Keadaan Al-Quran Dahulu dan Sekarang

Orang yang beriman tentu mengetahui hikmat diturunkan Al-Quran dan tentu sedar keistimewaannya dari segala kitab. Huruf dan kalimahnya menimbulkan kelazatan pendengaran yang tidak jemu-jemu. Manakala maknanya membangkitkan hati membukakan fikiran untuk berbakti serta mengubah pandangan hidup kearah usaha melipatgandakan amal kebaikan yang lebih suci demi mencari keridhaan Ilahi di dalam dunia yang sementara ini.

Demikianlah kitab Al-Quran, sebuah kitab petunjuk sepanjang zaman, perlembangaan hidup orang mukmin yang ingin kemuliaan. Yang demikian hendaklah diamalkan pengajarannya dan janganlah diutamakan saja hurufnya, tetapi ditinggalkan hududnya (hukumnya) atau dipelajari tajwidnya, tidak diperdulikan pantang larangnya, sebagaimana yang pernah berlaku sepanjang zaman kemunduran umat Islam, sesuai dengan maksud hadis Ibn Mas’ud yang menyatakan sebagai berikut:

‘Sesungguhnya engkau berada pada satu zaman yang didapati banyak fuqaha’nya (orang yang faham ayat Al-Quran) dan sedikit pula qara’nya (orang-orang yang pandai membaca ayat-ayatnya) tetapi hudud Al-Quran (larangan-larangannya) tetap dipeliharanya sedangkan huruf tidak pula sangat diwajibkannya. Sedikit orang meminta, banyak orang yang memberi. Mereka memangjangkan sembahyang dan memendekkan khutbah. Mereka mulakan saja amal-amal mereka sebelum percakapan mereka. Dan akan datang satu zaman kepada manusia yang didapati sedikit sekali fuqaha’nya, banyak pula qara’nya (qari-qarinya), dipelihara benar hurufnya tetapi disia-siakan hududnya (larangannya). Banyak orang yang meminta, sedikit orang yang memberi. Mereka memanjangkan khutbah, memendekkan sembahyang. Mereka mulai menuruti kemahuan-kemahuan mereka sebelum melakukan amal-amal mereka’.

Demikianlah maksud hadis tersebut yang menggambarkan kepada kita bahawa zaman pertama, iaitu zaman sahabah dan kemudiannya adalah zaman yang cukup terpelihara kehormatan isi Al-Quran kerana fiqh Al-Quran (pengertian Al-Quran) dan fahamnya serta memelihara hudud atau larangannya dan mengambil hukumnya adalah didahulukan dan diutamakan daripada semata-mata bacaan yang kosong pengertiannya. Pada zaman itu pengajaran Al-Quran mempengaruhi jiwa, rasa kasih sayang meresap kelubuk hati, hingga sedikit orang yang meminta, tetapi banyak orang yang memberi. Mereka dikala itu memanjangkan sembahyang kerana sembahyang adalah munajat dan bisikan kepada Ilahi yang perlu dilambatkan masa dalam mengerjakannya. Sedang khutbah mereka diringkaskan kerana khutbah semata-mata percakapan gerak lidah perkataan huruf yang habis begitu sahaja. Dan mereka mengutamakan amal dan memulakannya sebelum mereka bercakap, berbual, dan bertukar fikiran.

Zaman tersebut telah berlalu. Sekarang tibalah pula zaman baru di mana keadaan telah berubah sama sekali. Kini telah banyak orang yang membaca Al-Quran tetapi bacaannya tidak sampai ke hati. Banyak orang mengutamakan dan menghafaz huruf Al-Quran tetapi disia-siakan hududnya, hukumnya, nasihatnya, pelajarannya. Sebab itu Al-Quran tidak dapat menginsafi mereka dan mereka pun tidak insaf sesama mereka. Hingga banyak orang yang meminta tetapi sedikit orang yang memberi di antara mereka. Mereka memanjangkan khutbah kerana khutbah tidak menyusahkan mereka. Dan mereka memendekkan sembahyang kerana sembahyang mengelisahkan jiwa mereka disebabkan tiada hubungan lansung dengan Allah yang Maha Kuasa. Akhirnya mereka suka bercakap mengikut kemahuan mereka sendiri sebelum melakukan amal yang sepatutnyanya mereka mulai.

Maka dengan keterangan ini jelaslah bahawa Al-Quran tidak dapat dipatuhi maksud dari turunnya dengan membacanya ayat demi ayat selagi belum diperhatikan pengertian dan tujuannya menurut cara yang sepatutnya. Firman Allah:

‘(Ini) sebuah kitab yang Kami turunkan dia kepada engkau yang diberkati, supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya mereka mengambil peringatan orang-orang yang mempunyai fikiran’. Saad 38:29 (klik)

Dengan ini teranglah lagi bahawa Al-Quran diturunkan untuk diperhatikan maksud ayatnya di samping membaca hurufnya. Kerana di antara maksudnya ialah memberi penyampaian kearah yang lebih lurus dalam kehidupan dan menjamin kurniaan kepada orang-orang yang berusaha mewujudkan amal soleh atau kebaikan.

————————

(Dipetik dari buku Hadith 40: Terjemahan dah Syarahnya. Susunan Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syarif An-Nawawi. Terjemahan dan syarahnya oleh Al-Ustadh Mustafa ‘Abdul Rahman. Penerbit Dewan Pustaka Fajar)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: