Masjid mesra ummah

Masjid adalah tempat umat Islam berlindung. masjid ubudiahIa adalah ‘kubu iman’ kaum muslimin dari fitnah dunia. Tiada tempat yang lebih baik bagi menguatkan hati dan mendamaikan jiwa selain dari rumah Allah.

Masjid juga berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu agama. Tradisi ini masih rancak hingga ke hari ini. Tazkirah, kelas-kelas agama dan kursus-kursus ibadah sentiasa berlansung di masjid-masjid. Di era ini, aktiviti dakwah telah merebak ke alam cyber. Masjid kini menjadi pengkalan kepada laman-laman web, facebook dan pelbagai kaedah teknologi maklumat yang lain. Klip-klip audio dan video, teks-teks khutbah dan bahan-bahan rujukan boleh dimuat turun dengan mudah, bukan sahaja oleh penduduk setempat, malah oleh mereka yang jauh.

Selain dari itu, masjid merupakan pusat kebajikan kepada ummah. Ia merupakan tempat perlindungan mereka yang kurang berkemampuan. Yakni, fakir miskin, para musafir dan sebagainya. Tradisi ini sudah wujud di zaman Rasulullah SAW lagi, dimana mereka yang susah akan tinggal di masjid dan dibantu komuniti. Ahli-ahli suffah inilah yang kemudiannya menjadi alim dan rujukan para tabiin. Mereka mewarisi ilmu yang banyak kerana sentiasa berdampingan dengan Rasulullah SAW di masjid ketika sahabat-sahabat lain sibuk berniaga dan bercucuk tanam.

Dikala ini, masjid-masjid walaupun besar dan cantik seni binanya, tidak mesra ummah. Ada yang berkunci pintu pagarnya (selain dari waktu solat) dan ada yang menghalau orang-orang yang ingin ‘mengambil kesempatan’.

Penulis tertarik dengan jawapan Shaykh Husain Abdul Sattar (sacredlearning.org) kepada soalan ‘bolehkah seseorang charge telifon bimbit di masjid?’. Menurut beliau, segala sesuatu yang ada pada masjid itu adalah hak umat Islam. Tak kiralah kain, telekung, air, elektrik, tandas, ruang parkir dan sebagainya. Kata beliau lagi, bukan itu sahaja, sepatutnya masjid menyediakan kemudahan-kemudahan seperti mesin basuh untuk kegunaan awam secara percuma. Maka, jawapan kepada persoalan tadi, dengan padu sekali, adalah ‘Boleh’!

Shaykh Husain juga mengingatkan jemaahnya bahawa masjid adalah rumah Allah. Allah akan memelihara rumah-Nya dan memberi dana melalui sumber yang tidak disangka-sangka.

Disini, penulis ingin mengembangkan idea Shaykh Husain tersebut. Penulis ingin mencadangkan beberapa aspek kebajikan yang mudah dipraktikkan pengendali masjid tanpa memerlukan penyubahsuaian infrastruktur, tambahan kakitangan atau dana yang melampau.

Penulis mencadangkan supaya sabun, shampoo, kayu sugi, berus gigi pakai buang, ubat gigi, tuala dan lain-lain alat pembersihan badan disediakan di tandas dan bilik mandi. Ini amat membantu jika terputusnya bekalan air di kawasan setempat.

Seperti yang disyorkan Syakh Husain, sediakan juga mesin basuh untuk kegunaan umum. Ia juga dapat membantu pihak masjid membersihkan kain pelekat, telekung dan kopiah yang disediakan untuk orang beribadah. Sebagai melengkapkan kemudahan percuma ini, sediakan juga mesin pengering dan sterika.

Tiada salahnya jika pihak masjid memikirkan cara untuk membuatkan mereka yang berhajat bermalam di masjid selesa. Bagi penulis, tidak perlu dibuatkan hostel yang kemudiannya memerlukan pelbagai jenis perabot. Ini memerlukan kos dan penyelenggaraan yang tinggi. Memadai dengan menyediakan bantal, tikar, ‘lembek’ dan selimut. Ini sudah cukup selesa bagi jemaah tabligh, musafir dan mereka yang miskin untuk bermalaman di masjid.

Pihak masjid juga boleh menyediakan ‘pantry mini’ di penjuru atau di balkoni masjid. Sebuah meja sudah mencukupi untuk menyimpan mee segera, kopi segera, biskut, termos elektrik, cerek, pinggan dan cawan. Kepada jemaah yang ingin membekalkan roti atau kuih muih, bolehlah dialu-alukan. Ini bukan sahaja dapat mengisi perut mereka yang memerlukan, malah ia boleh memberi manafaat kepada seluruh jemaah.  Dengan secawan kopi, tumpuan kepada isi ceramah mungkin menjadi lebih tajam dan fokus.

Pihak masjid juga boleh menyediakan stesyen-stesyen yang menyediakan soket-soket elektrik untuk mereka yang hendak charge telifon dan komputer. Sediakan juga WiFi percuma. Penulis pasti ia akan menarik kehadiran muda-mudi. Sambil menunggu telifon mereka siap di charge, mereka boleh melayari internet. Sekurang-kurangnya, mereka perolehi pahala beriktikaf.

Akhir sekali, penulis ingin cadangkan tabung kebajikan. Tabung ini khas bagi menyediakan bantuan wang kecemasan kepada mereka yang kesusahan seperti para musafir,  mereka yang kecurian dan sebagainya. Beberapa individu yang tinggal berhampiran dengan masjid boleh dilantik sebagai pemegang amanah dan penyalur bantuan. Nombor telifon mereka haruslah dipaparkan dengan jelas di masjid supaya mereka mudah dihubungi dan bantuan dapat disalurkan dengan pantas.

Penulis pasti ramai yang mempunyai idea-idea yang lebih bernas. Disyorkan kepada pembaca untuk mencadangkan idea-idea ini (jika sesuai) dan idea-idea yang lebih baik kepada pihak masjid setempat.

Semoga masjid-masjid kita terus diperkasakan dengan dakwah dan menjadi lebih mesra ummah. Amin

Wallahu a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: