Mentaliti feudal dan Napoleon Kecil

Istilah ‘feudal’ sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Istilah yang dipopularkan oleh Tun Mahathir kini menjadi hujah para penulis, ahli-ahli akademik dan ahli-ahli politik bagi menerangkan tingkah laku dan tabiat orang Melayu. Kata mereka, perilaku orang Melayu kini hanyalah refleksi sejarah ketamadunan Melayu yang berabad lamanya.

Sejak turun temurun, masyarakat Melayu didokong oleh dua kelas manusia, iaitu kelas bangsawan  – yang memerintah, dan rakyat bawahan – yang diperintah. Rakyat bawahan diasuh untuk taat kepada setiap perintah para bangsawan. Keunggulan nilai ketaatan ini dilakarkan dalam Hikayat Hang Tuah, dimana Hang Tuah, seorang laksamana ulung, sanggup ‘berkorban apa sahaja’ demi membuktikan ketaatannya kepada Sultan. Peribadi Hang Tuah disanjung tinggi dan dicontohi, hingga ketataan menjadi nilai yang senonim dengan bangsa Melayu. Oleh itu, ahli fikir kontemporari menyimpulkan bahawa – tabiat taat dan patuh orang Melayu (kadangkala membuta tuli) berakar umbi dari asuhan pemikiran feudal yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Penulis bersetuju dengan analisa diatas. Walau bagaimanapun, mentaliti feudal tersebut tidak hanya berkisar kepada rakyat bawahan sahaja (seperti yang diketengahkan oleh ahli fikir kontemporari). Mentaliti feudal turut mempengaruhi tingkah laku para bangsawan moden, yakni Raja-Raja dan pemerintah politik negara.

Pemikiran feudal mempengaruhi konsep kuasa dan tanggungjawab pihak pemerintah. Tanggapan bahawa kuasa pemerintah adalah mutlak dan tanpa kebertanggungjawaban (accountability), masih tegar dikalangan pemimpin hingga hari ini. Maka, tidak hairanlah jika dana negara disalahguna dan rasuah, perilaku buruk serta jenayah berleluasa dikalangan mereka. Bagi mereka, fungsi undang-undang dan peraturan hanyalah untuk menakut-nakutkan dan mengawal kepatuhan rakyat bawahan.

Rakyat bawahan pula dilihat sebagai ‘kuda tunggangan’ untuk meraih lebih banyak kuasa dan harta. Kehidupan rakyat bawahan tidak pernah dihiraukan. Rakyat diperlakukan seadanya; kudrat mereka diperah dengan tugasan dan waktu kerja yang melampau, keadaan tempat tinggal yang daif, malah sering dihina dan diperlekehkan. Bagi melekakan rakyat, hiburan murahan disajikan dan ‘sisa’ pendapatan negara diagihkan setiap kali menjelang pilihan raya.

Selain dari itu, tabiat ‘cantas-mencantas’ antara para bangsawan diwarisi hingga ke hari ini. Lihat sahaja gelagat ahli politik. Jika dahulu fitnah-menfitnah tertumpu kepada salahguna kuasa, kini politik longkang dan politik lucah menjadi budaya. Perebutan kuasa antara golongan atasan adalah menifestasi mentaliti feudal yang masih kuat dikalangan mereka.

Maka, bagi masyarakat umum, janganlah tertipu dengan rumusan ahli fikir kontemporari yang memusatkan ungkapan ‘feudal’ berkonotasi negatif, kepada rakyat bawahan sahaja – kononnya pemikiran mereka kolot dan kebelakang. Kelas bangsawan atau kini dikenali sebagai kelas atasan, elitis dan orang kenamaan, sama sahaja atau lebih teruk.

Kelalaian ahli fikir kontemporari melihat tabiat pemimpin sekarang dan kaitannya dengan pemikiran feudal adalah menyedihkan.  Mereka juga tidak sedar betapa ironisnya bila pelopor istilah ‘feudal’,  Tun Mahathir sendiri memerintah secara feudal semasa berkuasa dahulu.

Sebenarnya, struktur masyarakat Melayu sekarang adalah lebih kompleks. Kemajuan pendidikan telah melonjakkan status sebahagian dari segmen kelas bawahan; dari segi ekonomi dan perolehan material. Walau bagaimanapun, perolehan mereka tidaklah sebesar kelas atasan. Maka, muncullah satu kelas yang asing, iaitu kelas pertengahan (middle class). Mereka berpendidikan dan diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan-jawatan seperti ketua jabatan, pengarah, JKKK, pensyarah, PTD dan sebagainya. Namun, kuasa mereka adalah terhad kepada lingkungan tugasan mereka sahaja. Mereka juga perlu taat kepada arahan orang-orang atasan.

Walaupun kelas pertengahan tersebut adalah satu entiti unik, berbeza dari ‘kasta’ tradisional, yakni bangsawan dan rakyat bawahan, mentaliti mereka masih feudal. Pada fikiran mereka, melalui perolehan kuasa dan ekonomi, walaupun terbatas, aspirasi menyertai kelas atasan telah tercapai. Maka, mereka berkelakuan seperti bangsawan. Mereka memerintah pegawai bawahan dengan keras dan kasar. Mereka dengan sengaja menyusahkan hidup orang-orang bawahan dengan peraturan-peraturan yang tidak berguna. Jika ada kuasa untuk menentukan penempatan, akan ditempatkan orang bawahan jauh dari keluarga mereka. Jika boleh menentukan kenaikkan gaji, akan diselidik segala tingkah laku orang bawahan bagi menghalang kenaikkan gaji. Mereka merasa berkuasa dalam menentukan kehidupan orang bawahan. Pada mereka, tingkah laku begini menguatkan kedudukan mereka sebagai ‘bangsawan’. Hakikatnya, ia adalah prasangka dan delusi (delusion) semata-mata.

little napoleon

Manusia yang berperangai begini digelar ‘Little Napoleon’ atau ‘Napoleon Kecil’. Kuasa dan harta tidak seberapa, tetapi lagaknya seperti Maharaja. Kelas pertengahan kita sudah sarat dengan ‘Napoleon-Napoleon Kecil’, hingga ada yang menggelar mereka sebagai ‘barua’. Bagi penulis, gelaran itu tidak cocok dan sedikit menghina. Istilah ‘Napoleon Kecil’ adalah lebih sesuai memandangkan mereka ini terpelajar. Hanya kelakuan mereka yang perlu dijadikan sempadan.

Jadi, beringatlah apabila kita diberi jawatan. Janganlah kita berkelakuan seperti ‘Napoleon Kecil’. Jawatan adalah tanggungjawab, bukannya untuk kita berasa megah atau menganggap diri sebagai bangsawan. Ingatlah kisah yang diriwayatkan oleh pembantu Nabi SAW, Anas bin Malik r.a, dimana selama beliau bertugas untuk Nabi SAW, tidak pernah Nabi SAW menyuruh beliau melakukan ‘itu dan ini’ (Hadis penuh dibawah). Sedangkan Rasulullah SAW;  kekasih Allah, imam kaum muslimin, statusnya lebih mulia dari segala bangsawan – sentiasa menyantuni orang bawahannya, siapalah kita untuk angkuh dan sombong?

Mentaliti feudal haruslah dibuang secara total dari pemikiran Melayu. Ia merupakan sistem ‘kasta’ dan tidak bersesuaian dengan ajaran Islam – yang membebas manusia dari penyembahan sesama sendiri, kepada Tauhid. Kesamarataan antara manusia adalah konsep teras agama Islam.

Bagi perkembangan ketamadunan Melayu, mentaliti feudal amat counter-productive. Ia merencat kemajuan Melayu sekian lamanya, hanya untuk memuaskan nafsu golongan bangsawan yang sedikit. Ia juga meracuni persepsi, pemikiran dan adab kelas pertengahan. Pembebasan pemikiran rakyat bawahan adalah kemestian bagi memacu kemajuan sesebuah masyarakat. Lihat sahaja perkembangan tamadun dunia – sesebuah tamadun akan mengalami anjakan paradigma, lalu pesat berkembang apabila golongan rakyat bawahan dibebaskan dari kongkongan pemikiran feudal. Contohnya, tamadun Islam dan tamadun Barat.

Oleh itu, tinggalkan sahaja mentaliti feudal demi kesucian Islam dan kemajuan orang Melayu.

Wallahu a’lam.

————————

Dari Anas bin Malik r.a,

“Aku berkhidmat kepada Rasulullah SAW di Madinah selama sepuluh tahun. Aku seorang yang belum dewasa , sebab itu layananku tidak sesuai dengan kesukaannya. Meskipun begitu tidak pernah Nabi SAW berkata ‘uff’ kepadaku atau ‘kenapa buat begini?’ atau ‘kenapa ini tidak dibuat?’

(HR Abu Daud).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: