Pra-PRU 13: Golongan susah diperdaya

Setiap kali menjelang pilihanraya, parti-parti politik akan berkempen bermati-matian. Hasrat mereka ialah untuk meyakinkan rakyat bahawa merekalah pilihan terbaik untuk memimpin negara. Parti pemerintah mempergunakan pelbagai jentera kerajaan seperti rizab negara, media perdana dan agensi-agensi kerajaan untuk tujuan tersebut . Disebabkan kekurangan sumber, pihak pembangkang terpaksa memikirkan kaedah-kaedah alternatif untuk mendekati masyarakat. Kaedah terkini adalah dengan mewujudkan pentas-pentas bergerak dengan mengubahsuai bas, lori dan treler. Ini adalah solusi yang bernas kepada masalah permit ceramah yang selalu dihadapi mereka. Pada masa yang sama kaedah-kaedah ‘standard’ penyebaran maklumat seperti risalah, poster, surat kabar, media alternatif dan siri ceramah diteruskan mereka.

Sasaran utama kempen-kempen pilihanraya ini adalah golongan susah. Mereka adalah segmen masyarakat yang memerlukan pertolongan. Kehidupan yang susah, sumber pendapatan yang terhad, keadaan setempat yang sering ditimpa bencana, infrastuktur yang daif dan budaya pemikiran yang mengongkong, membuatkan mereka menagih bantuan dan harapan. Ini dilihat sebagai peluang terhidang bagi parti-parti politik untuk memancing undi. Strategi yang rutin digunapakai ialah dengan menabur jasa dan janji. Teknik ini terbukti murah dan mudah berbanding kerumitan mempengaruhi mereka yang sempurna kualiti kehidupannya.

Masyarakat tradisional, iaitu orang-orang kampung, warga emas, warga felda dan orang asli adalah kelompok terbesar golongan yang memerlukan bantuan ini. Masalah utama mereka adalah sumber kewangan dan prasarana yang daif . Kempen pihak pemerintah menjelang pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) melihat ini sebagai peluang yang strategik. Pelbagai bantuan disalurkan menggunakan dana kerajaan. BR1M dan berbagai lagi skim 1Malaysia ditaburkan. Persoalannya, adakah skim-skim ini akan berterusan pasca PRU-13 seperti yang dijanjikan? Mampukah mereka menampung kos pembiayaannya jika ia ingin diteruskan? Setakat ini, tiada lagi pelan yang mampan kearah itu.

Seterusnya, penambahbaikan insfrastuktur sedang giat dijalankan. Ini adalah aktiviti rutin sebelum mana-mana pilihanraya. Jalan-jalan kampung akan diturap, kawasan-kawasan semak akan dibersihkan, masjid-masjid dan balai orang ramai akan dibaikpulih. Walaubagaimanapun, berdasarkan pemerhatian pilihanraya-piliharaya yang lepas, aktiviti-aktiviti ini akan terhenti sejurus tamatnya pilihanraya. Buktinya terdapat banyak di kawasan pendalaman yang jalan-jalan separuh siap dan balai-balai yang terpaksa diusahakan penduduk supaya ianya tidak terbengkalai. Maka, janganlah terpedaya dengan projek prasarana kali ini dan berhati-hatilah dengan janji-janji yang lebih gah seperti projek-projek jambatan dan lebuhraya yang kosnya memakan bermillion ringgit.

Pihak pembangkang tidak ketinggalan dalam menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat tradisional ini. Projek-projek prasarana tidak dapat dilaksanakan kerana dana kerajaan dimonopoli oleh pihak pemerintah. Maka, apa yang boleh ditawarkan hanyalah unjuran pelan-pelan reformasi. Walaupun pelan dan cadangan yang diutarakan tampak bernas, masyarakat masih khuatir dengan janji-janji pihak pembangkang. Ini kerana janji-janji tersebut hanya disandarkan kepada angka-angka yang tidak dapat disahkan ketelitian perakaunannya.

Oleh kerana pembangunan yang tidak seimbang, kemakmuran ekonomi, prasarana, pendidikan dan kebudayaan negara tertumpu kepada bandar-bandar besar, khususnya Kuala Lumpur. Ini memaksa penghijrahan golongan pekerja ke Kuala Lumpur. Majoriti mereka bekerja makan gaji. Walaupun mereka teransang dengan teknologi, hiburan dan trend terkini, kualiti kehidupan mereka semakin berkurang gara-gara meningkatnya kos sara hidup yang tidak selari dengan gaji mereka yang statik. Kenaikkan harga barang, kos pengangkutan dan kos tempat tinggal melambung naik sejak kebelakangan ini. Beban ini membuatkan mereka mengharapkan perubahan dan pertolongan dari pihak kerajaan.

Fenomena ini dilihat sebagai satu lagi peluang meraih sokongan. Sekali lagi, pihak pemerintah mengeluarkan pelbagai jenis skim 1Malaysia untuk manabur jasa. Langkah ini dilihat kurang bijak kerana wang yang diberikan habis dengan sekelip mata. Seterusnya, pihak pemerintah mengumumkan projek-projek pengangkutan awam bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Malangnya, usaha ini dicemari dengan pengurusan tender dan kewangan ala dunia ketiga yang mengandungi unsur-unsur rasuah dan kronisme. Usaha pihak pemerintah untuk mengembirakan penduduk bandar dengan hiburan dan konsert-konsert percuma adalah terlalu superfisial untuk dibincangkan.

Pendekatan yang diambil oleh pihak pembangkang dilihat lebih segar dan progresif. Pemimpin-pemimpin muda pihak pembangkang berjaya memahami dan membuat analisa yang tepat mengenai beban golongan pekerja di bandar. Janji menghapuskan tol, mengurangkan harga minyak, mengurangkan harga kereta dan harga rumah amat selari dengan keluhan golongan ini.

Biarpun disertakan hujah-hujah yang komprehensif tentang kemampuan mereka menepati janji-janji diatas, rakyat masih ragu-ragu. Ini kerana perubahan yang diutarakan tampak sukar kerana jentera-jentera kerajaan yang sedia ada akan berusaha mengekalkan status quo. Contoh yang mudah adalah usaha memberi air percuma di Selangor. Walaupun objektif and perancangannya baik, perlaksanaannya menimbulkan banyak komplikasi seperti terputusnya bekalan air, hasil dari sabotaj syarikat pembekal air swasta yang pro kerajaan terdahulu. Ini yang membuat rakyat khuatir. Jika janji-janji yang baru ini ingin dilaksanakan, bolehkah pemilik-pemilik konsesi lebuhraya, Petronas, syarikat-syarikat kereta dan pemaju-pemaju perumahan, bekerjasama? Niat yang baik, perancangan yang teliti dan semangat yang berkobar-kobar akan menjadi sia-sia jika perlaksanaannya tidak realistik.

Kelompok ketiga terbesar yang memerlukan perhatian adalah golongan mahasiswa. Mereka mempunyai tenaga, kepintaran, cita-cita dan aspirasi yang tinggi. Suara golongan ini amat penting bagi arena politik negara-negara maju. Malangnya, di negara kita, taring mereka telah ditumpulkan oleh akta-akta dan undang-undang universiti yang ketat. Kekecewaan golongan mahasiswa terhadap kongkongan berpolitik dapat dirasakan kebelakangan ini. Ia dizahirkan dengan penyertaan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang ketara oleh golongan mahasiswa. Selain dari kongkongan berpolitik, masalah hutang pinjaman, peluang pekerjaan dan kualiti kelulusan menjadi isu-isu yang merisaukan mereka.

Pihak pemerintah tidak mengambil isu kekecewaan dan kebimbangan mahasiswa ini sebagai sesuatu yang perlu dihalusi menjelang PRU-13. Biarpun timbalan menteri pengajian tinggi menonjolkan diri sebagai seorang yang berfikiran terbuka, keluhan golongan ini tetap terabai. Lebih teruk lagi, kematangan berfikir mahasiswa terus diperlekehkan oleh percubaan mem’brainwash’ pelajar universiti seperti didalam klip ‘Listen-Listen-Listen’ yang tersebar baru-baru ini.

Pihak pembangkang pula mendekati mahasiswa dengan penuh minat. Malah, golongan mahasiswa banyak menyumbang kepada perkembangan pengaruh pihak pembangkang. Dari sudut yang lain, pihak pembangkang sering mengambil kesempatan dari tenaga, daya kreativiti dan keikhlasan perjuangan mahasiswa, dengan tidak bertanggungjawab. Jika ada mahasiswa yang digantung atau dibuang dari pusat pengajian akibat menyalahi undang-undang (tidak boleh berpolitik), sedikit sahaja atau tiada lansung ahli politik pembangkang yang datang memberi pembelaan. Kesudahannya, pengorbanan mahasiswa disia-siakan dan masa depan mereka tergadai.

Pihak pembangkang, walaubagaimanapun, berjaya mengenengahkan isu hutang pinjaman ke peringkat nasional. Janji untuk memansuhkan pinjaman PTPTN dan memberi biasiswa kepada penuntut pengajian tinggi amat dialu-alukan. Sekali lagi, janji seperti ini hendaklah dibedah-siasat dengan teliti. Setakat ini, pihak pembangkang hanya menggunakan matametik mudah untuk menerangkan pelan mereka. Kata mereka, wang yang terkumpul dari ketirisan kerajaan sedia ada akan disalurkan kepada pembiayaan biasiswa. Jika ia semudah itu, mengapa tidak dilaksanakan di institut-institut pengajian tinggi kendalian negeri-negeri yang diperintah mereka?

Begitulah secara umumnya, bagaimana golongan yang memerlukan bantuan diperdaya demi meraih undi. Kesusahan dan harapan mereka dijadikan peluang-peluang politik. Pihak pemerintah akan menabur budi, manakala pihak pembangkang akan menabur janji. Kesudahannya, budi tiba-tiba sahaja berhenti, dan janji-janji entah kemana.

Artikel ini ditulis dengan tujuan untuk mengingat golongan yang susah agar tidak terus diperdaya. Tidak dapat disangkal bahawa projek-projek bermusim tersebut sedikit sebanyak memberi manafaat, dan janji-janji tersebut dapat memberi harapan. Tetapi, kaedah memperkudakan harapan golongan yang susah adalah tidak beretika dan perlu ditolak.

Semoga golongan yang susah ini sedar akan kelicikan propaganda politik, dan tidak bergantung-harap, atau dipergunakan dengan mudah, oleh mereka yang rakus mahukan kuasa, pada tempoh pra-PRU-13 ini dan seterusnya.

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: