Dasar ‘pecah dan perintah’ yang hampir-hampir terkubur

‘Tsunami Cina’ dan tindak balas susulan

Kemerosotan sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 amatlah ketara. Di bandar-bandar besar, sokongan mereka merosot serendah 10%. Akibatnya, walaupun berjaya mengekalkan kuasa di peringkat pusat, prestasi BN kali ini lebih teruk dari prestasi terburuknya sebelum ini (2008). Jika pencapaian buruk PRU-12 dijelaskan dengan ‘tsunami politik’, kemerosotan pencapaian BN PRU-13 dikaitkan dengan ‘tsunami Cina’.

Biarpun ungkapan ‘tsunami Cina’ benar dari segi statistik, olahan media perdana bersifat reaktif dan emosional. Ungkapan tersebut diolah bagi meluahkan rasa kecewa kepimpinan BN terhadap kaum Cina. Artikel-artikel akhbar  seperti , ‘Apa lagi Cina mahu?‘, dan komentari-komentari PRU-13 di television – semuanya menuding jari kepada kaum Cina, seolah-olah kaum cina adalah punca kemerosotan sokongan rakyat kepada BN

Selaku kerajaan, tindakan menyalahkan segmen masyarakat yang tidak memberikan sokongan kepadanya menonjolkan ketidak-matangan kepimpinan (apatah lagi jika disusuli dengan penindasan seperti yang dilakukan kepada rakyat Kelantan selama ini). Ia juga menyerlahkan hipokrasi slogan 1Malaysia. Adakah polisi ‘segalanya’ 1Malaysia itu hanya untuk meraih undi? Dan, tidakkah ia hipokrit apabila undi yang diraih tidak ‘1Malaysia’, semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan hilang entah ke mana?

Pengolahan ungkapan ‘tsunami Cina’ juga bersifat provokatif. Ia membakar sentimen perkauman; menakut-nakutkan masyarakat Cina dan menaikkan kemarahan masyarakat Melayu. Bukankah ini tindakan provokasi yang mengancam ketenteraman awam? Bukankah kerajaan BN dahulu yang memberi jaminan keamaan semasa dan selepas proses pilihanraya?

Pelik jika diteliti perilaku pemimpin-pemimpun BN. Sikap mereka dilihat sama-sekali tidak konsisten, sebelum dan selepas PRU. Puncanya – tidak lain, tidak bukan, hanyalah kerana sistem ‘pecah dan perintah’ tinggalan penjajah yang diwarisi dan diguna pakai kerajaan selama ini, hampir-hampir digagalkan pada PRU-13.

 

Persepsi salah mengenai aktivisme Cina

Penulis berpeluang berkerjasama dengan aktivis-aktivis Cina sepanjang tempoh kempen PRU-13. Apa yang penulis saksikan, pergerakan aktivisme Cina ini cukup berbeza dari persepsi orang Melayu terhadap mereka.

Dari sudut demografi, aktivis-aktivis Cina ini adalah dari golongan pertengahan dan majoritinya dari golongan muda. Mereka terdiri dari pemilik perniagaan kecil seperti pengusaha kedai komputer dan butik pakaian, dan juga mahasiswa. Mereka adalah golongan majoriti Cina yang rata-rata berfikiran sederhana dan tradisional. Mereka bertutur dalam bahasa Cina sesama sendiri, tetapi memilih untuk menggunakan bahasa Melayu apabila bergaul dengan orang Melayu.

Mereka bukanlah tauke-tauke kapitalis yang licik menipu orang Melayu. Perlakuan dan karakter mereka tidak ubah seperti mana-mana kelas pertengahan; tidak kiralah orang Melayu, atau orang putih, mahupun orang Afrika – ‘simple-minded’, rajin bekerja dan suka berjenaka. Walaupun penguasaan bahasa Melayu mereka ditahap memalukan (selaku rakyat Malaysia), usaha bertutur dalam bahasa Melayu, lebih-lebih lagi golongan muda, boleh diberi pujian.

Dasar perjuangan mereka bersifat sejagat- menegakkan keadilan, kebebasan bersuara, menentang kezaliman dan menyokong usaha meningkatkan kualiti kehidupan. Mereka tidak berhajat mengambil alih tampuk kepimpinan negara atau ingin menjadikan negara ini, negara komunis. Besar kemungkinan, falsafah komunisme itu pun mereka tidak tahu. Mereka menghormati konsep demokrasi raja berpelembagaan dan tidak berhajat untuk menukarkan negara ini kepada negara republik seperti Singapura. Melalui pengamatan penulis, tiada baur-baur  fahaman komunis ataupun republikan dikalangan mereka.

Persamaan status ekonomi, karakter dan dasar perjuangan membuatkan aktivis-aktivis Cina ini diterima baik oleh kelompok-kelompok pro-perubahan kaum-kaum lain, terutamanya Melayu. Solidariti antara dua kaum terbesar ini cukup sihat, bukan sahaja diperingkat kepimpinan, malah di peringkat akar umbi. Jika dahulu ceramah-ceramah politik tertumpu kepada kaum-kaum tertentu, kini ceramah-ceramah politik melibatkan peryertaan pelbagai kaum. Isu-isu yang dibincangkan merentasi sempadan perkauman dan bersifat sejagat, tidak hanya menyentuh hal-hal perkauman yang sempit. Kini, bukanlah sesuatu yang aneh apabila seorang Cina berpelukan dengan seorang Tok Guru, dan seorang lebai makan semeja dengan amoi Cina.

Perpaduan antara kaum inilah yang hampir-hampir meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ yang selama ini diguna pakai BN untuk mengekalkan kuasa.

 

Pecah dan perintah

Hampir seluruh rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah (sekolah menengah) memahami konsep ‘pecah dan perintah’ penjajah British . Ramai juga dikalangan masyarakat yang sedar akan penggunaan dasar yang sama oleh kerajaan BN selama ini. Banyak penulisan dan komentari yang menerangkan bagaimana kerajaan memecah-belahkan masyarakat dengan isu-isu perkauman untuk kekal berkuasa. Hinggakan, pakcik-pakcik di kedai kopi pun mampu membuat analisa tepat mengenainya. Namun, disebabkan serangan sentimen agama dan perkauman yang bertalu-talu menjelang PRU-13 yang lepas, ahli-ahli fikir dan masyarakat keseluruhannya , bagaikan leka dengan apa yang dilakukan kerajaan. Secara terang-terangan kerajaan sekali lagi, tanpa sebarang pengubahsuaian, menggunakan pedekatan ‘pecah dan perintah’. Oleh itu, ada baiknya kita mengulang kaji secara ringkas konsep ini.

Semasa menjajah Tanah Melayu, British memecahkan kosentrasi kuasa politik dan ekonomi penduduk Tanah Melayu mengikut kaum. Raja-raja dijadikan simbol dan kuasa mereka dibataskan kepada adat istiadat dan hal ehwal agama. Orang Melayu dibiarkan menjalani kehidupan tradisional di kampung-kampung. Kaum-kaum pendatang Cina dikerah berkerja di lombong-lombong bijih timah, India di estet-estet ataupun pegawai kerajaan, dan Nepal (Gurkha) sebagai pegawai keselamatan. Kaum peniaga Cina ditempatkan di bandar-bandar untuk menjalankan kegiatan ekonomi.  Masyarakat dipecah-pecahkan supaya konsentrasi kuasa politik dan ekonomi berpecah kepada poket-poket kecil mengikut kaum. Oleh kerana kuasa politik dan ekonomi tidak lagi tertumpu, upaya dan sumber untuk menentang penjajahan dilemahkan. Ini memudahkan pihak penjajah memerintah dan mengaut segala hasil negara. Inilah ‘pecah dan perintah’ ala British.

Setelah Merdeka, segregasi masyarakat dibiarkan pemerintah tempatan yang mewarisi kuasa dari penjajah. Pegawai tadbir Melayu asuhan British mewarisi kuasa politik, manakala kapitalis Cina menguasai ekonomi. Mereka membentuk golongan elit negara. Hubungan antara mereka amatlah erat. Bagi mengekalkan kuasa dan kekayaan dikalangan kelompok mereka, dasar ‘pecah dan perintah’, bukan sahaja dibiarkan berterusan, tetapi disuburkan lagi, hingga ke hari ini. Apabila rakyat berpecah-pecah, tumpuan bagi menidakkan pembolotan kekayaan negara (oleh golongan elit) dilemahkan. Bagi memecah-belahkan rakyat, sentimen perkauman disemat kepada pemikiran rakyat.  Cina akan digambarkan sebagai ‘penipu’, ‘perompak hak Melayu’, ‘komunis’, ‘cuba memurtadkan Melayu’ oleh pemimpin Melayu kepada bangsanya. Manakala, Melayu digambarkan sebagai ‘malas’, ‘ekstrem beragama’, ‘ingin potong tangan’ dan ‘rogol wanita Cina yang tidak menutup aurat’ oleh pemimpin Cina kepada bangsanya. Tidak hairanlah jika kelas pertengahan dan bawahan Melayu dan Cina saling curiga-mencurigai dan tidak pernah bersatu (hinggalah baru-baru ini). Inilah ‘pecah dan perintah’ ala BN. Dulu British, kini BN.

Walau bagaimanpun, strategi ini sudah basi. Masyarakat dari golongan pertengahan, terutamanya masyarakat Cina sudah celik. Kesedaran masyarakat dijelmakan dalam trend mengundi yang beralih kepada Pakatan Rakyat (PR). Pemimpin BN yang hanya tahu memerintah dengan kaedah ‘pecah dan perintah’ mula terdesak. Hasilnya – reaksi tidak bertanggungjawab seperti yang dibincangkan di awal penulisan.

 

Kedudukan Islam

Masyarakat Cina bangkit sejak 2008 lagi. Kebangkitan mereka bersebab, bukannya secara tiba-tiba atau spontan. Mereka merasakan yang mereka dizalimi, suara mereka tidak didengari dan kehidupan mereka semakin menekan.

Sebagai kaum Muslimin, pendekatan Islamik adalah dengan menjadi pembela kepada golongan yang merasakan diri mereka teraniaya. Renungkan penyebaran Islam di zaman sahabat. Mereka menakluki wilayah dari Parsi hingga ke Mesir. Ini dikecapi dalam tempoh satu generasi sahaja. Asas perjuangan mereka bukanlah bermotifkan politik, emperialisme ataupun ekonomi, tetapi untuk membebaskan penduduk setempat dari kezaliman Kisra Parsi dan Maharaja Rom dan menegakkan keadilan Islam. Inilah konsep dakwah yang paling efektif – menegakkan keadilan. Kita, selaku Muslimin, harus mencontohi para sahabat – dalam konteks negara ini; membela nasib orang Melayu, Cina, India, Bangla dan sesiapa sahaja yang dizalimi, ‘tanpa mengira bulu’. Manakala,  prejudis dan penindasan terhadap masyarakat bukan Melayu sama-sekali tidak Islamik dan counter-productive kepada penyebaran Islam.

Malangnya, pertubuhan-pertubuhan yang menonjolkan diri sebagai pembela agama seperti Perkasa, ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) dan Tiga Jalur (NGO Hassan Ali) dilihat keliru dan gagal menghayati konsep Islam tersebut. Mereka masih terjerat dalam permainan ‘pecah dan perintah’ kerajaan. Secara sedar atau tidak, mereka menjadi ejen dan ‘tali barut’ kerajaan dalam menakut-nakutkan umat Islam yang susah dan miskin. Kata pertubuhan-pertubuhan ini, ‘Cina akan mengambil alih kerajaan’, ‘negara ini akan menjadi negara Kristien’ dan sebagainya. Racun-racun pemikiran begini membuatkan umat Islam yang mundur, terus mundur dan ketakutan, curiga terhadap perubahan dan prejudis terhadap kaum lain. Kesannya, orang-orang kampung, golongan miskin dan tua mengundi secara defensif kepada BN, walhal, merekalah golongan yang paling beruntung jika perubahan berjaya dilakukan pada PRU-13. Usaha untuk meranapkan sistem ‘pecah dan perintah’ secara mutlak terbantut – semuanya angkara kebodohan dan kemunafikkan pertubuhan-pertubuhan ‘pembela agama’ tersebut.

 

Projeksi

Arus perubahan ini tidak boleh disekat lagi. Masyarakat Cina sudah bangkit secara total. Masyarakat Melayu (Islam) pula tidak mungkin diperbodohkan selama-lamanya. Sedikit masa lagi akan sedarlah orang Melayu keseluruhannya. PRU-14 mungkin melihatkan penolakkan mutlak rakyat kepada BN jika isu-isu perkauman dan agama terus dipermainkan.

Jadi, bagi pemimpin BN – usahlah marah kepada rakyat yang sudah muak dengan sistem ‘pecah dan perintah’ itu. Tidak perlu  menuding jari kepada masyarakat Cina atau Melayu yang tidak menyokong BN. Bertindaklah secara waras dan pimpinlah secara ikhlas. Buang sahaja slogan-slogan hiprokrit 1Malaysia dan Transformasi itu dan ini. Transformasi yang lebih utama adalah transformasi pendekatan pemerintahan kepada yang adil dan saksama. Jika ia terlalu sukar, ada baiknya di-‘tranformasi’-kan sahaja tompok kepimpinan BN. Jika tidak juga, rakyat pasti akan menolak BN secara mutlak di PRU akan datang. Ketika itu, rakyat akan menyambut kemenangan mereka sebagai ‘Merdeka semula’, dan BN akan disamakan dengan penjajah – perompak khazanah negara (dalam catatan sejarah).

Wallahu a’lam

multiracial

Advertisements

6 comments

  1. Matrojak · · Reply

    Salam,

    Sdr tulis:
    Pegawai tadbir Melayu asuhan British mewarisi kuasa politik, manakala kapitalis Cina menguasai ekonomi. Mereka membentuk golongan elit negara. Hubungan antara mereka amatlah erat. Bagi mengekalkan kuasa dan kekayaan dikalangan kelompok mereka, dasar ‘pecah dan perintah’ penjajah, bukan sahaja dibiarkan berterusan, tetapi disuburkan lagi, hingga ke hari ini.
    Apabila rakyat berpecah-pecah, tumpuan bagi menidakkan pembolotan kekayaan negara (oleh golongan elit) dilemahkan.

    Komen:
    Ini ada benarnya, cuba lihat kata Datuk Ahmad Boestamam dibawah ini,

    “KALAU dihalusi-halusi atau dianalisa sedalam-dalamnya, ternyata tafsiran Perikatan Umno tentang berbaik sangka diantara semua bangsa yang ada di Tanah Melayu dengan tafsiran Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dulu sangat jauh berbeza, seperti bumi dan langit.

    Baik sangka antara semua bangsa yang ditujukan oleh Perikatan dan Umno ialah baik sangka diantara golongan-golongan atasan, khasnya golongan kapitalis. Sedang baik sangka antara semua bangsa yang ditujukan oleh PKMM adalah sebaliknya.

    PKMM mengingini baik sangka diantara golongan rakyat – golongan buruh dan tani – bukan golongan atasan, golongan kapitalis.”

    http://matrojak.blogspot.com

  2. Wsalam sdr,
    terima kasih kerana sertakan petikan dari Allahyarham Datuk Ahmad Boestamam . Alhamdulillah, analisis, melalui bacaan2 saya – bertetapan dgn pemerhatian Allahyarham Ahmad Boestaman yang pastinya lebih tepat memandangkan beliau hidup dan berjuang pada masa itu. tk

  3. Nicely written my friend..sgt setuju. Masalah besar org melayu hari ini ialah kita dibrainwashed sejak azali yang Dap itu komunis manakala MCA itu adalah Cina yg baik. Maka sbb itu timbulnya istilah tsunami cina itu.Tiada siapa peduli bilapengundi Cina mengundi Mca tapi bila mereka mengundi Dap..ia menjadi isu. Malangnya fahaman ini didukung oleh golongan bijak pandai melayu terutama ISMA (sadly ramai sahabat2 Adelaide kita aktif dlm Isma).

  4. Mmm kan ke baik kalau semua blogger camnie… saya suka post awak.
    . tahniah…

  5. Maaf.. saya terpaksa berterus terang dalam hal ni… tapi walaupun kita tak sependapat.
    .. saya hormati pendapat awak… dan awak adalah antara blogger terbaik yg pernah saya jumpa

  6. Sebelum nie saya antara yang paling menentang dalam isu2 camnie …

    tapi hari nie dah banyak blogger yg bagi pencerahan atas hal2 camnie..
    terima kasih awak atas penulisan nie…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: