konsisten dengan kitaran perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’ umat manusia; selari dengan perjuangan para Rasul, imam-imam besar yang berani, perjuangan sekular Revolusi Perancis dan neratif- neratif romantik (seperti William Wallace menentang penjajahan Inggeris). Penulis yakin, suatu hari kelak, kebenaran akan kekal dan kezaliman akan ditumpaskan.

 

Penyakit Wahan

Perjuangan rakyat Palestin sudah berlarutan lebih dari setengah abad. Apabila penduduk di Gaza dan Tebing Barat bangkit menentang rejim Israel , semangat Intifada menular ke serata dunia, terutamanya di Timur Tengah, dan tidak ketinggalan, Malaysia. Pelbagai diskusi ilmiah oleh prof-prof, ceramah-ceramah garang oleh para ulama dan ucapan-ucapan karismatik oleh pemimpin-pemimpin negara Islam – gah kedengaran. Program-program kutipan derma, bacaan sajak dan alunan merdu nyanyian nasyid dianjurkan. Selendang hitam-putih Palestin, bendera Palestin dan pelekat kereta menjadi trend umat Islam.

Malangnya, ‘semangat’ yang ditunjukkan hanyalah retorik yang bersifat sementara. Tidak sampai seminggu, Mc Donald’s yang diboikot kembali padat. Tidak sampai seminggu, para ulama dan pemimpin-pemimpin yang melaung-laungkan perpaduan Islam, menzalimi kembali umat Islam di negara mereka sendiri. Hakikatnya, nasib rakyat Palestin tidak pernah mendapat pembelaan umat Islam. Israel bebas menganiaya dan mencabul hak-hak asasi mereka. Jika tidak, rakyat Palestin sudah lama merdeka.

Persoalannya; mengapa dengan sejarah ketamadunan yang kuat, dan perkembangan sains dan teknologi yang pesat, umat Islam menjadi mandul; hilang idealisme perjuangan, dan hanya mampu ber-retorik sahaja?

Situasi ini sebenarnya telah diramal (prophecised) dengan tepat oleh Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW telah memberitahu sahabat-sahabatnya; akan tiba suatu masa dimana umat Islam akan menjadi begitu lemah, dimana bangsa-bangsa seluruh dunia akan datang mengerumuni mereka ‘seperti orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka’. Apabila ditanya adakah umat Islam ketika itu sedikit? Baginda menidakkannya, dan menjelaskan bahawa faktor kelemahan umat Islam ketika itu adalah akibat penyakit Wahan, iaitu ‘cintakan dunia’ dan ‘takut mati’. (Hadis penus dibawah).

Dengan perkataan yang sedikit, Rasulullah telah menjelaskan penyakit yang dihidapi oleh umat Islam, 1400 tahun sesudahnya. Ketepatan ramalan itu dengan mudah mengatasi ‘keunggulan’ falsafah linear seperti ‘action and reaction’ dan ‘cause and effect’. Malah, ia boleh dijadikan bukti (ini hanyalah satu dari beribu-ribu ramalan yang tepat) kerasullan Nabi Muhammad SAW. Yang ajaibnya adalah, ramalan ini dibuat secara tepat dan spesifik, bukan seperti ramalan samar-samar oleh Nostradamus yang cuba dikaitkan (secara bersungguh-sungguh) dengan kehuru-haraan masa kini.

Itulah dia umat Islam masa kini – terlalu cintakan dunia. Masing-masing sibuk mengejar ‘kemajuan’. Dikala umat Islam dianiaya (Syria, Palestin, Mesir dll), dan kebuluran (Somalia, Sudan, Zimbabwe dll), negara-negara Islam yang ‘makmur’ berlumba-lumba membina taman-taman di padang pasir dan banggunan-banggunan pencakar langit. Kerana ingin ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan negara-negara barat, nasib ummah diabaikan. Dalam ‘membenarkan’ pendekatan ini, sering kali umat Islam yang dizalimi dan kebuluran dipersalahkan; kononnya ‘menolak kemajuan’, negatif, jumud dan sebagainya.

 

Wahan dalam negara

Sejarah negara kita juga penuh dengan kisah-kisah perjuangan. Sejak era kesultanan Melayu lagi; hingga ada pepatah – ‘Raja adil, Raja disembah. Raja zalim, Raja disanggah’. Perjuangan menentang kezaliman diteruskan semasa zaman penjajah; dipelopori tokoh-tokoh seperti Dato’ Maharajalela, Tok Janggut, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan lain-lain. Juga tokoh-tokoh seperti Pak Sako, Dr. Burhanuddin Helmi, Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Mereka mengorbankan harta, kesenangan, kebebasan, hingga ada yang mengorbankan nyawa.

Malangnya, sejak kebelakangan ini, semangat perjuangan ‘menegakkan keadilan, menentang kezaliman’ di negara ini telah luntur. Ketidak adilan, rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, kezaliman dibiarkan berleluasa. Mereka yang teraniaya tiada pembela, mereka yang kelaparan dibiarkan sahaja.

Nampaknya, masyarakat kita juga terjangkit dengan penyakit Wahan – hanya pandai menjaga ‘tembolong sendiri’ demi mengejar keselesaan dunia (jauh sekali ‘berani mati’). Ambil contoh seorang pensyarah. Gaya hidup – pergi kerja lewat, beri kuliyah ala kadar, menempel nama pada kajian dan thesis pelajar dan bergaji tetap– adalah terlalu besar untuk dikorbankan semata-mata demi perjuangan menentang ketidak-adilan. Apatah lagi apabila sudah ada ‘teladan’ seperti Prof Aziz Bari yang dibuang kerja, dihina dan hilang mata pencarian akibat menyuarakan kebenaran. Seorang pemimpin negara seperti Anwar Ibrahim pun boleh dipenjara dan dibelasah. Idea perjuangan menjadi terlalu berat bagi seorang yang bekerjaya – tidak kiralah dia seorang jurutera, doktor, akauntan, pegawai kerajaan, guru dan sebagainya. Kesenangan yang sedikit telah memandulkan dan melalaikan mereka. Kesannya adalah sebuah masyarakat yang tumpul, mudah ditakut-takutkan dan lengai.

 

Kesimpulan

Perjuangan hakiki adalah perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’. Ia merentasi sejarah ketamadunan manusia, dari zaman nabi-nabi hingga kini.

Di zaman sekarang, perjuangan Palestin menentang penjajahan Zionis merupakan perjuangan terhebat. Walau bagaimanapun, sokongan dari dunia Islam, hanya ‘gah’ dan retorikal. Mereka yang kononnya mendokong keadilan, garang berkata-kata tetapi membiarkan sahaja kezaliman berlaku. Semuanya kerana tidak sanggup mengorbankan keselesaan dunia. Masyakarat sudah menjadi mandul dan penakut. Masyarakat dunia, termasuk negara kita sudah terjangkit dengan penyakit Wahan.

Tidak hairanlah jika perjuangan ‘menegakkan keadilan dan menentang kezaliman’ tinggal sebagai neratif-neratif puitis dan romantik semata.

Wallahu a’lam

—————————————

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
“Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan”‘. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”.
(H.R. Abu Daud)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: