Kepincangan berfikiran positif

Asas kepada prinsip ‘berfikiran positif’ adalah baik. Malah, sebahagian dari prinsip-prinsipnya selari dengan prinsip-prinsip Islam. Berbaik sangka , berdisiplin dan fokus adalah antara prinsip-prinsip yang dapat memacu seseorang muslim.

Namun, seperti prinsip-prinsip, ideologi dan fahaman pemikiran manusia yang lain, ‘berfikiran positif’ ini tidak terlepas dari cacatnya.

Kepincangan utama pada prinsip ‘berfikiran positif’ adalah pada objektifnya. Ia meletakkan pencapaian keduniaan sebagai matlamat. Kecemerlangan akademik dan kemakmuran ekonomi diletakkan sebagai tanda aras kejayaan seseorang individu dan sesebuah keluarga. Ia meminggirkan secara total tentang kejayaan akhirat. ‘Projeksi positif’ dan ‘visualisasi’ yang dicanang-canangkan dituju kepada keputusan peperiksaan, kenderaan dan rumah idaman sahaja. Berita hari akhirat yang memenuhi Al-Quran tidak pernah diambil peduli. Apatah lagi Hadis dan Sunnah Rasulullah SAW.

Hanya setahun-dua kebelakangan ini terdapat pemuka-pemuka ‘berfikiran positif’ yang menggabungkan sedikit istilah-istilah Islamik  dalam ceramah-ceramah mereka. Itupun bagi mengikuti trend dan kehendak masyarat yang cenderung kepada Islam. Mereka dilihat berjaya menembusi pasaran dengan semakin rancaknya penerbitan program-program mereka dicorong radio dan kaca telivision. Jika dihalusi, pengisiannya sekadar kata-kata yang menyedapkan hati. Selebihnya, hanyalah retorik-retorik yang cetek dan celaru.

Selain dari kepincangan objektif, kaedahnya juga tempang. Prinsip-prisip ini meletakkan kekuatan minda dan usaha seseorang sebagai penentu kejayaan. Menurutnya, apabila seseorang itu mempunyai pemikiran yang positif, kebolehannya akan bertambah dan keadaan sekeliling juga akan menjadi kondusif untuk dia berjaya. Kesimpulannya, takdir dan masa depan bergantung kepada cara seseorang berfikir. Jika difikirkan boleh, maka bolehlah ia. Ini terpesong dari kepercayaan Islam. Orang-orang yang beriman meletakkan Allah sebagai penentu segala sesuatu. Hanya Allah yang berhak meluaskan atau menyempitkan rezeki. Manusia hanya berusaha, tetapi tidak boleh menentukan masa depannya.

Sasaran utama program-program ‘berfikiran positif’ adalah golongan yang ingin keluar dari kepompong kemiskinan dan mereka yang masih belum puas dengan perolehan sedia ada. Memandangkan pertumbuhan ekonomi semasa yang lemah, segmen kumpulan ini semakin membesar. Keadaan ini meluaskan lagi pasaran program-program ‘berfikiran positif’. Ironisnya, situasi ekonomi golongan tersebut bukan sahaja tidak meningkat, malah semakin tertekan. Masa, wang ringgit, tenaga dan emosi yang dilaburkan hanyalah sia-sia. Yang bertambah gemuk adalah poket-poket penceramah dan psedo-ustaz/ah yang bermazhab ‘berfikiran positif’.

Segelintir dari pengikut ‘berfikiran positif’ ini merupakan mereka yang sudah berjaya dan sempurna hidupnya. Ada dikalangan mereka yang sedang mencari makna dan tujuan kehidupan. Selalunya, setelah beberapa ketika, ia akan dengan sendirinya terbukti celaru, dan mereka akan akhirnya kembali kepada Islam.

Ada juga segelintir yang melihat ‘berfikiran positif’ sebagai asas kepada pencapaian cemerlang mereka. Kepercayaan ini membelai  jiwa dan ego mereka. Ujub dan sombong meresap ke hati, tanpa mereka sedari. Justeru, fakir miskin dipandang lemah. Kepayahan hidup disebabkan ‘sifat malas’ dan ‘sikap negatif’ fakir miskin itu sendiri, kata mereka. ‘Berfikiran positif’  melekakan mereka dari kewajipan menyantuni orang susah. ‘Berfikiran positif’ juga membuatkan mereka terlupa bahawa kesenangan yang mereka nikmati adalah kurniaan Allah.

Jadi, berhati-hatilah apabila mendengar ceramah-ceramah motivasi. Saringlah isi kandungannya dengan iman di dada. Islam wajib diletakkan superior dari apa sahaja prinsip yang ada. ‘Berfikiran positif’ mestilah berlandaskan agama, yang pincang haruslah dibuang . Pendekatan yang selamat adalah dengan meninggalkan sahaja segala jenis program ‘berfikiran positif’ ‘yang celaru itu .

Wallahu a’lam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 184 other followers

%d bloggers like this: