Pakatan Rakyat perlu berubah

Disebabkan kongkongan suara di negara ini, pihak Pakatan Rakyat (PR) terpaksa mengadakan perhimpunan di serata negara bagi menyuarakan kekesalannya terhadap proses pilihan raya (PRU) yang lepas. Sambutan masyarakat terhadap perhimpunan-perhimpunan ini amat ‘luar biasa’, hingga ada yang melibatkan penyertaan ratusan ribu manusia.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pula menggerakkan media massa untuk memburuk-burukkan himpunan tersebut. Ia digelar ‘Malaysia Spring’ dan ‘Anwar Spring’ bagi menyamakannya dengan ‘Arab Spring’. Perhimpunan rakyat ini dikatakan bertujuan untuk menggangu ketenteraman dan merosakkan harta benda. Hakikatnya, perhimpunan-perhimpunan ini menjadi bukti betapa teraturnya dan ‘civil’-nya rakyat Malaysia. Tiada kerosakkan satu harta atau benda pun yang dilaporkan setakat ini. Malaysian Book of Records sepatutnya melakarkan perihal ini sebagai satu rekod nasional.

Pihak polis pula menjalankan operasi menangkap dan mendakwa aktivis-aktivis masyarakat. Polis sebenarnya sudah jemu dengan operasi-operasi sebegini. Bagi mereka, operasi-operasi ini membazir masa, sumber dan anggota; yang sepatutnya dikerah untuk menangkap penjenayah sebenar. Yang paling dikesali pihak polis adalah cemuhan masyarakat akibat tindakan mereka yang hanya ‘menurut perintah’.

 

Ubahlah pendekatan

Kitaran PR berhimpun kerana tiada ruang bersuara, kerajaan BN memburukkan PR dan polis menzalimi rakyat – berulang terlalu banyak kali. Antara contoh yang boleh diambil iktibar adalah skandal Lynas. Pelbagai ikhtiar rakyat seperti berkali-kali berhimpun, berjalan kaki dari Kuantan ke Kuala Lumpur, petisyen demi petisyen, mogok lapar, dan aduan ke mahkamah telah dilakukan. Kerajaan buat tidak tahu sahaja. Sedar-sedar, kilang Lynas telah pun siap dan sudah beroperasi sekarang. Oleh itu, buat PR, janganlah bergantung harap dengan usaha berhimpun, petisyen dan aduan mahkamah. Besar kemungkinan, usaha-usaha tersebut akan diabaikan kerajaan. Keputusan PRU-13 akan kekal begitu sahaja.

Lainlah jika institusi Agong, penaung sebenar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), ingin menyiasat ketelusan proses PRU-13 (melalui Suruhanjaya DiRaja),  peluang untuk aduan PR didengari dengan adil nampak suram. Lebih-lebih lagi, apabila SPR dilihat ‘berteduh’ dibawah payung tuan ‘de fecto’-nya, iaitu kerajaan BN.

PR hendaklah menerima hakikat bahawa negara ini adalah negara dunia ketiga yang diperintah oleh golongan yang mementingkan diri sendiri. Perjuangan menetang kezaliman memanglah mengujakan. Tetapi, berdasarkan pengalaman yang lalu, peluang untuk menukar keputusan kerajaan dengan cara ini, amatlah tipis.

Bagi penulis, pendekatan yang lebih bermanafaat adalah dengan melaksanakan dasar-dasar yang mampu menguatkan keyakinan rakyat kepada PR. Halu tuju PR dan momentum sokongan rakyat kepadanya sudah cukup memberansangkan. Dengan sedikit tambahan sokongan dari golongan atas pagar, moderat dan penyokong BN, ia pasti dapat membentuk kerajaan pusat di PRU akan datang. Kini, apa yang PR perlu adalah sedikit kesabaran dan ketabahan.

 

Biarkan Barisan Nasional

Mengapa PR sahaja yang perlu berubah? Jawapannya mudah. BN terbukti tidak mampu berubah. Lihat bagaimana ia sentiasa mendahulukan pemimpin-pemimpin korup daripada kepentingan rakyat. Taib Mahmud, Shahrizat Jalil, Raja Ropiah, Isa Samad dan rakan-rakan. Lihat bagaimana ia lebih mementingkan kepentingan ‘perompak’ kapitalis seperti tauke-tauke IPP (Independent Power Producers), konsensioner Lebuh Raya, syarikat air swasta, kontraktor pengangkutan awam (dan lain-lain) daripada kelansungan hidup rakyat. Lihatlah bagaimana tender-tender kerajaan dibaham ahli-ahli keluarga yang tidak berkebolehan. Banyak lagi, dan berkali-kali. Ia terlalu banyak dan berkali-kali hinggakan kebarangkalian skandal-skandal umpamanya berulang adalah satu kepastian. Bukan tidak ditegur. Bukan tidak dibongkar. Bukan tidak dibantah. Masalahnya adalah kepimpinan; tiada azam (will) atau kesediaan untuk berubah dan membela rakyat.

Kepimpinan BN juga dilihat lemah dan tidak berkemampuan. Isu-isu sensitif seperti isu agama dan perkauman gagal dikawal dengan efektif. Pertubuhan-pertubuhan seperti Perkasa dan Jati (NGO Hassan Ali) bebas menghasut dan menanam kebencian dikalangan masyarakat . Pemimpin-pemimpin BN pula yang terikut-ikut dengan rentak mereka.

Dari sudut hubungan serantau, kelemahan di meja rundingan melihatkan kepentingan negara tergadai dengan mudah. Ini gara-gara pendekatan populis kononnya situasi ‘menang-menang’ pemimpin kita. Pulau Batu Putih dan tanah-tanah KTMB di Singapura tergadai begitu sahaja. Kini, separuh dari Johor ingin digadai mereka (baca: Iskandar, Malaysia).

Dasar-dasar kerajaan dilihat celaru dan tiada kesinambungan. Dasar-dasar seperti ‘bersih, cekap, amanah’, ‘pandang ke timur’, ‘wawasan 2020’, ‘memperkayakan modal Insan’ dan Islam Hadhari ‘bersara’ dengan mantan-mantan perdana menteri tanpa apa-apa hasil yang nyata. Kini, ‘1Malaysia’ dan Transformasi itu dan ini, tidak kedengaran lagi. Adakah ini petunjuk bahawa perdana menteri akan bersara? Atau, mungkin beliau sedang tercari-cari ‘slogan’ baru untuk dilaung-laungkan untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Penggerak dan akar umbi parti-parti komponen BN juga sudah hilang hala tuju perjuangan. Tujuan penglibatan mereka bukanlah atas dasar perjuangan tetapi untuk kepentingan peribadi dan wang ringgit. Tidak hairanlah, jika tiada idea dan hujah baru yang mampu diketengahkan. Tidak habis-habis dengan menakutkan dan memperbodohkan bangsa masing-masing. Sentimen-sentimen perkauman yang sama diulang-ulang. Manakala, serangan-serangan peribadi serta politik longkang dan lucah adalah ‘standard operating procedure’ mereka.

Dalam keadaan sokongan rakyat yang lemah terhadapnya, BN menggunakan kekerasan bagi mengawal keadaan. Walaupun tidak popular, tindakan menangkap dan mendakwa aktivis-aktivis masyarakat (motif: menakut-nakutkan rakyat) terpaksa dilakukannya bagi mengekalkan sokongan sedia ada, biarpun sedikit. Ini adalah politik survival bagi mereka yang terdesak.

BN ibarat kapal Titanic yang sedang karam perlahan-lahan. Kerosakannya kritikal. Berdasarkan kepimpinan, kebolehan dan dokongan akar umbinya, keadaannya sukar untuk dipulihkan.

Oleh itu, bagi PR, tumpuan ‘melawan’ BN bolehlah dikurangkan. Memperkukuhkan persepakatan antara parti-parti komponen dan menarik hati golongan atas pagar, moderat dan penyokong BN, boleh dijadikan fokus utamanya sekarang.

 

Pakatan Rakyat harus berubah

PR hendaklah melangkah ke fasa seterusnya, iaitu menonjolkan diri sebagai pemerintah yang matang dan berkeyakinan. Pemimpin PR hendaklah menjauhkan diri dari terlibat dalam politik cemuh-mencemuh. Jika BN masih meneruskan politik sebegitu, biarkan sahaja. Pemimpin PR hendaklah menunjukkan karakter dan tahap peradaban yang tinggi. Rakyat Malaysia yang majoritinya moderat dan toleran pasti akan menghargai kepimpinan yang beradab dan berketrampilan.

Falsafah pemerintahan PR hendaklah dizahirkan dengan jelas. Adakah ia Negara Berbajikan, Malaysia untuk Malaysians, demokrasi liberal, Islamik atau apa? Disini, parti-parti komponen PR hendaklah jujur sesama sendiri dan fikirkan titik temu yang boleh dipersetujui bersama. Pemimpin-pemimpin yang berkeras dengan agenda-agenda lapok seperti Karpal Singh hendaklah ditamatkan karier politiknya (bersama-sama Ibrahim Ali dan Hassan Ali). Ada hikmah mengapa PR tidak berjaya mengambil alih Putra Jaya. Cuba bayangkan jika PR menang. Pertelagahan politik pasti berlaku. Mana tidaknya; parti-parti komponen PR pasti inginkan prinsip pentadbiran mengikut falsafah parti masing-masing. Akhirnya, akan ada parti yang beralih kesetiaan dan kuasa yang ada akan terlepas begitu sahaja. Jadi, inilah masanya bagi pucuk pimpinan PR duduk semeja dan menggubal falsafahnya dengan jelas – agar PR dapat bergerak sebagai satu entiti yang sepadu. Inilah juga peluang PR melahirkan falsafah yang original, unik, toleran dan sejagat. Kesatuan beginilah yang akan meyakinkan rakyat keseluruhannya.

PR harus dilihat sebagai pembela hak dan hasrat rakyat. Konsep ini hendaklah dizahirkan oleh pentadbiran negeri-negeri PR yang ada. Pentadbiran negeri-negeri tersebut hendaklah effisien dan ikhlas. Contoh yang terbaik adalah pentadbiran negeri Selangor yang lepas. Kerajaan Selangor memperkenalkan dasar-dasar yang segar dan bernas, dimana fokusnya adalah kebajikan rakyat. Inisiatif memberi air percuma kepada rakyat Selangor meninggalkan kesan yang mendalam pada hati dan psikologi rakyat. Lihatlah bagaimana PR membelasah BN pada PRU lepas (di Selangor). Serangan sentimen dan tomahan yang tidak henti-henti oleh media kerajaan, dan pelbagai siri sabotaj oleh badan-badan yang bersekongkol dengan BN, tidak mendatangkan apa-apa kesan. Malah, tindakan mereka (BN) memakan diri. Berbeza dengan apa yang berlaku di Kedah. Kelemahan petadbiran dan terputusnya hubungan antara kerajaan dan rakyat adalah faktor utama kekalahan PR di Kedah. Maka, bagi meyakinkan rakyat diperingkat pusat, pada masa ini, prestasi di negeri-negeri PR mestilah cemerlang, effisien dan ikhlas. Eloklah jika penggubal dasar dan pemikir strategi negeri Selangor dirujuk oleh para pemimpin negeri PR yang lain.

Pemimpin-pemimpin PR hendaklah peka terhadap sensitiviti masyarakat. Mereka perlu bersifat lunak dan ramah, tidak kiralah kepada kanak-kanak, orang muda, warga emas, orang Melayu, Cina, India, Bangla, orang kampung, orang susah dan sebagainya. Sifat angkuh dan sombong hendaklah dihakis sebersih-bersihnya. Sifat-sifat sebegitu adalah punca penolakkan rakyat terhadap BN, terutamanya UMNO. Biarpun betul, hujah yang hendak diutarakan mestilah molek di mata rakyat.

Keupayaan menangani masalah ekonomi merupakan pengukur kebolehan sesebuah kerajaan masa kini. Maka, pemimpin-pemimpin PR haruslah arif dan peka dengan perkembangan ekonomi semasa, diperingkat lokal dan global. Mereka hendaklah berupaya menterjemahkan masalah ekonomi kepada masyarakat dan mampu memberi pandangan pada sesi dialog. Isu-isu ekonomi seperti cukai, kenaikan gaji, kadar faedah pinjaman, harga rumah, kereta, dan harga barangan komoditi, kos sara hidup dan sebagainya, haruslah diketengahkan. Kecelikkan ekonomi adalah suatu kelebihan yang perlu ada pada setiap pemimpin PR.

Keadilan merupakan teras kepada keberkesaan sesebuah kerajaan. Sejarah ketamadunan manusia memperlihatkan bahawa kekuatan sesebuah tamadun berkait rapat dengan keadilan pemerintahannya. Apabila sistem keadilan itu musnah, maka binasalah sesebuah tamadun. Inilah yang sedang berlaku kepada kerajaaan BN sekarang. Apabila pemimpinnya korup, para perompak dilindungi dan rakyat dianiaya, sokongan rakyat akan merudum. Rakyat tentunya bangkit menentang pemerintah. Di era demokrasi, kebangkitan rakyat dinyatakan pada kertas undi. Oleh itu, kepimpinan PR haruslah mengambil ini sebagai pengajaran. Penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan kezaliman oleh pemimpinnya, haruslah dibendung dari sekarang. Prinsip keadilan hendaklah diterap bukan sahaja kepada para pemimpin, tetapi kepada pelapis dan pendokong akar umbinya. Selagi keadilan diangkat, selagi itu PR relevan dan kuat.

Sistem pendidikan merupakan nadi pertumbuhan dan kesinambungan kecemerlangan sesebuah negara. Lihat sahaja negara maju. Sistem pendidikan mereka berada ditahap terunggul. PR haruslah menyatakan polisi pendidikan yang meyakinkan rakyat. Bagi penulis, hala tuju sistem pendidikan sekarang amat merisaukan. Graduan-graduan negara tiada nilai kompetetifnya. Ini merisaukan. Jadi, polisi pendidikan PR bukan sahaja bertujuan untuk menonjolkan kebolehan dan mempertingkatkan imejnya, ia juga bertujuan untuk menekan kerajaan supaya sistem sedia ada disemak semula.

 

Pakatan Rakyat berpotensi

Hala tuju dan prinsip PR berada di landasan yang betul. PR berpotensi menjadi kerajaan yang baik. Ini dapat dilihat pada isu-isu yang diketengahkan, seperti pembongkaran penyalahgunaan kuasa, isu sara hidup rakyat, hutang pelajar dan sebagainya. Pendekatan mendahulukan rakyat PR juga bukanlah retorik semata-mata, tetapi berasas. Walau bagaimanapun, banyak lagi penambahbaikan yang perlu diusahakan.

Pemimpin pelapis PR juga terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan juga amanah. Barisan pelapis yang terdiri daripada Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Tony Pua, cukup meyakinkan. Mereka ini cerdik, progresif dan berketrampilan.

Potensi PR bukan semata-mata bergantung kepada barisan kepimpinannya, tetapi (lebih penting) kepada sokongan dan dokongan rakyat. Rakyat kini telah celik dan terbuka minda. Mereka sedang bangkit menentang penipuan dan kezaliman yang terlalu lama dan berleluasa di negara ini.

 

Penutup

PR sememangnya berada dilandasan yang betul. Kegagalan mengambil alih kerajaan pusat, walau ditipu sekali pun, ada eloknya. Hikmahnya, PR mempunyai masa untuk memperbaiki diri dan terus memperkukuhkan pakatannya. Persediaan untuk memerintah negara haruslah dirancang dan dilaksanakan dari sekarang. PR harus berhijrah dari fasa ‘Asalkan Bukan UMNO’ kepada fasa ‘Asalkan Pakatan Rakyat’. Untuk itu, fokus utama PR mestilah kepada menambat keyakinan rakyat. Usaha- usaha tersebut hendaklah dilakukan secara konsisten, dengan sabar dan tabah. Perhimpunan dan demonstrasi boleh dianjurkan, tetapi anggaplah ia sebagai suka-suka sahaja. Suara rakyat (melalui tunjuk perasaan) tidak pernah dihiraukan pemerintah dan tidak mungkin merubah apa-apa di negara ini.

Wallahu a’lam

Advertisements

One comment

  1. Arul8972 · · Reply

    Article yang hebat dan perlu Diberi perhatian oleh semma pihak terutama Pucuk pimpinan PR.
    Rakyat pasti sokong PR dp hati. Artikel ini perlu disampaikan kepada semis pihak. Jangan Ada perbalahan dalam PR. satu hati rakyat sokong 100%

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: