Lahad Datu – Bersuaralah dgn Bijaksana

Pencerobohan di Lahad Datu adalah sesuatu yang tidak diduga. Negara yang aman ini diceroboh pendatang bersenjata dengan tujuan merampas wilayah; sesuatu yang asing dalam sejarah negara. Ketidak-tentuan ini menimbulkan kegelisahan dan tekanan kepada kerajaan, pasukan keselamatan, penduduk setempat dan rakyat jelata.

Informasi terkini merupakan cara terbaik bagi masyarakat meredakan kegelisahan mereka. Di zaman teknologi maklumat ini, pelbagai kaedah boleh digunakan untuk mendapatkan informasi, dari media perdana (television, radio dan media cetak) ke media alternatif (internet dan media sosial). Kepelbagaian sumber ini jika dimanafaatkan secara bijaksana, bukan sahaja dapat mengurangkan kegelisahan masyarakat, malah dapat membantu kerajaan dan pasukan keselamatan menamatkan krisis di Lahad Datu.

Media alternatif, yakni portal berita internet dan juga media sosial seperti facebook dan twitter menjadi pilihan yang popular masa kini. Selain penyebaran maklumat yang pantas, penggunanya boleh saling berinteraksi dan berkongsi-kongsi pendapat. Ia juga dapat diakses dengan mudah melalui telifon bimbit, tablet, komputer dan sebagainya. Inilah kelebihan-kelebihan yang membuatkan media alternatif sangat berkesan dan popular sekarang.

Malangnya, kemudahan ini digunakan secara tidak berhemah, hinggakan pihak polis terpaksa mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan kabar angin. Terdapat pula segelintir masyarakat yang memuat naik gambar-gambar anggota pasukan keselamatan dan sekatan jalan raya. Tindakan seperti ini akan mendedahkan kedudukan strategik pasukan keselamatan. Ia boleh merosakkan pelan tektikal dan lebih merisaukan, ia boleh mengancam nyawa anggota-anggota pasukan keselamatan berkenaan.

Adalah lebih baik jika media sosial digunakan untuk memberi semangat kepada pasukan keselamatan. Kata-kata semangat ini sebenarnya bukanlah untuk pasukan keselamatan (mana mungkin anggota keselamatan mempunyai masa untuk melayari laman sosial), tetapi ia berkesan dalam meningkatkan keyakinan masyarakat.

Saranan terbaik kepada pengguna media sosial adalah supaya mengawal keinginan bersuara. Hanya kerana boleh, tidak beerti kita perlu bersuara. Sabda Nabi SAW, ‘Jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah kamu berkata yang baik, atau diam’ (HR Bukhari & Muslim)

Portal-portal berita internet pula berpotensi dalam memberi sumbangan yang besar. Kelebihan portal-portal ini jika dibandingkan dengan media perdana adalah kebebasannya. Peluang ini haruslah digunakan sebaik-baiknya. Idea-idea yang segar boleh diketengahkan.  Idea-idea ini, selain dapat meransang pemikiran pembaca, boleh dipertimbangkan oleh pasukan keselamatan. Walaubagaimanapun, pandangan-pandangan ini hendaklah diolah secara bijaksana. Janganlah kelihatan seperti ingin mengkritik keputusan pasukan keselamatan sahaja.

Walaupun tidak se-progresif media alternatif, kekuatan media arus perdana terletak pada kesahihan berita-beritanya. Ini disebabkan oleh hubungan rapat diantara mereka dan pihak berkuasa. Faktor ini juga membolehkan mereka memasuki zon pertempuran dan menyediakan laporan-laporan yang eksklusif. Pujian harus diberikan kepada pemberita-pemberita media perdana yang cukup berani berada di ground zero. Terdapat beberapa insiden cemas dimana mereka terpaksa melarikan diri dari kawasan tersebut apabila pertempuran meletus.

Walaubagaimanapun, media perdana perlu diberi autonomi yang lebih. Kongkongan pihak berkuasa membuatkan berita-berita mereka tumpul dan terbatas dari menghasilkan ulasan-ulasan yang bermutu tinggi. Cukup menyedihkan apabila media perdana dipergunakan untuk tujuan politik pihak pemerintah. Ia semakin parah; bukan lagi tidak beretika, tetapi jahat dan tidak berakhlak apabila kematian pejuang-pejuang negara dipolitikkan melalui media perdana.

Menyentuh mengenai politik, ahli-ahli politik dinasihatkan supaya bersikap matang. Kegiatan ‘politiking’ hendaklah dihentikan serta merta. Tingkah laku oportunistik ketika negara dilanda krisis hanya menyerlahkan mentaliti dunia ketiga dan sifat kebudak-budakkan sahaja.

Bagi pihak pembangkang, pendapat hendaklah diutarakan secara beradab dan bertanggungjawab. Kenyataan-keyataan memperlekehkan keputusan pihak berkuasa seperti yang diucapkan oleh Tian Chua, dilihat tidak mendatangkan apa-apa manafaat. Malah, kenyataan melampau sebegini hanya akan mengundang tindak balas melampau yang memburukkan lagi ketegangan didalam masyarakat.

Sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, pihak pemerintah seharusnya berpandangan jauh, bersikap professional dan budiman. Kritikan-kritikan terhadap mereka perlu ditangani dengan bijaksana, bukannya secara reaktif seperti yang ditunjukkan. Dalam kes Tian Chua, penganjuran demonstrasi-demonstrasi sumbang sebagai tindakan balas adalah tidak wajar bagi sesebuah kerajaan. Ini menunjukkan kurangnya keyakinan dan kematangan pemerintahan. Langkah yang lebih bijak adalah dengan tidak mempedulikan lansung kenyataan tersebut, apatah lagi memberikan publisiti percuma kepadanya. Fokus utama adalah krisis di Lahad Datu, bukannya kenyataan-kenyataan remeh oleh mereka yang singkat akal.

Sikap memonopoli media perdana juga menyerlahkan ketidak-matangan pihak pemerintah. Anjuran agar rakyat berdiri teguh dibelakang pasukan keselamatan boleh dikecapi dengan mudahnya jika pemimpin-pemimpin pembangkang diberi ruang di media perdana, untuk sama-sama memberi semangat kepada pasukan keselamatan dan rakyat jelata. Alangkah baiknya jika kedua-dua pihak (pemerintah dan pembangkang) dapat mengenepikan perbezaan politik, duduk semeja dan bersama-sama menyelesaikan krisis ini. Kematangan kepimpinan begini merupakan kriteria utama sesebuah negara yang ingin maju.

Memandangkan kumpulan penceroboh ini beragama Islam, masyarakat Islam di negara ini merasa sedikit khuatir. Mana tidaknya; ‘darah seorang muslim adalah mulia dari Baitullah’. Tetapi, penceroboh yang datang menganas dahulu dan negara ini negara Islam. Bukankah mereka yang memulakan pembunuhan? Kejam pula. Adakah ini dalil-dalil yang membenarkan kita bertindak balas? Persoalan-persoalan dan keraguan ini memerlukan penjelasan agama yang konkrit. Disyorkan (dengan rendah hati) supaya alim ulamak dan majlis fatwa kebangsaan dapat memberi penjelasan yang jelas. Fatwa tersebut hendaklah diberi penghebahan yang meluas, di television, radio dan media cetak, secara jelas dan mudah difahami orang biasa. Pencerahan ini amat dialu-alukan.

Tokoh-tokoh akademik, bekas-bekas jeneral dan ketua polis perlu diberi pujian. Mereka berjaya membincangkan kes Lahad Datu (sesuai dengan kepakaran masing-masing) dengan jelas, tidak beremosi dan objektif melalui forum-forum yang disiarkan di television dan artike-artikel mereka di media cetak.

Kebijaksanaan mereka (ahli-ahli akademik dan bekas-bekas jeneral dan ketua polis) dalam mencerna, menganalisa dan menyampaikan maklumat patut dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat. Kebertanggungjawaban dalam mengolah dan menyebarkan maklumat haruslah ditekankan. Sayang, kerana ketidak-matangan pengguna media sosial, pengendali media alternatif dan perdana, dan terutama sekali ahli-ahli politik, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang masih lagi diperlukan. Diharap, pengajaran yang berguna dapat dipelajari dari krisis ini dan semoga kita lebih bijaksana dalam bersuara di masa hadapan.

Akhir kata, kepada pasukan keselamatan, doa penulis agar dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dilindungi Allah SWT. Amin

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: