Kepupusan budaya kritikal, penularan ‘kaki penipu’ dan revolusi minda

Negara ini sedang mengalami sindrom kelesuan pemikiran yang kronik. Punca utama masalah ini adalah budaya kritikal yang semakin pupus. Hasilnya – sebuah masyarakat yang ketandusan idea dan wawasan. Lihat sahaja kualiti graduan, kualiti penerbitan bahan bacaan dan kualiti kajian serta rumusan ahli-ahli akademik; semuanya sederhana sahaja atau tidak berkualiti. Aktiviti seni dan kebudayaan begitu rendah nilainya hingga tepu dengan produksi-produksi yang bertunjangkan glamer dan populariti . Kualiti kehidupan dan pertumbuhan ekonomi dilihat merudum. Kesan yang paling parah adalah penguatkuasaan undang-undang dan kepimpinan negara yang semakin bobrok.

Punca

Asas kelesuan pemikiran ini adalah kelemahan sistem pendidikan. Budaya pendidikan kita hanya mementingkan fakta. Pelajar diasuh untuk menghafal fakta dan menghasilkan semula fakta-fakta tersebut diwaktu peperiksaan. Hasilnya – penghafal-penghafal cemerlang, tetapi lemah dari sudut aplikasi, analisa kritikal dan penyelesaian masalah (problem solving). Pemikiran mereka lesu apabila berhadapan dengan isu-isu mencabar. Pendidikan begini bukanlah pendidikan dalam erti kata sebenar. Ia hanyalah latihan yang menghasilkan manusia yang tumpul dan seragam, bukannya pemikir-pemikir yang kritikal dan bernas.

Di institusi-institusi pengajian tinggi, pemikiran kritikal dan kebebasan bersuara dikongkong. Pelajar yang mempunyai idea-idea segar dan melihat sesuatu masalah melalui perspektif berbeza dari pensyarahnya akan dilihat sebagai pemberontak atau ‘rebel’. Mereka akan di ‘mark’ atau di’cop’, dan kerana itu, pembelajaran mereka akan dirumitkan dengan peraturan-peraturan yang selalunya diada-adakan oleh pensyarah tersebut. Siswa-siswi lain akan melihat ini sebagai ‘pengajaran’ dan mengambil langkah-langkah selamat, iaitu menurut sahaja apa yang diajar dan segala arahan tanpa berfikir. Tidak hairanlah jika hasil kajian dan kertas kerja mereka seperti disalin bulat-bulat dari buku teks dan nota kuliah.

Pensyarah-pensyarah dan professor-professor di universiti-universiti tempatan pula adalah mereka yang malas dan tumpul, dan hanya mahu bergaya dan dihormati mengikut gelaran-gelaran mereka. Untuk meraih hormat pelajar-pelajar, mereka akan berlagak tegas dan menghukum dengan keras. Kebanyakkan mereka akan mengenakan pakaian berjenama dan bertutur bahasa Inggeris ber ‘slang’, walaupun tatabahasa mereka carca-merba. Semua ini bagi menutup kekurangan dari segi kebolehan dan pencapaian. Inilah definisi ‘professor kangkung’, yang pernah dipopularkan of Prof. Engku Aziz suatu ketika dahulu. Kelakuan begini bukan sahaja merencat penghasilan graduan yang berkualiti, malah ia menghasilkan ‘produk-produk’ yang menyerupai mereka. Kata pepatah, ‘jika guru buang air kecil berdiri, anak murid buang air besar berlari!’.

Seterusnya, budaya penulisan di negara kita juga sudah hilang taringnya. Akhbar-akhbar bukan lagi pemacu pemikiran masyarakat seperti dahulu. Keutamaan berita bergantung kepada tahap ke-‘sensasi’-annya. Berita perceraian, kes rogol, kes tangkap basah dan seumpamanya menjadi tajuk-tajuk utama akhbar. Selain dari itu, propaganda-propaganda politik mengisi hampir keseluruhan akhbar. Kolum-kolum pula dilihat tumpul dan tidak lagi menguja atau mencabar minda pembaca. Kolum-kolum akhbar bukan lagi wacana pemikir-pemikir negara seperti dahulu. Penulisan yang kritikal dan progresif akan ditapis, dan jika tidak disenangi kerajaan, penulis dan kemungkinan editornya sekali akan dikenakan tindakan undang-undang atau dibuang kerja.

Budaya penapisan (censorship) tersebut membuatkan penulis dan penerbit buku mengambil langkah-langkah ‘berwaspada’. Mereka dengan sendiri menapis penulisan dan penerbitan (self-censorship). Budaya takut untuk bersuara ini akhirnya menjelmakan buku-buku yang lesu untuk bacaan masyarakat. Buku-buku sosio-politik sedia ada, majoritinya adalah sekadar himpunan penulisan dari kolum-kolum akhbar yang sudah dibincangkan kelesuannya. Penerbit-penerbit juga hanya berminat menerbitkan buku-buku asas agama dan novel-novel remaja. Bagi mereka, penerbitan buku-buku progresif dan kritikal akan merugikan disebabkan tindakan undang-undang yang mungkin dikenakan oleh pihak kerajaan.

Tradisi dan budaya masyarakat, terutamanya bangsa Melayu, sedikit sebanyak menyumbang kepada kepupusan budaya kritikal ini. Masyarakat Melayu dilihat sensitif kepada teguran. Kritikan akan dilihat sebagai serangan peribadi dan bukannya sebagai proses penyelesaian masalah. Mereka yang memberi teguran dan kritikan akan dilabel ‘kurang ajar’ dan ‘tidak mengenang budi’. Sensitiviti tersebut akan lebih memuncak jika pengkritik itu dari golongan muda dan penerima kritikan itu dari golongan tua.

Kongkongan pemikiran kritikal ini dilakukan oleh kerajaan secara sedar dan sengaja. Selain dari sistem pendidikan dan penulisan yang berjaya ditumpulkan, pihak pemerintah juga mengongkong kebebasan bersuara. Tokoh-tokoh agama yang kritikal, walau sepopular mana pun akan ditapis dan dihalang menyebarkan dakwah mereka di media perdana. Begitu juga ahli-ahli akademik, aktivis-aktivis masyarakat dan persatuan bukan kerajaan (NGO) yang tidak seirama dengan agenda kerajaan; mereka menerima nasib yang sama – ada yang telah dikenakan tindakan undang-undang dan hilang punca rezeki.

Kongkongan bersuara yang dikenakan kepada parti-parti pembangkang adalah lebih dahsyat, dilihat hampir mutlak. Mereka diharamkan muncul di media perdana kecuali berita-berita aib mereka. Media perdana dikawal sepenuhnya oleh pihak pemerintah untuk tujuan politik semata-mata . Di negara kita tidak pernah ke udara program-program kritikal yang membincangkan masalah pendidikan, ekonomi, sosial, pertahanan dan sebagainya. Jika ada pun, program-program ini akan membincangkan masalah-masalah negara luar seperti Syria, Mesir, Palestin yang beribu batu jauhnya.

Pernah diadakan debat antara kerajaan dan pembangkang secara lansung. Walaubagaimanapun, tajuk perdebatan dan moderatornya dilihat berat sebelah. Moderator-moderator debat ini walaupun berpangkat tinggi dan berpengalaman, gagal mengendali perdebatan kearah isu-isu releven, tetapi membataskan perdebatan tersebut kepada isu-isu retorik yang memperbodohkan intelek pendebat, moderator dan penontonnya sekali. Debat-debat tersebut juga tiada kesinambungannya. Tidak silap penulis, sejak 2007, hanya 3-4 kali acara debat sedemikian diadakan, lebih kurang sekali setahun. Baik tidak diadakan lansung. Aksi ‘melepaskan batuk ditangga’, kononnya ‘transformasi politik’ ini cuba dilakonkan semula dengan menjemput pihak pembangkang untuk membentangkan menifesto PRU-13 mereka selama 10 minit di RTM.

Kongkongan pemikiran kritikal oleh pihak kerajaan  ini menyerlah ketidak-matangan pemerintahan – berpunca dari kurangnya keyakinan dan kupayaan pentadbiran. Sesebuah kerajaan yang berupaya dan berkeyakinan tidak akan ‘takut kepada bayang-bayang sendiri’, transparen dan bertanggungjawab – bersifat reseptif kepada kerancakkan pemikiran dan kepelbagaian pendapat. Ini mengundang seribu satu pertanyaan; mengapa perlunya kongkongan bersuara di negara yang sudah lama merdeka? Mungkinkah terdapat penyelewengan, ketirisan, rasuah dan gejala-gejala negara dunia ketiga yang lain didalam pentadbiran kerajaan yang ada?

Kesan

Apabila pemikiran kritikal disekat sekian lamanya, masyarakat menjadi pasif. Bukan daya kreativiti sahaja, nilai kemanusian masyarakat itu juga akan menurun. Lihatlah generasi muda masa kini, jiwa mereka dipenuhi hiburan dan sukan yang superfisial. Dari Zizan Raja-Lawak ke K-Pop, dan dari Johor DT ke FC Barcelona. Generasi dewasa, kaum pekerja, ibu bapa mereka – sekadar puas dengan kerja yang tidak seberapa, kenderaan dan tempat tinggal yang ala kadar, dan percutian sekali-sekala. Tiada pengisian dan cita-cita yang besar dari itu. Tiada aspirasi untuk melihat agamanya berkembang, negaranya maju dan kaumnya berdaya saing. Masyarakat jenis ini hanya pandai ‘menjaga tembolong sendiri’, yakni hanya memikirkan diri dan keluarganya sahaja.

Masyarakat yang pasif ini juga bersifat seragam, taat dan menurut perintah secara membuta tuli. Mereka berpuas hati dengan penerangan ringkas kerajaan tentang perkembangan ekonomi dan pentadbiran negara tanpa usul periksa. Mereka mudah ditakut-takutkan dengan undang-undang dan unjuran masa depan yang gelap. Lihatlah projek menakut-nakutkan rakyat seperti ‘akan berlaku huru-hara’ dan ‘negara akan bankrap’ jika berubah tampuk pemerintahan selepas PRU-13 nanti. Mudah sahaja kerajaan mengolah persepsi, hingga kadangkala menipu rakyat.

Selain dari kesan sosial dan nilai kemanusiaan yang merudum, produktiviti negara juga terencat. Industri-industri nasional, kabur visi dan misinya. Syarikat-syarikat tunjang ekonomi negara dipenuhi kaum pekerja yang hanya tahu menurut perintah dan tidak berwawasan. Kegiatan penyelidikan (R&D) diterajui oleh penyelidik-penyelidik ‘kangkung’ yang tidak kreatif, jauh sekali inovatif. Pegawai-pegawai eksekutifnya pula, sudahlah tidak berkepimpinan, tidak dinamik, malah ragu-ragu dalam membuat keputusan. Kepakaran mereka adalah berehat di kelab-kelab eksklusif, bermain golf dan melancong.

Segala jenis penguatkuasaan menjadi lemah dan mudah diperdaya oleh ‘kaki penipu’ dan oportunis. Kaki-kaki penipu ini bebas melakukan salah laku, bahkan perlakuan jenayah menjadi kebiasaan. Lihat sahaja masalah perdangangan manusia dan pelacuran. Pelbagai kempen dijalankan, tetapi pusat-pusat ‘kesihatan’ dan spa, yang sebenarnya sarang pelacuran, bercambah dengan pesat. Bekalan ‘china dolls’ seperti tiada kesudahannya.

Tender-tender kerajaan adalah ‘permainan’ kontraktor-kontraktor yang juga berjenis kaki penipu dan oportunis. Rasuah sudah menjadi asam garam berurusan. Bukan itu sahaja, kerana tamakkan keuntungan, mereka memotong kos sewenang-wenangnya dengan menggunakan bahan binaan berkualiti rendah. Tokokan harga jualannya pula diluar jangkauan pembeli. Tidak hairanlah jika rumah-rumah yang dibina, retak tak sampai setahun. Dan, patutlah stadium dan jejambat yang bermillion-million ringgit boleh runtuh.

Bukan itu sahaja, projek penswastaan keperluaan asasi rakyat menjadi rebutan kaki-kaki penipu dan oportunis. Lebuhraya yang sudah berpuluh tahun siap, yang pastinya kos pembinaan telah terbayar, masih lagi mengenakan tol, malah kadar tol tersebut bukannya berkurang (sekadar untuk penyelengaraan), tetapi meningkat dari tahun ke tahun. Penipuan mereka menjadi ‘tidak masuk akal’ apabila pengangkutan awam, bekalan air, pengurusan sampah dan sistem kumbahan, perumahan tentera, penternakan lembu, hingga ke saman jalan raya pun hendak dijadikan sumber mengaut keuntungan.

Ahli korporat juga begitu. Mudah sahaja mengawal dan memperdayakan kerajaan tempatan. Kawasan-kawasan hijau dan tadahan air, entah bagaimana berjaya dimiliki mereka, lalu dibangunkan pusat-pusat komersial. Apabila banjir berlaku, yang dipersalahkan adalah kerajaan tempatan – mereka (ahli korporat) buat-buat tidak tahu. Akhirnya, rakyat juga yang terpaksa menanggung kos pembikinan projek-projek longkang dan terowong pintar bagi mengatasi masalah banjir.

Gejala lari dari membayar cukai adalah kelakuan yang paling jelek kaki penipu dan oportunis korporat ini. Berjuta-juta ringgit hasil cukai yang sepatutnya diterima kerajaan untuk memakmurkan negara lesap begitu sahaja. Tektik lapuk membeli aset-aset seperti kereta mewah, rumah mewah dan percutian luar negara atas nama syarikat gagal dihidu pihak pemungut cukai.

Penularan kaki-kaki penipu dan oportunis ini adalah kesan dari ketumpulan agensi-agensi penguatkuasa. Puncanya adalah kelesuan idea dan ke’pasif’an resam kerja akibat pupusnya pemikiran kritikal dari aspek latihan, penambahbaikan dan pentadbiran agensi-agensi ini. Dilihat, cerdik-pandai, inteligensia dan ‘think-tank’ pasukan keselamatan, badan kehakiman, agensi pengagihan tender, kerajaan tempatan, lembaga pungutan cukai, dan lain-lain jentera penguatkuasa undang-undang – diperbudak-budakkan dengan mudah oleh kaki-kaki penipu.

Ketumpulan pemikiran juga dapat dilihat pada pucuk pemerintahan negara. Dasar-dasar kerajaan dilihat tidak dinamik dan tidak berdaya saing berbanding negara-negara serantau. Di kala negara lain bersiap siaga untuk mengharungi cabaran ekonomi global, kerajaan kita mengambil pendekatan ketinggalan zaman, iaitu kesatuan nasional – 1Malaysia. Polisi ini memang sesuai pada zaman pasca merdeka dahulu, bukan di era globalisasi ini. Isu – isu kelansungan hidup (survival) dan kerancakan persaingan ekonomi dan teknologi dalam iklim ‘kesamarataan dunia’ (the world is flat) sepatutnya diberi perhatian. Jeritan 1Malaysia, ucapan salam 1Malaysia, penjenamaan klinik, kedai runcit, kedai kain, kedai ikan dan lain-lain kedai 1Malaysia, serta pelbagai skim 1Malaysia – adalah usaha-usaha yang kabur dan samar-samar hala tuju dan wawasannya.

Pihak pemerintah sedar akan kelemahan dasar-dasar ini melalui respon masyarakat yang superfisial. Ini membuatkan mereka lebih curiga akan kehilangan kuasa. Justeru, kongkongan demi kongkongan diperkasa untuk memastikan homogeni kepatuhan rakyat. Dari sudut kemajuan pemikiran dan budaya kritikal, tindakan bobrok ini amatlah merugikan.

Dalam kelesuan pemikiran yang membelenggu ini, masih ada mereka yang celik, cerdik dan progresif. Mereka ini terpinggir kerana sering diketepikan majoriti yang pasif dan tumpul. Mereka tidak berpangkat mahupun bergelaran. Majoritinya orang biasa dari golongan muda. Mereka ini mempunyai aspirasi untuk mengembalikan keadilan, kesejahteraan dan kemajuan kepada negara. Oleh kerana kongkongan bersuara, impak mereka, buat masa ini, dilihat terhad. Walaubagaimanapun, bibit-bibit kebangkitan sudah kelihatan dengan tersebarnya idea-idea segar di internet dan bertambahnya bilangan peserta pada demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan aktivis-aktivis masyarakat dan parti-parti pembangkang seperti Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) baru-baru ini.

Prospek

Apabila norma dipenuhi anomili-anomili (penyimpangan), dan gagal dalam menyelesaikan masalah sejagat, akan muncul revolusi minda yang menganjak paradigma.

Ungkapan ‘revolusi’ amat ditakuti pihak pemerintah yang ingin mengekalkan keadaan ‘sedia ada’ atau status quo, kerana takut kehilangan kuasa. Sebagai tindakan balas, pihak pemerintah akan menggerakkan jentera-jentera propaganda ‘anti-perubahan’ bagi memburukkan segala jenis revolusi pemikiran atau cetusan perubahan.

Media-media akan digerakkan untuk mengolah persepsi. Gerakan perubahan akan disamakan dengan keganasan dan keadaan huru-hara semasa gerakan-gerakan revolusi utama dalam sejarah dunia. Antara contoh-contoh revolusi yang ditonjolkan adalah Revolusi Perancis, Revolusi Iran dan yang terbaru Revolusi Mesir. Jika diteliti, keganasan, pembunuhan dan keadaan huru-hara itu sebenarnya adalah tindakan zalim pihak berkuasa terhadap rakyatnya yang inginkan keadilan dan kesejahteraan. Dengan sengaja, propaganda ‘anti-perubahan’ ini juga menyembunyikan kesan positif (jangka masa panjang) gerakan-gerakan ini, seperti ketinggian peradaban dan keterbukaan Perancis, dan kekuatan jati diri Iran.

Bagi menguatkan hujah kerajaan, muncul para professor dengan teori ‘evolusi adalah lebih baik dari revolusi’. Pemikiran dikotomi, yakni pembahagian fakta-fakta kepada ketegori-kategori yang saling berlawanan, mendedahkan kaedah berfikir yang simplistik dalam menganalisa sejarah. Dari sudut yang lain, hubungan revolusi dan evolusi boleh dilihat; bukannya sebagai dua proses bertentangan, tetapi komplimentari, dimana revolusi adalah subset atau sebahagian dari evolusi yang bersifat menyeluruh? Terma ‘evolusi’ lebih tepat jika ditafsir sebagai – kesinambungan revolusi-revolusi minda dan cetusan-cetusan perubahan yang membentuk evolusi sesebuah masyarakat.

Evolusi negara kita juga diwarnai oleh cetusan-cetusan perubahan dan revolusi-revolusi pemikiran. Sebagai contoh, pergerakkan kemerdekaan didukung oleh kesinambungan perjuangan dan cetusan pemikiran oleh tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Mat Kilau hingga ke Pak Sako, Onn Jaafar dan bapa kemerdekaan Tengku Abdul Rahman. Rakyat yang sudah lama ditipu akhirnya sedar dan bangkit menuntut kemerdekaan dari penjajah. Seterusnya, gagasan pembangunan dicetuskan oleh Tun Abdul Razak (60-70an) dan diteruskan Tun Mahathir (80-90an), melalui program-program yang sistemetik. Kesedaran Islam pula dicetuskan oleh individu-individu seperti Anwar Ibrahim, Fadzil Nor, Hadi Awang dan rakan-rakan (70-80an), hingga berjaya menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Kesinambungan gerakan Islam yang kini berbentuk penambahbaikan dan pencerahan  agama dipelopori tokoh-tokoh seperti Dr. Asri Zainal Abidin dan Ustaz Azhar Idrus (pasca 2000). Akhir sekali, dengan kemajuan teknologi maklumat, tercetuslah revolusi politik ‘media baru’. Ia didokong penulis-penulis blog; antara perintis-perintisnya – Raja Petra, Harris Ibrahim dan ‘RockyBru’ (pasca 2000). Revolusi politik ‘media baru’ ini berjaya mencelikkan rakyat hingga berlakunya ‘tsunami politik 2008’.

Jika diteliti, cetusan-cetusan perubahan di Malaysia mempunyai budaya yang unik. Ia bersifat waras dan berhemah, selari dengan perkembangan ketamadunan manusia. Ini adalah evolusi sihat yang tidak boleh dihentikan momentumnya. Tumpuan kini harus difokuskan, bukan sahaja dari segi kepercayaan, pembangunan dan politik, tetapi kepada punca kelesuan minda, iaitu kepupusan budaya pemikiran kritikal. Sejarah revolusi-revolusi minda yang lepas menghidangkan kita dengan pengajaran-pengajaran berharga dalam menentukan kaedah yang terbaik.

Penulisan adalah nadi setiap revolusi pemikiran. Jika dahulunya akhbar dan majalah, kini internet melalui laman web dan blog, serta media sosial merupakan wacana terbaik bagi golongan progresif mengutarakan idea-idea mereka. Ia bebas dari kongkongan kerajaan, mudah, murah dan boleh diakses pembaca dimana sahaja. Selain dari itu, internet membolehkan pemikir-pemikir ini memuatkan bahan sokongan seperti gambar, graf, pungutan suara dan klip audio-visual kepada penulisan mereka.

Kualiti penulisan pula haruslah ditekankan. Kebelakangan ini, kualiti penulisan blog semakin menurun dari aspek etika, idea dan analisanya. Jika dahulu, aritikel-artikal seperti yang ditulis Raja Petra dan Harris Ibrahim begitu kritikal dan segar, kini blog-blog sosio-politik menjadi alat menabur fitnah, membuka aib dan me-‘maki hamun’ musuh-musuhnya. Pengendali-pengendali blog yang digelar ‘cybertroopers’ atau ‘macai’ ini adalah budak-budak suruhan yang dibayar oleh tuan-tuan politik mereka. Maka, bagi penulis-penulis baru, disarankan untuk tidak bersifat partisan, dan jangan sesekali mengambil upah dari parti-parti politik bagi mengekalkan kebebasan komentari dan analisa penulisan.

Gaya penulisan juga perlu seiring dengan trend bahasa masyarakat. Penulisan jenis sastera sudah tidak mendapat tempat. Penulisan dengan gaya akademik, walaupun paling sesuai dalam membincangkan sesuatu permasalahan, ianya membosankan bagi majoriti masyarakat. Gaya ringkas, tepat dan padat merupakan trend era ‘terburu-buru’ ini. Mengenai bahasa pengantar – bagi penulis, pemikir-pemikir ini harus menggunakan Bahasa Melayu. Ini kerana segmen masyarakat yang kelesuan pemikiran, majoritinya berbangsa Melayu dan tidak fasih berbahasa Inggeris.

Keberanian seseorang penulis merupakan faktor utama dalam mengenengahkan idea-idea kritikal. Seperti yang telah dibincangkan, internet merupakan medium yang paling bebas (buat masa ini) dari penapisan kerajaan. Penggunaan nama samaran, walaupun efektif dalam mengelak kemungkinan dikenakan tindakan, ia mengurangkan kredibiliti sesebuah penulisan. Bagi mendapat perlindungan, seseorang penulis boleh menyertai persatuan penulis. Walau bagaimanapun, risiko penapisan tetap signifikan, dan segalanya bergantung kepada keberanian penulis. Benarlah moto para reformis circa 1998, ‘usah bicara tentang perjuangan jika takut pada risiko’.

Pendukung sesebuah revolusi sebaiknya dari golongan muda. Ini kerana, mereka bertenaga, bersemangat, komited dan bercita-cita tinggi; objektif, kurang bernostalgia dan tidak mudah terasa. Tanggungjawab kekeluargaan dan ekonomi juga tidak begitu menekan. Disebabkan faktor usia, mereka dapat memantau perjalan usaha mereka dalam kerangka masa yang panjang. Contoh kelemahan apabila golongan berusia mengetuai sesebuah gagasan teserlah melalui revolusi politik ‘media baru’. Gagasan mereka berpecah selepas tsunami politik 2008. Perasaan ‘besar dari pejuangan’, perbezaan pendapat yang beremosi, dan penghijrahan kesetian disebabkan habuan wang atau ‘merajuk’, memecahbelahkan mereka.

Pergerakkan perubahan pemikiran ini tidak terhenti setakat usaha pencerahan massa, ia perlu penyertaan mereka yang berada di ground zero, yakni di institusi-institusi pendidikan, syarikat-syarikat korporat, badan-badan kerajaan, agensi-agensi penguatkuasa, NGO-NGO, parti-parti politik dan sekitar masyarakat, dari ceruk kampung hingga ke kotaraya. Dalam pendidikan, ahli akademik yang progresif boleh mengubah cara pemikiran pelajar-pelajar dengan menggunakan pendekatan yang terbuka dan kreatif. Mereka juga hendaklah secara aktif mempromosi korikulum yang lebih progresif. Dalam aspek pentadbiran, mereka harus beraspirasi untuk mengambil alih tampuk pentadbiran supaya spesis professor ‘kangkung’ dapat diketepikan. Dari segi kesatuan, buat masa ini, mereka harus bergerak secara senyap dan sistemetik. Perbincangan strategi dan perlaksanaannya perlu bersifat halus dan berhati-hati. Berpesatuan secara terbuka akan mengundang kongkongan dan tindakan pihak berkuasa yang diterajui oleh professor-professor ‘kangkung’.

Kaedah halus dan sistemetik yang disarankan boleh dipakai di syarikat-syarikat korporat dan badan-badan kerajaan, terutama sekali apabila berhadapan dengan bos-bos dan ketua-ketua yang lesu dan rendah keyakinan diri, kerana tindak balas mereka selalunya melampau dan keras. Bagi agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, pendekatan yang lebih berani diperlukan. Selain dari menambah baik kaedah penyiasatan, tindakan-tindakan tegas (mengikut garis undang-undang) hendaklah dikuatkuasa tanpa kompromi agar kaki-kaki penipu tidak terus mencuri duit rakyat. Jika perlindungan cuba diberikan oleh pihak-pihak atasan atau ahli-ahli politik, kes-kes tersebut hendaklah dibongkarkan secara besar-besaran melalui media massa, internet dan juga saluran politik. Ini bertujuan untuk memberi tauladan kepada sekian kaki-kaki penipu dan ketua-ketua jabatan atau ahli-ahli politik yang bersubahat.

Ketika artikel ini ditulis, negara diambang PRU-13 yang diwar-warkan sebagai ‘ibu segala PRU’. Kali ini, kekuatan pihak pembangkang sungguh menyerlah, dan kemungkinan tumbangnya kerajaan (penyebab kepupusan budaya kritikal) itu ada. Sudah tiba masanya, pemerintahan negara berubah kepada yang lebih segar. Andaikata pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya, prestasi mereka masih perlu dipantau. Ini kerana, menifesto pilihanraya pembangkang (seperti mana-mana menifesto pilihanraya) bersifat populis, dipenuhi janji-janji pemberian bantuan, pengurangan kos sara hidup, pendidikan percuma dan sebagainya. Ia tidak secara spesifik mengunjurkan pelan reformasi pendidikan, kebebasan media atau keterbukaan pemikiran. Ya, transformasi atau reformasi memerlukan waktu. Tetapi, perubahan haruslah bersesuaian dengan peredaran masa. Jika perkembangan yang ditunggu-tunggu tidak kelihatan, nilai kerajaan baru itu sama sahaja dengan kualiti kerajaan sekarang yang hanya pandai melaungkan slogan-slogan kosong. Perubahan yang diharapkan adalah perubahan yang konsisten dan komprehensif.

Harapan

Cetusan perubahan bagi mengembalikan keterbukaan pemikiran dan budaya kritikal amat ditagihi. Kelesuan pemikiran yang menyelubungi masyarakat negara ini sudah kronik. Ketumpulan aktiviti-aktiviti pendidikan, kebudayaan, sosial, ekonomi dan pentadbiran negara adalah ditahap yang serius. Hendak atau tidak, kita perlu berubah. Jika tidak, negara ini akan terus ketinggalan dalam persaingan global yang semakin pesat dan kompetetif.

Semoga rakyat bangkit dan mencetus perubahan, demi kemajuan negara dan kesejahteraan bersama. Amin

 

Advertisements

13 comments

  1. stuju om, masyarakat sulit untuk keluar dari comfort zone, dan akhirnya cendrung pasif, skeptis dan apatis bahkan bisa menjurus ke nihilisme.
    salam hangat dari Indonesia ^^

  2. w’salam. benar saudara. tepat sekali!

  3. Matrojak · · Reply

    Ya, betol – sebagai permulaan apakata ke blog ini
    http://matrojak.blogspot.com/

  4. Tajul Anuar Jamaluddin · · Reply

    Artikel terbaik yang pernah saya jumpa dan baca daripada blog berbahasa Melayu setakat ini. Syabas A Faisal Rahman. Mohon share..

    1. Silakan..& terima kasih

  5. Shahrul Abdul Majid · · Reply

    MC! Long time no see! Aku tambah sikit pasal pemikiran kritikal. Hati-hati dengan pemikiran kritikal yg nampak kritikal, tapi secara intelektual mempunyai banyak masalah. Ada pihak yg mengemukakan hujah kritikal berdasarkan motif masing2, yg tidak semestinya betul, tetapi untuk mencapai objektif bagi kumpulan tertentu saja. Hujah2 kritikal macam ni, selalunya secara pragmatik nampak betul, tapi bila dinilai secara kritikal, mmg byk kesalahan atau ‘flaws’ untuk memenuhi kriteria sebagai ‘critical arguments’ yg ‘critically sound’, dari segi fakta, dll. So terpulang pada kita untuk cari fakta yg betul, analisa fakta tersebut, & buat keputusan yg betul dari analisa kita. Ada satu video on youtube sesuai utk kita renungi: http://youtu.be/vf3Zdqc-ZTs Semoga berjaya!

    1. Tyco! Ya la, long time no see. Betul. Sebab tu kita kena lebih kritikal & analitical dari ‘kaki penipu’ yg ber motif/ agenda. U summed it better bro.. btw Nice video!

  6. mantap…bila nak minum warung dkt kb lagi?

    1. tq kici. yes, memang cool la masa tu..InsyaAllah, next time kita lepak lagi.

  7. Bro, power artikel ni, didn’t know you can write well, and in MALAY!!!! Well done bro!

    Salam

    1. wsalam. payah mau tulis dlm melayu actually. Mana ada dictionary/ thesaurus online, tatabahasa/ grammar-check lagi la. but, after many ‘poyo’ pieces, i learned a few ‘tricks’. still a lot to learn. tq Je’

  8. Saya tak tahu mengenai pensyarah2 lain dan u lain. Tapi pensyarah sy, sentiasa mahukan something yg baru dalam setiap research ataupun topik yg kami buat. Then istilah plagiarism tu agak sensitif dan skrg ada software utk mngesan plagiat. Sy bercakap mengenai course di uitm S Alam and lecturers sy, so maybe bahagian tu not applicable utk situasi sy.

    (Just nak share =), sbb sy rasa tak semua pun mcm tu. Dalam setiap keadaan pun, mungkin ada yg bersalah tetapi tidak semestinya semua orang dalam sistem itu bersalah. Mungkin kita harus perbaiki integrity masing2 sebelum pergi kpd peringkat yg seterusnya, masyrkt n negara.)

    1. Assalamualaikum wrm. Satu maklumbalas yang sgt bagus. Sekurang-kurangnya ada juga progres ke arah yg lebih baik. Moga lebih ramai yg mengikut. Sya setuju – generalisasi boleh menyebabkan stereotaip yg berat sebelah. Tetapi, artikel ini ditulis melalui pemerhatian/ pencerapan/ analisa keseluruhan tentang masyarakat secara umum. Objektifnya – utk meningkatkn kesedaran agar kita dpt berusaha utk lebih maju – seperti sdr/i unjurkan, perbaiki integriti individu ->masyarakat. Terima kasih kerana memberi maklum balas yang bernas! + syabas UiTM Shah Alam!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: