Keadilan bukan untuk semua

Penindasan oleh pihak berkuasa sudah menjadi budaya masyarakat kita. Kemana sahaja kita pergi, dari ceruk kampung ke pusat bandaraya, pasti terdengar keluhan masyarakat yang sedang dizalimi.

Akhbar-akhbar harian kerap melaporkan kes-kes perceraian dan hak penjagaan anak. Seringkali, penyelewengan undang-undang berlaku, menghasilkan keputusan-keputusan yang  tidak konsisten. Sesetengah kes memutuskan pengecualian pemberian nafkah , sesetengah yang lain memutuskan pemberian nafkah yang melampau. Selalunya, bekas suami yang kaya akan terlepas dari tanggungjawab, dan yang miskin akan kehilangan segalanya. Bekas isteri yang curang licik mengambil peluang, manakala yang taat dan ikhlas, akhirnya menjadi ibu tunggal yang teraniaya.

Kes-kes jenayah juga begitu. Jenayah-jenayah remeh amat cepat diadili. Hukuman yang dikenakan mengikut undang-undang tanpa kompromi. Jenayah-jenayah serius seperti sindiket rompakan, pengedaran dadah dan penyeludupan manusia, seolah-olah tiada penguatkuasaan. Jenayah-jenayah berat seperti pembunuhan dan penculikan, pelaku-pelakunya bebas begitu sahaja.

Di dunia perniagaan, penjaja kecil sering menjadi ‘mangsa’. Mereka kerap kali disaman, disita dan ada yang ditangkap. Permit, kebersihan dan waktu perniagaan  dipantau sehalus-halusnya. Tiada sudut undang-undang yang terlepas dari mereka.

Lain pula bagi peniagaan hiburan dan maksiat. Pusat-pusat pelacuran, judi, karaoke dan kelab-kelab malam terus bermaharajalela, beroperasi tidak kira tempat dan waktu. Rangkaian perniagaan mereka tersebar ke seluruh pelusuk negara, bukan sahaja di ibukota, di pekan-pekan kecil sudah kelihatan cawangan-cawangan mereka. Nisbah serbuan dan penutupan kepada percambahan pusat-pusat maksiat ini amat kecil. Sebab itulah industri ini pesat berkembang walaupun haram dari segi undang-undang.

Perniagaan-perniagaan besar pula diberi segala jenis insentif dan ‘tongkat’. Tanah-tanah rizab dan kawasan-kawasan rekreasi ‘dihalalkan’ bagi penubuhan gedung-gedung komersial dan perniagaan. Kompensasi yang diberikan kepada pemilik tanah persendirian pula, bukan sahaja diberi pada kadar minima, tetapi kadangkala ditanggung pihak berkuasa.

Semakin besar perniagaan, semakin menjadi-jadi bantuan yang diterima. Dana dan pelbagai pengecualian diberikan. Cukai bagi memakmurkan negara, boleh dielak mereka. Pembelian kereta dan rumah mewah serta percutian luar negara atas nama syarikat  dijadikan alasan. Pihak pemungut cukai cukup arif dengan dalih-dalih ini, tetapi dibiarkan berlaku tanpa halangan. Yang diburu adalah peniaga-peniaga kecil atau kaum pekerja yang terlupa atau tiada masa untuk menelaah borang-borang yang memeningkan kepala itu.

Ditempat kerja pula, perkerja berjawatan rendah sering sahaja dipergunakan. Bukan sahaja tugas-tugas dan tempat-tempat kerja; berat dan tidak kondusif, mereka selalu dimarahi, diherdik, hingga ada yang dihina. Pendapatan yang diberikan pula tidak setimpal. Inilah mengapa rakyat kita enggan memenuhi jawatan-jawatan ini. Mudah sahaja menuduh rakyat malas, tidak bersyukur dan sebagainya. Hakikatnya, ini cuma dakyah pemuka kapitalis yang  ingin ‘menghambakan’ warga asing dengan kos yang rendah.

Situasi kehidupan rakyat juga tidak mendapat keadilan yang setimpal. Prasarana dan infratruktur tertumpu kepada kawasan-kawasan orang-orang kaya. Kawasan perumahan kelas atasan cukup tersusun dan indah. Kawasan penduduk yang rendah status sosialnya terbiar dan kotor. Bandingkan sahaja kawasan Bangsar dan Gombak, begitu juga Taman Tun Dr Ismail dan Kampung Pandan. Tidak ubah seperti Baverly Hills dan kawasan setinggan di Mumbai. Tidak hairanlah jika kawasan kampung dan pendalaman, jalan di sana masih tidak berturap, bekalan elektrik terputus-putus dan air paip tidak terjamin tahap kebersihannya.

Kebebasan suara juga tidak seimbang. Tiada ruang untuk meluahkan ketidakadilan. Ahli korporat, pemuka kapitalis dan golongan kaya mendapat perhatian dan suara mereka didengari kerajaan. Pihak pemerintah pula sibuk memperalatkan media perdana bagi tujuan politik semata-mata. Pihak pembangkang dan aktivis-aktivis masyarakat, walaupun subur dengan dana, sumber manusia dan kecerdikkan akal fikiran, masih lagi terkontang-kanting dalam menyuarakan pendapat dan hak-hak mereka. Inikan pula ibu-ibu tunggal, penjaja kecilan, pekerja bawahan dan orang-orang kampung tadi. Keluhan mereka tidak berharga dan tiada siapa yang ambil peduli.

Ini cuma sejemput realiti kehidupan masyarakat kita sekarang. Ketidakadilan dan penindasan sudah menjadi budaya. Golongan bawahan tiada tempat selain merempat di negara sendiri.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: